2004 berakhir dengan ratapan rakyat Asia

on Thursday, December 30, 2004

KETIKA tirai 2004 diselak, berpuluh ribu penduduk di Bam, Iran masih meratapi kehilangan ahli keluarga dan sanak saudara yang terkorban dalam kejadian gempa bumi yang turut melenyapkan kota bersejarah itu dari peta Iran.
Dan empat hari sebelum tirai 2004 dilabuhkan, kejadian gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter meragut pula hampir 100,000 nyawa penduduk di sepuluh buah negara di rantau Asia dan Afrika.
Sememangnya bencana alam tidak menetapkan tarikh temu janjinya apatah lagi untuk mengkhabarkan kehadirannya. Sebab itu tarikh 26 Disember 2003 yang menyaksikan kemusnahan Bam tidak pernah dijangka akan berulang. Cuma kali ini ia berlaku di lokasi yang berlainan dengan magnitud yang lebih besar serta kesan kemusnahan yang amat dahsyat.
Ribuan mayat mangsa bencana tsunami yang terbentuk akibat kejadian gempa bumi di utara Sumatera masih bergelimpangan di tempat-tempat yang terjejas teruk di Acheh, India, Sri Lanka dan Thailand. Kepiluan yang masih menghantui puluhan ribu penduduk Bam kini menjadi milik kaum keluarga serta sanak saudara mangsa bencana tsunami termasuk di Malaysia yang menyaksikan 64 terkorban.
Penutup tahun 2004 di negara-negara yang dilanda malapetaka bencana tsunami semestinya memilukan bagi mereka yang mengalami sendiri pengalaman pahit itu.
Malaysia sendiri mengambil keputusan yang tepat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta supaya sambutan berbentuk konsert dibatalkan.
Tahun 2004 mencatatkan sejarah yang tersendiri apabila ucapan selamat tinggal serta alu-aluan kehadiran tahun baru tidak lagi diiringi dengan konsert dan acara-acara yang keterlaluan gembiranya.
Itu adalah antara cerita sedih yang mewarnai hari-hari terakhir kalendar tahun 2004. Satu kejadian gempa bumi yang tidak dapat diramal kehadirannya tapi jumlah mereka yang terkorban serta kesannya ke atas kawasan-kawasan yang terlibat amat dahsyat dan tidak mustahil memerlukan sepanjang 2005 untuk dibangunkan semula. Sememangnya tahun 2004 sarat dengan peristiwa suka duka yang menjadikan dunia lebih pelbagai ragamnya.
Empat pilihan raya masing-masing di Amerika Syarikat, Australia, Indonesia dan Filipina berlangsung tanpa sebarang insiden yang mencalarkan amalan demokrasi.
Dan yang lebih menarik hanya Presiden Megawati Sukarnoputri gagal mempertahankan kedudukannya manakala Presiden George W. Bush, John Howard dan Gloria Macapagal Arroyo masing-masing meneruskan mandat yang diberikan oleh rakyat di negara masing-masing.
Semestinya pilihan raya AS yang berlangsung pada 2 November lalu paling ditunggu-tunggu oleh pemerhati politik antarabangsa yang tidak mengetepikan kemungkinan pencabar Bush, John Kerry mengambil alih pucuk pimpinan.
Ketika isu keganasan masih menjadi topik paling hangat dalam catatan diari dunia tahun ini, persoalan siapa yang bakal menerajui AS amat penting kerana dilihat memberi kesan kepada dasar luar kuasa besar itu.
Walaupun banyak pihak berpendapat pandangan AS ke atas dunia luar tidak akan berubah baik siapa pun menjadi penerajunya, persoalan siapa yang terpilih menjadi presiden tetap menarik perhatian banyak pihak.
Sebelum Bush berjaya menewaskan pencabarnya, Perdana Menteri Australia, John Howard telah terlebih dahulu berjaya mengekalkan pemerintahannya bagi penggal ketiga selepas Parti Liberal Konservatif pimpinannya memenangi pilihan raya umum pada 9 Oktober.
Justeru kemenangan Bush yang menyusul dua bulan kemudian dilihat sebagai satu petanda bahawa agenda politik dunia tidak akan berubah dan terus memihak kepada kuasa-kuasa besar itu.
Pusingan kedua pilihan raya Presiden Indonesia pada September pula menyaksikan kekalahan Presiden Megawati Sukarnoputri di tangan bekas jeneral tentera, kemenangan Bambang Yudhoyono apabila Susilo meraih undi majoriti sebanyak 60.52 peratus.
Dunia dipertontonkan dengan keengganan Megawati mengaku serta menerima kekalahan walaupun setelah kemenangan mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia yang baru pada 20 Oktober lalu.
Pilihan raya Presiden Filipina pada Mei lalu menyaksikan Presiden Gloria Macapagal Arroyo berjaya mengekalkan pemerintahannya buat penggal kedua apabila beliau mengalahkan pencabar utamanya, Fernando Poe. Beliau berjanji akan menggunakan tempoh penggal kedua itu untuk memulihkan ekonomi negara dan membanteras keganasan di selatan negara itu.
Dalam kerancakan pemimpin-pemimpin dunia meneruskan agenda membangunkan negara masing-masing, dunia terutama penduduk Palestin meratapi kematian Presiden Yasser Arafat pada 11 November lalu di Paris.
Arafat
Arafat meninggal dunia selepas koma selama seminggu di sisi isterinya, Suha di unit rawatan rapi (ICU) hospital tentera Percy. Beliau berada dalam keadaan kritikal di hospital yang terletak di Clamart, pinggir Paris itu sejak diterbangkan dari Tebing Barat pada 29 Oktober.
Walaupun dunia sering terlepas pandang insiden-insiden yang menimpa penduduk Islam di selatan Thai tetapi kejadian 25 Oktober yang menyaksikan 84 penunjuk perasaan terkorban ternyata menyentak tumpuan umat Islam di seluruh dunia.
Ketika umat Islam menjalani ibadah puasa askar-askar kerajaan di wilayah selatan Thai menangkap beratus penunjuk perasan bagi meleraikan demonstrasi mendesak pembebasan enam sukarelawan pertahanan kampung di Tak Bai, Narathiwat.
Tanpa rasa berdosa apatah lagi kasihan, penduduk beragama Islam ini dimasukkan ke dalam beberapa lori dalam keadaan berhimpit-himpit dan bertindih sehingga mengalami kesukaran bernafas dan menemui ajal.
Serangan bom ke atas kedutaan Australia di Jakarta pada 9 September lalu merupakan serangan ketiga terbesar yang dilancarkan oleh kumpulan militan ke atas sasaran Barat di Indonesia dan mengorbankan 11 orang serta mencederakan 170 yang lain.
Dunia juga tidak pernah lupa menjadi pemerhati perkembangan di Iraq. Wajah bekas presiden Saddam Hussein kembali menjadi perhatian pihak media apabila beliau dibawa ke sebuah mahkamah di Baghdad pada 1 Julai 2004 bagi menjawab pelbagai pertuduhan termasuk jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan pembunuhan kejam.
Selain itu, tamatnya pemerintahan rejim Saddam seolah-olah tidak memberi sebarang makna kepada penduduk Iraq yang sehingga kini masih kucar kacir dan sarat dengan pemberontakan menentang kehadiran tentera penceroboh.
Keadaan menjadi semakin gawat apabila tentera penceroboh yang diketuai oleh AS menjadikan satu demi satu wilayah yang menjadi kubu kuat pemberontak sebagai sasaran.
Perkembangan dalam negara tidak kurang menariknya apabila pelbagai peristiwa suka dan duka menghiasi kalendar 2004.
Negara kehilangan seorang tokoh yang amat disegani apabila bekas Speaker Dewan Rakyat, Tun Dr. Mohamed Zahir Ismail meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang yang teruk pada 14 Oktober.
Isu pengurniaan gelaran darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk Seri dan Datuk turut mewarnai tahun 2004. Berikutan semakin ramai yang memakai kedua-dua gelaran itu terlibat dalam kes-kes jenayah, tindakan Pahang mengurniakan 109 darjah kebesaran yang membawa gelaran itu dipersoalkan oleh banyak pihak.
Apa pun November dan Disember umpama dicipta untuk tragedi. Beberapa kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa selain kejadian banjir paling buruk melanda Kelantan memenuhi diari kedua-dua bulan yang diakhiri dengan tragedi bencana tsunami.
Walaupun telah lima hari malapetaka itu berlalu namun kesannya masih terlalu baru dan mengundang terlalu banyak persoalan termasuk apakah akan ada catatan yang sama pada Disember tahun depan. KerepeK

Beduk

Beduk adalah satu lagi alat muzik yang di kategori dalam keluarga gendang. Bahagian badan beduk berbentuk silinder dan di permukaan atau muka beduk diletakkan kulit haiwan dan dipalu untuk mendapatkan irama atau bunyi tertentu. Beduk mempunyai pelbagai saiz dan ada yang panjangnya mencecah sehingga mencecah tujuh kaki. Pada bahagian badan, terdapat dua batang kayu atau buluh yang dipasang sebagai kaki untuk meletakkan beduk.
Bahagian badan alat muzik ini diperbuat daripada kayu keras seperti batang pokok Serdang atau diperbuat daripada turus nibung. Manakala bahagian mukanya diperbuat daripada kulit kerbau atau lembu yang telah dijemur. Akan tetapi orang-orang pada zaman dahulu amat menggemari kulit rusa kerana dikatakan bunyinya lebih nyaring berbanding kulit lembu atau kerbau.
Beduk banyak digunakan dalam persembahan wayang kulit. Selain itu, alat muzik ini juga digunakan pada majlis-majlis keagamaan dan istiadat di kampung. Pada masa dahulu,kewujudan alat muzik ini sangat penting terutamanya pada bulan Ramadhan. Beduk akan dipalu menandakan telah sampai waktu berbuka puasa. Begitu juga jika berlaku sebarang kejadian di kampung tersebut seperti berlaku kematian atau kesusahan.
Selain daripada dipalu pada bulan Ramadhan, beduk juga dipalu pada malam Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Pada malam kedua-dua hari raya ini, beduk akan dipalu secara berterusan tetapi selepas sembahyang kedua-dua hari raya, beduk tidak lagi boleh dipalu sehinggalah tiba waktu solat fardu. Beduk juga dipalu pada hari Jumaat iaitu pada waktu solat Jumaat. Setiap orang yang hendak menunaikan solat Jumaat akan memalu beduk sehinggalah sampai waktu menunaikan solat Jumaat. Dengan cara ini, bilangan jemaah yang akan menunaikan solat Jumaat, akan diketahui.
Hal ini berbeza dengan orang Islam yang tinggal di Sabah dan Brunei. Mereka akan meletakkan beduk di masjid-masjid atau di surau-surau. Kegunaannya adalah untuk menyampaikan berita kepada penduduk-penduduk kampung mengikut rentak yang tertentu. Rentak untuk menandakan waktu solat adalah berbeza dengan rentak untuk menandakan jika ada kematian di kampung tersebut. Biasanya beduk ini akan dipalu oleh ketua kampung atau orang yang lebih dewasa.
Terdapat pelbagai rentak yang dipalu menggunakan beduk. Antaranya ialah rentak Tidung Berlari, Tidung Menunggal, dan Tidung Melompat. Setiap pukulan mempunyai pelbagai rentak dan dipalu oleh seorang atau lebih tukang palu. Contohnya rentak Tidung Melompat yang dipalu dengan rentak cepat dan dipalu oleh dua orang tukang palu. Paluan beduk mempunyai pantang larangnya yang tersendiri iaitu beduk tidak boleh dipalu dengan rentak yang tidak sesuai dan rentak permulaan setiap pukulan telah ditetapkan.
Kaedah pembuatan beduk sama dengan pembuatan gendang yang lain. Mula-mula sebatang kayu dari Pokok Serdang dipotong mengikut saiz yang dikehendaki. Kayu tersebut akan dikorek dengan menggunakan kapak atau peralatan yang lain sehingga bahagian luarnya mempunyai ketebalan sebanyak dua inci. Untuk membuat bahagian muka, kulit lembu atau kerbau akan dijemur sehingga kering. Kulit ini kemudiannya direndam dengan air garam selama satu malam. Tujuannya adalah untuk melembutkannya.
Kulit haiwan yang lembut ini akan disematkan di bahagian hujung kayu turas yang telah sedia dipasang dengan kayu rotan. Setelah kulit selesai disemat, beduk sekali lagi dijemur sehingga betul-betul kering. Untuk memastikan kulit benar-benar kering, bunyi paluan beduk adalah nyaring. Sebiji beduk boleh disiapkan dalam masa satu atau dua bulan bergantung kepada saiz dan keadaan cuaca semasa beduk dibuat.

Kertuk

on Wednesday, December 29, 2004

Kertuk adalah satu nama yang sinonim dengan masyarakat di Negeri Kelantan. Alat muzik ini telah dimainkan sejak zaman berzaman lagi. Perkataan ‘Kertuk’ dikatakan berasal daripada bunyi benda yang diketuk, iaitu ‘tok’, ‘tok’, ‘tok’. Nama tersebut dikekalkan hingga ke hari ini.
Pada masa dahulu, masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang (Kelantan) kebanyakannya adalah golongan petani. Pada musim padi masak, banyak burung-burung yang memakan padi mereka. Golongan petani ini, telah memikirkan bagaimanakah caranya untuk menghalau burung-burung tersebut. Maka mereka telah menciptakan Kertuk dengan tujuan untuk menghalau burung-burung yang memakan padi mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat petani kini tidak lagi menggunakan Kertuk untuk tujuan tersebut, tetapi mereka menggunakan alat muzik ini dalam majlis-majlis keramaian dan juga pertandingan.
Pada asalnya, Kertuk diperbuat daripada buluh. Satu lubang dibuat di atas tanah dan buluh-buluh tersebut disusun secara bersilang. Sebatang kayu akan digunakan untuk memalu buluh-buluh tersebut dan menghasilkan bunyi yang kuat. Akan tetapi perubahan cara hidup masyarakat telah turut merubah kepada pembuatan alat muzik ini. Kertuk tidak lagi diperbuat daripada buluh, tetapi menggunakan kayu yang kuat dan kukuh seperti kayu dari pokok Merbau. Kayu ini akan dilubangkan di sebelah atas, bahagian tengah dan dimasukkan dengan buah kelapa tua. Sebelum dimasukkan, terlebih dahulu buah kelapa akan dibelah dua dan dibuang isinya serta dikeringkan.
Belira iaitu sekeping kayu yang dipotong akan diletakkan di bahagian atas Kertuk dan diikat dengan menggunakan getah. Tujuannya adalah untuk mengelakkan Belira bergerak atau jatuh ketika dipalu. Lazimnya, Belira mempunyai ukuran yang lebih panjang dan bersaiz lebih kecil daripada muka lubang Kertuk. Pemalu Kertuk pula diperbuat daripada kayu dan mempunyai dua bahagian. Satu bahagian digunakan untuk memegang dan dikenali sebagai pemegang, manakala satu bahagian lagi digunakan untuk memalu dan dikenali sebagai pemalu. Bahagian pemegang akan dililit dengan benang dan kemudiannya dilapisi dengan getah. Belira yang baik akan menghasilkan bunyi yang kuat dan berdengung.
Dahulunya, satu Kertuk hanya dimainkan oleh dua orang pemain sahaja dalam satu masa, sesuai dengan tujuan asal pembuatan Kertuk. Namun kini, alat muzik ini dimainkan secara berkumpulan. Biasanya satu kumpulan terdiri dari 24 orang pemain dan memainkan 12 buah Kertuk secara berpasangan. Kertuk akan dipalu mengikut irama dan rentak tertentu. Antara rentak paluan Kertuk ialah anjol, gadoh, kedogong, dan ropok.
Selain daripada dimainkan untuk persembahan, Kertuk juga dimainkan untuk dipertandingkan. Pengadilan dibuat berdasarkan dengungan bunyi, keserentakan dan nada yang tinggi. Selain daripada pengadilan dari pengadil, pendapat daripada penonton juga diambil kira untuk menentukan pemenang. Walaupun demikian, alat ini tetap digunakan dan dianggap alatan muzik iringan untuk hiburan semata-mata di samping ia dapat memupuk semangat berpasukan dan kerjasama antara ahli kumpulan menyediakannya dalam kelompok masyarakat.

Bukan hukuman, hanya aktiviti alam

Sebahagian daripada umat Islam gemar membuat kesimpulan hanya semata-mata berdasarkan prasangka yang tidak benar dan tidak adil.
Apabila berlaku tsunami yang mengorbankan banyak jiwa dengan segera golongan ini menyatakan bahawa kejadian itu adalah tanda Tuhan murka kerana banyak maksiat dilakukan oleh manusia.
Siapakah mereka yang layak untuk membuat penilaian bahawa kejadian dahsyat itu adalah kerana Tuhan murka?
Sedangkan mereka hanya manusia dan bukannya nabi yang mempunyai hubungan komunikasi dengan Tuhan. Tambahan pula adakah benar bahawa Tuhan menjadikan bencana alam sebagai hukuman kepada kesalahan manusia?
Dalam al-Quran diperturunkan banyak kisah-kisah di mana bencana diturunkan Allah s.w.t. kepada umat yang melanggar perintah-Nya. Tetapi amaran itu dinyatakan dengan jelas kepada nabi pada zaman itu, umpamanya Nabi Nuh a.s. dan Nabi Lut a.s. Amaran telah diberikan tetapi umat mereka membantah dan bencana turun sebagai menghukum mereka.
Amaran dan hukuman itu khusus kepada zaman dan umat nabi-nabi itu. Al-Quran menjadikan kisah itu sebagai peringatan dan teladan kepada manusia.
Tetapi tidaklah perkara itu bermakna bencana-bencana yang berlaku pada zaman ini iaitu selepas era nabi-nabi itu sebagai hukuman daripada Tuhan. Kisah-kisah itu merupakan peringatan dan teladan semata-mata dan bukannya merupakan fakta umum yang hendak digunakan untuk semua bencana zaman ini.
Dalam zaman ini, tidak ada nabi yang mempunyai komunikasi langsung dengan Tuhan. Maka tidak ada amaran secara khusus daripada Allah s.w.t. Sememangnya manusia hari ini banyak membuat kemungkaran. Tetapi bukan saja pada zaman ini, malah sejak manusia wujud. Pada waktu yang sama banyak manusia juga melakukan kebaikan.
Memanglah terdapat perbuatan maksiat di tempat peranginan seperti Phuket dan Pulau Pinang. Tetapi kebanyakan orang umumnya hanyalah pelancong yang berehat, bersantai dan bercuti bersama keluarga.
Tambahan pula kebanyakan mangsa tsunami adalah orang Islam khususnya di Acheh.
Malah Acheh yang dikenali sebagai Serambi Mekah Indonesia adalah sebuah wilayah yang secara umumnya kuat pegangan agama mereka. Di situlah sering berkumandang azan dan bacaan al-Quran.
Bukan itu saja, mereka juga terdiri daripada orang susah, miskin dan dari satu segi tertindas hingga menyebabkan ada antara mereka memberontak melalui gerakan pemisah Gerakan Acheh Merdeka (GAM).
Ketika tsunami datang, mangsa yang terkorban umumnya sedang menjalankan urusan harian mereka di pasar dan kedai di Banda Acheh.
Mereka tidak layak untuk dikenakan penderitaan ini jika bencana itu hendak dianggap sebagai hukuman.
Hakikatnya ialah tsunami ini hanyalah fenomena alam dan kejadiannya bukan salah manusia. Ia juga tidak terhasil daripada sebarang pencemaran atau kerosakan yang dilakukan manusia.
KerepeK

Permainan Sepak Raga

on Monday, December 27, 2004

Permainan sepak raga telah lama wujud di Kepulauan Tanah Melayu. Terdapat sumber yang mengatakan permainan ini wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi iaitu pada abad ke 15. Permainan ini dahulunya hanya dimainkan oleh golongan istana dan pembesar negeri.

Dahulu bola raga diperbuat menggunakan bilah rotan yang dianyam berlapis-lapis dan berbentuk sfera yang sebesar buah kelapa. Pemain-pemain membuat bulatan di kawasan tanah lapang. Biasanya jumlah pemain antara lima hingga sepuluh orang. Mereka berpakaian lengkap dengan tengkolok dan tidak memakai kasut. Dalam bulatan yang telah dibuat, pemain akan menunjukkan kebolehan membuat sepakan, timangan dan tandukan. Tujuannya satu sahaja iaitu menggelakkan bola raga jatuh ke tanah.

Permainan ini turut dipertandingkan. Beberapa kumpulan akan dibentuk dan mereka perlu memastikan bola yang ditimang atau ditanduk tidak akan jatuh ke tanah. Kumpulan yang bola raganya jatuh, dianggap kalah.

Permainan sepak raga amat popular ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka sahaja tetapi terkubur sebelum muncul semula selepas Perang Dunia Kedua. Namanya telah bertukar menjadi sepak takraw dan corak permainannya turut mengalami evolusi.

Permainan ini hanya dimainkan untuk tujuan pertandingan sahaja dan dimainkan di dalam gelanggang. Dalam satu pertandingan, hanya dua kumpulan atau regu sahaja yang akan bertanding. Setiap regu mempunyai tiga orang pemain utama dan seorang pemain gantian. Seorang pemain atau dikenali sebagai tekong akan berada di tengah gelanggang, manakala dua orang pemain lagi iaitu apit kiri dan apit kanan akan berada di bahagian kiri dan kanan gelanggang.

Pada peringkat permulaan, apit kiri atau apit kanan akan mencampakkan bola kepada tekong yang berada di dalam bulatan. Manakala pemain-pemain regu lawan, bebas berada di mana sahaja di dalam gelanggang mereka. Setelah bola dicampakkan, tekong akan membuat sepakan melepasi jaring ke arah regu lawan. Regu lawan pula akan menyambut bola tersebut dengan cara menanduk, menimang atau sepakan serta memastikan bola tersebut tidak jatuh ke atas gelanggang. Proses ini berterusan sehinggalah bola tersebut jatuh atau terkandas di jaring.

Selain daripada kemahiran menyepak dan menimang, terdapat juga kemahiran lain seperti membuat libasan atau rejaman. Kemahiran ini adalah salah satu cara untuk menundukkan regu lawan dan mendapatkan mata dengan mudah. Pelbagai cara libasan boleh dibuat, seperti libasan cantas, libasan gunting, libasan gulung hadapan dan libasan terbang. Libasan dibuat menggunakan kaki dan ketajaman libasan serta ketepatan bola jatuh juga diambil kira.
Cara bermain permainan ini dibahagikan kepada beberapa bahagian iaitu:

Undian - Lambungan syiling dibuat untuk menentukan pemilihan gelanggang atau memulakan permainan.
Sepakan mula - Juga dikenali sebagai sepakan servis. Apit kiri atau apit kanan akan mencampakkan bola kepada tekong.
Dalam permainan - Bola yang disepak oleh regu lawan akan diambil dan diberikan kepada rakan sepasukan dan akan diberikan kembali kepada regu lawan.
Tukar sepak - Berlaku apabila terdapat kesilapan ketika penghantaran bola.
Kiraan mata - Regu yang membuat servis akan mendapat mata.
Bola kandas/keluar - Bola yang tidak melepasi atau mengenai jaring dikatakan bola kandas, manakala bola yang melepasi garisan belakang dan tidak disentuh dikenali sebagai bola keluar.
Permainan tamat - Regu yang mencapai mata ke 15 terlebih dahulu dianggap pemenang.
Permainan yang dahulunya sekadar untuk mengisi masa lapang telah bertukar menjadi permaian yang bertaraf antarabangsa. Pelbagai piala seperti Piala Emas Khir Johari dan Piala Tunku telah menjadi rebutan.

Tawakal melalui sistem amaran awal

Sistem amaran awal adalah penting bagi memastikan permasalahan seperti malapetaka tsunami yang telah berlaku ini dapat diminimumkan kesannya. Walaupun kuasa alam tidak dapat dielakkan namun istilah penyediaan payung sebelum hujan memang wajar dipraktikkan terutamanya bagi menghadapi bencana seumpama ini.
Bukan niat untuk menuding jari dan bukan tepat pada waktunya untuk saling menyalahi sesama sendiri terhadap kemusnahan yang tidak pernah dijangkakan akan menimpa bumi yang teramat bertuah ini. Persoalan yang berlegar di fikiran ketika ini adalah bagaimana bencana ombak ini gagal dikesan dan seolah-olah muncul secara tiba-tiba atau ia membuktikan ketidakpekaan kita terhadap kuasa alam.
Sebelum kejadian ini berlaku nelayan dihamburkan dengan limpahan rezeki yang tidak terperi. Lautan bagaikan begitu pemurah memberikan kemewahan tangkapan ikan berlipat ganda yang tidak disangka kepada golongan ini. Mereka juga begitu bersyukur di atas limpah dan kurniaan alam anugerah Ilahi. Tetapi, malangnya hadiah dari lautan ini rupanya disalahertikan akibat dari ketiadaan ilmu dan tidak dapat menduga tanda amaran yang diberikan. Para nelayan juga telah dapat mengesan fenomena air pasang surut yang luar biasa sebelum kejadian ini tetapi masih tidak dapat mentafsirkan dalam penterjemahan yang betul. Di manakah silapnya?
Adalah tidak wajar bagi kita menyalahkan golongan ini kerana mereka wajar diberikan pendedahan dan pengetahuan oleh pihak terbabit bagi mengesan dan mengenalpasti kejadian ganjil yang merupakan tanda amaran awal terhadap bencana yang bakal menjelma.
Pekerja penyelamat di persisiran pantai bagi rangkaian hotel terkemuka di Batu Feringghi Pulau Pinang telah dapat mengesan perubahan air laut yang ketara di mana lautan dilihat bergelora dan membahayakan pengunjung hotel.
Amaran
Baywatch yang telah diberikan pendidikan dan kemahiran sejajar dengan profesionnya ini telah menaikkan bendera merah bagi memberi amaran kepada pengunjung hotel berkenaan agar bertindak menjauhi pantai dan ia terbukti telah menyelamatkan nyawa pengunjung hotel majikannya.
Keadaan di atas jelas menunjukkan yang ilmu memainkan peranan penting dalam meminimumkan kesan bencana alam. Tetapi persoalannya di sini adakah wajar kita menyalahi para nelayan terbabit atau mengagumi kehebatan penyelamat ala baywatch ini kerana berjaya menyelamatkan nyawa pengunjung hotel terbabit. Atau tidakkah terlintas di dalam pemikiran kita sekiranya pekerja penyelamat ini mengambil inisiatif menghubungi Jabatan Kaji Cuaca ataupun pihak berkuasa tempatan kesan kejadian tsunami ini dapat dikurangkan dengan adanya amaran awal?
Ketiadaan sistem maklumat berpusat dan sistem amaran awal yang dapat menyalurkan informasi berguna dan kurangnya pemberian dan pendedahan ilmiah kepada golongan terbabit jelas memakan diri dan membahayakan nyawa masyarakat sekitar.
Di Kepulauan Weh yang terletak berhampiran Sumatera misalnya, masyarakat dan pelancong di situ sedia maklum jika air surut hingga lebih daripada dua meter dari pantai nescaya ombak besar akan melanda dan mereka akan bergegas ke tempat tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadin yang tidak diingini.
Jadi adakah wajar kita terus membiarkan masyarakat kita tidak dilengkapi dengan sebarang pendedahan dan pendidikan yang amat berguna di masa kecemasan dan bagi melindungi insan tersayang ?
Persoalan ini diutarakan bukan bagi mencari kesalahan pihak tertentu tetapi sebagai peringatan bahawa koordinasi dan penyelarasan sistem maklumat adalah amat penting dan di zaman teknolgi moden ini adalah tidak munasabah sekiranya jurang penyelarasan maklumat ini masih wujud yang mengagalkan usaha bagi membentuk satu jaringan sistem amaran awal yang menentukan antara hidup dan mati serta berupaya meminimumkan risiko sesuatu bencana alam seperti malapetaka tsunami ini.
Pengumpulan maklumat berpusat tidak harus terhad di dalam negara kita sahaja kerana di dalam kes yang melanda negara kita ini pihak kedutaan luar negara seperti wakil duta Malaysia di luar negara harus bersikap lebih proaktif dengan menyelaraskan maklumat yang boleh memanfaatkan negaranya kerana jangka masa bertindak yang singkat menentukan kesan bencana kuasa alam.
Tindakan, inisiatif serta jalinan kerjasama di antara semua pihak disertai dengan penggunaan sepenuhnya teknologi masa kini yang diletakkan di bawah satu struktur jentera pentadbiran berpusat yang akan bertindak menyalurkan informasi dan dipertanggungjawabkan bagi mengkoordinasikan dan mengimplementasikan pembentukan sistem amaran awal terhadap masyarakat harus diwujudkan dengan segera.
Sesungguhnya manusia tidak mampu mengubah aliran ombak yang menghempas pantai tetapi wajarkah kita membiarkan deruan ombak pantai serta kuasa alam ini membahayakan nyawa orang tersayang tanpa sebarang langkah pencegahaan dan hanya pasrah ke atas kehendak alam dan terus membicarakan isu ini di masa akan datang bersama satu statistik yang baru.
* NOOR NIRWANDY MAT NOORDIN ialah Penyelaras Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

Tsunami menginsafkan

Walaupun fenomena bencana alam bukanlah perkara baru di negara kita, tragedi yang berlaku kali ini merupakan satu kejadian yang seolah-olah telah mengejutkan kita daripada terus dibuai `mimpi yang indah'. Secara tradisinya, Malaysia telah lama dikenali sebagai sebuah negara yang selamat disebabkan oleh faktor kedudukan geografinya yang terlindung daripada ancaman semula jadi oleh gugusan Kepulauan Melayu.
Menelusuri imbasan sejarah, Semenanjung Tanah Melayu telah banyak menyaksikan negeri-negeri pelabuhan diasaskan dan seterusnya berkembang makmur menjadi pusat-pusat perdagangan di rantau Nusantara seawal kurun ke-4 Masihi iaitu Lembah Bujang di negeri Kedah, hinggalah kepada zaman kemahsyuran dan kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka pada kurun ke-15.
Faktor keselamatan daripada ancaman bencana alam ini seterusnya telah membawa kepada pembukaan bandar-bandar pelabuhan moden seperti Georgetown, Port Swettenham (Pelabuhan Klang) serta Singapura yang telah berkembang dengan begitu pesat dan maju daripada zaman kolonial British hingga ke hari ini.
Dengan latar belakang sejarah sedemikian yang telah merentasi tempoh berabad-abad lamanya, tidak hairanlah sekiranya tidak banyak isu yang ditimbulkan berkenaan hal ehwal keselamatan perairan dan kawasan persisiran pantai di negara kita, selain ancaman buatan manusia sendiri seperti kegiatan lanun, kesibukan lalu lintas di Selat Melaka dan pencemaran alam sekitar.
Namun begitu, kita masih menyedari hakikat bahawa kawasan perairan dan daratan negara yang dianggap sebagai `zon selamat' di rantau Asia Tenggara ini sebenarnya dikelilingi oleh jiran-jiran yang sentiasa terdedah kepada ancaman gempa bumi dan gunung berapi, terutamanya negara Indonesia dan Filipina yang terletak di dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik. Sekiranya mereka terjejas disebabkan oleh fenomena alam ini, maka bahananya - sama ada secara langsung atau tidak - akan turut sama dirasai oleh kita semua di Malaysia.
Bertitik-tolak daripada itulah maka kejadian yang berlaku pada 26 Disember itu seharusnya `membuka mata' dan menyedarkan kita tentang peri pentingnya isu keselamatan negara dilihat daripada sudut pandangan yang lebih menyeluruh selain daripada aspek pertahanan dan keupayaan ketenteraan.
Sebagai hamba kepada Yang Maha Mencipta, ancaman daripada bencana alam bukanlah satu perkara yang dapat kita elakkan atau hentikan, kerana ia berlaku atas kudrat dan iradat Allah s.w.t. semata-mata. Kita sebagai insan biasa tidak mampu untuk membongkar akan segala rahsia perjalanan alam semesta, jauh sekali untuk mengubahnya. Firman Allah s.w.t. bermaksud:
``Dan kamu tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah (daripada menimpakan kamu dengan bala bencana, walaupun kamu melarikan diri di mana sahaja) di muka bumi (atau di langit); dan kamu juga tidak akan beroleh sesiapa pun - yang lain dari Allah - sebagai pelindung atau pemberi pertolongan''. - (Surah Asy-Syura, Ayat 31)
Sebagai orang Mukmin, kita semua yakin bahawa ajal iaitu penentuan hidup dan mati setiap manusia itu adalah hak mutlak dan ketetapan daripada Allah s.w.t. jua. Namun sebagai khalifah yang telah dikurniakan kelebihan akal fikiran, manusia mampu berusaha untuk mengelakkan dirinya daripada ditimpa musibah yang lebih besar dengan melakukan persediaan yang rapi dan secukupnya serta sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi suasana berhadapan dengan kemungkinan ancaman daripada alam sekitar.
Natijah daripada ``Tragedi 26 Disember'' ini, ramai di kalangan negara-negara Asia - khususnya yang terlibat seperti Sri Lanka, India, Indonesia, Thailand dan Malaysia - telah menyuarakan tentang keperluan bagi mewujudkan satu sistem amaran awal terhadap ancaman tsunami yang lebih menyeluruh dan berkesan di rantau ini.
Sistem
Reaksi ini dilihat sebagai satu bentuk kesedaran supaya malapetaka yang serupa tidak akan memakan angka korban yang begitu tinggi sekiranya berlaku pada masa hadapan.
Sekiranya sistem yang sedemikian dapat dibangunkan, ia tidak bermakna bahawa negara-negara yang terlibat akan terselamat daripada ancaman bencana alam yang diakibatkan oleh tsunami. Namun sekurang-kurangnya pengurusan bencana akan dapat dilakukan dengan lebih terancang dan risiko kehilangan nyawa serta harta benda yang terpaksa ditanggung akibat daripadanya akan dapat dikurangkan.
Sebagai contoh, sistem amaran seumpamanya telah lama diwujudkan di rantau Pasifik berpangkalan di Amerika Syarikat iaitu pada tahun 1965, setahun selepas wilayah Alaska dilanda tsunami akibat gempa bumi berukuran 9.2 pada skala Richter. Anggotanya terdiri daripada kalangan negara-negara Pasifik di benua Amerika Utara, Amerika Selatan, Asia dan Australasia.
Manakala sistem yang dikendalikan oleh Agensi Kaji Cuaca di negara Jepun membolehkan ancaman tsunami dikesan, diberikan anggaran kelajuan, ketinggian, waktu impak dan kawasan yang terlibat, serta amaran segera dikeluarkan dalam tempoh dua minit selepas berlakunya gegaran yang disebabkan oleh sesuatu gempa bumi.
Oleh yang demikian, adalah menjadi satu keutamaan kepada kita di Malaysia untuk sama-sama memikirkan tentang bagaimana untuk membangunkan sistem amaran awal tersebut di Lautan Hindi. Bagi tujuan ini, keupayaan teknologi satelit peninjau dan angkasa lepas harus dibangunkan sekiranya negara ingin menjadi pelopor kepada bidang keselamatan terhadap ancaman bencana alam di rantau ini.
Walaupun negara lain mempunyai keupayaan menerusi penggunaan teknologi yang canggih dan mutakhir, kita tidak perlu meletakkan pergantungan dan harapan kepada maklumat yang diperoleh daripada sumber luar kerana hal ehwal keselamatan dalam negara adalah tanggungjawab kita sendiri. Sebagai satu strategi jangka panjang, Malaysia seharusnya mengorak langkah untuk membangunkan peralatan serta kemampuannya yang tersendiri demi kepentingan strategik dan keselamatannya.
Setelah sistem amaran awal dibangunkan dan sebagai langkah pencegahan, satu pelan tindakan perlu dirangka untuk membolehkan usaha-usaha pemindahan dijalankan dengan sesegera mungkin bagi mengelakkan seberapa ramai penduduk daripada terlibat dengan ancaman yang bakal menimpa.
Selain itu, mentaliti dan sikap terhadap ancaman keselamatan haruslah diperbaharui dan diperbetulkan di kalangan penduduk pelbagai lapisan di negara kita. Kita tidak lagi boleh terus hidup dengan tanggapan bahawa negara kita Malaysia akan sentiasa terselamat daripada sebarang ancaman, dengan mengambil sikap tidak peka terhadap sebarang perubahan suasana yang berlaku di persekitaran kita, termasuklah di negara-negara jiran.
Perasaan `terlalu selesa' dan sikap terlalu mengambil mudah dengan suasana aman damai dan jaminan keselamatan yang telah sekian lama kita kecapi haruslah dikikis daripada pemikiran sekalian warga Malaysia.
Sebaliknya kita harus bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang mendatang. Mungkin sebelum ini umum tidak begitu mengetahui tentang apa itu tsunami, sekarang kita semua telah dikejutkan dengan kekuatan kuasa alam yang mampu dilepaskan olehnya.
Generasi muda haruslah diperingatkan tentang ``Tragedi 26 Disember'' ini, supaya mereka sentiasa sedar dan kenal akan ancaman yang berada di sekiling kita. Sebagaimana kita tidak mahu dilambung gelombang tsunami sekali lagi kerana `terpukau' dengan fenomena kejadian alam yang tidak pernah diduga akan berakhir dengan jejak kemusnahan itu, begitulah juga kita tidak ingin melihat generasi akan datang pada suatu masa nanti hanya mampu melihat pesawat tentera asing terbang melintasi ruang angkasa kita sebagai tidak lebih daripada satu `pertunjukan udara' sahaja.
Keselamatan
Pihak berwajib juga harus memikirkan supaya pembangunan prasarana selepas ini seperti jambatan, menara, bangunan tinggi dan kemudahan pengangkutan akan mengambil kira aspek keselamatan terhadap ancaman gegaran gempa bumi. Tarikh 26 Disember 2004 telah membuktikan segala-galanya kepada kita bahkan lebih lagi, dan ia tidak seharusnya dibiarkan berulang dengan potensi ancaman yang lebih besar dan dahsyat lagi.
Apa yang pasti, ambang tahun baru 2005 - yang bakal disambut malam ini - bukannya masa untuk kita bersuka ria dan berpesta tanpa hala tujuan, sedangkan negara dan dunia masih meratapi pemergian puluhan ribu nyawa manusia di rantau Asia dan Afrika. Kita seharusnya lebih prihatin terhadap nasib mereka yang ditimpa musibah, kerana apalah ertinya tahun baru sekiranya ia datang tanpa membawa sebarang harapan?
Ketibaannya patut mendatangkan keinsafan agar kita melangkah dengan penuh kesyukuran dan waspada, menyedari hakikat bahawa kita masih lagi terselamat - mungkin untuk kali ini.
* YAZID BIN UMAR :

Permainan Congkak

on Sunday, December 26, 2004

Permainan congkak adalah sejenis permainan yang menggunakan papan kayu yang berlubang dan buahnya adalah daripada biji getah, guli dan sebagainya. Permainan ini selalunya dimainkan pada masa lapang. Masyarakat zaman dahulu menghabiskan waktu lapang mereka dengan bermain beramai-ramai sebagai hiburan selepas penat bekerja. Kebiasaannya permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak dan gadis-gadis.

Asal usul permainan ini sebenarnya tidak dapat dipastikan dengan jelas. Ada yang berpendapat permainan ini bermula sejak Zaman Kesultanan Melayu Melaka iaitu kira-kira pada kurun ke - 15 dan ada pula yang mengatakan bahawa ia berasal dari Nusantara sejak 200 tahun dahulu. Permainan ini juga dikenali sebagai Jongkok dan dimainkan oleh penduduk-penduduk di Malaysia, Brunei, Thailand, Singapura, Filipina dan Indonesia.

Terdapat dua jenis peralatan untuk permainan congkak iaitu:
Papan congkak - Papan congkak diperbuat daripada batang pokok kayu yang besar dan tebal seperti cengal, jati, merbau dan sebagainya.
Buah congkak - Buah congkak terdiri daripada kulit kerang, biji getah, batu-batu kecil dan biji saga.

Untuk menghasilkan sebuah papan congkak, pembuat congkak akan mencari batang-batang pokok kayu yang besar, tebal dan kuat yang boleh diperoleh dari hutan. Kayu-kayu ini kemudiannya akan dibentuk seperti perahu kecil yang berukuran 120 sentimeter. Ada juga pembuat papan congkak yang membuat ukiran seperti kepala burung di kedua-dua hujung papan. Tidak kurang juga yang membuat pelbagai ukiran di bahagian badan papan congkak untuk menonjolkan lagi kehalusan seni bina papan tersebut.

Setelah ukiran siap dibuat, si pembuat papan akan membuat dua barisan lubang di permukaan papan. Bilangan lubang tidak ditetapkan tetapi lazimnya ia dibuat mengikut bilangan ganjil iaitu lima, tujuh atau sembilan. Setiap satunya berukuran 6 sentimeter garis pusat dan dalamnya kira-kira 7 sentimeter. Lubang- lubang ini dibuat sama besar dan ia dikenali sebagai ‘kampung’. Pada penghujung papan pula, 2 buah lubang yang lebih besar akan dibuat. Lubang ini dikenali sebagai ‘rumah’ dan biasanya berukuran 14 sentimeter garis pusat.

Permainan congkak hanya boleh dimainkan oleh dua orang pemain dalam satu masa. Pemain akan duduk secara bertentangan dan ‘kampung’ akan diisi dengan buah congkak yang mempunyai bilangan buah yang sama. Jika dalam pertandingan, pengadil akan dipanggil untuk mengadili pertandingan. Pemain akan memulakan permainan dengan cara bermain serentak. Pemain boleh mengambil buah dari mana-mana lubang dan akan memasukkannya satu demi satu ke dalam ‘kampung’ dan ‘rumah’. Jika buah yang terakhir dimasukkan ke dalam lubang yang berisi atau dimasukkan dalam ‘rumah’, pemain boleh meneruskan permainan untuk pusingan yang kedua tetapi jika sebaliknya, pemain akan berhenti dan menunggu pihak lawan menghabiskan buahnya.

Terdapat dua kaedah untuk menentukan pemenang iaitu:
Pemain yang mempunyai jumlah buah congkak yang banyak.
‘Menapak’ iaitu Pemain yang paling lambat memasukkan buah congkak ke dalam ‘rumah’ dan biasanya, pemain yang lambat memasukkan buah, mempunyai buah congkak yang banyak.

Dalam permainan congkak ini juga, terdapat istilah ‘tembak’. Seorang pemain berjaya menembak jika buah congkak yang terakhir, dimasukkan ke dalam lubang yang tidak berisi dan terdapat buah di lubang bertentangan yang berada di barisan pihak lawan. Semua buah yang berada dalam lubang tersebut akan diambil dan dimasukkan ke dalam ‘rumah’.

Permainan congkak dimainkan pada bila-bila masa sahaja. Justeru itu, tiada masa yang khusus untuk bermain. Begitu juga dengan jangka masa untuk menghabiskan permainan ini. Permainan akan tamat sekiranya buah congkak dalam lubang salah satu pihak telah habis tetapi jangka masa permainan akan menjadi singkat sekiranya pemain tidak mempunyai kepakaran dan kemahiran yang tinggi.

Permainan congkak sebenarnya merupakan satu permainan yang menarik dan menguji daya pemikiran seseorang khususnya dalam pengiraan. Permainan ini seharusnya tidak boleh ditinggalkan dan generasi pelapis perlu mengambil alih peranan agar permainan ini tidak terkubur begitu sahaja.

Serunai

on Friday, December 24, 2004


Serunai berasal dari Timur Tengah dan dikatakan masuk ke Asia Tenggara sebelum kedatangan Islam lagi. Alat muzik ini mempunyai pengaruh agama Hindu kerana digunakan dalam upacara keagamaan. Perkataan serunai berasal daripada perkataan Parsi iaitu ‘nay' yang bermaksud tiup.

Alat muzik ini digunakan dalam pelbagai jenis persembahan seperti wayang kulit, menora, dan silat. Ia turut digunakan dalam acara rasmi seperti pertabalan raja. Walaupun saiz dan hiasannya berbeza, cara tiupannya sama. Bukan semua orang mampu memainkan alat muzik tradisi ini dengan baik kerana memerlukan kepakaran dan kemahiran menahan pernafasan.
Serunai mempunyai tujuh lubang petik sebagai ‘lubang penjarian' dan satu lubang petik sebagai ‘lubang jari'. Di sesetengah tempat, lubang jari dikenali sebagai ‘lubang jerit' kerana bunyi yang dihasilkan tinggi dan di sesetengah tempat dikenali sebagai ‘lubang penggalak' kerana nada hiasnya bersifat riang dan galak. Secara umumnya, terdapat dua saiz serunai yang dimainkan secara berpasangan, iaitu serunai ibu dan serunai anak. Serunai ibu mempunyai bentuk fizikal yang lebih besar dan pic suara yang lebih rendah berbanding dengan serunai anak.
Serunai yang terdapat di Malaysia terbahagi pada empat bahagian yang utama, iaitu kecopong, batang serunai, mali, dan pipit. Kecopong ialah corong yang terdapat di bahagian hujung serunai dan berbentuk loceng. Ia dibuat berasingan dari bahagian batang serunai dan biasanya diperbuat daripada batang pokok nangka. Lubang kecopong yang luas lazimnya digunakan dalam persembahan wayang kulit. Manakala kecopong yang mempunyai lubang yang agak sempit digunakan untuk persembahan bersifat tradisional. Kecopong yang dihasilkan diukir dengan motif alam sekitar.
Batang serunai pula diperbuat daripada kayu nibung, batang kelapa, manggis atau halban. Batang-batang kayu ini dilarik dan ditebuk secara selari membentuk tujuh ‘lubang penjarian' di bahagian atas dan satu ‘lubang ibu jari' di bahagian bawah. Kesemua lubang ini berfungsi untuk menghasilkan nada bunyi yang berbeza apabila ditiup. Batang serunai ini akan dimasukkan ke dalam lubang yang telah sedia ada di kecopong dan dikuatkan dengan cincin yang dikenali sebagai ‘temiang'. Batang serunai ini boleh dicabut dan dipasang apabila perlu.
Penghubung antara pipit dan batang serunai pula dikenali sebagai mali. Mali diperbuat daripada kepingan tembaga atau logam dan berbentuk bulat. Terdapat juga mali yang berbentuk kon. Mali ini dipasang pada pangkal batang serunai dan boleh dicabut atau dipasang mengikut keperluan.
Bahagian teratas sekali dikenali sebagai pipit. Pipit diperbuat daripada daun lontar dan berbentuk seperti kipas. Ia berfungsi menghasilkan bunyi. Bunyi yang lebih merdu dan getaran yang seimbang akan terhasil jika berada dalam keadaan basah.

Engkerurai

on Thursday, December 23, 2004

Engkerurai merupakan sejenis alat muzik yang tidak asing lagi bagi masyarakat Iban di Sarawak. Bunyinya yang unik serta penghasilannya daripada sumber yang mudah diperoleh menjadikannya sangat digemari. Alat muzik yang tergolong dalam kumpulan aerofon ini lazimnya dimainkan secara perseorangan di majlis-majlis keramaian mahupun pada bila-bila masa mengikut kehendak si pemain.
Penghasilan sebuah engkerurai hanya memerlukan sebiji buah labu dan tujuh batang buluh yang berlainan bentuk dan saiz. Buah labu yang lebih dikenali sebagai tangkong atau Labu Engkerurai oleh masyarakat Iban, biasanya ditanam di kawasan huma. Untuk memastikan engkerurai yang dihasilkan berkualiti, labu yang akan digunakan perlu bebas daripada serangan serangga perosak dan berkeadaan baik. Manakala buluh yang digunakan pula, biasanya buluh dari jenis temiang. Buluh dari jenis temiang ini dikatakan mampu menghasilkan bunyi yang nyaring dan merdu apabila ditiup.
Pada peringkat pertama penghasilan Engkerurai, buah labu yang telah masak akan dipetik dan dijemur sehingga betul-betul kering. Sebelum labu tersebut dijemur, akarnya perlu dipotong dan isinya perlu dikeluarkan. Setelah labu-labu ini kering, bahagian atas labu akan dipotong untuk membolehkan tujuh batang buluh yang telah dipotong pelbagai saiz dimasukkan ke dalamnya. Bahagian hujung labu juga perlu dipotong untuk tujuan peniupan.
Setelah badan Engkerurai disediakan, kini masuk pula peringkat kedua iaitu peringkat penyediaan batang Engkerurai. Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, batang Engkerurai diperbuat daripada buluh temiang. Penggunaan buluh temiang dikatakan dapat menghasilkan bunyi yang merdu apabila ditiup di samping saiznya yang kecil berbanding buluh biasa. Buluh pelbagai saiz yang telah dipotong akan direndam dalam air garam untuk memastikannya tahan lebih lama. Seperti buluh-buluh yang lain, buluh temiang juga perlu dibuang miangnya terlebih dahulu. Caranya, hujung setiap batang buluh akan dibakar menggunakan api yang sederhana.
Peringkat ketiga pula membuat ruding. Proses membuat ruding merupakan proses yang paling utama kerana pada peringkat inilah yang akan menentukan kemerduan bunyi Engkerurai. Ruding berbentuk seperti gelang yang diluruskan, diperbuat daripada campuran tembaga dan perak. Bahagian hujung ruding akan diketuk sehingga leper. Satu ukiran seperti huruf “V” atau lebih dikenali sebagai “lidah” akan dibentuk di bahagian tengah ruding. Ruding akan diasah sebaik sahaja “lidah” selesai dibuat bagi memastikan bunyi yang terhasil merdu dan memenuhi cita rasa si pembuat. Ujian akan dibuat setiap kali ruding diasah. Jika si pembuat telah berpuas hati dengan bunyi tersebut, maka mereka akan melekatkannya di bahagian hujung buluh.
Walaupun terdapat tujuh batang buluh yang dilekatkan pada setiap Engkerurai, namun hanya enam batang buluh sahaja yang dilekatkan dengan lidah dan mempunyai lubang petik. Manakala sebatang buluh lagi akan dijadikan sebagai tongkat untuk mengukuhkan kedudukan buluh. Setiap batang buluh mempunyai jumlah dan kedudukan lubang petik yang berbeza. Tujuannya untuk menghasilkan bunyi yang berbeza apabila dimainkan. Begitu juga tahap kepanjangan setiap batang buluh yang menghasilkan bunyi yang unik. Proses ini akan berterusan sehinggalah bunyi yang dikehendaki diperoleh. Semua batang buluh akan diikat dengan menggunakan kulit binatang untuk menetapkan kedudukannya.
Peringkat akhir penghasilan Engkerurai ialah proses memasukkan ruding ke dalam lubang labu yang telah dipotong. Ikatan buluh akan dimasukkan dengan cara mengatur kedudukan ‘lidah’ menghadap satu sama lain. Sejenis gam asli (engkelulut) akan digunakan untuk melekatkan batang buluh tersebut. Penggunaan gam yang sesuai dapat menggelakkan bunyi keluar melalui celah batang buluh ketika ditiup. Percampuran irama yang terhasil daripada setiap batang buluh, dapat memberikan keasyikan kepada penggemar-penggemar Engkerurai.

Gambus


Gambus adalah suatu nama alat muzik yang tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu. Bentuknya yang unik seperti bentuk buah labu air menjadikannya popular. Tambahan pula alat muzik ini adalah satu daripada alat muzik yang penting dalam nyanyian Ghazal dan tarian Zapin. Alat muzik ini tergolong dalam alat muzik jenis ‘petik’ yang dikatakan berasal dari Timur Tengah. Kedatangan pedagang-pedagang Timur Tengah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, telah membawa sekali budaya masyarakat mereka dan memperkenalkannya kepada masyarakat di Tanah Melayu.
Pelbagai jenis gambus boleh diperoleh. Ada gambus yang hanya mempunyai tiga tali sahaja dan ada juga gambus yang mempunyai 12 tali. Bilangan tali ini biasanya bergantung pada masyarakat yang memainkannya. Selain dimainkan secara solo, alat muzik ini turut dimainkan secara berkumpulan. Jika dimainkan secara berkumpulan, alat muzik ini akan digabungkan dengan alat-alat muzik yang lain sama ada alat muzik tradisional seperti gedombak ataupun alat muzik moden seperti drum. Gabungan alat-alat muzik ini akan menghasilkan kepelbagaian bunyi yang seterusnya mencetuskan bunyi merdu serta mempunyai keunikan iramanya.
Cara pembuatan gambus lebih kurang sama dengan pembuatan kompang cuma yang berbezanya adalah dari segi bentuknya sahaja. Batang pokok kayu dari jenis yang ringan seperti pokok angsana atau pokok nibung dipilih untuk pembuatan gambus. Pokok kayu yang telah ditebang dan dipotong mengikut saiz yang telah ditetapkan akan dibentuk seperti bentuk labu air. Seterusnya batang itu dikorek di bahagian tengahnya sehinggalah terbentuk seperti lubang yang dalam. Bahagian ini dikenali sebagai bakal.
Bakal akan dihalusi menggunakan kertas pasir sehingga betul-betul halus. Sejenis minyak iaitu minyak kelapa digunakan untuk melumur keseluruhan bakal untuk mengilatkannya. Setelah dilumur, bakal akan dijemur. Proses mengilat dan menjemur bakal akan diulangi sehingga bakal betul-betul berkilat dan memenuhi kehendak pembuat gambus. Untuk menutup bahagian yang berlubang, kulit binatang akan digunakan. Biasanya kulit yang digunakan adalah kulit biawak, ular ataupun kulit ikan pari. Sebelum kulit dilekatkan, kulit tersebut terlebih dahulu perlu direndam. Tujuannya untuk melembutkan dan memudahkan untuk dipaku. Kulit yang telah direndam semalaman akan dipaku pada bakal menggunakan paku laduh.
Langkah seterusnya ialah memasang penyiput. Penyiput adalah tanduk yang dicucuk di bahagian kepala gambus. Pada sesebuah gambus, terdapat empat buah penyiput yang berfungsi untuk melaraskan dan menegangkan tali gambus. Kemudian, tali akan dipasang dengan cara mengikat hujungnya pada bahagian kepala dan menariknya ke bahagian bawah gambus. Tali tersebut kemudiannya dipaku. Proses tersebut diulangi sehinggalah kesemua tali dipasang. Untuk memudahkan pemain memetik tali gambus, sebuah tanduk kerbau digunakan sebagai penyendal atau lebih dikenali sebagai kuda-kuda gambus.
Setelah selesai meletakkan penyendal, pemain bolehlah memetik gambus tersebut. Memetik gambus juga perlu ada cara dan tekniknya. Pemain boleh memetik menggunakan jari ataupun menggunakan pemanting. Biasanya pemain lebih gemar memetik gambus menggunakan pemanting kerana mereka dapat memainkan alat muzik tersebut dengan kadar yang lama.
Alat muzik ini dimainkan dengan cara meletakkannya di atas riba si pemain dengan kedudukan bahagian kepala di sebelah kiri, manakala tangan kanan akan memetik gambus mengikut irama tertentu. Permainan gambus lebih indah jika dimainkan pada majlis-majlis keramaian. Petikannya mampu menghasilkan irama yang merdu dan mengasyikkan.

Cungkih Ayam

on Thursday, December 16, 2004

Adakah anda pernah bermain permainan Cungkih Ayam? Permainan ini amat popular dan diminati terutamanya oleh golongan kanak-kanak. Permainan ini bukan sahaja dimainkan oleh kanak-kanak lelaki, malahan turut dimainkan oleh kanak-kanak perempuan. Mereka akan mencari kawasan lapang seperti padang untuk dijadikan tapak permainan. Tujuan permainan ini dimainkan hanya untuk mengisi masa lapang dan mengeratkan lagi ikatan persahabatan sesama mereka.

Tidaklah terlalu sukar untuk bermain permainan ini. Apa yang diperlukan hanyalah dua batang kayu yang mempunyai diameter seperti jari telunjuk orang dewasa. Ukuran panjang kayu juga tidak sama. Sebatang kayu perlu berukuran 20 sentimeter dan sebatang kayu lagi berukuran 5 sentimeter. Kayu yang panjang akan dijadikan sebagai pencungkil atau pemukul, manakala sebatang lagi diletakkan pada lubang.

Untuk memulakan permainan ini, satu lubang berbentuk bujur akan dibuat. Ukuran panjang dan kedalaman lubang bergantung kepada ukuran kayu yang pendek. Lubang akan dikorek di atas tanah yang akan dijadikan tapak permainan. Pemilihan ahli kumpulan yang terdiri daripada dua hingga lima orang akan dibuat sejurus selepas lubang siap dibuat. Permainan ini hanya membenarkan dua kumpulan sahaja yang bermain dalam satu permainan. Tidak boleh lebih daripada bilangan tersebut. Salah seorang dari pemain akan dipilih sebagai ketua kumpulan. Ketua kumpulan akan melakukan pengundian untuk menentukan kumpulan mana yang akan bermain dahulu.

Setelah diputuskan kumpulan yang mana yang akan bermain dahulu, mereka akan mula mengambil tempat. Kumpulan pertama akan berada berdekatan dengan lubang, manakala kumpulan kedua pula berada jauh dan bertentangan dengan lubang. Setiap pemain akan melalui tiga peringkat iaitu:

Peringkat I – Letakkan kayu pendek di dalam lubang dengan kedudukan melintang. Cungkil kayu tersebut menggunakan kayu yang panjang ke arah kumpulan lawan.

Peringkat II – Pegang kayu pendek menggunakan tangan kiri, manakala tangan kanan pula akan memukul kayu tersebut menggunakan kayu yang lebih panjang.

Peringkat III – Letakkan kayu pendek di bahagian hujung lubang secara selari. Pukul sedikit pada bahagian hujung sebelah atas kayu sehingga melambung dan dengan pantas, pukul kayu tersebut sekali lagi.

Untuk setiap peringkat pukulan, kumpulan kedua dikehendaki menyambut kayu yang telah dipukul oleh kumpulan pertama tadi. Jika mereka berjaya menyambut kayu tersebut, kumpulan pertama akan ‘mati’ dan giliran pukulan akan bertukar ke kumpulan yang kedua. Kumpulan kedua juga akan mendapat mata bonus. Jika sebaliknya, kumpulan pertama pula yang akan mendapat mata. Pengiraan mata dibuat dengan cara mengira bilangan kayu panjang yang diukur dari lubang hinggalah ke tempat kayu pendek jatuh. Setiap pemain dalam kumpulan satu akan melalui giliran masing-masing sehinggalah kayu yang dipukul dapat disambut oleh pihak lawan.

Dalam permainan Cungkih Ayam, seseorang pemain akan dianggap ‘mati’ atau hilang giliran sekiranya melalui dua keadaan di bawah:

Kayu yang jatuh mempunyai ukuran kurang dari kayu panjang.
Pemain tidak dapat memukul kayu pendek sebanyak tiga kali berturut-turut.
Hari ini, tidak semua kanak-kanak yang mengetahui cara bermain permainan ini. Hal ini mungkin disebabkan mereka tidak diberi pendedahan ataupun sikap mereka yang tidak lagi berminat untuk bermain permainan ini. Jika mereka bersikap seperti ini tidak diatasi, sudah pastilah generasi akan datang tidak tahu langsung mengetahui kewujudan permainan rakyat ini.

Kompang

on Sunday, December 12, 2004

Salah satu daripada alat muzik tradisional Melayu yang popular masa kini ialah kompang. Kompang dikatakan berasal daripada Parsi dan digunakan untuk menyambut kedatangan Rasulullah S.A.W. Selain itu, kompang juga digunakan untuk menaikkan semangat tentera Islam ketika berperang. Alat muzik ini dibawa ke Nusantara oleh pedagang Arab yang datang berdagang. Mereka memperkenalkan alat muzik ini dan mendapat sambutan yang hebat di kalangan penduduk Tanah Melayu terutamanya orang-orang Jawa.

Kompang mempunyai ukuran garis pusat antara 20 hingga 37.5 sentimeter dan ketinggian sehingga 12 sentimeter. Ia banyak dimainkan di negeri Johor, Selangor dan Perak. Kalau dahulunya alat muzik ini hanya dimainkan di majlis perkahwinan, berkhatan, dan menyambut pembesar tetapi penggunaannya diperluaskan di sekolah, institusi pengajian tinggi dan ketika menyambut ketibaan pemimpin negara luar.

Alat muzik ini bulat dan diperbuat daripada kayu yang kuat dan berkualiti. Kayu yang berbentuk bulatan penuh ini dikenali sebagai balon atau badan kompang. Biasanya kayu yang digunakan ialah pokok cengal dan palau. Penggunaan kayu yang kuat akan memastikan balon kompang tidak pecah atau retak apabila terjatuh. Kulit kambing betina pula digunakan sebagai penutup pada permukaan balon kompang. Satu lagi permukaan kompang yang terbuka dikenali sebagai mulut kompang.

Kompang terdiri daripada pelbagai saiz. Kompang yang dimainkan di Johor tidak mempunyai saiz yang tertentu. Ada yang mempunyai ukuran garis pusat sepanjang 22.5 sentimeter, 25 sentimeter, 27.5 sentimeter dan ada juga yang mencecah sehingga 35 sentimeter. Kebanyakan pemain di Johor menggunakan kompang yang sama saiznya. Hal ini demikian kerana kompang yang pelbagai saiz menghasilkan bunyi yang berbeza. Pemain di negeri Perak dan Selangor pula menggunakan alat muzik sampingan yang lain untuk mempelbagaikan bunyi.

Cara pembuatan kompang
Kayu yang berkualiti akan dipilih. Kayu dipotong kasar menggunakan mesin lathe untuk membentuk satu bulatan mengikut saiz yang dikehendaki. Potongan kayu ini akan disapu lilin dan dijemur di tempat redup sehingga betul-betul kering (tiga hingga lima bulan). Setelah kering, kulit kambing akan diletakkan pada permukaan bulatan dan ditegangkan. Baldu akan dililitkan di sekeliling bulatan. Paku akan disemat untuk memastikan kulit tersebut sentiasa berada dalam keadaan tegang.

Kompang dimainkan secara berkumpulan dalam keadaan duduk, berdiri atau berjalan. Bagi majlis seperti berzanji, pemain akan duduk bersila atau di atas kerusi. Manakala bagi majlis yang melibatkan perarakan, pemain akan berjalan mengiringi pengantin atau pembesar negara.
Kompang dimainkan menggunakan kedua-dua belah tangan. Sebelah tangan memegang kompang, manakala sebelah tangan lagi memukul kompang. Terdapat tiga rentak dalam permainan kompang, iaitu rentak biasa, rentak kencet, dan rentak sepulih. Rentak yang biasa dimainkan ialah rentak biasa. Rentak kencet ialah rentak di tengah-tengah pukulan yang seolah-olah terhenti seketika. Manakala rentak sepulih pula dimainkan untuk memulihkan semula lagu.

Kumpulan kompang ini dipecahkan kepada tiga kumpulan kecil mengikut peranan yang tertentu. Kumpulan pertama bertindak sebagai ‘pembolong' yang akan memukul kompang dengan bunyi pukulan khusus secara seragam. Pukulan jenis ini dikenali sebagai pukulan dasar. Kumpulan kedua pula dikenali sebagai ‘peningkah' dan berperanan sebagai master untuk mengawal keseluruhan corak permainan. Manakala kumpulan ketiga pula dikenali sebagai ‘penyilang' yang akan melengkapi rentak pada keseluruhan pola paluan.

Kompang perlu dijaga dengan baik. Ada masyarakat Melayu yang percaya bahawa kompang tidak boleh diletakkan di merata-rata tempat, dilangkah atau dipijak. Jika perkara tersebut dilanggar, mereka akan naik ‘syeikh' dan tidak sedarkan diri ketika memalu kompang. Paluan akan terus dibuat sehinggalah tangan mereka tercedera.

Rebab

on Saturday, December 04, 2004


Rebab terkenal di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Alat muzik ini digunakan dalam persembahan dramatari seperti Mak Yong, Menora, dan Main Puteri. Selain itu, rebab juga digunakan sebagai alat perubatan tradisi yang disebut ‘pateri'. Rebab dikatakan mempunyai pengaruh Timur Tengah dan pengaruh dari Siam atau Patani.
Rebab terbahagi kepada lima bahagian yang utama, iaitu bahagian kepala, bahagian batang, bahagian toko/badan, bahagian tumit, dan bahagian penggesek.
Rebab menjadi alat muzik utama dalam persembahan dramatari. Kepentingan alat muzik ini terbukti apabila terdapat babak yang dikenali sebagai ‘mengadap rebab' pada permulaan persembahan makyung. Rebab juga penting dalam tradisi perubatan masyarakat dahulu yang dikenali sebagai ‘pateri'. Alat muzik ini menjadi nadi utama ketika amalan tersebut dijalankan. Bunyi rebab yang mendayu-dayu ini dikatakan mampu melahirkan rasa sayu di kalangan pesakit dan menyembuhkan kesakitan.
Tidak semua orang mampu menghasilkan rebab. Hanya orang yang mahir sahaja dapat menghasilkan rebab yang menarik dan bunyi yang mendayu-dayu. Pembuat rebab perlu mematuhi pantang larang ketika menghasilkan sebuah rebab. Mereka tidak boleh memotong kayu ketika waktu maghrib atau tengah hari. Mereka juga tidak boleh menebang pokok secara menyongsang. Kayu-kayu yang telah ditebang juga tidak boleh dilangkah.
Alat muzik ini sangat unik berdasarkan penggunaan pelbagai jenis kayu untuk menghasilkan rebab. Antaranya tembusu, nangka, sena, dan belimbing. Selain itu, keunikan rebab ini dilihat dari sudut kecantikan seni ukiran di bahagian kepala rebab yang bermotifkan mahkota.
Cara membuat Rebab:
Bahagian : Toko
Ciri-ciri dan fungsi: Diperbuat daripada kayu nangka. Berukuran 25 cm x 20 cm x 15 cm. Mempunyai ketebalan 8 cm.
Cara pembuatan: Batang pokok nangka akan ditebang dan diketam untuk melicinkan permukaannya. Kemudian dipahat sehingga menjadi seperti bentuk tempurung. Toko akan ditutup dengan kulit usus lembu yang telah dikeringkan dan digam untuk mengelakkannya tertanggal ketika dimainkan.

Bahagian : Kepala
Citi-ciri dan fungsi : Diperbuat daripada kayu pokok tembusu. Berukuran antara 45 hingga 55 cm.
Cara pembuatan: Pemulas tali rebab diperbuat daripada kayu pokok sena dan berukuran 13 sentimeter setiap satu. Kayu akan dilarik mengikut bentuk dan motif yang diingini.

Bahagian : Batang
Ciri-ciri dan fungsi : Diperbuat daripada kayu tembusu. Panjangnya ialah 30 sentimeter.
Cara pembuatan : Bahagian atas digunakan sebagai perenggang dan berukuran 28 sentimeter. Kayu dilarik mengikut bentuk yang diingini.

Bahagian : Tumit
Ciri-ciri dan fungsi : Berukuran 10 sentimeter. Diperbuat daripada kayu pokok sena. Ia berfungsi untuk menyokong keseluruhan alat muzik ini.

Bahagian : Penggesek
Ciri-ciri dan fungsi : Diperbuat daripada kayu belimbing kerana ia lembut dan mudah dilengkungkan. Menggunakan tali tangsi yang berbeza saiz setiap satunya (halus, sederhana, besar).

Permainan Wau

on Sunday, November 28, 2004

Tidak seperti permainan lain, wau dimainkan mengikut musim. Lazimnya permainan ini dimainkan selepas musim menuai dan berangin. Wau tiada lokasi khusus untuk dimainkan, walau bagaimanapun biasanya dimainkan di kawasan lapang seperti di tengah padang.

ASAL USUL WAU
Mengikut satu catatan, wau telah dihasilkan sejak dari tahun 711 Masihi lagi oleh Sang Jaya. Pada awalnya, wau dicipta sebagai lambang kebesaran sesuatu negara. Apabila sesebuah negara berjaya dalam peperangan, mereka akan meraikannya dengan cara menerbangkan wau di angkasa. Ada juga pendapat yang menyatakan bahawa wau berasal dari negara China sejak 3000 tahun yang lalu. Penduduk China menggunakan wau untuk menghantar makanan kepada penduduk yang terperangkap di bukit atau gunung semasa banjir.
Wau juga dikaitkan dengan semangat padi. Wujud mitos yang mengatakan bahawa pada zaman dahulu, terdapat sepasang suami isteri yang bertani dan tidak mempunyai anak. Suatu hari, mereka telah menjumpai seorang bayi perempuan dan dengan rasa gembira, mereka telah menjaga bayi tersebut. Apabila telah besar, bayi tersebut menjadi seorang gadis yang amat cantik. Pelbagai fitnah dan tohmahan dilemparkan oleh mereka yang mencemburui kejelitaan gadis tersebut. Sehinggalah pada suatu hari, dia telah dipukul dan dihalau keluar oleh petani suami isteri. Sejak itu, tanaman mereka tidak menjadi dan setelah ditilik oleh ahli nujum, ahli nujum mencadangkan agar mereka menerbangkan wau berbentuk bulan untuk mengembalikan semangat tersebut. Atas cadangan ahli nujum, tanaman mereka kembali subur dan aktiviti mengembalikan semangat padi, berlarutan hingga ke hari ini.

JENIS WAU
Wau-wau yang dihasilkan adalah berdasarkan motif tertentu mengikut saiz dan bentuk yang digemari. Jenis-jenis dan ciri-ciri wau seperti di bawah:

Wau bulan
wau yang paling popular. Saiz yang paling besar jika dibandingkan dengan wau yang lain. Berbentuk seperti bulan sabit di bahagian ekornya, manakala di bahagian labunya.

Wau burung
reka bentuknya unik kerana menyamai bentuk burung yang sedang terbang.
bentuk burung yang menjadi pilihan adalah bentuk burung merak dan burung helang

Wau kucing
warnanya lebih gelap dan terdapat jurai-jurai halus di bahagian ekornya.
warna dan bentuk yang tidak begitu menarik, menjadikan wau ini tidak popular dan kurang digemari.

CARA BERMAIN
Terdapat dua cara permainan wau. Ada yang bermain hanya untuk hiburan sahaja. Tidak kurang juga yang bermain untuk pertandingan. Pengadilan pertandingan dibuat berdasarkan ketinggian atau arah terbangan wau, kemahiran peserta menaikkan wau, bunyi yang dihasilkan dan lakaran gambar yang naik secara menegak. Terdapat juga pertandingan wau cantik. Pertandingan wau cantik pula diadili dengan cara melihat keunikan dan kekreatifan pembuat wau. Wau yang diadili tidak perlu diterbangkan. Oleh itu, tiada pemarkahan dibuat pada tahap ketinggian, bunyi dan arah terbangan wau.
Selain pertandingan wau yang terbang tinggi dan wau cantik, ada juga pemain yang bertanding dengan cara menjatuhkan wau pihak lawan. Serbuk kaca akan diletakkan pada tali wau dan apabila tali tersebut bergesel dengan tali wau pihak lawan, ia akan terputus. Wau yang jatuh dianggap kalah dalam pertandingan tersebut.
Untuk menaikkan wau melibatkan dua orang yang dikenali sebagai juruanjung dan jurumain tali. Juruanjung memegang tali, manakala jurumain tali memegang wau 15 hingga 25 meter dari juruanjung. Langkah pertama untuk menaikkan wau adalah memastikan keseimbangan wau. Setelah wau benar-benar seimbang, jurumain tali akan melepaskan wau dan juruanjung akan menarik tali tersebut sambil berlari. Semasa wau dinaikkan, tali akan sentiasa dihulur agar wau mencapai ketinggian yang paling maksimum iaitu sehingga 500 hingga 600 meter ke udara. Setelah yakin dan berpuas hati dengan ketinggian wau, juru anjung akan mengikat tali wau di pangkal pokok dan meninggalkannya untuk menikmati kemerduan bunyinya.

Permainan Gasing

on Saturday, November 13, 2004

Matlamat utama bermain gasing adalah untuk berhibur dan mengisi masa lapang. Selain itu, permainan ini dikatakan dapat menilai dan mengukur kemahiran seseorang untuk menghadapi pelbagai situasi. Gasing biasanya dimainkan di gelanggang yang dibuat di halaman rumah atau di bawah rimbunan pokok yang rendang.

ASAL-USUL PERMAINAN
Banyak spekulasi yang timbul berkaitan dengan asal-usul permainan ini. Ada yang menyatakan permainan ini wujud hasil penemuan buah berembang yang terdapat di pantai. Strukturnya yang bulat dan leper serta licin memudahkannya berputar ligat. Kemudian rekaan ini diadaptasi menggunakan kayu daripada kayu pokok yang lembut agar mudah dibentuk.

Selain buah berembang, ada juga yang mengatakan permainan ini berasal daripada permainan ‘laga telur'. Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak dengan cara memusingkan telur dan melagakannya antara satu sama lain. Rentetan daripada itu, timbullah idea untuk mengembangkannya kepada bentuk kayu. Pada bahagian tengah dipacakkan paksi agar gasing dapat berputar dengan lebih ligat dan dalam jangka masa yang lama.

LANGKAH PEMBUATAN GASING
Kayu pokok penaga, keranji, leban tanduk dan sepan dilarik menggunakan alat pelarik mengikut bentuk, saiz dan kreativiti yang dikehendaki.

Besi paksi dibenamkan di bahagian tengah gasing supaya gasing dapat berpusing dalam keadaan seimbang ketika diputarkan.

Kepingan timah akan diletakkan di bahagian atas gasing untuk menggelakkan gasing daripada pecah ketika dipangkah.

JENIS GASING

Gasing leper Kelantan hanya terdapat di Kelantan dan dimainkan oleh segelintir pemain tradisional. Gasing ini banyak terdapat di pasaran dan harganya mahal.

Gasing uri pula terkenal di negeri Kelantan. Ia disimpai menggunakan timah, besi atau plumbum dan disimpan daripada timah. Ia digunakan untuk memusing dan jika simpainya besi, digunakan untuk memangkah.

Gasing Kuno terdapat di Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Selangor dan Johor. Gasing ini biasanya digunakan untuk memangkah dan diperbuat daripada kayu merbau, ru, meranti dan keranji.

Gasing jantung pula biasanya terdapat di negeri Kelantan, Kedah, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Sarawak. Ia juga dikenali sebagai gasing lundu.
Satu lagi jenis gasing ialah gasing tanjung yang dimainkan oleh pemain dari Muar. Gasing ini berfungsi sebagai pengacau dan pmangkah.

CARA BERMAIN

Ada lima langkah utama dalam permainan gasing, iaitu melilit tali, melilit gasing, memusing gasing, memangkah, dan mengangkat gasing.

Melilit tali

Melilit tali merupakan langkah yang paling penting. Tali yang tidak diikat dengan kemas akan terurai dan berkemungkinan gasing tidak dapat berpusing dengan ligat. Terdapat dua cara melilit tali iaitu:
• Melilit di lengan
• Melilit di jari kelingking

Melilit gasing

Lilitan gasing akan dibuat pada bahagian leher gasing. Gasing boleh dililit menggunakan dua cara, sama ada dililit pada bahagian lengan dan kemudian dililit pada gasing ataupun melilit tali pada pokok dan kemudian dililit pada gasing.

Memusing gasing

Biasanya pemain gasing mempraktikkan gaya permainan secara pusingan sorong tarik atau pusingan sentap. Bagi pusingan sorong dan tarik, gasing perlu sentiasa berada dalam keadaan mengiring. Pemain akan menumpukan perhatian pada sasaran di hadapan dan badan dibongkokkan kira-kira 45 darjah. Gasing akan diayunkan dan semasa ayunan dibuat, gasing akan ditegakkan. Pusingan secara sentap pula dilakukan untuk menghasilkan pusingan yang ligat. Pemain akan berdiri dalam keadaan tegak dengan tangan yang memegang gasing menghala ke atas. Tangan pemain berada kira-kira 30 darjah dari paras lengan. Ketika gasing diayunkan, pemain akan menyentap sedikit tali supaya gasing menjadi lebih ligat dan mampu berpusing lama.

Memangkah gasing

Pemain yang ingin memangkah gasing pihak lawan, perlu menumpukan perhatian tepat mengenai sasaran supaya gasing dapat berpusing dengan lama dan menghasilkan uri yang ligat. Terdapat empat gaya ketika memangkah, iaitu pangkah totok, pangkah hentak, pangkah layang, dan pangkah tebang.

Mengangkat gasing

Gasing akan diangkat ketika masih berpusing. Tujuannya adalah untuk memastikan pusingan gasing dapat bertahan dengan lebih lama. Semasa gasing masih ligat berpusing, pemain akan cuba mengangkat gasing dan memastikan gasing tersebut tidak berhenti ketika diangkat. Sebelum gasing diangkat, pemain terlebih dahulu menentukan liuk gasing. Liuk gasing adalah pusingan terendah bahagian patak dengan bumi. Arah pusingan badan juga perlu ditentukan untuk disesuaikan dengan arah pusingan gasing. Gasing akan diangkat menggunakan tali dan cokok. Untuk memastikan gasing berpusing ligat, mengangkat gasing perlu dibuat berhati-hati dan gasing perlu berada dalam keadaan tegak serta tali yang digunakan perlu tegang.

KAEDAH PERMAINAN

Gasing dimainkan dua cara, sama ada sebagai gasing uri ataupun gasing pangkah. Gasing uri biasanya dimainkan untuk melihat dan menguji ketahanan gasing berpusing. Pemenang akan diadili berdasarkan jangka masa gasing dapat berpusing. Gasing yang mampu berpusing lama dikira sebagai pemenang pertandingan. Biasanya gasing mampu berpusing lebih daripada satu jam.

Gasing pangkah pula dimainkan untuk mengetuk gasing pihak lawan dan dimainkan oleh dua buah kumpulan. Setiap kumpulan terdiri daripada dua hingga lima orang. Sebelum permainan dimulakan, mereka akan beradu kekuatan dahulu. Pertandingan uri akan dibuat untuk memilih kumpulan memangkah dan kumpulan menanti. Gasing kumpulan yang berpusing lebih lama akan menjadi kumpulan memangkah manakala kumpulan yang kedua akan menjadi kumpulan menanti.

Kumpulan memangkah akan memangkah gasing kumpulan menanti. Tujuannya adalah untuk memecahkan gasing pihak lawan atau paling tidak, dapat menghentikan gasing pihak lawan. Tetapi jika gasing kumpulan menanti masih berpusing, jong cokok akan digunakan. Jong cokok diperbuat daripada kayu dan agak leper. Gasing yang masih berpusing akan dicokok ke permukaan jong dan jika gasing pihak menanti lebih lama berpusing, kumpulan memangkah akan bertukar menjadi kumpulan menanti dan begitulah sebaliknya.

seronok lak

on Tuesday, August 24, 2004

aa aeh! Seronok lak edit gubah2 blog ni. Pada awal pk mau buat biasa2 ajer, lama2 seronok lak ditambah itu ditambah ini. Masukkan JAVA (bukan jawa) macam2. Seronok lak jadinya. Bila lawat tengok orang punya blog tengok cantik menarik, terpk jugak nak buat cantik2. Tetapi bila di pk2 cantik ajer kalau tak ubah tak kemas kini tak update (samalah tu) Tak ada faedah jugak.

Jadi adalah baik buat biasa ajer, ambil daripada template yang sedia ada ubah serba sedikit agar tak nampak 100% ambil kerja orang. Ubah suai kerja orang memang seronok. Biasanya yang ubah kedualah yang nampak lebih kemas menarik (aku pk macam tu) Begitulah sebaliknya.

Untuk masa sekarang ni rasanya tak siapa lagik yang tahu pasal aku punya blog ni, aku ajer sorang2 seronok sendiri. Tak kisahlah yang penting aku puas dengan kerja aku tak ada susahkan sesiapa.

Itulah ajer untuk catatan kali ini. Nanti2 ada masa sambung lagik. Mau gi tengok Diary AF3, aku pun lama2 tengok jadik seronok lak. Tapi untuk undi tidak sama sekali, tengok ajer tumpang2 seronok orang seronok.

Ok.. babai...

ini hari pertama

on Tuesday, August 10, 2004

Sebagai hari pertama menulis di dalam blog ni, jadi tak ada apa nak kata lagi, cuma mau ucap selamat pada semua yang mungkin termasuk, tertengok kepek punya blog ni, tak ada apa yang best pun biasa-biasa ajer dan pastinya takkan jadi blog yang terbaik untuk disenaraikan dalam senarai busar saham blog top 5.

Biasalah tur... orang punya semua cantik2 macam2 ada gambar klip2, gerak2, lompat2. Kira nampak dasatlah dia orang punya blog. beginilah orang yang baru mula2 nak belajar buat blog sendiri.

Terus terang kepek sendiri tak faham apa itu blog, tegok orang buat macam rasa seronok pulak. Sekali tengok kira macam tempat meluahkan perasaan hati lah, macam itulah lebih kurang. Macam diari lah... tapi diari yang membolehkan orang tengok apa yang ada, apa yang jadi pada diri m\pemilik blog tersebut.

Macam itulah untuk kali pertama. Semalam kerja, jadi ari ini tak kerja dok saja2 di rumah. Oklah tur kan... itu saja untuk setakat ni, nanti sambung lagik.. insya Allah.