Tawakal melalui sistem amaran awal

on Monday, December 27, 2004

Sistem amaran awal adalah penting bagi memastikan permasalahan seperti malapetaka tsunami yang telah berlaku ini dapat diminimumkan kesannya. Walaupun kuasa alam tidak dapat dielakkan namun istilah penyediaan payung sebelum hujan memang wajar dipraktikkan terutamanya bagi menghadapi bencana seumpama ini.
Bukan niat untuk menuding jari dan bukan tepat pada waktunya untuk saling menyalahi sesama sendiri terhadap kemusnahan yang tidak pernah dijangkakan akan menimpa bumi yang teramat bertuah ini. Persoalan yang berlegar di fikiran ketika ini adalah bagaimana bencana ombak ini gagal dikesan dan seolah-olah muncul secara tiba-tiba atau ia membuktikan ketidakpekaan kita terhadap kuasa alam.
Sebelum kejadian ini berlaku nelayan dihamburkan dengan limpahan rezeki yang tidak terperi. Lautan bagaikan begitu pemurah memberikan kemewahan tangkapan ikan berlipat ganda yang tidak disangka kepada golongan ini. Mereka juga begitu bersyukur di atas limpah dan kurniaan alam anugerah Ilahi. Tetapi, malangnya hadiah dari lautan ini rupanya disalahertikan akibat dari ketiadaan ilmu dan tidak dapat menduga tanda amaran yang diberikan. Para nelayan juga telah dapat mengesan fenomena air pasang surut yang luar biasa sebelum kejadian ini tetapi masih tidak dapat mentafsirkan dalam penterjemahan yang betul. Di manakah silapnya?
Adalah tidak wajar bagi kita menyalahkan golongan ini kerana mereka wajar diberikan pendedahan dan pengetahuan oleh pihak terbabit bagi mengesan dan mengenalpasti kejadian ganjil yang merupakan tanda amaran awal terhadap bencana yang bakal menjelma.
Pekerja penyelamat di persisiran pantai bagi rangkaian hotel terkemuka di Batu Feringghi Pulau Pinang telah dapat mengesan perubahan air laut yang ketara di mana lautan dilihat bergelora dan membahayakan pengunjung hotel.
Amaran
Baywatch yang telah diberikan pendidikan dan kemahiran sejajar dengan profesionnya ini telah menaikkan bendera merah bagi memberi amaran kepada pengunjung hotel berkenaan agar bertindak menjauhi pantai dan ia terbukti telah menyelamatkan nyawa pengunjung hotel majikannya.
Keadaan di atas jelas menunjukkan yang ilmu memainkan peranan penting dalam meminimumkan kesan bencana alam. Tetapi persoalannya di sini adakah wajar kita menyalahi para nelayan terbabit atau mengagumi kehebatan penyelamat ala baywatch ini kerana berjaya menyelamatkan nyawa pengunjung hotel terbabit. Atau tidakkah terlintas di dalam pemikiran kita sekiranya pekerja penyelamat ini mengambil inisiatif menghubungi Jabatan Kaji Cuaca ataupun pihak berkuasa tempatan kesan kejadian tsunami ini dapat dikurangkan dengan adanya amaran awal?
Ketiadaan sistem maklumat berpusat dan sistem amaran awal yang dapat menyalurkan informasi berguna dan kurangnya pemberian dan pendedahan ilmiah kepada golongan terbabit jelas memakan diri dan membahayakan nyawa masyarakat sekitar.
Di Kepulauan Weh yang terletak berhampiran Sumatera misalnya, masyarakat dan pelancong di situ sedia maklum jika air surut hingga lebih daripada dua meter dari pantai nescaya ombak besar akan melanda dan mereka akan bergegas ke tempat tinggi bagi mengelakkan sebarang kejadin yang tidak diingini.
Jadi adakah wajar kita terus membiarkan masyarakat kita tidak dilengkapi dengan sebarang pendedahan dan pendidikan yang amat berguna di masa kecemasan dan bagi melindungi insan tersayang ?
Persoalan ini diutarakan bukan bagi mencari kesalahan pihak tertentu tetapi sebagai peringatan bahawa koordinasi dan penyelarasan sistem maklumat adalah amat penting dan di zaman teknolgi moden ini adalah tidak munasabah sekiranya jurang penyelarasan maklumat ini masih wujud yang mengagalkan usaha bagi membentuk satu jaringan sistem amaran awal yang menentukan antara hidup dan mati serta berupaya meminimumkan risiko sesuatu bencana alam seperti malapetaka tsunami ini.
Pengumpulan maklumat berpusat tidak harus terhad di dalam negara kita sahaja kerana di dalam kes yang melanda negara kita ini pihak kedutaan luar negara seperti wakil duta Malaysia di luar negara harus bersikap lebih proaktif dengan menyelaraskan maklumat yang boleh memanfaatkan negaranya kerana jangka masa bertindak yang singkat menentukan kesan bencana kuasa alam.
Tindakan, inisiatif serta jalinan kerjasama di antara semua pihak disertai dengan penggunaan sepenuhnya teknologi masa kini yang diletakkan di bawah satu struktur jentera pentadbiran berpusat yang akan bertindak menyalurkan informasi dan dipertanggungjawabkan bagi mengkoordinasikan dan mengimplementasikan pembentukan sistem amaran awal terhadap masyarakat harus diwujudkan dengan segera.
Sesungguhnya manusia tidak mampu mengubah aliran ombak yang menghempas pantai tetapi wajarkah kita membiarkan deruan ombak pantai serta kuasa alam ini membahayakan nyawa orang tersayang tanpa sebarang langkah pencegahaan dan hanya pasrah ke atas kehendak alam dan terus membicarakan isu ini di masa akan datang bersama satu statistik yang baru.
* NOOR NIRWANDY MAT NOORDIN ialah Penyelaras Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)

0 Koman & Cadangan: