Kertuk

on Wednesday, December 29, 2004

Kertuk adalah satu nama yang sinonim dengan masyarakat di Negeri Kelantan. Alat muzik ini telah dimainkan sejak zaman berzaman lagi. Perkataan ‘Kertuk’ dikatakan berasal daripada bunyi benda yang diketuk, iaitu ‘tok’, ‘tok’, ‘tok’. Nama tersebut dikekalkan hingga ke hari ini.
Pada masa dahulu, masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang (Kelantan) kebanyakannya adalah golongan petani. Pada musim padi masak, banyak burung-burung yang memakan padi mereka. Golongan petani ini, telah memikirkan bagaimanakah caranya untuk menghalau burung-burung tersebut. Maka mereka telah menciptakan Kertuk dengan tujuan untuk menghalau burung-burung yang memakan padi mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat petani kini tidak lagi menggunakan Kertuk untuk tujuan tersebut, tetapi mereka menggunakan alat muzik ini dalam majlis-majlis keramaian dan juga pertandingan.
Pada asalnya, Kertuk diperbuat daripada buluh. Satu lubang dibuat di atas tanah dan buluh-buluh tersebut disusun secara bersilang. Sebatang kayu akan digunakan untuk memalu buluh-buluh tersebut dan menghasilkan bunyi yang kuat. Akan tetapi perubahan cara hidup masyarakat telah turut merubah kepada pembuatan alat muzik ini. Kertuk tidak lagi diperbuat daripada buluh, tetapi menggunakan kayu yang kuat dan kukuh seperti kayu dari pokok Merbau. Kayu ini akan dilubangkan di sebelah atas, bahagian tengah dan dimasukkan dengan buah kelapa tua. Sebelum dimasukkan, terlebih dahulu buah kelapa akan dibelah dua dan dibuang isinya serta dikeringkan.
Belira iaitu sekeping kayu yang dipotong akan diletakkan di bahagian atas Kertuk dan diikat dengan menggunakan getah. Tujuannya adalah untuk mengelakkan Belira bergerak atau jatuh ketika dipalu. Lazimnya, Belira mempunyai ukuran yang lebih panjang dan bersaiz lebih kecil daripada muka lubang Kertuk. Pemalu Kertuk pula diperbuat daripada kayu dan mempunyai dua bahagian. Satu bahagian digunakan untuk memegang dan dikenali sebagai pemegang, manakala satu bahagian lagi digunakan untuk memalu dan dikenali sebagai pemalu. Bahagian pemegang akan dililit dengan benang dan kemudiannya dilapisi dengan getah. Belira yang baik akan menghasilkan bunyi yang kuat dan berdengung.
Dahulunya, satu Kertuk hanya dimainkan oleh dua orang pemain sahaja dalam satu masa, sesuai dengan tujuan asal pembuatan Kertuk. Namun kini, alat muzik ini dimainkan secara berkumpulan. Biasanya satu kumpulan terdiri dari 24 orang pemain dan memainkan 12 buah Kertuk secara berpasangan. Kertuk akan dipalu mengikut irama dan rentak tertentu. Antara rentak paluan Kertuk ialah anjol, gadoh, kedogong, dan ropok.
Selain daripada dimainkan untuk persembahan, Kertuk juga dimainkan untuk dipertandingkan. Pengadilan dibuat berdasarkan dengungan bunyi, keserentakan dan nada yang tinggi. Selain daripada pengadilan dari pengadil, pendapat daripada penonton juga diambil kira untuk menentukan pemenang. Walaupun demikian, alat ini tetap digunakan dan dianggap alatan muzik iringan untuk hiburan semata-mata di samping ia dapat memupuk semangat berpasukan dan kerjasama antara ahli kumpulan menyediakannya dalam kelompok masyarakat.

0 Koman & Cadangan: