Gambus

on Thursday, December 23, 2004


Gambus adalah suatu nama alat muzik yang tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu. Bentuknya yang unik seperti bentuk buah labu air menjadikannya popular. Tambahan pula alat muzik ini adalah satu daripada alat muzik yang penting dalam nyanyian Ghazal dan tarian Zapin. Alat muzik ini tergolong dalam alat muzik jenis ‘petik’ yang dikatakan berasal dari Timur Tengah. Kedatangan pedagang-pedagang Timur Tengah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, telah membawa sekali budaya masyarakat mereka dan memperkenalkannya kepada masyarakat di Tanah Melayu.
Pelbagai jenis gambus boleh diperoleh. Ada gambus yang hanya mempunyai tiga tali sahaja dan ada juga gambus yang mempunyai 12 tali. Bilangan tali ini biasanya bergantung pada masyarakat yang memainkannya. Selain dimainkan secara solo, alat muzik ini turut dimainkan secara berkumpulan. Jika dimainkan secara berkumpulan, alat muzik ini akan digabungkan dengan alat-alat muzik yang lain sama ada alat muzik tradisional seperti gedombak ataupun alat muzik moden seperti drum. Gabungan alat-alat muzik ini akan menghasilkan kepelbagaian bunyi yang seterusnya mencetuskan bunyi merdu serta mempunyai keunikan iramanya.
Cara pembuatan gambus lebih kurang sama dengan pembuatan kompang cuma yang berbezanya adalah dari segi bentuknya sahaja. Batang pokok kayu dari jenis yang ringan seperti pokok angsana atau pokok nibung dipilih untuk pembuatan gambus. Pokok kayu yang telah ditebang dan dipotong mengikut saiz yang telah ditetapkan akan dibentuk seperti bentuk labu air. Seterusnya batang itu dikorek di bahagian tengahnya sehinggalah terbentuk seperti lubang yang dalam. Bahagian ini dikenali sebagai bakal.
Bakal akan dihalusi menggunakan kertas pasir sehingga betul-betul halus. Sejenis minyak iaitu minyak kelapa digunakan untuk melumur keseluruhan bakal untuk mengilatkannya. Setelah dilumur, bakal akan dijemur. Proses mengilat dan menjemur bakal akan diulangi sehingga bakal betul-betul berkilat dan memenuhi kehendak pembuat gambus. Untuk menutup bahagian yang berlubang, kulit binatang akan digunakan. Biasanya kulit yang digunakan adalah kulit biawak, ular ataupun kulit ikan pari. Sebelum kulit dilekatkan, kulit tersebut terlebih dahulu perlu direndam. Tujuannya untuk melembutkan dan memudahkan untuk dipaku. Kulit yang telah direndam semalaman akan dipaku pada bakal menggunakan paku laduh.
Langkah seterusnya ialah memasang penyiput. Penyiput adalah tanduk yang dicucuk di bahagian kepala gambus. Pada sesebuah gambus, terdapat empat buah penyiput yang berfungsi untuk melaraskan dan menegangkan tali gambus. Kemudian, tali akan dipasang dengan cara mengikat hujungnya pada bahagian kepala dan menariknya ke bahagian bawah gambus. Tali tersebut kemudiannya dipaku. Proses tersebut diulangi sehinggalah kesemua tali dipasang. Untuk memudahkan pemain memetik tali gambus, sebuah tanduk kerbau digunakan sebagai penyendal atau lebih dikenali sebagai kuda-kuda gambus.
Setelah selesai meletakkan penyendal, pemain bolehlah memetik gambus tersebut. Memetik gambus juga perlu ada cara dan tekniknya. Pemain boleh memetik menggunakan jari ataupun menggunakan pemanting. Biasanya pemain lebih gemar memetik gambus menggunakan pemanting kerana mereka dapat memainkan alat muzik tersebut dengan kadar yang lama.
Alat muzik ini dimainkan dengan cara meletakkannya di atas riba si pemain dengan kedudukan bahagian kepala di sebelah kiri, manakala tangan kanan akan memetik gambus mengikut irama tertentu. Permainan gambus lebih indah jika dimainkan pada majlis-majlis keramaian. Petikannya mampu menghasilkan irama yang merdu dan mengasyikkan.

0 Koman & Cadangan: