Beduk

on Thursday, December 30, 2004

Beduk adalah satu lagi alat muzik yang di kategori dalam keluarga gendang. Bahagian badan beduk berbentuk silinder dan di permukaan atau muka beduk diletakkan kulit haiwan dan dipalu untuk mendapatkan irama atau bunyi tertentu. Beduk mempunyai pelbagai saiz dan ada yang panjangnya mencecah sehingga mencecah tujuh kaki. Pada bahagian badan, terdapat dua batang kayu atau buluh yang dipasang sebagai kaki untuk meletakkan beduk.
Bahagian badan alat muzik ini diperbuat daripada kayu keras seperti batang pokok Serdang atau diperbuat daripada turus nibung. Manakala bahagian mukanya diperbuat daripada kulit kerbau atau lembu yang telah dijemur. Akan tetapi orang-orang pada zaman dahulu amat menggemari kulit rusa kerana dikatakan bunyinya lebih nyaring berbanding kulit lembu atau kerbau.
Beduk banyak digunakan dalam persembahan wayang kulit. Selain itu, alat muzik ini juga digunakan pada majlis-majlis keagamaan dan istiadat di kampung. Pada masa dahulu,kewujudan alat muzik ini sangat penting terutamanya pada bulan Ramadhan. Beduk akan dipalu menandakan telah sampai waktu berbuka puasa. Begitu juga jika berlaku sebarang kejadian di kampung tersebut seperti berlaku kematian atau kesusahan.
Selain daripada dipalu pada bulan Ramadhan, beduk juga dipalu pada malam Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha. Pada malam kedua-dua hari raya ini, beduk akan dipalu secara berterusan tetapi selepas sembahyang kedua-dua hari raya, beduk tidak lagi boleh dipalu sehinggalah tiba waktu solat fardu. Beduk juga dipalu pada hari Jumaat iaitu pada waktu solat Jumaat. Setiap orang yang hendak menunaikan solat Jumaat akan memalu beduk sehinggalah sampai waktu menunaikan solat Jumaat. Dengan cara ini, bilangan jemaah yang akan menunaikan solat Jumaat, akan diketahui.
Hal ini berbeza dengan orang Islam yang tinggal di Sabah dan Brunei. Mereka akan meletakkan beduk di masjid-masjid atau di surau-surau. Kegunaannya adalah untuk menyampaikan berita kepada penduduk-penduduk kampung mengikut rentak yang tertentu. Rentak untuk menandakan waktu solat adalah berbeza dengan rentak untuk menandakan jika ada kematian di kampung tersebut. Biasanya beduk ini akan dipalu oleh ketua kampung atau orang yang lebih dewasa.
Terdapat pelbagai rentak yang dipalu menggunakan beduk. Antaranya ialah rentak Tidung Berlari, Tidung Menunggal, dan Tidung Melompat. Setiap pukulan mempunyai pelbagai rentak dan dipalu oleh seorang atau lebih tukang palu. Contohnya rentak Tidung Melompat yang dipalu dengan rentak cepat dan dipalu oleh dua orang tukang palu. Paluan beduk mempunyai pantang larangnya yang tersendiri iaitu beduk tidak boleh dipalu dengan rentak yang tidak sesuai dan rentak permulaan setiap pukulan telah ditetapkan.
Kaedah pembuatan beduk sama dengan pembuatan gendang yang lain. Mula-mula sebatang kayu dari Pokok Serdang dipotong mengikut saiz yang dikehendaki. Kayu tersebut akan dikorek dengan menggunakan kapak atau peralatan yang lain sehingga bahagian luarnya mempunyai ketebalan sebanyak dua inci. Untuk membuat bahagian muka, kulit lembu atau kerbau akan dijemur sehingga kering. Kulit ini kemudiannya direndam dengan air garam selama satu malam. Tujuannya adalah untuk melembutkannya.
Kulit haiwan yang lembut ini akan disematkan di bahagian hujung kayu turas yang telah sedia dipasang dengan kayu rotan. Setelah kulit selesai disemat, beduk sekali lagi dijemur sehingga betul-betul kering. Untuk memastikan kulit benar-benar kering, bunyi paluan beduk adalah nyaring. Sebiji beduk boleh disiapkan dalam masa satu atau dua bulan bergantung kepada saiz dan keadaan cuaca semasa beduk dibuat.