Strategi bawah laut

on Tuesday, October 03, 2006

Pertama kali berita mengenai perolehan kapal selam Scorpene oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihebahkan pada bulan Jun 2002, ia menarik perhatian banyak pihak kerana Malaysia berbelanja besar untuk kedua-dua kapal selam ini.

Perbelanjaan sebanyak RM3.4 bilion, iaitu hampir satu pertiga daripada peruntukan pertahanan setiap tahun sudah tentu mengundang pelbagai analisis mengenai rasional keperluan TLDM memiliki kapal selam.
Ramai yang mempertahankan keperluan TLDM memiliki kapal selam memandangkan Singapura yang mempunyai perairan jauh lebih kecil dan sempit, memiliki empat kapal selam dari kelas Challenger. Tentera Laut Singapura (RSN) pada ketika ini memiliki ketumbukan empat kapal selam iaitu RSS Challenger, RSS Centurion, RSS Conqueror dan RSS Chieftain.

Setelah sekian lama berita mengenai Scorpene TLDM tidak kedengaran, minggu lepas ia kembali menjadi panas apabila pembinaan fasa utama, iaitu proses pencantuman dua bahagian badan kapal selam telah sempurna dilaksanakan.
Pentingnya proses penyambungan ini kerana ia melambangkan kerja utama dalam pembinaan Scorpene telah selesai dilaksanakan. Adalah dijangkakan Scorpene TLDM akan mula beroperasi di perairan Malaysia pada awal tahun 2009.
Sememangnya tidak syak lagi kapal selam ini akan meningkatkan keupayaan TLDM mempertahankan perairan negara diceroboh terutama sekali oleh kapal selam negara lain. Ini adalah kerana untuk mengesan pencerobohan kapal selam di perairan negara, TLDM memerlukan kapal selam untuk memudahkan operasi pengesanan.

Menjadi lebih menarik lagi apabila Panglima TLDM, Laksamana Datuk Ramlan Mohamed Ali menyatakan Scorpene ini bakal melengkapkan TLDM dalam aspek peperangan secara menyeluruh. Katanya, Malaysia sudah memiliki keupayaan anggota, udara dan perolehan kapal selam ini akan meningkatkan keupayaan peperangan bawah laut.

Selain daripada TLDM dan RSN, Tentera Laut Indonesia (TNI-Laut) juga mempunyai dua aset kapal selam kelas T-209 yang masing-masing dinamakan Cakra dan Nanggala. TNI-Laut juga akan menerima empat kapal selam yang dibeli dari Korea Selatan menjelang tahun 2008.
Di samping itu RSN juga bakal menerima dua lagi kapal selam daripada kelas Vastergotland pada tahun 2010.

Secara keseluruhannya negara pesisir Selat Melaka iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura bakal menyaksikan 14 kapal selam pada laluan yang sibuk, tohor dan sempit ini. Satu perkara yang menarik mengenai kapal selam Vastergotland adalah ia amat sesuai digunakan pada perairan pesisir yang cetek seperti Selat Melaka dan dapat bertahan di bawah permukaan air dalam jangka masa yang agak lama.

Timbul pula kemusykilan apakah laluan Selat Melaka mampu menampung operasi sejumlah 14 kapal selam kerana tidak syak lagi kapal selam tersebut tidak kira sama ada milik TLDM, RSN atau TNI-Laut, ia sudah pasti akan digunakan untuk menentukan laluan Selat Melaka sentiasa selamat.
Selama ini hanya kapal selam RSN yang bebas bergerak di dasar Selat Melaka, Laut China Selatan atau Laut Sulawesi tanpa gangguan daripada TLDM atau TNI-Laut. Bebas dan tanpa kekangan kerana TLDM tidak mempunyai kapal selam pada waktu ini, manakala T-209 TNI-Laut pula terlalu uzur untuk membuat rondaan jangka masa lama.

Penggunaan aset seperti kapal di atas permukaan air menyukarkan proses pengesanan kapal selam kerana hanya kapal selam yang dapat menentukan keujudan kapal selam yang lain di bawah dasar permukaan air. Timbul sedikit kerisauan apabila TLDM, RSN dan TNI-Laut masing-masing mempunyai kapal selam dan mula melakukan operasi di Selat Melaka. Besar kemungkinan akan berlakunya insiden pencerobohan sama ada secara sengaja atau tidak sukar ditolak begitu sahaja kerana keadaan laluan yang amat sempit.

Pencerobohan ruang udara di sisi sempadan hanya dapat ditentukan secara sahih apabila dipintas ketika pencerobohan sedang berlaku dan keadaan begini sukar dilaksanakan kerana jangka masa berlaku yang amat singkat.

Berbeza pula dengan pencerobohan di bawah permukaan air di mana kebarangkalian insiden sebegini dapat dipintas secara kebetulan ataupun tidak adalah tinggi, terutama sekali di Selat Melaka.

Keadaan sebegini sudah tentu akan menimbulkan suasana curiga dan kurang selesa di antara negara pesisir walaupun insiden pencerobohan berlaku secara tidak sengaja. Ketegangan yang timbul akibat pencerobohan kapal selam banyak berlaku ketika era Perang Dingin. Pada ketika ini insiden sedemikian banyak berkisar di antara negara Jepun dan China di sekitar kepulauan yang menjadi rebutan oleh kedua-dua negara.

Dari segi pengalaman pengendalian kapal selam, RSN mempunyai kelebihan berbanding dengan TLDM dan TNI-Laut kerana Singapura telah bermula lebih awal. Tetapi apa yang lebih penting adalah pengalaman anggota kapal selam RSN yang diperoleh dari Sweden, iaitu negara pengeluar kapal selam Challenger dan Vastergotland adalah tidak ternilai kelebihannya.

Ini adalah kerana tentera laut Sweden mempunyai pengalaman yang amat luas dalam hal ehwal pengesanan pencerobohan kapal selam Kesatuan Soviet semasa era Perang Dingin. Tambah menguntungan RSN ialah pengalaman pengendalian kapal selam di perairan Sweden yang cetek seperti Selat Melaka sudah tentu dapat membantu anggota kapal selam RSN menjadi satu pasukan yang disegani.
Pengendalian kapal selam sudah tentu akan memberi cabaran kepada TLDM kerana ia adalah satu pengalaman baru. Ditambah pula cabaran yang bakal ditempuhi adalah penuh dengan risiko dan kesilapan walaupun sedikit akan menghasilkan bencana. Kejadian kemalangan kapal selam tentera laut Britain (RN) di Lautan Artik beberapa hari lepas yang mengorbankan dua anak kapal selam RN sudah cukup untuk menggambarkan getir yang bakal dilalui.

Ditambah pula jika operasi kapal selam berlaku di sekitar Selat Melaka maka ini sudah tentu akan menambahkan tekanan bukan sahaja kepada anggota kapal selam TLDM, tetapi juga kepada RSN dan TNI-Laut. Pengendalian kapal selam di Selat Melaka dikatakan antara laluan yang paling sukar ditempuhi dan akan dielakkan kecuali dalam keadaan yang memaksa.