Apabila saya menerima wang yang dikembalikan, terasa aneh, kerana ada tiga wang syiling satu sen. Tapi kerana lapar, saya masukkan wang itu ke kantung dan terus makan.
Lepas makan mi, saya minta pula bubur kacang. Harga semangkuk RM1.20 – bubur rakyat marhaen. Yang memenuhkan mangkuk kuahnya, bukan kacang. Saya berikan wang RM1.50 sen. Kembalinya 24 sen.
Kali ini saya tanya: “Mengapa dikembalikan 24 sen, tidak 30 sen?”
Jawab anak muda penjaga gerai; “Sekarang ada tax lima persen.”
“Jadi mi Pak Cik tadi harganya bukan RM2.30?”
“Ya betul. Campur tax jadi RM2.42. Tapi bukan untuk kami. Kerajaan suruh ambil tax lima persen.” Jawabnya dengan nada agak serius.
Saya agak tergamam. Lalu anak muda penjaga gerai ini menunjukkan papan notis kecil yang menyatakan semua makanan dan minuman di gerai itu dikenakan cukai lima peratus. Arahan itu dibuat oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Melihat saya terus memandang mukanya, anak muda itu segera menekan mesin pembayar wang dan memberikan dua keping resit kepada saya. Maknanya, kalau tak percaya, inilah buktinya – resit mi kari dan resit bubur kacang.
“Maaflah, Pak Cik tak tahu. Tapi tadi awak tak bagi resit. Pak Cik tanya, baru awak bagi resit. Kalau awak tak bagi resit, bagaimana kerajaan tahu Pak Cik dah bayar tax lima persen?”
Anak muda itu diam. Saya tahu, dia tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan. Lagi pun itu bukan kerja dia. Hati kecil saya berkata: Bagi resit pun belum pasti kerajaan tahu, dan belum tentu semua kutipan akan sampai pada kerajaan.
Sambil menghirup bubur, saya pandang ke gerai yang saya selalu minum kopi o atau teh tarik. Harga kopi O ditulis RM0.70. Jadi saya kena bayar cukai tiga sen atau empat sen untuk segelas kopi O. Dalam hati saya merungut, “Apa dah jadi dengan negeri ini? Miskin sangatkah kita? Tapi ada cerita acara main golf, karaoke dan hisap curut dan dakwaan belanja RM5 juta untuk persaraan ketua jabatan?”
Wang 12 sen, enam sen atau tiga sen, memang tak ada erti. Bukanlah berat untuk membayar cukai 12 sen atau enam sen. Tak ada apa pun yang oleh dibeli dengan wang sebanyak itu. Kalau tiga atau empat orang sekeluarga makan RM20.00, cukainya sudah RM1.00. Pun tak banyak, tapi wang RM1.00 itu tak datang tanpa usaha.
Maka bermacam perasaan timbul dalam dada saya. Kesal ada, marah pun ada. Ini tempat rehat dan makan minum rakyat jelata yang dalam perjalanan. Saya bimbang, ini adalah permulaan. Selepas ini semua tempat rehat Plus pasti akan dikenakan cukai jualan. Dan mungkin pula semua gerai makan dan kedai makan rakyat di seluruh negara, akan dikehendaki memungut cukai yang sama. Hati saya semakin marah. Rasa bubur kacang semakin tidak enak dan tak terdaya saya habiskan.
Pohon dihentikan cukai lima peratus di gerai makan rakyat jelata
SELAMA bertahun-tahun saya singgah di semua gerai Plus antara Kuala Lumpur dan Alor Star, tak pernah sekali pun saya bertemu dengan tokoh politik, tokoh korporat atau pegawai tinggi kerajaan. Tauke-tauke pun tak ada. Hampir tak pernah ada motokar mahal-mahal – Mercedes, BMW, Toyota Harrier dan Proton Perdana – di tempat letak kereta. Kira-kira 95 peratus yang berhenti makan minum orang Melayu. Waktu cuti sering juga saya temui rombongan ibu-ibu dari kampung. Ada kala ramai juga kumpulan askar.
Pendek kata, tempat rehat dan gerai makan di pinggir lebuh raya, adalah tempat golongan berpendapatan rendah dan sederhana – tempat rakyat jelata. Makan dan minum di gerai, bukan di restoran! Makanannya sekadar untuk mengisi perut. Apakah ini pun perlu kerajaan kenakan cukai? Miskin sangatkah negara kita ini?
Saya yakin, pakar-pakar yang membuat keputusan mengenai kutipan cukai ini, tak pernah singgah makan minum di gerai ini. Mereka ini mungkin pandai dan bijaksana dan hendak menambah pendapatan kerajaan, tetapi nampaknya berhati beku – tiada bertimbang rasa!
Rakyat yang menggunakan lebuh raya telah membayar cukai jalan, cukai petrol dan tol yang terus meningkat. Mereka juga bayar cukai tanah, cukai pintu, cukai stem. Mereka juga pasti ada yang membayar cukai pendapatan dari gaji atau keuntungan perniagaan. Ada juga yang membayar cukai import dan cukai eksport. Pak Cik dan Mak Cik yang milik tanah sekangkang kera di kampung – meskipun tak ada apa-apa hasil – kena bayar cukai juga setiap tahun. Pemilik gerai di tempat rehat Plus itu pun tentu juga membayar cukai perniagaan.
Maka cukai makan minum yang bermula di gerai Tapah itu – sebelum melarat – eloklah kiranya diberhentikan. Restoran di Taman Setiawangsa dan gerai di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur umpamanya, pun tak dikenakan cukai ini.
Berapa banyak cukai tak dikutip dan yang kerajaan kena tipu?
TERLANJUR bercakap soal cukai oleh Jabatan Kastam ini, saya teringat kepada penipuan cukai yang dilakukan oleh pengimport kereta yang mengisytiharkan harga yang sangat rendah. Ini berlaku bertahun-tahun dan kerajaan pasti telah hilang pendapatan berpuluh-puluh juta.
Pengimport kereta yang pakai AP itu, ada yang pergi bermain golf dengan helikopter peribadi. Malangnya, cerita ini tiada siapa yang mengetahui. Jabatan Kastam dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang mengeluarkan begitu banyak AP – pun tak pernah berbunyi, sehinggalah Tun Dr Mahathir Mohamad membongkarnya.
Berapa banyakkah lagi cukai yang tak dijelaskan dan kerajaan kena tipu kerana pegawai bertugas tak ambil kisah, kerana penyelewengan atau rasuah? Inilah yang perlu diambil tindakan serius oleh agensi kerajaan yang berkaitan dengan pungutan cukai. Bukan cukai lima peratus untuk semangkuk bubur dan secawan kopi di gerai rakyat jelata di pinggir jalan!?
Buat pesta keramaian RM33 juta. Rasa-rasa macam tak percaya. Patutlah Menteri Penerangan, Datuk Kadir Sheikh Fadzir buat keramaian paling besar dalam sejarah sambutan Hari Kemerdekaan. Kita ada duit banyak!
Saya pun teringat kepada Govt Tax yang sudah lama dipungut di hotel dan restoran. Ada beribu-ribu hotel dan restoran di seluruh negara. Apakah semua pungutan ini betul-betul sampai ke kantung kerajaan? Saya ragu-ragu! Kerajaan pun – sepanjang ingatan saya – tak pernah mengisytiharkan kepada rakyat, berapa jumlah cukai ini dipungut setahun? Ingin jugalah rasanya kita nak tahu.
Teringat pula pada Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia Berhad, dua syarikat besar milik kerajaan. Menurut khabar berita, ada berjuta-juta tunggakan bil elektrik dan telefon yang tak dijelaskan. Antara yang terbabit adalah syarikat dan kilang. Bagaimana ini boleh terjadi?
Kalau ada pegawai TNB yang dikenakan tindakan kilat, selepas mengadakan sidang media di rumahnya, mengapa pegawai-pegawai yang tak pugut hutang masih boleh terus menikmati gaji dan elaun yang lumayan? Kalau ada rumah rakyat yang tak bayar bil api atau telefon, cepat sekali kena potong bekalan. Tetapi syarikat dan kilang masih boleh terus berjalan!
Di Kota Baru, Pas buat pesta dua malam berturut-turut
DALAM sidang belanjawan di Dewan Rakyat, kita teringin nak dengar perbahasan sahabat lama saya YB Mohamed Aziz dan YB Bung Mukhtar mengenai cukai dan cara kerajaan membelanjakan wang.
Menurut berita, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memaklumkan kepada Dewan Rakyat, kerajaan membelanjakan RM32.99 juta untuk sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini. Katanya, wang itu diagih-agihkan kepada 16 Jawatankuasa Kecil yang terletak di bawah Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Bulan Kemerdekaan. Tahun 2004, RM 30.47 juta, tahun 2003, RM24.87 juta. Ada buat auditkah? Hasilnya apa?
Belanja buat keramaian RM32.99 juta! Rasa-rasa macam tak percaya! Patutlah tahun ini Menteri Penerangan, Datuk Paduka Kadir, buat pesta keramaian paling besar dalam sejarah sambutan Hari Kemerdekaan. Janganlah marah-marah Akademi Fantasia. Kita ada duit banyak! Tetapi masih banyak sekolah di luar bandar yang tak cukup guru dan peralatan.
Di hospital, mesin dialisis tak cukup dan alat x-ray sudah ketinggalan zaman. Di Kota Bharu, Tuan Guru Datuk Nik Aziz pun mengadakan pesta nyanyian dua malam berturut-turut. Sekolah agama rakyat masih tak sempurna.
Demikianlah adanya. Bermacam kisah mengenai pungutan hasil dan belanja kerajaan, timbul satu demi satu dalam kepala saya, akibat dari semangkuk mi kari dan semangkuk bubur kacang di gerai Plus di Tapah. Ini secebis dari cerita penglipur lara rakyat jelata zaman IT dan globalisasi.
Nota Kaki: Tulisan ini dibuat sebelum Pembentangan Bajet 2006.
• Lot 3850 Kampung Sungai Pencala, Kuala Lumpur - 30 Sept. 05.
Telah keluar dalam Cetusan Minda – Berita Minggu 2 Okt. 2005