Tiada akta khusus kawal selia blog

on Thursday, September 15, 2005

Kebebasan tanpa batasan internet boleh jejas keharmonian kaum

DUNIA semakin canggih. Teknologi berubah terlalu pantas. Setiap hari ada saja ciptaan baru dihasilkan. Akibatnya manusia menjadi mangsa apabila mereka kini terpaksa mengejar teknologi, bukannya teknologi mengejar mereka.
Malaysia adalah antara negara membangun yang amat pantas ‘diserang’ dengan pelbagai teknologi dan dunia siber yang satu ketika dulu menjadi kebanggaan untuk dikuasai, tetapi ketiadaan undang-undang siber yang khusus membuatkan negara kini mula menghadapi dilema.
Sejak dulu, kerajaan mengambil langkah untuk tidak membuat sebarang tapisan ke atas dunia siber. Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga mengisytiharkan tiada suatu peruntukan di bawah akta itu yang membenarkan sebarang penapisan maklumat dilakukan.
Prinsip ini berasaskan pendapat bahawa pengawalan maklumat hanya akan memberikan kesan negatif ke atas perkembangan teknologi yang sentiasa berubah.
Bagaimanapun, selepas beberapa tempoh, masalah mulai timbul kerana ketiadaan kawal selia bagi pelbagai bentuk penyebaran maklumat, terutama kumpulan bloggers yang langsung tidak tertakluk kepada mana-mana peruntukan undang-undang.
Di Malaysia ketika ini, hanya media cetak dan elektronik memerlukan permit yang sah. Peruntukan undang-undang seperti Akta Percetakan, Akhbar dan Penerbitan 1984, Akta Penyiaran 1988, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, membataskan maklumat yang boleh dicetak dan disebarkan kepada orang ramai.
Justeru, kemunculan internet sebagai alat komunikasi terkini memberi pentas amat besar bagi penyebaran maklumat tanpa batasan. Akibatnya, di Malaysia saja beribu-ribu blog dan laman web diwujudkan. Ramai di antara mereka menjadi bloggers yang menyebarkan pelbagai maklumat tanpa sebarang tapisan.
Kebebasan tanpa batasan ini akhirnya tidak dapat tidak menimbulkan rasa ngeri, gelisah dan kemarahan banyak pihak, termasuk kerajaan kerana bloggers mempunyai pentas amat luas untuk meluahkan pendapat, perasaan tidak puas hati dan kritikan.
Blog iaitu ringkasan bagi web log adalah diari atau jurnal maya, digunakan pengguna bagi menyiarkan pendapatnya dan komen mengenai sesuatu isu secara langsung di internet. Bloggers pula adalah mereka yang mengendalikan blog itu.
Sesetengah forum perbincangan dalam blog ini dikawal selia oleh hos. Bagi yang tidak dikawal selia, apa juga kenyataan boleh menerobos masuk tanpa ditapis.
Isu mengenai bloggers ini menjadi perhatian umum apabila dua bloggers tempatan membuat laporan polis selepas laman web mereka menerima mesej berbau perkauman sejak seminggu lalu. Ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia, mereka yang mengendalikan blog membuat laporan polis.
Namun, tindakan kedua-dua bloggers itu membuka satu dimensi baru kepada dunia siber. Pihak berkuasa perlu membuat keputusan sama ada perlu atau tidak satu peruntukan disediakan bagi mengawasi blog atau laman web individu ini. Kegagalan mengadakan sebarang peruntukan undang-undang boleh menjejaskan lebih banyak pihak selepas ini.
Mungkin ada ada baiknya kita mengikut jejak Kerajaan Singapura yang memang terkenal sebagai negara yang mempunyai undang-undang begitu ketat dan digeruni semua pihak, termasuk pelancong asing.
Tiada akta khusus kawal selia blog
Namun, ketegasan kerajaan negara jiran itu membuatkan banyak pihak lebih berhati-hati dalam meluahkan pendapat atau idea. Terbaru, Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong, tanpa teragak-agak memberi amaran kepada seluruh rakyatnya supaya jangan bertindak melampau sehingga mengancam keharmonian kaum dan penduduk pelbagai agama republik itu.
Jumaat lalu, seorang remaja Singapura yang mempunyai blog sendiri didakwa mengikut Akta Hasutan kerana dituduh menghantar mesej berbau perkauman di internet. Remaja berkenaan yang juga seorang pelajar sekolah swasta, menghadapi tujuh tuduhan mengeluarkan kenyataan berbau perkauman anti-Melayu dalam dua blognya antara 4 April hingga 16 Julai lalu.
Awal minggu lalu, dua penulis blog dituduh atas tuduhan sama mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman di blog masing-masing.
Pengarah Pusat Keselamatan dan Tindakbalas Kecemasan ICT Kebangsaan (Nicer), Lt Kol (B) Husin Jazri, bagaimanapun menegaskan Malaysia sebenarnya mempunyai peruntukan undang-undang yang cukup dalam mengawasi perkembangan laman web tempatan, kecuali jika hosnya berpangkalan di luar negara.
Katanya, jika berlaku pencerobohan ke mana-mana laman web tempatan, pengadu boleh merujuk Akta Jenayah Komputer 1997, manakala Akta Hasutan pula turut membabitkan isi kandungan sesuatu laman itu.
“Tidak ada halangan untuk mana-mana pengadu merujuk sebarang kesalahan atau jenayah komputer ini dengan menggunakan Akta Hasutan atau Akta Jenayah Komputer. Isunya sekarang tidak ramai yang mengetahui mengenai perkara ini dan tidak banyak laporan polis dibuat membabitkan kesalahan ICT, kecuali penipuan membabitkan sistem kewangan atau perbankan,” katanya.
Husin berkata, pihak berkuasa negara ini hanya akan menghadapi masalah jika blog atau laman web itu, walaupun dikendali oleh rakyat tempatan, tetapi mempunyai hos di luar negara.
“Internet sekarang sudah melampaui sempadan dunia. Ada antara laman web tempatan yang mempunyai hos di luar negara dan sebarang isu membabitkannya perlu mengikut undang-undang negara berkenaan. Dalam keadaan ini, seperti yang kita tahu – persepsi, budaya dan terjemahan undang-undang itu sendiri tidak sama antara sebuah negara dengan negara lain.
“Antara isu yang perlu diselesaikan ialah bagaimana kita boleh mewujudkan satu model kerjasama bagi membolehkan pihak berkuasa antara negara bekerjasama jika berlaku sesuatu kes,” katanya.
Diminta mengulas dasar tidak akan menapis isi kandungan laman web atau blog yang ternyata amat lantang menyuarakan pendapat dan perasaan tidak puas hati, beliau berkata, Akta Hasutan sudah cukup kukuh untuk membabitkan golongan itu.
“Yang penting pihak berkuasa menerima laporan dan mempunyai asas kukuh melakukan dakwaan,” katanya dan meminta orang ramai menghubungi Bahagian Jenayah Komputer di Bukit Aman, jika ada blog atau laman web tempatan menyalahgunakan teknologi bagi mencetus kejadian tidak diingini di negara ini.
Dalam kes dua bloggers tempatan yang membuat laporan polis kelmarin, imej mereka sebagai bloggers yang beretika dan tidak melakukan sebarang kesalahan undang-undang, boleh tercemar jika membiarkan saja penceroboh terus menghantar mesej berbau perkauman ke laman blog mereka.
Namun, ketiadaan sebarang peruntukan undang-undang membuatkan banyak pihak tertanya-tanya apakah yang boleh dilakukan pihak berkuasa yang tidak boleh bersandar kepada mana-mana akta untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Sudah tiba masanya pihak berkuasa Malaysia mengkaji untuk mengambil tindakan yang sama seperti Singapura. Ramai bloggers tempatan yang berwibawa mungkin tidak setuju jika diletakkan dalam satu bakul sama dengan media cetak dan elektronik.
Namun sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, mereka tidak sewajarnya menghalang jika pengamal dunia siber diletakkan di bawah peruntukan Akta Hasutan kerana akta ini meliputi pelbagai kesalahan, termasuk ke atas mereka memula atau menyebarkan apa saja yang boleh menyinggung perasaan kaum dan agama.

0 Koman & Cadangan: