Ibadat PUASA penawar

on Tuesday, September 20, 2005

DALAM sistem perubatan Islam dan Yunani, sebelum wujudnya sistem perubatan allopathy dalam bentuk yang ada kini, puasa adalah antara cara yang digunakan untuk menolong memulihkan pesakit tertentu.
Bagaimanapun, puasa itu adalah khusus bagi puasa rawatan dan mungkin tidak mengikut syarat yang dikenakan bagi puasa yang diwajibkan oleh syarak.
Dalam sistem perubatan Islam, pesakit dibahagikan kepada tiga jenis iaitu pesakit yang perlu berpuasa baginya, harus berpuasa baginya dan tidak harus berpuasa baginya.
Rasulullah SAW bermaksud: “Puasa itu menghindarkan daripada penyakit.” Berkata Harith Ibn Kaladah : “Menghindar diri daripada makanan adalah, ubat.”
Ibn Qayyem al-Jawze (meninggal 751 Hijrah) pula berkata: “Puasa itu adalah ubat yang terbaik bagi memulihkan orang sakit disebabkan berlebihan makanan.’ Binatang mengikut tabiinya jika sakit atau dalam kecederaan, berpuasa seperti anjing dan kucing berbuat demikian apabila sakit, cedera atau dalam kecemasan dan ketegangan.
Hippokrates, seorang doktor purba Yunani turut menggunakan cara puasa dalam sistem perubatannya.
Antara hikmah puasa wajib dan sunat untuk mencegah penyakit rohani dan jasmani. Antara penyakit yang mungkin dipulihkan oleh puasa rawatan adalah darah tinggi, rheumatism dan kencing manis (pada peringkat awal).
Kajian saintifik membuktikan bahawa puasa mampu meningkatkan keupayaan tubuh badan bagi tujuan penyahtoksidan dan pembersihan.
Mengikut kajian sains, seseorang yang berpuasa memberi ruang masa yang mencukupi kepada organ pencernaan seperti perut, usus, pankreas dan hati untuk melakukan kerja pembersihan. Di samping itu, ia memperbaiki lagi keadaan diri mereka yang telah rosak yang selama ini tidak dapat dipenuhi akibat pertambahan beban makanan.
Ketika berpuasa juga, kegiatan pembersihan badan menjadi lebih menyeluruh dan segala toksin dapat dikeluarkan daripada kolon, buahpinggang dan pundi kencing serta paru-paru dan kulit.
Keadaan ini, akhirnya melapangkan kesan sumbatan yang berlaku pada dinding dan saluran sistem pemakanan dan pernafasan. Tindakan itu memberi cukup bekalan oksigen kepada sel dalam badan dan menjadikannya lebih bertenaga.
Pembersihan sisa toksin dalam kolon, umpamanya, penting bagi kesihatan sistem penghadaman dan pencegahan barah usus. Rasulullah saw sendiri mengamalkan kegiatan pembersihan kolon ini di mana berpuasa amat berkesan bagi tujuan ini.
Jika ditinjau dari sudut pemakanan, tabiat pemakanan seseorang memainkan peranan besar dalam menentukan kesihatan dan tahap morbiditi mereka. Perkara ini kerana secara jelasnya, apa juga makanan yang mereka ambil akan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan tubuh serta kewujudan penyakit tertentu.
Kaedah pengawalan pengambilan makanan tertentu dapat pula meningkatkan kesejahteraan mereka, di samping mengurangkan risiko penyakit itu.
Tidak dinafikan bahawa berpuasa mampu mengurangkan paras gula dan kolesterol dalam darah serta kandungan lemak dalam badan. Hal ini secara tidak langsung berkesan dalam mengurangkan risiko kencing manis (khususnya Type II Diabetes), hipertensi dan angin ahmar.
Seseorang yang berpuasa akan mendapati pembakaran kandungan lemak dalam badan dapat dijalankan secara lebih sempurna lagi. Proses ini berlaku di mana lemak itu digunakan untuk menghasilkan tenaga mereka yang berpuasa. Lemak ini adalah satu-satunya sumber tenaga yang ada pada ketika itu dan pasti proses ini amat baik bagi mengurangkan kesan tidak elok akibat peningkatan kolesterol, berat badan berlebihan dan obesiti.
Dalam surah al-Ma'idah, ayat 88, Allah mengkehendaki setiap orang yang beriman itu hanya memakan makanan yang halal dan baik saja. Firman-Nya bermaksud : "...dan makanlah makanan yang halal lagi baik daripada apa yang Allah telah berikan kepada kamu dan bertakwalah kepada Allah, yang kamu beriman kepada-Nya."
Memakan makanan yang halal, lagi baik adalah satu keperluan bagi orang beriman. Makanan sebegitu akan meningkatkan kesejahteraan danmenghindarkan kemudaratan seperti penyakit dan keracunan.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bukan saja memastikan makanan yang diambil itu halal dan baik serta segar atau bersih, malah mampu mengoptimumkan tahap kesihatan.
Hakikat yang berlaku di kalangan ummah kini, mereka yang berupaya mendapatkan makanan halal, sempurna, segar dan baik, tetapi masih ditimpa mudarat dan penyakit daripada makanan itu.
Perkara ini bermakna mereka perlu mengambil kira beberapa aspek lain berkaitan pemakanan seperti tidak makan secara berlebihan dan apabila perlu saja. Begitu juga hanya memilih sumber dan khasiat makanan yang sesuai dengan keperluan tubuh badan demi kesihatan dan kekuatan.
Semua aspek itu sebenarnya terkandung sebagai hikmah yang terselindung dalam ibadat puasa yang perlu dihayati secara mendalam oleh umat Islam.
Apa yang lebih penting mendapatkan kesan detoksifikasi daripada amalan berpuasa ini secara berterusan dan berpanjangan.
Begitu juga, kita perlu menyedari bahawa bahan toksik boleh berpunca bukan saja dalam bentuk makanan, malah apa juga yang boleh mencemari kesucian Ramadan seperti perkataan yang tidak baik yang menjadi punca kepada fitnah dan pendustaan serta penyelewengan.

Besarnya nilai yang tersimpan dalam BERPUASA - KerepeK

0 Koman & Cadangan: