Sejarah Bendera Malaysia

on Sunday, January 02, 2005

SEJARAH BENDERA MALAYSIA

Sejarah Bendera Persekutuan Tanah MelayuMerdeka, Merdeka, Merdeka ! – Tepat jam 12.00 malam 30 Ogos 1957 bertempat di Padang Kelab Selangor bendera Union Jack diturunkan dan Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dengan penuh kegemilangan, melambangkan kemerdekaan Negara yang tercinta. Beribu-ribu rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa serta pejuang-pejuang kemerdekaan menyaksikan peristiwa tersebut dengan penuh rasa bangga.
Sejarah penerimaan bendera Persekutuan Tanah Melayu ialah melalui perjanjian dengan Majlis Raja-raja di mana sebuah Jawatankuasa telah ditubuhkan dalam tahun 1949 untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Satu Pertandingan Peringkat Kebangsaan telah diadakan bagi memilih Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru.
Pertandingan ini diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. Sebanyak 373 karyawan telah mengambil bahagian di mana tiga reka bentuk bendera dipilih ke peringkat akhir. Reka bentuk pertama ialah lambing keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Reka bentuk kedua hampir serupa dengan reka bentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam bulatan mengelilingi Keris bersilang tersebut. Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur biru-putih dengan Bulan Bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri. Majlis Perundangan Persekutuan menjemput orang ramai memberikan pendapat kepada ketiga-tiga reka bentuk tersebut.
Pendapat umum itu telah dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pada 28 November 1949 menunjukkan majoriti orang ramai memilih reka bentuk ketiga. Reka bentuk tersebut adalah ciptaan seorang Arkitek Kerajaan Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah. Reka bentuk bendera tersebut dengan beberapa pindaan telah mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja pada 22 dan 23 Februari 1950.
Pada 19 April 1950 Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut: “That in the opinion of this Council, the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:- “Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour. The uppermost stripes being red, having a blue quarter with a cresent and eleven-pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet.” Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King Gerge VI pada 19 Mei 1950.
Pertama kali Bendera persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Persuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selnagor dengan dihadiri oleh D.Y.M.M. Raja-raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.
Sejarah Bendera Malaysia Bendera Malaysia adalah dari Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia Hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.
Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah Negara baru iaitu Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh Negara untuk melambangkan lahirnya Malaysia pada 16 September, 1963.
Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang pecah 14 itu membawa maksud keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.
HAK MENGIBARKAN BENDERA
Bendera adalah hak mutlak rakyat Malaysia. Sesiapa juga boleh mengibarkannya asalkan ianya dikibarkan mengikut amalan-amalan biasa mengibarkan bendera seperti tempat, masa, kedudukan saiz, tiang dan bendera serta susunan bendera sekiranya dikibarkan lebih daripada satu jenis bendera. Pejabat-pejabat Kerajaan Persekutuan, badan-badan Berkanun Persekutuan, Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan Persekutuan diwajibkan mengibarkan bendera Persekutuan seperti diarahkan melalui Surat Pekeliling Am Bil. 3 tahun 1994.
Selain dari agensi-agensi Kerajaan dan rakyat biasa, pertubuhan dan persatuan sukarela, syarikat-syarikat gedung-gedung perniagaan, kedai-kedai dan gerai-gerai juga digalakkan mengibarkan Bendera Persekutuan sama seperti agensi-agensi Kerajaan.
CARA-CARA MENGIBARKAN BENDERA
Adab Dan Tertib Bendera adalah lambing kebesaran dan kedaulatan Negara. Oleh yang demikian menarik dan menurunkannya hendaklah dalam keadaan dan cara yang sopan. Cara-cara yang sesuai ialah:
i) Sebelum menaikkan bendera ujilah tali temali bendera terlebih dahulu bagi memastikan ianya teguh dan tidak mudah putus hingga menyebabkan benderanya jatuh atau melampai tidak tentu arahnya.
ii) Sebelum bendera dinaikkan, pastikan ianya dalam keadaan yang baik.
iii) Mereka yang akan menarik dan menurunkan bendera hendaklah berpakaian kemas.
iv) Menaik dan menurunkan bendera hendaklah dengan tertib iaitu perlahan-lahan. Apabila mengibarkan bendera separuh tiang, bendera hendaklah dinaikkan sepenuhnya dahulu dan kemudian menurunkannya semula ke separuh tiang. Apabila menurunkan bendera separuh tiang, langkah pertama ialah menaikkan semula bendera tersebut sepenuhnya dan kemudian menurunkannya terus.
v) Bendera janganlah diletakkan di tanah semasa hendak menaikkannya.
vi) Bendera janganlah dibiarkan meleret ke tanah sewaktu menurunkannya tetapi hendaklah ditatang atau diselempangkan ke habu apabila ia sampai ke bawah.
vii) Selepas digunakan bendera hendaklah dilipat dan disimpan dengan baik di tempat tertentu supaya tidak dilangkah dan sebagainya.
viii) Bendera tidak seharusnya digunakan untuk mengalas meja atau menutup sesuatu melainkan sebagai memberi kehormatan Negara seperti menutup keranda dalam Istiadat Permakaman / Pengebumian Negara.
ix) Bendera yang koyak dan telah bertukar warna adalah dianggap sebagai bendera yang uzur. Bendera yang uzur hendaklah tidak dikibarkan kerana pengibarannya menunjukkan tanda tidak hormat. Ianya hendaklah dimusnahkan dengan cara yang sopan.
Caranya ialah dengan membakar bendera tersebut secara tertutup tanpa menunjukkan rasa tidak hormat kepada bendera tersebut.
Petikan daripada Buku Bendera, Lambang dan Lagu Kebesaran Negeri-Negeri Di Malaysia Oleh Lim Kim Wah (Bahagian Penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia)
Keterangan Kreatif
Empatbelas jalur merah dan putih yang sama lebarnya melambangkan keanggotaan yang sama 13 buah negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu, dalam Kerajaan Persekutuan.
Warna merah melambangkan kegagahan dan keberanian dalam menghadapi cabaran.
Warna putih melambangkan keluhuran budi
Sukuan berwarna biru tua melambangkan perpaduan dan rukun damai rakyat yang berbilang kaum.
Bulan sabit melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara.
Bintang pecah 14 melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan
Warna kuning pada anak bulan dan bintang ialah warna diraja iaitu mewakili kedaulatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.
Maksud "Jalur Gemilang"
Jalur - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur. Jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu laluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.
Gemilang - bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian, Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekalipun sama ada di dalam atau di luar negara.Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.Jalur atau Bendera melambangkan citra atau imej negara dan rakyat yang patriotik, gigih, gagah dan berani menghadapi cabaran serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan negara.
Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia, Jun 1997

0 Koman & Cadangan: