Katrina, Bush dan 11 September

on Sunday, September 11, 2005

Rata-rata rakyat AS menjadi lebih miskin di bawah pimpinan Bush daripada sebelumnya. Biro Banci AS melaporkan bahawa kadar kemiskinan rakyat bertambah buruk pada 2004, kini 1.1 juta manusia lagi hidup di bawah paras kemiskinan berbanding tahun sebelumnya. Kini jumlah rakyat termiskin di AS ialah 17 peratus, antara yang tertinggi dalam sejarah AS moden.
Apabila berpuluh-puluh ribu orang berasak-asak mencari perlindungan di stadium dan pusat konvensyen New Orleans, 700 tetamu dan pekerja sebuah hotel lima bintang “diselamatkan” terlebih dahulu. Seperti kisah kapal Titanic yang tenggelam pada awal abad ini, yang banyak mati dan ditinggalkan tenggelam ialah penumpang kelas tiga. Di New Orleans, penumpang kelas tiga ialah mereka yang miskin dan berkulit hitam.
Bagaimana negara dunia pertama menangani bencana alam
BENCANA alam kali ini bukan berlaku di Bangladesh, Sri Lanka atau Haiti atau di mana-mana negara dunia ketiga tetapi di Amerika Syarikat, negara paling kaya dan ekonomi paling besar di dunia. Malah seorang wartawan terkenal yang pernah membuat liputan sewaktu taufan membunuh lebih 130,000 orang di Bangladesh pada 1991 menulis bahawa kerajaan negara miskin itu lebih pantas bertindak membantu meringankan beban rakyatnya daripada kerajaan AS.
Third World America! begitulah tajuk utama berita sebuah akhbar di United Kingdom (UK). Apa yang kita tonton melalui TV berita 24 jam ialah imej kota yang ditenggelami air, kematian, manusia cemas, juga berita mengenai rampokan, keganasan dan rogol.
Kita melihat dan mendengar bagaimana anggota pasukan polis New Orleans yang ketakutan tanpa malu menangis di hadapan kamera TV. Mereka seperti ratusan ribu penghuni kota itu – panik, dan tidak tahu berbuat apa-apa.
Taufan Katrina mendedahkan kita pada krisis sebenar di AS hari ini: Bahawa presidennya terlalu banyak menghabiskan masa dan tenaga “memerangi keganasan” hinggakan terlupa bahawa 260 juta rakyat AS juga memerlukan perlindungan dan pembelaan dari bencana alam, kemiskinan dan keganasan.
Taufan Katrina menunjukkan apa yang salah mengenai dasar Bush selama ini. Kebetulan hari ini (September 11) ialah ulang tahun kelima serangan Al Qaeda ke atas Menara Pusat Dagangan New York dan Bangunan Pentagon di Washington.
Bush tidak memerangi musuh yang sepatutnya, sebaliknya melanjutkan agenda kelompok “suka perang” dalam kabinetnya dengan menyerang Iraq. Demokrasi tidak datang bergolek di Iraq dan di negara-negara Arab yang lain. Dan Iraq tidak aman. Malah menurut seorang penelaah keganasan, ancaman keganasan lebih membahayakan rakyat AS selepas serangan ke atas Iraq daripada sebelumnya.
Apabila New Orleans ditenggelami air, 30 peratus anggota National Guard dan separuh peralatan pasukan itu berada di Iraq. Oleh kerana kuasa Agensi Pengurusan Kecemasan Nasional (FEMA) diletakkan di bawah Keselamatan Dalam Negeri (Homeland Security) maka agensi itu hilang taring untuk menangani bencana alam sebesar ini.
New Orleans melambangkan cerita hubungan kaum dan perbezaan kelas yang menonjol. Hari ini 28 peratus penduduk kota itu hidup di bawah paras kemiskinan (berbanding dengan purata nasional 9 peratus) dan 84 peratus daripada yang miskin ialah mereka yang berkulit hitam. Apabila sebahagian daripada benteng yang menahan air dari Sungai Mississippi dan Tasik Pontchartrain pecah, sebahagian besar daripada penduduk kaya dan berada meninggalkan kota itu dengan kenderaan masing-masing. Yang miskin tinggal menunggu ehsan.
Apabila berpuluh-puluh ribu orang berasak-asak mencari perlindungan di stadium dan pusat konvensyen kota itu, 700 tetamu dan pekerja sebuah hotel lima bintang diselamatkan terlebih dahulu. Seperti kisah kapal Titanic yang tenggelam pada awal abad ini, yang banyak mati dan dibiarkan tenggelam ialah penumpang kelas tiga. Di New Orleans, penumpang kelas tiga ialah mereka yang miskin dan berkulit hitam.
Hakikatnya rakyat AS menjadi lebih miskin di bawah pimpinan Bush dari sebelumnya. Biro Banci AS melaporkan beberapa hari lalu bahawa kadar kemiskinan rakyat lebih memburuk pada tahun 2004. Kini 1.1 juta lagi rakyat negara itu hidup di bawah paras kemiskinan berbanding tahun sebelumnya. Pada masa ini jumlah rakyat termiskin di AS mencecah 17 peratus, antara yang tertinggi dalam sejarah AS moden.
Kita juga jangan lupa bahawa kadar kematian bayi di ibu negara AS (Washington D.C.) lebih tinggi berbanding dengan kadar di Beijing. Bagi Beijing, kadar kematian bayi pada tahun pertama ialah 4.6 orang bagi 1000 bayi sedangkan di Washington 11.5 orang bagi 1000 bayi. Malah peluang untuk seorang bayi mencecah usia setahun lebih tinggi di kawasan bandar di negeri Kerala, India berbanding dengan bayi di ibu negara AS!
Malah apa yang berlaku sewaktu bencana alam Katrina ini menunjukkan nilai manusia sebenar. Berita mengenai rompakan dan rogol di New Orleans memeranjatkan penduduk dunia. Di Sri Lanka, 30,000 rakyatnya terkorban akibat tsunami tidak lama dulu tetapi tidak seorangpun pelancong yang berada di negara itu dirompak atau dicederakan. Di New Orleans, keganasan berleluasa, sebahagiannya kerana manusia kelaparan dan ketakutan. Sekarang kita tahu di mana letaknya ketamadunan.
Bush patut juga disalahkan kerana memandang ringan soal pencemaran dan kemusnahan alam. Kita harus ingat AS enggan menandatangani Protokol Kyoto mengenai pencemaran. Kerajaan AS memberikan terlalu banyak alasan untuk mengenepikan perjanjian yang penting itu. Theodore Steinberg dalam bukunya Acts of God: The Unnatural History of Natural Disaster in America mendedahkan bahawa sebahagian besar daripada bencana alam di AS yang dikaji dari gempa bumi tahun 1886 di Carolina Selatan hingga taufan pada tahun 1990-an, tambah diburukkan oleh perbuatan manusia.
Kawasan sekitar New Orleans bukan tidak pernah menghadapi taufan. Di antara tahun 1911 hingga 2005, Teluk Mexico telah dilanda taufan besar puluhan kali. Pada tahun 1929, Taufan Okeechobee telah membunuh 2,500 hingga 3,000 orang. Kali ini tiada siapa yang tahu berapa banyak mangsa sebenar Katrina. Tetapi satu hal adalah jelas, ada lagi sekurang-kurangnya 12 taufan besar yang akan melanda kawasan itu dalam tahun ini.
National Oceanographic and Atmospheric Administration (NOAA) negara AS meramalkan bahawa tahun 2005 merupakan tahun aktif taufan. Puncanya? Air lautan yang semakin meningkat suhunya. Petanda “global warming?”
Lebih penting lagi ialah keengganan kerajaan Bush untuk mengakui bahawa bencana seperti ini akan berlaku bila-bila masa sahaja. Sebahagian besar kota New Orleans berada di bawah paras air. Oleh sebab itulah didirikan benteng sepanjang 563 kilometer. Tetapi sistem ini sudah uzur dan sukar dipertahankan bagi menghadapi banjir besar Sungai Mississippi dan taufan. Bush hanya mempertimbangkan RM152 juta dari RM400 juta yang diperlukan untuk memperbaiki benteng dan sistem kawalan air itu. Bush lebih rela mengeluarkan RM800 juta untuk membina sebuah jambatan di sebuah pulau dekat Alaska yang tidak banyak dihuni manusia.
Belanda belajar daripada pengalaman tahun 1953 apabila banjir dari Laut Utara membunuh 2,000 manusia, menyebabkan 70,000 orang terpaksa dipindahkan serta lebih 4,000 bangunan musnah. Belanda seperti juga muara Sungai Mississippi - di bawah paras air.
Hari ini Belanda mempunyai sistem kawalan air yang canggih menggantikan benteng air tradisi. Sistem baru ini menelan belanja lebih RM30.4 bilion dalam masa lebih 25 tahun. Kos penyelenggaraannya sahaja memakan belanja RM1.9 bilion setahun. Tetapi Belanda tidak ada pilihan. Memang manusia tidak boleh melawan kuasa Tuhan tetapi banyak negara mencari jalan mengurangkan kesannya dan jumlah mangsa.
Katrina akan meninggalkan kesan yang lama dan panjang bagi penduduk kawasan terbabit. Tetapi akibatnya pada psyche rakyat negara itu juga harus diambil kira. Lebih penting lagi ialah betapa “terdedahnya” rakyat pada bencana alam dan malapetaka lainnya di dalam AS sendiri akibat ketidaksediaan kerajaan dalam menentukan keutamaan.
Seorang novelis terkenal yang juga anak kelahiran New Orleans yang menulis di dalam sebuah akhbar antarabangsa menangisi apa yang berlaku di kota itu. Tetapi beliau melihat bukan saja pada kematian, keganasan dan kekecewaan mereka. Anne Rice menulis; “Kepada negara saya, saya ingin mengatakan, dalam krisis seperti ini, anda mengecewakan kita semua.”Dalam era Bush, suara seperti itu menjadi suara terbanyak.
FAKTA:
· Taufan Katrina mendedahkan 260 juta rakyat AS memerlukan perlindungan dan pembelaan dari bencana alam dan kemiskinan, bukan ‘memerangi keganasan di seberang laut.
· Apabila New Orleans ditenggelami air, 30 peratus anggota National Guard dan separuh peralatan pasukan itu berada di Iraq.
· New Orleans melambangkan cerita hubungan kaum dan perbezaan kelas yang menonjol. 28 peratus penduduk hidup di bawah paras kemiskinan (berbanding dengan purata nasional 9 peratus) dan 84 peratus daripada yang miskin ialah mereka yang berkulit hitam.

Lain-lain gambar ::Katrina::

0 Koman & Cadangan: