Gelagat Remaja Kini

on Wednesday, September 14, 2005

HUJUNG minggu lalu Kerepek bersiar-siar di Kota Kinabalu sambil window shopping(jimat duit). Mula-mula singgah di Merdeka Kompleks, sebelum ke Canter Point KK.
Apa yang KerepeK mahu perkatakan adalah cerita lama tapi perlu didedahkan berulang kali untuk dijadikan panduan dan iktibar. Ia berkaitan dengan gelagat dan gaya anak muda, rata-rata Melayu yang suka berkumpul, bersembang dan melepak sambil memegang telefon bimbit masing-masing.
Mereka, kebanyakannya berusia belasan tahun dan awal 20-an, seolah-olah berbangga mempamerkan kecantikan tubuh tanpa mempedulikan renungan tajam orang di sekeliling mereka. Memang sakit mata dan sakit hati melihat gelagat gadis remaja menggayakan pelbagai fesyen `ala Barat', berseluar ketat dan berkemeja T ketat yang menampakkan pusat.
Daripada baju ketat tanpa lengan, `skirt' pendek dan terbelah, seluar londeh ke bawah pusat, semuanya mengundang perhatian orang lain. Ada yang memandang serong cara mereka berpakaian yang memualkan dan tidak menepati cita rasa budaya masyarakat Malaysia.
Memang benar radio dan televisyen menerusi iklan. ceramah, forum agama sering bercakap mengenai disiplin dan gelagat muda-mudi yang melampaui batas, malah di masjid dan surau juga menganjurkan ceramah mengenai perkara yang sama. Malangnya, sasaran audien tidak kena. Yang mendengar ceramah bukan anak muda, tapi orang tua.
Bagi anak muda, tidak salah berpakaian moden jika kena dengan tempatnya tetapi janganlah berlebihan dengan tujuan menunjuk-nunjuk sehingga orang dewasa dan pak haji menepuk dahi.
Kecanggihan teknologi dunia tanpa sempadan sekarang menyebabkan golongan ini mudah terpengaruh dan semakin berani memperagakan pelbagai fesyen melampaui batas kononnya untuk kelihatan lebih ranggi dan `up to date',Sebenarnya, trend remaja itu ditiru daripada negara Barat seperti Eropah, Amerika Syarikat dan tidak ketinggalan negara jiran Indonesia dan Singapura. Malah sesetengah remaja terikut-ikut gaya seksi artis Barat yang ditonton melalui klip video yang kerap ditayangkan di kaca TV.
Pakaian menjolok mata boleh menyebabkan sesetengah golongan muda mengambil kesempatan sehingga mengundang perkara tidak diingini seperti lari dari rumah, rogol, cabul, hubungan seks bebas dan gugurkan anak.
Ada ketikanya ibu bapa sendiri tidak tahu ke mana anak remaja mereka pergi, untuk apa dan dengan siapa. Sebagai orang tua yang prihatin, pergerakan anak remaja perlu diperhatikan. Mereka memainkan peranan penting dalam mendidik anak sejak kecil dan memantau aktiviti mereka dengan memberi garis panduan mengenai cara berpakaian yang sesuai. Ini kerana ibu bapalah yang akan dipertanggungjawabkan jika berlaku sebarang kemungkinan yang tidak diingini.
Sesiapa pun terutama orang tua akan berasa sedih melihat gelagat sesetengah anak muda yang tanpa segan silu berpakaian melampaui batas. Kalau boleh KerepeK mahu saja mendekati mereka untuk menegur dan memberi nasihat, tetapi jumlahnya agak ramai.
Sikap sesetengah remaja terutama gadis belasan tahun yang berpakaian keterlaluan ini memberikan pandangan tidak manis kepada masyarakat dan juga pelancong luar negara. Gelagat mereka diperhatikan dan ini memberikan gambaran tidak baik kepada warga asing.
Apa yang menyedihkan, kebanyakan mereka adalah orang Melayu beragama Islam yang sepatutnya peka terhadap agama, budaya dan adab ketimuran. Ibu bapa, guru dan ketua masyarakat harus membantu menangani kepincangan itu dengan memberikan motivasi dan nasihat secukupnya. Tapi cara memberi nasihat dan teguran hendaklah betul umpama menarik benang dalam tepung.

KerepeK nak berseluar pendek di luar rumah pun segan…

2 Koman & Cadangan:

Anonymous said...

Susah mau ditegur, bila kita tegur adalah jawapan yang diberi dan yang pasti kita akan dikatakan jaga tepi kain.. jaga dulu kain sendiri. Susah begitu. sabar aje lah!

Anonymous said...

I got introduced to a really wonderful computer graphic training website that pretty much covers computer graphic training related stuff.

You could by to check it out, when you get the time. They have good stuff!!
.
.
.
.
Free report provided by computer graphic training EXPERT.