Perkasakan modal insan

on Wednesday, August 31, 2005

Negara memerlukan rakyat cemerlang berbudaya ilmu dan berakhlak mulia.

Sempena Hari Kemerdekaan Ke-48. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu setiap rakyat berusaha mencapai keseimbangan pembangunan modal insan dengan kemantapan kekuatan rohani dalam menyiapkan negara menghadapi persaingan global.
Perdana Menteri menegaskan, keseimbangan itu perlu khususnya dari aspek mengamal dan mengekalkan budi bahasa yang tinggi, dalam usaha Malaysia bersaing dengan negara maju mahupun negara membangun.
Bagi mencapai kejayaan itu, katanya, negara berusaha menyediakan tenaga kerja yang berwibawa dengan berbekalkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang.“Mereka juga mesti menjadi rakyat yang cintakan negara, bersemangat, sanggup bekerja kuat, rajin dan mengamalkan budi bahasa tinggi,” katanya dalam Perutusan Hari Kemerdekaan yang disiarkan menerusi televisyen dan radio malam tadi.
Abdullah berkata, untuk membangunkan modal insan, kerajaan mahu memberi ilmu pengetahuan yang secukupnya bagi mendidik rakyat menjadi bangsa yang berpekerti mulia, berhemah tinggi, berjiwa besar, cintakan negara dan mempunyai kekuatan jasmani serta rohani.
Usaha membangunkan modal insan ialah harapan generasi baru yang akan menjadi tenaga penting dalam menjayakan aspirasi kerajaan mewujudkan negara dan bangsa yang maju menjelang 2020. Beliau berkata, tiada faedahnya sesebuah negara yang mempunyai kemudahan fizikal dan infrastruktur bertaraf dunia jika rakyatnya masih berfikiran jumud dan tertutup. Perdana Menteri juga menyatakan kesalnya dengan tindakan segelintir rakyat yang menyalah guna infrastruktur teknologi seperti menyebar fitnah menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk menjatuhkan maruah seseorang atau parti.“Penyalahgunaan teknologi seperti internet dan cakera padat video (VCD) menyebabkan generasi muda hari ini lebih berminat untuk melayari laman web dan menonton perkara tidak bermoral.“Mereka menunjukkan minat pada VCD lucah yang begitu banyak dijual di merata tempat dan mudah diperoleh. Ini menunjukkan keinginan kita kepada barang seperti ini adalah tidak baik,” katanya.
Abdullah juga kecewa dengan sikap segelintir rakyat yang suka merosakkan harta awam dan mempunyai kesedaran sivik rendah selain sikap pemandu yang cuai di jalan raya.“Malaysia menjadi negara yang banyak mencatat kemalangan jalan raya. Bukan kerana kereta atau jalan yang tidak elok, tetapi lebih 80 peratus berlaku disebabkan faktor manusia,” katanya. Beliau juga menegur sikap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang setiap kali harga minyak meningkat apabila gaji pegawai kerajaan ditambah serta meminta mereka lebih beretika.
Abdullah turut mengingatkan rakyat bahawa 14 tahun yang tinggal untuk menuju matlamat sebuah negara maju bukanlah satu tempoh yang lama dalam merancang serta mengatur pelbagai persiapan. “Pelbagai perkara boleh berlaku dalam tempoh berkenaan dan dengan itu, tanggungjawab memajukan bangsa mesti dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh menerusi peningkatan serta kerjasama padu di kalangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, dalam mengejar matlamat mencapai taraf negara maju, kerajaan juga masih dibelenggu gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyalahgunaan dadah di kalangan generasi muda. Fenomena itu, katanya, boleh dibendung jika semua pihak bertekad dan berazam untuk menghindari amalan tidak sihat terbabit dalam usaha membangunkan modal insan dan menjadi bangsa yang maju. - sumber Berita Harian.
Lain-lain aktikal Kemerdekaan:

1 Koman & Cadangan:

Anonymous said...

perlu menyemak:)