Miliki modal insan berkualiti

on Sunday, January 30, 2005

Pengisian merdeka lebih bererti jika negara miliki modal insan berkualiti

SETIAP pagi 31 Ogos, saya memutar lagu nyanyian Ahmad Jais, Bahtera Merdeka. Lagu itu memberi kesan tersendiri kepada jiwa saya kerana irama dan seni katanya yang sungguh bermakna.
Sebagai anak muda yang tidak pernah menghadapi kesukaran menuntut kemerdekaan, lagu itu mendekatkan saya kepada pejuang dan pembela kemerdekaan. Lagu itu juga menusuk kalbu kerana ‘desakan’ berkorban jiwa dan raga untuk kedaulatan nusa bangsa supaya negara maju jaya dan aman merdeka.
Pagi ini, lagu itu saya putarkan lagi sempena menyambut ulang tahun ke-48 kemerdekaan negara. Lagu itu berkumandang di celah laungan ‘merdeka’ dan kibaran Jalur Gemilang dapat dilihat di merata tempat. Tua dan muda, sama-sama menyerikan ulang tahun kemerdekaan dengan penuh semangat.
Sambutan ulang tahun yang kita raikan saban tahun ini mengingatkan kepada pelbagai persoalan pokok yang berkaitan dengan erti kemerdekaan, pengisian dan perjuangan memartabatkan Malaysia. Erti kemerdekaan mendefinisikan makna kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka, kepelbagaian kaum yang membentuk asas kemakmuran masyarakatnya dan tanggungjawab untuk membangunkan negara ke tahap lebih baik. Untuk merealisasikan erti kemerdekaan ini, kita harus menyerlahkan pengisian kemerdekaan dalam bentuk amalan. Banyak cara untuk kita berbakti dan berkorban untuk negara. Angkatan tentera dan pasukan keselamatan lain mempertaruhkan nyawa memastikan negara aman dan tenteram. Kakitangan sektor awam menggunakan pelbagai kemahiran untuk memastikan negara maju, manakala sektor swasta pula memacu pembangunan ekonomi negara dengan projek berdaya maju.
Biar apapun bentuk khidmat dan amalan kita demi negara tercinta, peranan dan modus operandi pengisian kemerdekaan memerlukan rakyat yang berilmu dan berakhlak mulia dengan etika kerja cemerlang. Inilah modal insan yang selalu disebut-sebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak kebelakangan ini dalam konteks memperkasakan masyarakat Malaysia pasca kemerdekaan. Modal insan dijana menerusi sistem pendidikan mantap. Ia tidak terhad kepada pengajian formal dan pengijazahan saja.
Modal insan yang harus dikembangkan merangkumi pelbagai peringkat dan usia. Peringkat profesional dan pengurusan memerlukan pendidikan formal yang baik dan berkualiti di institusi pengajian tinggi (IPT) yang juga bermutu dan prestij. Golongan separa profesional dan pekerja am perlu dibangunkan dari segi kemahiran, sikap dan kesungguhan.Sesebuah negara yang maju sebenarnya bukan hanya didukung oleh profesional yang berdaya saing dan mempunyai sikap proaktif, malah ditunjangi oleh pekerja separa profesional dan pekerja am yang berkualiti dan berjiwa besar.
Mereka bangga melakukan apa saja untuk kemajuan diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara. Jika mereka berkhidmat sebagai petani, mereka berusaha untuk menjadi petani yang berdaya maju dan inovatif menggunakan pelbagai pengetahuan dan teknologi moden untuk mempertingkatkan produktiviti. Jika mereka berkerja sebagai pensyarah, mereka berfungsi sebaiknya menjadi peneroka dan pengajar ilmu yang terbaik dan cemerlang. Kualiti rakyat yang tinggi ini hanya terjana menerusi amalan dan etika kerja yang baik, budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat. Pendidikan dalam konteks semasa memerlukan dinamisme yang lebih berdaya saing kerana saingan kita semakin canggih.
Kita memerlukan bukan hanya sistem pendidikan yang kemuncaknya ialah proses pengijazahan, malah penghayatan ilmu dalam bentuk yang tersirat. Ilmu itu tersirat dalam perwatakan, pencaraan dan keperibadian seseorang. Ia tersirat dan semakin mantap sepanjang hayat kerana proses pembelajaran tidak terhenti dalam majlis konvokesyen.
Hal ini dapat diamalkan menerusi pembacaan yang lancar dan pelbagai, majlis ilmu yang sentiasa meriah dan penonjolan tokoh ilmu sebagai model ikutan masyarakat. Ketika membincangkan kepentingan dan ideal ilmu, bekas Presiden Universiti Chicago, Dr Robert Hutcin, menyebutkan mengenai tradisi ilmu dalam sesebuah masyarakat meletakkan nilai ilmu pada martabat tertinggi.
Bagi masyarakat sedemikian, nilai ilmu mengatasi segala-galanya, termasuk selebriti hiburan, harta mahu pun status. Keadaan sedemikian pernah wujud dalam tradisi ilmu Barat dan ketika keagungan empayar Islam.
Soalnya, apakah kita berjaya mewujudkan persekitaran ilmu yang sedemikian segar dan dinamik? Apakah percambahan IPT ketika ini mendokong pemantapan budaya ilmu yang memperteguhkan lagi daya saing dan daya fikir? Apakah tidak mustahil untuk kita menjadi pusat keilmuan di rantau ini dengan adanya universiti awam dan swasta yang mantap dan sekolah berkualiti?
Pengasas syarikat Kyocera, Dr Kazuo Inamori, berkata kejayaan terhasil menerusi tiga faktor utama iaitu keupayaan, usaha dan sikap. Ketiga-tiga faktor itu boleh dibentuk dan dimantapkan menerusi sistem pendidikan yang berkualiti. Dengan kata lain, untuk berjaya dan maju, rakyat Malaysia perlu mempertingkat keupayaan dari segi kemahiran, pengetahuan dan amalan. Selain itu, kita juga perlu berusaha dengan gigih untuk maju dalam apa saja bidang yang kita ceburi. Dalam kemeriahan kita meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-48 hari ini, ada baiknya menoleh dan memperkasakan kualiti modal insan dalam diri dan organisasi, keluarga dan masyarakat. Itulah tugas yang relevan ketika ini kerana tidak semua perlu memikul senjata dan bertaruh nyawa untuk menunaikan sumpah dan janji mempertahankan kemerdekaan ini. Selamat ulang tahun ke-48 Malaysia!
Oleh Prof Dr Zaini ujang
Penulis adalah Profesor Kejuruteraan Alam Sekitar dan Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air (IPASA) di Universiti Teknologi Malaysia.

0 Koman & Cadangan: