SETIAP kali Ogos menjelang, timbul tuduhan yang kurang enak didengar antara lain mempersoalkan semangat patriotik sesetengah pihak yang dikatakan mempamerkan sikap acuh tidak acuh apabila berdepan sambutan Bulan Kemerdekaan.
Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Perayaan Kemerdekaan adalah antara mereka yang paling lantang dan kecewa dengan sikap golongan yang tidak menunjukkan jati diri dan kekentalan jiwa rakyat yang sudah merdeka 48 tahun. Apakah benar tuduhan yang menyatakan jati diri rakyat Malaysia begitu daif sekali dan langsung tidak memaparkan jiwa serta pemikiran yang merdeka, begitu menarik sekali dilakukan analisis.
Begitu sukar untuk menentukan kesahihan tuduhan yang menyatakan rakyat Malaysia sudah luntur kekentalan jiwa mereka apabila berhadapan isu maruah dan kedaulatan negara kerana ianya begitu subjektif sekali. Mungkin rakyat Malaysia sudah berasa amat selesa dengan keadaan sekitar masing-masing sehinggakan begitu mudah lupa perjalanan sejarah dan pejuang kemerdekaan negara. Jangan kita menjadi seperti sebahagian besar remaja Jepun yang begitu daif dengan sejarah negara mereka, terutama sekali apa yang berlaku ketika Perang Dunia Kedua (WWII).
Sehinggakan ada di antara golongan remaja ini yang langsung tidak mahu menerima hakikat bahawa Jepun dan Amerika Syarikat (AS) pada satu ketika dulu pernah berperang. Keakraban hubungan Jepun-AS pada masa kini memperkukuhkan lagi kepercayaan remaja Jepun bahawa mustahil AS adalah musuh mereka ketika WWII. Pendirian pasif Tokyo sedikit sebanyak menyumbang kepada jati diri remaja Jepun yang dilihat begitu kosong sekali. Sejak kekalahan Jepun pada WWII, pemimpinnya mempamirkan sikap yang begitu merendah diri apabila berhadapan isu pertahanan, maruah dan kedaulatan negara mereka. Menyedari jati diri dan kekentalan jiwa rakyat Jepun menjadi begitu luntur, Perdana Menteri, Junichiro Koizumi, mengambil pendirian yang bertentangan dengan pemimpin sebelum ini.
Sebab itu, Koizumi mengorak langkah mengubah Perlembagaan Jepun untuk membolehkan Angkatan Tentera Jepun (SDF) lebih mudah mengambil bahagian seperti membantu AS di Iraq. Lawatan Koizumi ke makam Yasukuni yang dianggap begitu sensitif juga bukan dilakukan tanpa sebarang tujuan. Walaupun beliau mengambil risiko yang tinggi, ia dianggap memadai dengan hasrat untuk menyedarkan rakyat Jepun bahawa satu ketika dulu negara mereka juga gagah. Singapura adalah contoh terbaik sebuah negara yang mampu membentuk jati diri dan kekentalan jiwa rakyat mereka yang membolehkan setiap ancaman dan tohmahan ditepiskan dengan begitu mudah.
Jati diri rakyat Singapura diasuh bukan hanya pada hari sambutan kemerdekaan, tetapi melalui program sepanjang tahun. Begitu juga dengan kekentalan jiwa diperkuatkan lagi dengan mengaitkan setiap isu yang dihadapi dengan soal maruah dan kedaulatan negara mereka. Kiasunya rakyat Singapura bukan satu sifat yang jelik, sebaliknya mampu membentuk jati diri dan memperkukuhkan kekentalan dan ketahanan jiwa rakyat pulau yang hanya berjumlah empat juta itu. Tidak menghairankan apabila timbul isu tuntutan bertindih Pulau Batu Putih yang pada ketika ini masih dalam proses penyelesaian, rakyat Singapura melihat isu ini sebagai cabaran maruah, kemerdekaan dan kedaulatan negara mereka.
Rakyat Malaysia juga tidak dinafikan menilai isu Pulau Batu Putih pada landasan yang serupa tetapi besar kemungkinan tidak seghairah rakyat Singapura. Jika ada persamaan jati diri rakyat Singapura dan Malaysia apabila berdepan dengan isu Pulau Batu Putih, lain pula ceritanya dengan isu rundingan harga bekalan air. Rakyat Singapura melihat isu bekalan air sebagai cabaran terhadap maruah dan kedaulatan negara mereka kerana itulah jati diri mereka, manakala rakyat Malaysia pula menilai isu ini dari sudut keadilan dan tidak mengaitkan dengan maruah atau kedaulatan dicabar kerana jati diri mereka tidak dibentuk sedemikian rupa.
Begitu juga apabila berdepan dengan tuntutan bertindih kawasan penerokaan minyak Ambalat di Laut Sulawesi dengan Indonesia baru-baru ini, reaksi rakyat kedua-dua negara jelas jauh berbeza kerana faktor jati diri masing-masing. Apabila Singapura membuat perolehan peralatan ketenteraan seperti jet pejuang, helikopter dan kapal selam yang agak melampau, reaksi rakyat Malaysia tidaklah begitu melampau kerana mungkin rakyat negara ini berasa kekentalan jiwa dan ketahanan diri sudah lebih memadai. Tidak sukar untuk ditelah apakah reaksi rakyat Singapura jika diandaikan Malaysia pula yang membuat perolehan peralatan ketenteraan yang lebih melampau kerana jati diri mereka sudah sedia maklum.
Jati diri dan kekentalan jiwa rakyat Malaysia bakal teruji dalam Bulan Kemerdekaan ini gara-gara perolehan peralatan ketenteraan Singapura yang terbaru. Kongres AS besar kemungkinan akan meluluskan pakej penjualan senjata yang terdiri daripada jet pejuang F-15 dan bom pintar kepada Singapura tidak lama lagi. Perolehan F-15 tidak menghairankan kerana Malaysia juga bakal mempunyai jet pejuang lebih canggih dan besar kemungkinan jati diri rakyat Malaysia tidak akan terusik. Tetapi perolehan bom pintar yang dikawal satelit GPS sudah pasti menguji kekentalan jiwa rakyat Malaysia kerana selain AS, hanya Israel yang memiliki bom tercanggih ini. Perlu diingat mudahnya AS menakluki Afghanistan dan Iraq adalah kerana penggunaan bom pintar.
Begitu juga rejim Israel begitu mudah dapat memusnahkan sasaran jauh ke dalam wilayah kawalan Palestin adalah juga kerana penggunaan bom pintar. Jati diri rakyat Malaysia yang merdeka sudah tentu dapat menilai suatu senario dengan betul dan tidak akan menjadi seperti rakyat Jepun ketika Korea Utara membuat ujian peluru berpandu Na-Dong ke ruang udara Jepun, rakyat negara matahari terbit itu masih tidak ambil peduli.
Penulis adalah Pengarah Pusat Dasar Teknologi Kajian Antarabangsa (CENTEPIS), UTM
0 Koman & Cadangan:
Post a Comment