48 tahun Malaysia gagah

on Tuesday, August 30, 2005

48 tahun Malaysia gagah memacu gemilang
PADA Januari 1956, Almarhum Tunku Abdul Rahman, putera diraja Kedah yang muncul sebagai tokoh politik terkemuka, mengetuai delegasi ke London kerana merundingkan kemerdekaan Tanah Melayu.
Selepas rundingan tiga minggu, Perjanjian London ditandatangani yang menyebut Kerajaan British bersetuju memberikan kemerdekaan kepada Malaya, ketika itu Tanah Melayu, pada 31 Ogos 1957.
Tepat jam 12 tengah malam 31 Ogos 1957, laungan ‘Merdeka, Merdeka’ bergema memenuhi ruang Stadium Merdeka apabila bendera Union Jack, lambang kuasa penjajahan British, diturunkan.
Lantas berkumandang buat kali pertama Negaraku, lagu kebangsaan tercinta. Maka terpancar segala impian dan harapan daripada sanubari setiap rakyat Malaysia. Hati melonjak riang dapat merasai nikmat kebebasan daripada belenggu penjajah - Belanda, Portugis, Jepun dan British. Tunku, seorang daripada pejuang utama kemerdekaan negara muncul sebagai Perdana Menteri Pertama Persekutuan Tanah Melayu pada 1957, kemudian terbentuk menjadi Malaysia.
Tidak seperti jiran Indonesia, yang mana kemerdekaan terpaksa ditebus dari Belanda dengan pertempuran berdarah, Malaysia mencapai kemerdekaan dengan cara cukup aman. Jika adapun pertelingkahan, ia tetap membuktikan mata pena itu lebih tajam daripada pedang.
Namun, perjalanan menuju kemerdekaan tidak sentiasa lancar, suara penentangan terhadap penjajah sering dilontarkan, lama sebelum perisytiharan yang cukup bersejarah.
Perluasan takluk imperialis Eropah sebenarnya bermula dengan penaklukan Melaka oleh Portugis pada 1511. Bagaimanapun, kuasa mereka agak terbatas. Seabad kemudian, Belanda mengambil alih Melaka daripada Portugis.Abad ke-18 menyaksikan British memasuki Tanah Melayu dengan penubuhan Pulau Pinang dan kemudian Singapura pada 1819. Pada 1826, Melaka, Pulau Pinang dan Singapura bergabung sebagai Negeri Selat.
Ketika itu, British mula menembus masuk ke negeri di Semenanjung Tanah Melayu yang kaya dengan timah dan meletakkan wakil mereka dikenali sebagai Residen. Pada 1896, Negeri Melayu Bersekutu dibentuk dan mulai 1919, Union Jack berkibar di setiap tiang bendera di Semenanjung Malaysia, Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah.
Tidak lama kemudian, Jepun menduduki Tanah Melayu dan Singapura hingga memaksa British melarikan diri. Tetapi, apabila British kembali selepas Perang Dunia Kedua, mereka menghadapi kelemahan dalam pentadbiran. Keyakinan terhadap kekebalan Empayar British musnah buat selama-lamanya.
British berusaha melaksanakan pengukuhan pentadbiran dengan memperkenalkan Malayan Union, satu rancangan yang mana kedaulatan Raja-raja Melayu hendak dipindahkan kepada British Crown dan semua warga, tanpa mengira kaum akan mendapat hak sama.Ini mendapat tentangan hebat orang Melayu hingga membawa kepada penubuhan Umno dengan Datuk Onn Jaafar menjadi presidennya.
British mengemukakan rancangan baru iaitu Persekutuan Tanah Melayu, yang memberikan Sultan kuasa ke atas negeri masing-masing dan memperuntukkan hak istimewa Melayu.Perikatan yang terdiri daripada Umno, MCA dan MIC menunjukkan gabungan kekuatan dengan memenangi 80 peratus daripada jumlah undi bagi pilihan raya pertama pada 1955. Jelas ketika itu, penubuhan sebuah Tanah Melayu yang bersatu adalah kemungkinan yang semakin nyata.
Pada 1963, Singapura, Sarawak dan Sabah menyertai Tanah Melayu dan bergabung dalam Persekutuan Malaysia. Bagaimanapun, Singapura keluar pada 1965 untuk menjadi sebuah republik merdeka. Disokong dua sumber utama iaitu getah dan timah, ekonomi negara muncul kukuh. Namun, dasar pecah dan perintah British menimbulkan beberapa masalah dari segi agihan kekayaan yang tidak saksama.
Rusuhan kaum tercetus pada 1969. Daripada kesan runtuhan lahir satu permulaan baru. Tragedi 13 Mei 1969 menjadi iktibar bahawa keamanan dan kemakmuran tidak wajar dianggap mudah bahkan perlu dipupuk sentiasa.
Rakyat seterusnya sedar rupa bentuk negara yang unik memerlukan penyelesaian unik. Berikutan itu, Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan beberapa dasar lain diperkenalkan. Malah, Dasar Perindustrian yang diperkenalkan bukan saja banyak membawa kejayaan, malah menyaksikan ekonomi mencatat angka pertumbuhan cemerlang selama lebih sedekad.
Prestasi ekonomi yang cukup memberangsangkan memberikan pengisian cukup bermakna dalam memenuhi cita-cita Malaysia untuk mencapai taraf negara maju menjelang 2020. Negara bernasib baik kerana mempunyai barisan pemimpin yang meletakkan kepentingan negara di atas kepentingan kelompok sempit dan kepentingan peribadi.
Ketika merayakan ulang tahun ke-30 kemerdekaan pada 1987, Proton Saga, kereta kebangsaan Malaysia, ditonjolkan sebagai teras perayaan, diikuti Perodua Kancil sebagai kemuncak perbarisan Hari Kebangsaan ke-37 pada 1994. Dua tahun kemudian, tercatat satu lagi peristiwa bersejarah apabila motosikal buatan Malaysia, Kriss, diperagakan buat kali pertama pada sambutan Hari Kebangsaan ke-39 di Kota Kinabalu.
Hari ini, negara berusia 48 tahun dan bergerak jauh ke depan sambil mencipta pelbagai kejayaan membanggakan. Hasil daripada wujudnya sebuah kerajaan yang stabil, negara menikmati kejayaan ekonomi yang memuncak dan kini sebuah daripada kuasa ekonomi yang tumbuh dengan pantas di dunia, sambil menjadi teladan baik hubungan harmonis pelbagai kaum.
Projek mega mengubah wajah negara. Menara Berkembar, sebuah satelit yang berlegar di angkasa raya, Koridor Raya Multimedia - adalah secebis daripada kisah pencapaian yang memandu negara memasuki alaf baru. Kejayaan Malaysia yang begitu dikagumi menjadi sebuah negara pelbagai kaum dan agama, sewajarnya mendapat tempat yang dibanggakan dalam peta dunia dan warganya memang berhak merasa bangga merayakan ulang tahun ke-48 kemerdekaan.
Sebagai negara yang mempunyai keragaman kaum, budaya dan tradisi, Malaysia berkembang dalam suasana kepelbagaian dan ia menepati maksud peribahasa ‘keragaman adalah rencah kehidupan’. Lihat orang di sekeliling anda. Amati senyuman mereka yang melambangkan penuh kepuasan. Inilah Malaysia, negara kita. Tanah tumpah darah kita. Dirgahayu Malaysia!
Oleh Rosliwaty Ramly