Fakta dalam al-Quran mutlak sifatnya

on Wednesday, August 17, 2005

PERKATAAN penghayatan berasal daripada bahasa Arab ‘hayah’ yang bererti hidup atau kehidupan. Apabila disebut penghayatan sesuatu, bererti menghidup atau menjadikannya sebagai sesuatu yang hidup dengan sentiasa dipelihara, dijaga dan diberi perhatian agar dapat berfungsi sewajarnya.

Bertitik-tolak dari sini, dapatlah difahami bahawa perkara yang dimaksudkan dengan penghayatan al-Quran itu adalah memelihara dan memberi perhatian kepadanya. Ia dilakukan dengan membaca, memahami dan seterusnya mengamalkannya agar dimanfaatkan dalam pelbagai lapangan kehidupan. Dengan usaha itu diharapkan dapat meninggalkan kesan diri seseorang dan masyarakat.
Sesuatu itu dianggap hidup apabila mempunyai roh dan tenaga. Tanpa kedua-duanya pergerakan akan terhenti serta kaku, beku dan mati. Begitulah dengan penghayatan al-Quran, ia mesti menampakkan pergerakan aktif dalam kehidupan umat Islam. Tanpa pergerakan ini bererti tiada penghayatan yang berlaku.
Oleh itu, peranan al-Quran tidak terasa dalam kehidupan umat Islam, malah ia seolah-olah tidak mempunyai roh lagi, sedangkan Allah menurunkan al-Quran sebagai roh. Perkara ini seperti firman-Nya bermaksud: “Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu roh (al-Quran) daripada urusan Kami." (Surah al-Syuara', ayat 52)
Roh ialah rahsia kehidupan sesuatu. Oleh itu, perhatian hendaklah sentiasa diberikan untuk menyubur dan mengembangkannya agar roh dapat memainkan peranannya dalam pembinaan diri umat Islam.Umat Islam perlu beriman bahawa al-Quran adalah wahyu Allah. Ia diturunkan kepada Nabi Muhammad saw melalui malaikat Jibril untuk disampaikan kepada seluruh umat manusia sebagai pedoman dan petunjuk dalam kehidupan. Hidup berpandukan pedoman dan petunjuk al-Quran membolehkan seseorang itu mencapai kebahagiaan dan keredaan Allah di dunia dan akhirat.
Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan rasul-Nya dan (kepada) kitab (al-Quran) yang telah diturunkan kepada rasul-Nya (Muhammad) dan juga kepada kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripada itu. Dan sesiapa yang kufur (ingkar) kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-Nya dan hari akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan (yang) sejauh-jauhnya." (Surah al-Nisa', ayat 136).
Ayat ini membuktikan bahawa beriman kepada al-Quran dan menjadikan isi kandungannya sebagai pedoman dan panduan hidup, adalah kewajipan bagi umat Islam. Tidak ada seseorang mukmin yang boleh mengatakan bahawa isi dan suruhan dalam al-Quran tidak sesuai pada zaman serba moden ini. Bagi orang yang mengatakan sedemikian, dengan maksud menghina dan memperkecilkan isi kandungan al-Quran, sesungguhnya dia menjadi kufur. Pada hari akhirat kelak dia akan diazab oleh Allah.
Al-Quran walaupun sudah lama al-Quran diwahyukan, namun isi kandungannya tetap utuh dan segar. Ia tidak sedikit pun terjejas oleh peredaran zaman yang begitu lama. Ini kerana isi kandungannya itu berupa kebenaran mutlak yang terpancar daripada alam ketuhanan yang Maha Tinggi.
Tambahan pula, ia diberi jaminan oleh Allah dalam pemeliharaannya. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kamilah yang benar-benar memeliharanya." (Surah al-Hijr, ayat 9)
Ada umat Islam kini memandang ringan dan sambil lewa terhadap al-Quran. Mereka hanya mendekati al-Quran dalam majlis tertentu. Ada juga yang meminati al-Quran sekadar untuk menikmati kemerduan dan kelunakan bacaannya sebagai suatu adat. Sesuatu yang amat menyedihkan apabila ada yang hanya membaca al-Quran pada majlis kematian. Ada pula yang menggunakan ayat al-Quran untuk mengemis. Malah, ada yang menggunakannya untuk dibuat azimat atau amalan sihir.
Sesungguhnya al-Quran diwahyukan oleh Allah untuk dibaca, difahami dan dihayati maknanya. Seterusnya menjadikan ia sebagai panduan hidup. Firman Allah bermaksud: “(Al-Quran ini) sebuah kitab yang Kami turunkan kepada kamu (dan umat kamu wahai Muhammad), kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar." (Surah Sad, ayat 29)
Sikap umat Islam yang memandang ringan terhadap al-Quran ini adalah faktor utama mendindingi mereka daripada hidayahnya. Perkara ini kerana al-Quran hanya akan membuka khazanahnya kepada orang yang benar-benar memberi perhatian kepadanya dengan tujuan penghayatan.
Menurut al-Zarqaniy, umat Islam kini tidak akan maju sekiranya mereka tidak memberi penghayatan kepada ajaran al-Quran, yang menjadi sumber kebahagiaan di dunia dan akhirat. Begitu juga dengan pengamalan ajaran al-Quran, ia tidak dapat dilakukan, melainkan setelah difahami makna dan maksudnya (al-Zarqaniy, Manahil al-'Irfan Fi 'Ulum al-Quran, 1988 jil: 1 hlm: 475).
Perlu ditegaskan bahawa semua fakta dalam al-Quran adalah mutlak sifatnya. Ia sama saja seperti fakta yang dimanifestasikan oleh alam semesta ini. Jika alam ini adalah ayat atau ungkapan yang diam membisu, tetapi dapat dibaca atau diperoleh idea dan pengajaran daripadanya, maka ayat al-Quran pula adalah alam yang berkata-kata. Ia yang memperkenalkan kepada manusia akan Tuhannya, membimbing serta menerajui mereka dengan wajar melalui liku hidup di dunia ini.
Pengajian mengenai al-Quran daripada pelbagai sudut adalah penting untuk memahami isi kandungannya serta meletakkan nilainya yang wajar dalam kehidupan manusia. Pengajian ini juga seterusnya bertujuan dihayati dan dijadikan panduan dan pedoman dalam segala bidang kehidupan. Perkara itu kerana kehidupan yang tidak berpandukan kebenaran akan terus menderita dan sengsara dilanda pelbagai krisis.
Umat Islam tidak mungkin dapat melaksanakan peranan besar, lagi mencabar dalam setiap lapangan, sekiranya gagal menghayati ajaran al-Quran. Umat Islam kini perlu kembali menghayati al-Quran seperti yang dilakukan oleh umat Islam pada zaman awal Islam, terutama pada zaman Rasulullah dan sahabat.
Dengan penghayatan al-Quran yang sempurna, insya-Allah akan mengubah seluruh keadaan hidup umat Islam. Seterusnya, meletakkan mereka semula pada kedudukan yang melayakkan mereka menerajui kepemimpinan dunia sekali lagi. Perkara ini bukan impian kosong, tetapi sesuatu yang terbukti kebenarannya dalam sejarah.

0 Koman & Cadangan: