KETIKA Malaysia menuju tahap pembangunan yang tidak terduga, roh dan semangatnya juga harus bergerak serentak dengan kemajuan dicapai.
Bagaimanapun, nilai ini dikatakan sudah berkurangan. Ini dapat dilihat dengan semakin ramai rakyat Malaysia hanya boleh menyanyi tidak lebih daripada dua baris lirik Negaraku – lagu kebangsaan negara yang harus mereka hafal.
Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Seri Dr Arshad Hashim, (orang ini pun belum pasti lancar menyanyi) berkata beberapa ketika dulu, ada pelajar yang gagal menghafal liriknya sedangkan Negaraku dinyanyikan setiap kali perhimpunan mingguan di sekolah.
Malah, katanya, dalam acara sukan sama ada pada peringkat kebangsaan atau antarabangsa, ada olahragawan tidak menyanyikan lagu kebangsaan ketika ia dimainkan.“Penghormatan dan penghayatan terhadap Negaraku semakin berkurangan dan kita harus disalahkan jika generasi masa depan tidak boleh menyanyikannya,” katanya.
Jika kecintaan dan semangat patriotik kepada negara boleh dihitung, kayu ukurnya terletak pada kebolehan mereka menyanyikan lagu kebangsaan.
Sebenarnya, penghormatan dan kemampuan menyanyikan Negaraku boleh dianggap cerminan jiwa sesuatu bangsa terhadap kecintaan dan taat setianya kepada negara. Apa yang membimbangkan ialah rendahnya rasa hormat diberikan orang ramai apabila mereka enggan berdiri dan bernyanyi dengan penuh rasa bangga ketika Negaraku dimainkan di acara umum.
Semangat patriotik yang lemah ini menimbulkan kekhuatiran di kalangan anggota Kabinet, yang meminta Kementerian Penerangan mengusahakan sesuatu menanganinya.
Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, mengarahkan pegawainya melakukan lebih banyak usaha membudayakan Negaraku di kalangan rakyat, termasuk menjadikannya lagu wajib pada setiap acara rasmi kerajaan.
Malah, Dr Arshad suatu ketika dulu mencadangkan lagu kebangsaan itu dimainkan di pawagam sebelum tayangan filem dimulakan. Pengunjung mungkin harus berdiri dan menyanyikan Negaraku sebagai tanda hormat dan menghayatinya.“Ini bukan perkara baru. Pada masa lalu, pawagam pernah berbuat demikian dan kita mahu hidupkan budaya ini,” katanya.
Bagaimanapun, idea itu tidak mendapat sambutan orang ramai yang berasa keghairahan seperti itu terlalu berlebih-lebihan. Ia boleh menjejaskan rasa hormat mereka kepada lagu kebangsaan jika dimainkan pada tempat dan masa yang salah.
Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-48, lagu Negaraku seharusnya terpahat dalam jiwa dan sanubari setiap warganegara. Ada baiknya jika mereka mengenali sejarah lagu kebangsaan, yang lahir sebelum wujudnya Malaysia lagi.
Lagu kebangsaan dipilih oleh satu jawatankuasa diketuai Almarhum Tunku Abdul Rahman. Sebelum pemilihan itu, satu pertandingan terbuka untuk pencipta lagu seluruh dunia diadakan, tetapi tidak satu pun ciptaan mereka dikira sesuai.
Kemudian, pada satu acara diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada 5 Ogos 1957 untuk memilih komposisi lagu yang sesuai, Negaraku — lagu kebesaran negeri Perak yang diubahsuai dengan cita rasa dan melodi tradisional, dipilih.
Timbul kontroversi mengenai melodi asal lagu ini, tetapi pemilihannya ada kaitan dengan latar belakang romantis sejarahnya bermula 1876.
Ia mempunyai hubungan rapat dengan bencana menimpa Sultan Perak, yang dibuang negeri ke Scychelles oleh kolonial British berikutan pembunuhan terhadap Residen British Pertama di negeri itu, JWW Birch.
Selepas Persekutuan Malaya berubah menjadi Malaysia pada 1963, Negaraku diangkat sebagai lagu kebangsaan. – Bernama KerepeK
0 Koman & Cadangan:
Post a Comment