Khasiat sayuran dan ulaman - Terung Pipit & Pegaga

on Monday, April 28, 2008

Malaysia adalah negara yang kaya dengan pelbagai jenis sayuran. Banyak jenis sayuran dari merata dunia telah dibawa masuk ke negara kita namun sayuran tempatan masih lagi terletak di tempat teratas. Sayuran tempatan mengandungi khasiat yang tinggi dan penting untuk keperluan aktiviti tubuh. Sayuran tempatan terutamanya dalam kategori ulam-ulaman sebenarnya bukan sahaja sebagai pembuka selera malah ada yang menjadi penawar berkesan serta sumber makanan yang amat berkhasiat. Antara contoh sayuran tempatan yang terkenal ialah timun, peria, bendi, seleri, asparagus, kacang botor, pegaga, dan sebagainya.

Terung pipit

Terung pipit merupakan tumbuhan liar di Malaysia dan di negara-negara tropika yang lain tetapi negara asalnya ialah Antilles. Biasanya ia dimakan mentah ataupun dicelur untuk dijadikan ulam. Terung pipit mengandungi 2% protein, 0.1% lemak, 7.9% karbohidrat serta mengandungi banyak fosforus, sedikit zat besi, vitamin A, B1, dan C. Menariknya, ia juga mengandungi alkoloid jenis steroid yang dikenali sebagai solasodin dengan kandungan sebanyak 0.84%. Steroid amat penting dalam bidang perubatan, terutamanya untuk menghasilkan pil perancang keluarga. Selain itu akar terong pipit juga boleh digunakan untuk mengubati retak kulit pada kaki, mencuci darah dengan meminum air rebusannya, melegakan kesakitan, penawar racun ular dan serangga serta menjadi ubat yang berkesan untuk meredakan sakit perut.

Pegaga

Pegaga merupakan sejenis ulam yang terkenal juga di negara kita. biasanya seluruh bahagian pegaga iaitu daun, tangkai daun, batang, bunga, buah, dan akarnya mempunyai banyak kegunaan dan khasiat yang tinggi. Di Indonesia, bunga dan buah pegaga tidak dimakan kerana ia dikatakan menjadi punca penyakit reumatisme sekiranya terlalu banyak dimakan. Namun ada juga orang yang yakin bahawa mereka akan beroleh umur yang panjang dan awet muda apabila mengamalkan pengambilan pegaga dalam gizi harian mereka. Tetapi berdasarkan kajian menunjukkan ia boleh dimakan selalu tetapi dalam kuantiti yang sedikit sahaja bagi mendapatkan kesan positif. Ini kerana pengambilan yang berlebihan akan mengakibatkan kesan narkotik dan keracunan kumulatif yang meransang tumor untuk jangkamasa panjang.

Pegaga juga mengandungi banyak sebatian kimia dan bioaktiviti yang terbukti mengandungi ciri-ciri antibakteria, antipasma, antiinflamasi, hipotensif dan insektisid. Dalam bidang perubatan tradisi, ia digunakan sebagai agen antialergi, antikanser, antidisenteri, peransang pembuangan urin, hipotensif, stimulan, tonik, menyejukkan badan, mengeluarkan batu karang, penawar kencing berdarah, kusta, gonorea,luka, kudis, dan sakit kerongkong.

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan dan huraian di atas menunjukkan sayuran dan ulaman tempatan mempunyai khasiat yang tinggi untuk keperluan manusia. Sayuran ini juga mudah di tanam dan ada sesetengahnya tumbuh secara semulajadi disekeliling rumah kita. Kesihatan tubuh badan amat penting untuk membolehkan kita bergerak aktif menjalankan aktiviti harian. Walaupun terdapat banyak sayuran yang diimport dengan pelbagai bentuk, rasa dan rupa tetapi sayur ulaman tempatan masih mendapat tempat utama di pasar tani, pasar malam, dan pasar minggu. Di hotel-hotel kelas tinggi juga ulaman dihidangkan sebagai penambah selera pelanggan. Sayuran ulaman bukan sahaja sebagai pembuka selera tetapi menjadi penawar kepada segala jenis penyakit yang merbahaya.

Rujukan
Ramli Abdul Samad. 1997.
Khasiat petai dalam perubatan tradisional. Majalah Kosmik, Jun: 48-49.
Dr. Ong Hean Chooi. 1997.
Nutrien dalam tumbuhan penting untuk tubuh. Majalah Kosmik, Disember: 36-37.
Dr. Ong Hean Chooi. 1998.
Sayuran tempatan mempunyai khasiat lebih bernilai. Majalah Kosmik, Januari: 38-39.
Rahana MD. 1997.
Cili pedasnya menyengat. Wanita, September: 122-124.
Mastika. 1997.
Tips kesihatan. Jun: 24-25.

0 Koman & Cadangan: