Khasiat sayuran dan ulaman - Peria

on Thursday, April 10, 2008

Malaysia adalah negara yang kaya dengan pelbagai jenis sayuran. Banyak jenis sayuran dari merata dunia telah dibawa masuk ke negara kita namun sayuran tempatan masih lagi terletak di tempat teratas. Sayuran tempatan mengandungi khasiat yang tinggi dan penting untuk keperluan aktiviti tubuh. Sayuran tempatan terutamanya dalam kategori ulam-ulaman sebenarnya bukan sahaja sebagai pembuka selera malah ada yang menjadi penawar berkesan serta sumber makanan yang amat berkhasiat. Antara contoh sayuran tempatan yang terkenal ialah timun, peria, bendi, seleri, asparagus, kacang botor, pegaga, dan sebagainya.

Peria

Peria merupakan sejenis sayur yang mempunyai bentuk seakan timun. Ia merupakan sayur yang paling mendapat perhatian pakar perubatan moden dewasa ini. Berasal dari selatan China, peria yang dikenali sebagai "ku gua" telah lama digunakan sebagai salah satu herba dalam perubatan tradisional China. Air rebusan peria digunakan oleh pakar perubatan China untuk merawat penyakit asma dan haid yang terlewat. Selain itu, air rebusan ini juga digunakan untuk menyejukkan panas radang.

Kini penggunaan peria semakin meluas. Di Asia Tenggara, Australia, dan Amerika Syarikat, peria menjadi bahan penting bagi merawat penyakit leukaemia, HIV, dan AIDS. Biarpun setakat ini belum ada kajian saintifik dijalankan bagi menguji keberkesanan peria dalam menangani penyakit-penyakit tersebut. Peria didapati boleh meningkatkan semula kiraan sel CD4 (sel imun) dalam tubuh manusia. Ujian darah untuk menguji jumlah kiraan sel imun adalah perkara paling asas untuk mengetahui perkembangan dan betapa seriusnya tahap HIV dan AIDS. Selain daripada meningkatkan sel imun tubuh, peria juga berguna untuk merawat atau mengurangkan penyakit-penyakit sampingan yang mempunyai kaitan dengan jangkitan HIV seperti arthritis dan "oppotunistic infections", misalnya herpes kemaluan, tuberkolisis dan beberapa jenis penyakit kulit yang menyerang lantaran lemahnya sistem imunisasi tubuh.

Sekumpulan pakar penyelidik di Amerika Syarikat telah berjaya mengasingkan sejenis protein yang terdapat di dalam peria. Protein ini dinamakan MAP-30 dan terdapat dalam biji dan kulit buah berkenaan. MAP-30 dikatakan mengandungi sifat-sifat anti-kanser sebagaimana yang terdapat pada tikus. Selain itu, ia juga dapat mengawal penyakit-penyakit virus seperti herpes dan poliomaelitis, dan menghalang penyakit tersebut daripada membiak dan merebak dari satu sel ke sel yang lain. Protein-protein lain yang diasingkan daripada tumbuhan jenis memanjat ini juga boleh membantu mengurangkan berlakunya keguguran dan menghalang pertumbuhan sel-sel kanser

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan dan huraian di atas menunjukkan sayuran dan ulaman tempatan mempunyai khasiat yang tinggi untuk keperluan manusia. Sayuran ini juga mudah di tanam dan ada sesetengahnya tumbuh secara semulajadi disekeliling rumah kita. Kesihatan tubuh badan amat penting untuk membolehkan kita bergerak aktif menjalankan aktiviti harian. Walaupun terdapat banyak sayuran yang diimport dengan pelbagai bentuk, rasa dan rupa tetapi sayur ulaman tempatan masih mendapat tempat utama di pasar tani, pasar malam, dan pasar minggu. Di hotel-hotel kelas tinggi juga ulaman dihidangkan sebagai penambah selera pelanggan. Sayuran ulaman bukan sahaja sebagai pembuka selera tetapi menjadi penawar kepada segala jenis penyakit yang merbahaya.

Rujukan
Ramli Abdul Samad. 1997.
Khasiat petai dalam perubatan tradisional. Majalah Kosmik, Jun: 48-49.
Dr. Ong Hean Chooi. 1997.
Nutrien dalam tumbuhan penting untuk tubuh. Majalah Kosmik, Disember: 36-37.
Dr. Ong Hean Chooi. 1998.
Sayuran tempatan mempunyai khasiat lebih bernilai. Majalah Kosmik, Januari: 38-39.
Rahana MD. 1997.
Cili pedasnya menyengat. Wanita, September: 122-124.
Mastika. 1997.
Tips kesihatan. Jun: 24-25.

0 Koman & Cadangan: