Khasiat sayuran dan ulaman - Lada

on Tuesday, April 08, 2008

Malaysia adalah negara yang kaya dengan pelbagai jenis sayuran. Banyak jenis sayuran dari merata dunia telah dibawa masuk ke negara kita namun sayuran tempatan masih lagi terletak di tempat teratas. Sayuran tempatan mengandungi khasiat yang tinggi dan penting untuk keperluan aktiviti tubuh. Sayuran tempatan terutamanya dalam kategori ulam-ulaman sebenarnya bukan sahaja sebagai pembuka selera malah ada yang menjadi penawar berkesan serta sumber makanan yang amat berkhasiat. Antara contoh sayuran tempatan yang terkenal ialah timun, peria, bendi, seleri, asparagus, kacang botor, pegaga, dan sebagainya.

Cili, cabai, atau lada

Cili, cabai, atau lada merupakan jenis sayuran yang amat popular di negara ini. Cili dipanggil paprika atau pimiento di Hungary dan Sepanyol. Cili termasuk dalam keluarga solaneceae seperti tomato dan kentang. Di negara ini cili merupakan salah satu bahan makanan yang banyak digunakan oleh masyarakat pelbagai kaum untuk kegunaan harian dan perusahaan. Dalam nilaian ekonomi, cili adalah buah terpenting dan mendapat permintaan tinggi hingga nilai kegunaannya mencecah RM90 juta setahun. Cili kaya dengan vitamin A, B, dan C kompleks, serta komposisi vitamin lain seperti protein, karbohidrat, serta karotin. Kepelbagaian cili memberi kepedasan kepada si pemakan. Ia dinamakan capsaicin, lagi tinggi kandungan capsaicin, cili semakin pedas. Dalam rekod CAB Abstracts 1995, capsaitin yang terkandung di dalam cili dilaporkan sebagai agen pelindung melawan penyakit ulser peptic serta agen penghalang kepada kimia-kimia carcinogens yang menyebabkan penyakit barah.

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan dan huraian di atas menunjukkan sayuran dan ulaman tempatan mempunyai khasiat yang tinggi untuk keperluan manusia. Sayuran ini juga mudah di tanam dan ada sesetengahnya tumbuh secara semulajadi disekeliling rumah kita. Kesihatan tubuh badan amat penting untuk membolehkan kita bergerak aktif menjalankan aktiviti harian. Walaupun terdapat banyak sayuran yang diimport dengan pelbagai bentuk, rasa dan rupa tetapi sayur ulaman tempatan masih mendapat tempat utama di pasar tani, pasar malam, dan pasar minggu. Di hotel-hotel kelas tinggi juga ulaman dihidangkan sebagai penambah selera pelanggan. Sayuran ulaman bukan sahaja sebagai pembuka selera tetapi menjadi penawar kepada segala jenis penyakit yang merbahaya.

Rujukan
Ramli Abdul Samad. 1997.
Khasiat petai dalam perubatan tradisional. Majalah Kosmik, Jun: 48-49.
Dr. Ong Hean Chooi. 1997.
Nutrien dalam tumbuhan penting untuk tubuh. Majalah Kosmik, Disember: 36-37.
Dr. Ong Hean Chooi. 1998.
Sayuran tempatan mempunyai khasiat lebih bernilai. Majalah Kosmik, Januari: 38-39.
Rahana MD. 1997.
Cili pedasnya menyengat. Wanita, September: 122-124.
Mastika. 1997.
Tips kesihatan. Jun: 24-25.

1 Koman & Cadangan:

Melly said...

Lada hitam ini ternyata bisa meringankan gejala rematik, makasih infonya.