Khasiat sayuran dan ulaman

on Saturday, April 05, 2008

Malaysia adalah negara yang kaya dengan pelbagai jenis sayuran. Banyak jenis sayuran dari merata dunia telah dibawa masuk ke negara kita namun sayuran tempatan masih lagi terletak di tempat teratas. Sayuran tempatan mengandungi khasiat yang tinggi dan penting untuk keperluan aktiviti tubuh. Sayuran tempatan terutamanya dalam kategori ulam-ulaman sebenarnya bukan sahaja sebagai pembuka selera malah ada yang menjadi penawar berkesan serta sumber makanan yang amat berkhasiat. Antara contoh sayuran tempatan yang terkenal ialah timun, peria, bendi, seleri, asparagus, kacang botor, pegaga, dan sebagainya.

Timun

Timun merupakan sayur tempatan tetapi bukan dikategorikan sebagai sayur asli. Tempat asalnya dipercayai di kawasan banjaran Himalaya, di India. Timun atau dikenali juga sebagai mentimun sedap di makan sebagai ulam mentah. Menurut kajian tempatan, timun hanya mengandungi sedikit sahaja protein iaitu 0.65%, lemak 0.1%, dan karbohidrat 2.2%. Selain itu, timun juga turut mengandungi kalsium, zat besi, magnesium, fosforus, vitamin A, B1, B2, C dan niasin.

Bahagian timun yang mempunyai rasa pahit adalah disebabkan oleh kandungan sebatian kimia jenis terpen yang dikenali sebagai cucurbitasin. Manakala biji timun pula mengandungi racun alkoloid jenis hipoxantin yang berkesan untuk merawat kanak-kanak yang kecacingan. Timun yang masak pula jika dimakan mentah dikatakan amat berkesan untuk merawat penyakit sampu pucat iaitu sejenis penyakit pening-pening yang berterusan sehingga boleh menurunkan berat badan. Dalam rawatan perubatan tradisional, timun turut dipercayai berkesan untuk mengubati penyakit disenteri iaitu keluar darah semasa membuang air besar.

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan dan huraian di atas menunjukkan sayuran dan ulaman tempatan mempunyai khasiat yang tinggi untuk keperluan manusia. Sayuran ini juga mudah di tanam dan ada sesetengahnya tumbuh secara semulajadi disekeliling rumah kita. Kesihatan tubuh badan amat penting untuk membolehkan kita bergerak aktif menjalankan aktiviti harian. Walaupun terdapat banyak sayuran yang diimport dengan pelbagai bentuk, rasa dan rupa tetapi sayur ulaman tempatan masih mendapat tempat utama di pasar tani, pasar malam, dan pasar minggu. Di hotel-hotel kelas tinggi juga ulaman dihidangkan sebagai penambah selera pelanggan. Sayuran ulaman bukan sahaja sebagai pembuka selera tetapi menjadi penawar kepada segala jenis penyakit yang merbahaya.

Rujukan
Ramli Abdul Samad. 1997.
Khasiat petai dalam perubatan tradisional. Majalah Kosmik, Jun: 48-49.
Dr. Ong Hean Chooi. 1997.
Nutrien dalam tumbuhan penting untuk tubuh. Majalah Kosmik, Disember: 36-37.
Dr. Ong Hean Chooi. 1998.
Sayuran tempatan mempunyai khasiat lebih bernilai. Majalah Kosmik, Januari: 38-39.
Rahana MD. 1997.
Cili pedasnya menyengat. Wanita, September: 122-124.
Mastika. 1997.
Tips kesihatan. Jun: 24-25.


0 Koman & Cadangan: