GEMA bumi di dasar laut yang menyebabkan ‘ombak jahat’ atau lebih dikenali tsunami melanda beberapa negara Asia, awal minggu ini. Berpuluh ribu orang terkorban dan jumlah ini akan terus bertambah, sebab masih ada puluhan ribu lagi mangsa dikatakan hilang.
Dunia terpegun, terperanjat dan seakan-akan tidak percaya.
Ahli sains dan pakar geologi mula berkomentar. Mereka mengungkapkan pelbagai teori yang menjadi punca gempa besar di dasar laut yang kekuatannya jauh melebihi letupan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki di Jepun. Mereka berkata bahawa tsunami terjadi akibat pergeseran kerak bumi di dasar laut yang membuat getaran hebat dan kemudian disusuli dengan ombak maha dahsyat berkelajuan melebihi 800 kilometer sejam.
Sebelum bencana itu, tidak ada seorang pun saintis dan geologis yang berbicara mengenai tsunami. Jika ada pun, alasan yang selalu didengar adalah kedatangan bencana ini jarang sekali dan tidak dapat dikesan. Kalau pun dapat dikesan, majoriti negara yang ditimpa bencana tidak memiliki alat pengukur ombak yang akan memberikan amaran awal jika terjadi perubahan drastik di laut. Tetapi, komentar kini tidak lagi akan mengurangi jumlah korban.
Pada akhirnya, manusia mesti akur dan menginsafi bahawa kekuatan akal, fikiran dan usaha manusia sangat terbatas berbanding kebesaran dan kekuasaan Allah. Bencana alam ini menyedarkan bahawa manusia sebenarnya tidak dapat menolak kehendak dan takdir-Nya.
Jika dipandang melalui kaca mata agama, bencana alam seharusnya dijadikan alat untuk merenung dan berfikir apa yang telah dilakukan manusia. Sebab segala sesuatu yang berlaku di alam ini tidak berlaku secara begitu saja, tanpa ada hikmah tersembunyi yang berfungsi sebagai pengajaran untuk manusia.
Adakalanya bencana alam itu berlaku akibat proses semula jadi alam, sama ada pergeseran yang bertujuan memperkukuhkan struktur bumi atau gejala alam biasa seperti letupan gunung berapi.
Namun, ada kalanya bencana alam itu terjadi akibat tangan manusia. Banjir, tanah runtuh dan kesan rumah kaca sering terjadi kerana manusia merosak hutan dan memotong pokok kayu tanpa perhitungan. Mendirikan pelbagai bangunan tanpa menimbangkan keadaan alam sekitar juga sering menjadi punca pelbagai bencana alam.
Hal itu dengan tegas disebut Allah dalam al-Quran. Firman-Nya bermaksud: “Telah terjadi pelbagai kerosakan dan kebinasaan di laut dan darat diakibatkan kerana perbuatan tangan manusia itu sendiri." (Surah al-Rum, ayat 41)
Ada pula bencana alam sebagai peringatan terhadap kesalahan dan dosa yang dilakukan oleh manusia. Hal ini seperti yang berlaku terhadap umat Nabi Yunus. Nabi Allah itu mengajak ummatnya menganut agama tauhid dan menegah mereka daripada berbuat syirik dan kebinasaan. Tetapi, kaumnya enggan dan menolak dakwah itu. Maka, serta merta datanglah gempa bumi yang dahsyat membinasakan harta benda, tanaman dan ternakan. Gempa besar itu menyedarkan mereka daripada kekhilafannya. Akhirnya umat Nabi Yunus kembali ke ajaran agama tauhid yang sebenar.
Ertinya, bagi orang mukmin bencana alam dan musibah itu sebenarnya adalah teguran daripada Allah terhadap kesalahan dan tingkah laku manusia yang sudah terlalu jauh menyimpang dan meninggalkan ajaran sebenarnya. Musibah ini memperingatkan kita untuk kembali ke pangkal jalan meninggalkan kemaksiatan dan dosa, kembali kepada kebenaran.
Namun, ada kalanya musibah dan bencana itu berupa azab yang ditimpakan Allah kepada kaum kafir, zalim dan melampau batas, bukan kerana gejala semula jadi alam atau akibat tangan manusia.
Peristiwa banjir besar pada zaman Nabi Nuh adalah salah satu contohnya. Pada masa itu, hutan belum lagi ditebang secara meluas, industri belum lagi ada, kesan rumah kaca pun belum lagi wujud. Tetapi, Allah menurunkan banjir dan memusnahkan kaum itu dari bumi ini. Hal ini berlaku kerana kekafiran dan penderhakaan yang mereka lakukan terhadap Maha Kuasa.
Begitu juga peristiwa pada zaman Nabi Luth, dalam bentuk gempa bumi yang sangat besar yang meranapkan semua bangunan tempat tinggal dan membinasakan semua penduduk negeri itu. Padahal, pada masa Nabi Luth alam itu masih lagi lestari, belum ada kerosakan akibat tangan manusia. Tetapi, Allah mendatangkan azab bagi menghukum kejahatan dan sikap melampau batas yang mereka lakukan dan sikap sombong serta kafir terhadap perintah Allah dan rasul-Nya.
Oleh itu, tsunami yang melanda beberapa negara seharusnya menjadi iktibar bagi kita semua. Musibah ini juga seharusnya membuat kita bertanya apakah bencana alam ini hanyalah satu proses atau gejala alam biasa? Atau ia akibat kerosakan yang dilakukan oleh tangan manusia hingga membuat bumi tidak lagi stabil dan berjalan menurut hukum alam yang semestinya? Atau ini adalah peringatan Tuhan terhadap kesalahan dan dosa yang kita lakukan secara sedar atau tidak? Atau ia adalah azab Tuhan yang ditimpakan akibat kekafiran dan kezaliman yang dilakukan oleh orang tertentu yang akibatnya juga dirasakan oleh orang beriman dan tidak bersalah?
Jika tsunami adalah gejala alam biasa, maka sebagai orang yang beriman kita hanya dapat mengucapkan Subhanallah di atas kekuasaan Tuhan yang diperlihatkan-Nya melalui fenomena alam yang demikian dahsyatnya.
Apabila kejadian itu berpunca daripada kerosakan yang dilakukan oleh tangan manusia, maka penyebab itu mestilah ditemukan bagi mencari jalan penyelesaiannya.
Namun, jika bencana ini adalah peringatan kepada manusia, maka sewajarnya kita merenung dan bercermin diri untuk mengingat kesilapan yang dilakukan, seraya bertaubat dan memohon ampun kepada Allah, Tuhan pemilik alam ini.
Salah satu jalan terbaik untuk menolak bala dan bencana serta memudahkan datangnya kasih sayang Tuhan adalah dengan mengukuhkan iman dan takwa. Hal ini dengan tegas Allah dalam firman-Nya bermaksud: “Andai kata penduduk satu negeri itu benar-benar beriman dan bertakwa, maka kami akan bukakan kepada mereka keberkatan kami yang datang dari langit mahupun yang tumbuh dari bumi. Akan tetapi jika mereka mendustakan ayat kami, maka kami akan azab mereka akibat daripada perbuatan mereka sendiri " (Surah al-A'raf, ayat 96)
PENULIS boleh dihubungi pada kerepek10@gmail.com dan persoalan boleh dilihat di http://kerepek-net.blogspot.com
Rujukan: Maklumat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Koman & Cadangan:
Post a Comment