Khasiat sayuran dan ulaman - Bendi & Seleri

on Saturday, April 12, 2008

Malaysia adalah negara yang kaya dengan pelbagai jenis sayuran. Banyak jenis sayuran dari merata dunia telah dibawa masuk ke negara kita namun sayuran tempatan masih lagi terletak di tempat teratas. Sayuran tempatan mengandungi khasiat yang tinggi dan penting untuk keperluan aktiviti tubuh. Sayuran tempatan terutamanya dalam kategori ulam-ulaman sebenarnya bukan sahaja sebagai pembuka selera malah ada yang menjadi penawar berkesan serta sumber makanan yang amat berkhasiat. Antara contoh sayuran tempatan yang terkenal ialah timun, peria, bendi, seleri, asparagus, kacang botor, pegaga, dan sebagainya.

Bendi

Bendi juga merupakan sayur tempatan yang banyak ditanam di negara-negara yang beriklim panas lembap. Berdasarkan kajian yang dilakukan bendi mengandungi 2% protein, 7% karbohidrat dan 1% serat. Selain itu ia juga kaya dengan zat galian, vitamin dan kalsium. Bendi juga merupakan sayur yang baik untuk perkembangan otak. Dalam bidang perubatan bendi digunakan sebagai perangsang buangan air kecil, merawat gonorea, sifilis serta bengkak saluran kerongkong dan hidung.

Seleri

Seleri sejenis sayur berbatang lembut yang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, karotin, vitaminA, B-komplek dan C dan magnesium. Ia dikenali sebagai Apium graveolens yang berasal daripada keluarga dulce umbelliferae. Seleri merupakan penawar dalam amalan perubatan tradisional untuk menurunkan tekanan darah tinggi. Terdapat beberapa cara untuk menggunakan seleri sebagai ubat tekanan darah tinggi. Ia boleh dimasak sup atau sayur untuk dihidangkan sebagai hidangan sampingan.

Seleri juga bertindak melancarkan pengaliran dan pusingan haid serta mengatasi masalah penyakit keputihan. Ia juga dapat merawat penyakit kulit seperti jerawat, ruam, dan ekzema atau geligata. Kandungan garam galian dalam seleri bertindak menghapuskan pengumpulan asid yang berlebihan dalam darah, sekali gus memulihkan sifat alkalinnya. Proses itu bertindak membersihkan kulit dan amat berkesan untuk mengatasi masalah alahan, termasuk alahan terhadap kucing.

Kesimpulan

Berdasarkan penjelasan dan huraian di atas menunjukkan sayuran dan ulaman tempatan mempunyai khasiat yang tinggi untuk keperluan manusia. Sayuran ini juga mudah di tanam dan ada sesetengahnya tumbuh secara semulajadi disekeliling rumah kita. Kesihatan tubuh badan amat penting untuk membolehkan kita bergerak aktif menjalankan aktiviti harian. Walaupun terdapat banyak sayuran yang diimport dengan pelbagai bentuk, rasa dan rupa tetapi sayur ulaman tempatan masih mendapat tempat utama di pasar tani, pasar malam, dan pasar minggu. Di hotel-hotel kelas tinggi juga ulaman dihidangkan sebagai penambah selera pelanggan. Sayuran ulaman bukan sahaja sebagai pembuka selera tetapi menjadi penawar kepada segala jenis penyakit yang merbahaya.

Rujukan
Ramli Abdul Samad. 1997.
Khasiat petai dalam perubatan tradisional. Majalah Kosmik, Jun: 48-49.
Dr. Ong Hean Chooi. 1997.
Nutrien dalam tumbuhan penting untuk tubuh. Majalah Kosmik, Disember: 36-37.
Dr. Ong Hean Chooi. 1998.
Sayuran tempatan mempunyai khasiat lebih bernilai. Majalah Kosmik, Januari: 38-39.
Rahana MD. 1997.
Cili pedasnya menyengat. Wanita, September: 122-124.
Mastika. 1997.
Tips kesihatan. Jun: 24-25.

0 Koman & Cadangan: