Baju Melayu

on Tuesday, January 04, 2005

Baju Melayu mempunyai pesak, berkekek, berlengan panjang dengan tiga poket di hadapan, berleher bulat dan kembang bahagian bawahnya. Kebiasaanya, baju Melayu dipakai bersama seluar panjang yang sedondon warnanya serta bersamping dagang luar ataupun samping dagang dalam. Kadangkala juga dipakai dengan kain sarung. Oleh itu, dinamakan pakaian “ketumbing”. Pakaian tersebut dipakai ketika berada di rumah atau mengerjakan solat di masjid atau surau.

Baju Melayu terbahagi kepada dua bentuk. Bezanya ialah bentuk leher baju tersebut. Leher baju Melayu Teluk Belanga bulat berbelah di bahagian hadapan sepanjang enam inci. Ia diperbuat sebegini rupa supaya mudah disarung melalui kepala. Pada bahagian leher dijahit “sembat halus”, manakala pada bahagian pinggir bulatan dijahit “tulang belut”. Tempat pengancing baju pada bahagian pangkal belahan, iaitu rumah kancing menggunakan jahitan benang dikenali sebagai jahitan “insang pari”. Poketnya ada tiga satu di bahagian kiri dada dan dua lagi di paras pinggang. Baju Melayu Teluk Belanga amat terkenal di negeri Johor dengan bersamping dagang dalam.

Baju Melayu cekak musang yang sama bentuk dengan baju Melayu teluk belanga diperkenalkan awal tahun 1930-an. Pada mulanya baju ini dikenali sebagai Baju Wan, sempena gelaran “tuan”. Pada masa itu baju ini hanya dipakai oleh kerabat diraja, orang besar dan pengantin.

Perbezaan baju Melayu Cekak Musang pula ialah lehernya keras dan berbentuk bulat berdiri dengan bahagian hadapan belah baju bertaut tertutup. Lubang butang ditebuk pada bahagian hadapan belah lapik leher baju atas dan bawah untuk diisi butang baju. Bahagian hadapan belah baju dikancing dengan tiga, empat atau lima biji butang. Kebiasannya, lebar keliling leher berdiri ialah satu inci. Baju ini dipadankan dengan samping songket yang diikat paras pinggang dan dikenakan pada luar baju.

Terdapat pelbagai potongan seluar baju Melayu lelaki, antaranya seluar panjang yang labuhnya hingga buku lali, seluar Acheh, seluar katuk, dan seluar sampit. Pada masa dahulu terutamanya di Johor, kaum lelaki memakai seluar kiul yang berkaki kecil dan berpinggang besar. Pada bahagian pinggang terdapat tali yang boleh dicerut ketika memakai seluar berkenaan. Seluar kiul biasanya dipakai dengan sarung yang labuhnya hingga lutut. Jenis kain sarung yang digunakan terdiri daripada kain Bugis, pelekat, mastuli dan sutera yang mempunyai kepala kain .

Walau bagaimanapun, pada masa ini seluar Kiul digantikan dengan seluar panjang moden yang menggunakan zip atau butang di bahagian hadapan seluar. Manakala kain sarung digantikan dengan kain samping. Terdapat pelbagai jenis ikatan samping yang dipadankan dengan baju Melayu. Pada awalnya kain lepas atau kain punca potong dipakai sebagai samping. Ia diikat dengan “ikatan pancung” berbagai gaya. Ikatan pancung dipelopori sejak zaman kesultanan Melaka. Kain lepas dililitkan pada pinggang dan dipancung sebelum sampai ke penghujung kain, iaitu kain ini disemat yang lebihnya dibiarkan terjurai kebawah, menampakkan kesan estetika melorot bak aliran sungai berliku.

Kemudian kain sarung dijadikan samping dengan “ikatan kembung” diperagakan. Samping dipakai apabila kedua-dua hujung kain dijahit. Ikatan ini digunakan sehingga kini. Jenis ikatan lain adalah memakai samping cara lingkup ke hadapan atau ke tepi dengan menggulung bahagian atas samping. Pengantin Melayu biasanya memakai samping ikatan yang dikenali sebagai gaya P.Ramlee yang mirip gaya ikatan kembung dengan lebih kain simpulannya diolah lebih rapi dalam pelbagai bentuk seperti hulu keris atau corak bunga. Kini baju Melayu banyak dipakai dengan samping gaya berdagang luar kerana lebih kemas dan bergaya.

0 Koman & Cadangan: