Miliki modal insan berkualiti

on Sunday, January 30, 2005

Pengisian merdeka lebih bererti jika negara miliki modal insan berkualiti

SETIAP pagi 31 Ogos, saya memutar lagu nyanyian Ahmad Jais, Bahtera Merdeka. Lagu itu memberi kesan tersendiri kepada jiwa saya kerana irama dan seni katanya yang sungguh bermakna.
Sebagai anak muda yang tidak pernah menghadapi kesukaran menuntut kemerdekaan, lagu itu mendekatkan saya kepada pejuang dan pembela kemerdekaan. Lagu itu juga menusuk kalbu kerana ‘desakan’ berkorban jiwa dan raga untuk kedaulatan nusa bangsa supaya negara maju jaya dan aman merdeka.
Pagi ini, lagu itu saya putarkan lagi sempena menyambut ulang tahun ke-48 kemerdekaan negara. Lagu itu berkumandang di celah laungan ‘merdeka’ dan kibaran Jalur Gemilang dapat dilihat di merata tempat. Tua dan muda, sama-sama menyerikan ulang tahun kemerdekaan dengan penuh semangat.
Sambutan ulang tahun yang kita raikan saban tahun ini mengingatkan kepada pelbagai persoalan pokok yang berkaitan dengan erti kemerdekaan, pengisian dan perjuangan memartabatkan Malaysia. Erti kemerdekaan mendefinisikan makna kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka, kepelbagaian kaum yang membentuk asas kemakmuran masyarakatnya dan tanggungjawab untuk membangunkan negara ke tahap lebih baik. Untuk merealisasikan erti kemerdekaan ini, kita harus menyerlahkan pengisian kemerdekaan dalam bentuk amalan. Banyak cara untuk kita berbakti dan berkorban untuk negara. Angkatan tentera dan pasukan keselamatan lain mempertaruhkan nyawa memastikan negara aman dan tenteram. Kakitangan sektor awam menggunakan pelbagai kemahiran untuk memastikan negara maju, manakala sektor swasta pula memacu pembangunan ekonomi negara dengan projek berdaya maju.
Biar apapun bentuk khidmat dan amalan kita demi negara tercinta, peranan dan modus operandi pengisian kemerdekaan memerlukan rakyat yang berilmu dan berakhlak mulia dengan etika kerja cemerlang. Inilah modal insan yang selalu disebut-sebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak kebelakangan ini dalam konteks memperkasakan masyarakat Malaysia pasca kemerdekaan. Modal insan dijana menerusi sistem pendidikan mantap. Ia tidak terhad kepada pengajian formal dan pengijazahan saja.
Modal insan yang harus dikembangkan merangkumi pelbagai peringkat dan usia. Peringkat profesional dan pengurusan memerlukan pendidikan formal yang baik dan berkualiti di institusi pengajian tinggi (IPT) yang juga bermutu dan prestij. Golongan separa profesional dan pekerja am perlu dibangunkan dari segi kemahiran, sikap dan kesungguhan.Sesebuah negara yang maju sebenarnya bukan hanya didukung oleh profesional yang berdaya saing dan mempunyai sikap proaktif, malah ditunjangi oleh pekerja separa profesional dan pekerja am yang berkualiti dan berjiwa besar.
Mereka bangga melakukan apa saja untuk kemajuan diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara. Jika mereka berkhidmat sebagai petani, mereka berusaha untuk menjadi petani yang berdaya maju dan inovatif menggunakan pelbagai pengetahuan dan teknologi moden untuk mempertingkatkan produktiviti. Jika mereka berkerja sebagai pensyarah, mereka berfungsi sebaiknya menjadi peneroka dan pengajar ilmu yang terbaik dan cemerlang. Kualiti rakyat yang tinggi ini hanya terjana menerusi amalan dan etika kerja yang baik, budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat. Pendidikan dalam konteks semasa memerlukan dinamisme yang lebih berdaya saing kerana saingan kita semakin canggih.
Kita memerlukan bukan hanya sistem pendidikan yang kemuncaknya ialah proses pengijazahan, malah penghayatan ilmu dalam bentuk yang tersirat. Ilmu itu tersirat dalam perwatakan, pencaraan dan keperibadian seseorang. Ia tersirat dan semakin mantap sepanjang hayat kerana proses pembelajaran tidak terhenti dalam majlis konvokesyen.
Hal ini dapat diamalkan menerusi pembacaan yang lancar dan pelbagai, majlis ilmu yang sentiasa meriah dan penonjolan tokoh ilmu sebagai model ikutan masyarakat. Ketika membincangkan kepentingan dan ideal ilmu, bekas Presiden Universiti Chicago, Dr Robert Hutcin, menyebutkan mengenai tradisi ilmu dalam sesebuah masyarakat meletakkan nilai ilmu pada martabat tertinggi.
Bagi masyarakat sedemikian, nilai ilmu mengatasi segala-galanya, termasuk selebriti hiburan, harta mahu pun status. Keadaan sedemikian pernah wujud dalam tradisi ilmu Barat dan ketika keagungan empayar Islam.
Soalnya, apakah kita berjaya mewujudkan persekitaran ilmu yang sedemikian segar dan dinamik? Apakah percambahan IPT ketika ini mendokong pemantapan budaya ilmu yang memperteguhkan lagi daya saing dan daya fikir? Apakah tidak mustahil untuk kita menjadi pusat keilmuan di rantau ini dengan adanya universiti awam dan swasta yang mantap dan sekolah berkualiti?
Pengasas syarikat Kyocera, Dr Kazuo Inamori, berkata kejayaan terhasil menerusi tiga faktor utama iaitu keupayaan, usaha dan sikap. Ketiga-tiga faktor itu boleh dibentuk dan dimantapkan menerusi sistem pendidikan yang berkualiti. Dengan kata lain, untuk berjaya dan maju, rakyat Malaysia perlu mempertingkat keupayaan dari segi kemahiran, pengetahuan dan amalan. Selain itu, kita juga perlu berusaha dengan gigih untuk maju dalam apa saja bidang yang kita ceburi. Dalam kemeriahan kita meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-48 hari ini, ada baiknya menoleh dan memperkasakan kualiti modal insan dalam diri dan organisasi, keluarga dan masyarakat. Itulah tugas yang relevan ketika ini kerana tidak semua perlu memikul senjata dan bertaruh nyawa untuk menunaikan sumpah dan janji mempertahankan kemerdekaan ini. Selamat ulang tahun ke-48 Malaysia!
Oleh Prof Dr Zaini ujang
Penulis adalah Profesor Kejuruteraan Alam Sekitar dan Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air (IPASA) di Universiti Teknologi Malaysia.

Lagu Negaraku berdepan detik suram

Negara ku MALAYSIA

KETIKA Malaysia menuju tahap pembangunan yang tidak terduga, roh dan semangatnya juga harus bergerak serentak dengan kemajuan dicapai.
Bagaimanapun, nilai ini dikatakan sudah berkurangan. Ini dapat dilihat dengan semakin ramai rakyat Malaysia hanya boleh menyanyi tidak lebih daripada dua baris lirik Negaraku – lagu kebangsaan negara yang harus mereka hafal.
Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Datuk Seri Dr Arshad Hashim, (orang ini pun belum pasti lancar menyanyi) berkata beberapa ketika dulu, ada pelajar yang gagal menghafal liriknya sedangkan Negaraku dinyanyikan setiap kali perhimpunan mingguan di sekolah.
Malah, katanya, dalam acara sukan sama ada pada peringkat kebangsaan atau antarabangsa, ada olahragawan tidak menyanyikan lagu kebangsaan ketika ia dimainkan.“Penghormatan dan penghayatan terhadap Negaraku semakin berkurangan dan kita harus disalahkan jika generasi masa depan tidak boleh menyanyikannya,” katanya.
Jika kecintaan dan semangat patriotik kepada negara boleh dihitung, kayu ukurnya terletak pada kebolehan mereka menyanyikan lagu kebangsaan.
Sebenarnya, penghormatan dan kemampuan menyanyikan Negaraku boleh dianggap cerminan jiwa sesuatu bangsa terhadap kecintaan dan taat setianya kepada negara. Apa yang membimbangkan ialah rendahnya rasa hormat diberikan orang ramai apabila mereka enggan berdiri dan bernyanyi dengan penuh rasa bangga ketika Negaraku dimainkan di acara umum.
Semangat patriotik yang lemah ini menimbulkan kekhuatiran di kalangan anggota Kabinet, yang meminta Kementerian Penerangan mengusahakan sesuatu menanganinya.
Menteri Penerangan, Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, mengarahkan pegawainya melakukan lebih banyak usaha membudayakan Negaraku di kalangan rakyat, termasuk menjadikannya lagu wajib pada setiap acara rasmi kerajaan.
Malah, Dr Arshad suatu ketika dulu mencadangkan lagu kebangsaan itu dimainkan di pawagam sebelum tayangan filem dimulakan. Pengunjung mungkin harus berdiri dan menyanyikan Negaraku sebagai tanda hormat dan menghayatinya.“Ini bukan perkara baru. Pada masa lalu, pawagam pernah berbuat demikian dan kita mahu hidupkan budaya ini,” katanya.
Bagaimanapun, idea itu tidak mendapat sambutan orang ramai yang berasa keghairahan seperti itu terlalu berlebih-lebihan. Ia boleh menjejaskan rasa hormat mereka kepada lagu kebangsaan jika dimainkan pada tempat dan masa yang salah.
Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-48, lagu Negaraku seharusnya terpahat dalam jiwa dan sanubari setiap warganegara. Ada baiknya jika mereka mengenali sejarah lagu kebangsaan, yang lahir sebelum wujudnya Malaysia lagi.
Lagu kebangsaan dipilih oleh satu jawatankuasa diketuai Almarhum Tunku Abdul Rahman. Sebelum pemilihan itu, satu pertandingan terbuka untuk pencipta lagu seluruh dunia diadakan, tetapi tidak satu pun ciptaan mereka dikira sesuai.
Kemudian, pada satu acara diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada 5 Ogos 1957 untuk memilih komposisi lagu yang sesuai, Negaraku — lagu kebesaran negeri Perak yang diubahsuai dengan cita rasa dan melodi tradisional, dipilih.
Timbul kontroversi mengenai melodi asal lagu ini, tetapi pemilihannya ada kaitan dengan latar belakang romantis sejarahnya bermula 1876.
Ia mempunyai hubungan rapat dengan bencana menimpa Sultan Perak, yang dibuang negeri ke Scychelles oleh kolonial British berikutan pembunuhan terhadap Residen British Pertama di negeri itu, JWW Birch.
Selepas Persekutuan Malaya berubah menjadi Malaysia pada 1963, Negaraku diangkat sebagai lagu kebangsaan. – Bernama KerepeK

Baju Melayu

on Tuesday, January 04, 2005

Baju Melayu mempunyai pesak, berkekek, berlengan panjang dengan tiga poket di hadapan, berleher bulat dan kembang bahagian bawahnya. Kebiasaanya, baju Melayu dipakai bersama seluar panjang yang sedondon warnanya serta bersamping dagang luar ataupun samping dagang dalam. Kadangkala juga dipakai dengan kain sarung. Oleh itu, dinamakan pakaian “ketumbing”. Pakaian tersebut dipakai ketika berada di rumah atau mengerjakan solat di masjid atau surau.

Baju Melayu terbahagi kepada dua bentuk. Bezanya ialah bentuk leher baju tersebut. Leher baju Melayu Teluk Belanga bulat berbelah di bahagian hadapan sepanjang enam inci. Ia diperbuat sebegini rupa supaya mudah disarung melalui kepala. Pada bahagian leher dijahit “sembat halus”, manakala pada bahagian pinggir bulatan dijahit “tulang belut”. Tempat pengancing baju pada bahagian pangkal belahan, iaitu rumah kancing menggunakan jahitan benang dikenali sebagai jahitan “insang pari”. Poketnya ada tiga satu di bahagian kiri dada dan dua lagi di paras pinggang. Baju Melayu Teluk Belanga amat terkenal di negeri Johor dengan bersamping dagang dalam.

Baju Melayu cekak musang yang sama bentuk dengan baju Melayu teluk belanga diperkenalkan awal tahun 1930-an. Pada mulanya baju ini dikenali sebagai Baju Wan, sempena gelaran “tuan”. Pada masa itu baju ini hanya dipakai oleh kerabat diraja, orang besar dan pengantin.

Perbezaan baju Melayu Cekak Musang pula ialah lehernya keras dan berbentuk bulat berdiri dengan bahagian hadapan belah baju bertaut tertutup. Lubang butang ditebuk pada bahagian hadapan belah lapik leher baju atas dan bawah untuk diisi butang baju. Bahagian hadapan belah baju dikancing dengan tiga, empat atau lima biji butang. Kebiasannya, lebar keliling leher berdiri ialah satu inci. Baju ini dipadankan dengan samping songket yang diikat paras pinggang dan dikenakan pada luar baju.

Terdapat pelbagai potongan seluar baju Melayu lelaki, antaranya seluar panjang yang labuhnya hingga buku lali, seluar Acheh, seluar katuk, dan seluar sampit. Pada masa dahulu terutamanya di Johor, kaum lelaki memakai seluar kiul yang berkaki kecil dan berpinggang besar. Pada bahagian pinggang terdapat tali yang boleh dicerut ketika memakai seluar berkenaan. Seluar kiul biasanya dipakai dengan sarung yang labuhnya hingga lutut. Jenis kain sarung yang digunakan terdiri daripada kain Bugis, pelekat, mastuli dan sutera yang mempunyai kepala kain .

Walau bagaimanapun, pada masa ini seluar Kiul digantikan dengan seluar panjang moden yang menggunakan zip atau butang di bahagian hadapan seluar. Manakala kain sarung digantikan dengan kain samping. Terdapat pelbagai jenis ikatan samping yang dipadankan dengan baju Melayu. Pada awalnya kain lepas atau kain punca potong dipakai sebagai samping. Ia diikat dengan “ikatan pancung” berbagai gaya. Ikatan pancung dipelopori sejak zaman kesultanan Melaka. Kain lepas dililitkan pada pinggang dan dipancung sebelum sampai ke penghujung kain, iaitu kain ini disemat yang lebihnya dibiarkan terjurai kebawah, menampakkan kesan estetika melorot bak aliran sungai berliku.

Kemudian kain sarung dijadikan samping dengan “ikatan kembung” diperagakan. Samping dipakai apabila kedua-dua hujung kain dijahit. Ikatan ini digunakan sehingga kini. Jenis ikatan lain adalah memakai samping cara lingkup ke hadapan atau ke tepi dengan menggulung bahagian atas samping. Pengantin Melayu biasanya memakai samping ikatan yang dikenali sebagai gaya P.Ramlee yang mirip gaya ikatan kembung dengan lebih kain simpulannya diolah lebih rapi dalam pelbagai bentuk seperti hulu keris atau corak bunga. Kini baju Melayu banyak dipakai dengan samping gaya berdagang luar kerana lebih kemas dan bergaya.

Sejarah Bendera Malaysia

on Sunday, January 02, 2005

SEJARAH BENDERA MALAYSIA

Sejarah Bendera Persekutuan Tanah MelayuMerdeka, Merdeka, Merdeka ! – Tepat jam 12.00 malam 30 Ogos 1957 bertempat di Padang Kelab Selangor bendera Union Jack diturunkan dan Bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dengan penuh kegemilangan, melambangkan kemerdekaan Negara yang tercinta. Beribu-ribu rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa serta pejuang-pejuang kemerdekaan menyaksikan peristiwa tersebut dengan penuh rasa bangga.
Sejarah penerimaan bendera Persekutuan Tanah Melayu ialah melalui perjanjian dengan Majlis Raja-raja di mana sebuah Jawatankuasa telah ditubuhkan dalam tahun 1949 untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Satu Pertandingan Peringkat Kebangsaan telah diadakan bagi memilih Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru.
Pertandingan ini diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. Sebanyak 373 karyawan telah mengambil bahagian di mana tiga reka bentuk bendera dipilih ke peringkat akhir. Reka bentuk pertama ialah lambing keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima. Reka bentuk kedua hampir serupa dengan reka bentuk pertama kecuali 11 bintang pecah lima itu disusun dalam bulatan mengelilingi Keris bersilang tersebut. Reka bentuk ketiga ialah 11 jalur biru-putih dengan Bulan Bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri. Majlis Perundangan Persekutuan menjemput orang ramai memberikan pendapat kepada ketiga-tiga reka bentuk tersebut.
Pendapat umum itu telah dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pada 28 November 1949 menunjukkan majoriti orang ramai memilih reka bentuk ketiga. Reka bentuk tersebut adalah ciptaan seorang Arkitek Kerajaan Johor iaitu Encik Mohamad bin Hamzah. Reka bentuk bendera tersebut dengan beberapa pindaan telah mendapat perkenan Mesyuarat Majlis Raja-raja pada 22 dan 23 Februari 1950.
Pada 19 April 1950 Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut: “That in the opinion of this Council, the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:- “Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour. The uppermost stripes being red, having a blue quarter with a cresent and eleven-pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet.” Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King Gerge VI pada 19 Mei 1950.
Pertama kali Bendera persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Persuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selnagor dengan dihadiri oleh D.Y.M.M. Raja-raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.
Sejarah Bendera Malaysia Bendera Malaysia adalah dari Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia Hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.
Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah Negara baru iaitu Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh Negara untuk melambangkan lahirnya Malaysia pada 16 September, 1963.
Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur dan bintang pecah 14 itu membawa maksud keanggotaan yang sama dalam Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.
HAK MENGIBARKAN BENDERA
Bendera adalah hak mutlak rakyat Malaysia. Sesiapa juga boleh mengibarkannya asalkan ianya dikibarkan mengikut amalan-amalan biasa mengibarkan bendera seperti tempat, masa, kedudukan saiz, tiang dan bendera serta susunan bendera sekiranya dikibarkan lebih daripada satu jenis bendera. Pejabat-pejabat Kerajaan Persekutuan, badan-badan Berkanun Persekutuan, Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan Persekutuan diwajibkan mengibarkan bendera Persekutuan seperti diarahkan melalui Surat Pekeliling Am Bil. 3 tahun 1994.
Selain dari agensi-agensi Kerajaan dan rakyat biasa, pertubuhan dan persatuan sukarela, syarikat-syarikat gedung-gedung perniagaan, kedai-kedai dan gerai-gerai juga digalakkan mengibarkan Bendera Persekutuan sama seperti agensi-agensi Kerajaan.
CARA-CARA MENGIBARKAN BENDERA
Adab Dan Tertib Bendera adalah lambing kebesaran dan kedaulatan Negara. Oleh yang demikian menarik dan menurunkannya hendaklah dalam keadaan dan cara yang sopan. Cara-cara yang sesuai ialah:
i) Sebelum menaikkan bendera ujilah tali temali bendera terlebih dahulu bagi memastikan ianya teguh dan tidak mudah putus hingga menyebabkan benderanya jatuh atau melampai tidak tentu arahnya.
ii) Sebelum bendera dinaikkan, pastikan ianya dalam keadaan yang baik.
iii) Mereka yang akan menarik dan menurunkan bendera hendaklah berpakaian kemas.
iv) Menaik dan menurunkan bendera hendaklah dengan tertib iaitu perlahan-lahan. Apabila mengibarkan bendera separuh tiang, bendera hendaklah dinaikkan sepenuhnya dahulu dan kemudian menurunkannya semula ke separuh tiang. Apabila menurunkan bendera separuh tiang, langkah pertama ialah menaikkan semula bendera tersebut sepenuhnya dan kemudian menurunkannya terus.
v) Bendera janganlah diletakkan di tanah semasa hendak menaikkannya.
vi) Bendera janganlah dibiarkan meleret ke tanah sewaktu menurunkannya tetapi hendaklah ditatang atau diselempangkan ke habu apabila ia sampai ke bawah.
vii) Selepas digunakan bendera hendaklah dilipat dan disimpan dengan baik di tempat tertentu supaya tidak dilangkah dan sebagainya.
viii) Bendera tidak seharusnya digunakan untuk mengalas meja atau menutup sesuatu melainkan sebagai memberi kehormatan Negara seperti menutup keranda dalam Istiadat Permakaman / Pengebumian Negara.
ix) Bendera yang koyak dan telah bertukar warna adalah dianggap sebagai bendera yang uzur. Bendera yang uzur hendaklah tidak dikibarkan kerana pengibarannya menunjukkan tanda tidak hormat. Ianya hendaklah dimusnahkan dengan cara yang sopan.
Caranya ialah dengan membakar bendera tersebut secara tertutup tanpa menunjukkan rasa tidak hormat kepada bendera tersebut.
Petikan daripada Buku Bendera, Lambang dan Lagu Kebesaran Negeri-Negeri Di Malaysia Oleh Lim Kim Wah (Bahagian Penerbitan Jabatan Penerangan Malaysia)
Keterangan Kreatif
Empatbelas jalur merah dan putih yang sama lebarnya melambangkan keanggotaan yang sama 13 buah negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu, dalam Kerajaan Persekutuan.
Warna merah melambangkan kegagahan dan keberanian dalam menghadapi cabaran.
Warna putih melambangkan keluhuran budi
Sukuan berwarna biru tua melambangkan perpaduan dan rukun damai rakyat yang berbilang kaum.
Bulan sabit melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara.
Bintang pecah 14 melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan
Warna kuning pada anak bulan dan bintang ialah warna diraja iaitu mewakili kedaulatan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.
Maksud "Jalur Gemilang"
Jalur - menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur. Jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu laluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.
Gemilang - bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian, Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekalipun sama ada di dalam atau di luar negara.Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.Jalur atau Bendera melambangkan citra atau imej negara dan rakyat yang patriotik, gigih, gagah dan berani menghadapi cabaran serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan negara.
Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia, Jun 1997

Sejarah Lagu Negaraku

SEJARAH NEGARAKU
LAGU Negara ku buat pertama kalinya diperdengarkan kepada umum pada tahun 1957. Lagu ini seterusnya dipilih menjadi lagu Kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu dan ternyata ia telah mencetuskan semangat cintakan negara yang tinggi di kalangan rakyat setelah dibelenggu penjajahan buat sekalian lamanya.
Ia berasal daripada sebuah lagu yang terkenal di kalangan khalayak bangsawan yang berjudul Terang Bulan. Mulanya ia merupakan lagu negeri Perak dan dipilih oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk dijadikan lagu Kebangsaan.

Negara ku
Tanah Tumpahnya Darah ku
Rakyat Hidup Bersatu Dan Maju
Rahmat Bahagia Tuhan Kurniakan
Raja Kita Selamat Bertakhta
Rahmat Bahagia Tuhan Kurniakan
Raja Kita Selamat Bertakhta

Pemilihan lagu Terang Bulan merupakan idea Bapa Kemerdekaan kita iaitu Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Walaupun pada mulanya pemilihan lagu ini mendapat tentangan kerana ia mirip sebuah lagu cinta, Tunku tetap dengan pendiriannya untuk memilih lagu tersebut. Beberapa pegawai dari Radio Malaya iaitu Dol Ramli Ahmad dan Alfonso Soliano telah dipanggil untuk menyesuaikan lagu ini menjadi sebuah lagu kebangsaan yang setanding dengan lagu kebangsaan British iaitu “God Save the Queen”.
Namun, untuk menyiapkan lagu Negara ku bukanlah satu perkara yang mudah. Tugas merakamkannya melibatkan ramai pihak. Ia bermula dengan rakaman yang diadakan di Depot Polis Jalan Gurney, Kuala Lumpur pada bulan Julai 1957 dan dimainkan oleh Pancaragam Polis. Lagu ini harus dirakamkan dalam masa yang singkat dan ketiadaan dewan akustik yang sesuai telah merumitkan lagi keadaan. Ditambah pula dengan gangguan lalu lintas dan sebagainya, ia benar-benar menguji kesabaran semua pihak yang terbabit terutamanya Bahagian Muzik Radio Malaya. Akhirnya, lagu Negara ku berjaya dirakamkan mengikut masa yang ditetapkan oleh Tunku.
Selesai ia dirakamkan, sebuah jawatankuasa kecil yang dipimpin oleh Tunku telah dibentuk untuk memberikan sumbangan terhadap penulisan seni kata lagu Negara ku. Setelah menyiapkan instrument lagu NegaraKu, tanggungjawab jawatankuasa tersebut ialah untuk merakamkan pula dengan seni kata. Tunku sendiri yang menulis senikata asal lagu Negara ku dan tatabahasanya dikemaskinikan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebuah pasukan koir juga telah dibentuk yang diberi nama “Koir Merdeka” dan dipimpin oleh Tony Fonseka. Ia terdiri daripada penyanyi-penyanyi terkenal pada masa itu bersama-sama dengan penyanyi koir tempatan. Akhirnya lahirlah lagu Negara ku, sebuah lagu kebangsaan yang cukup istimewa buat rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan ia bakal diperdengarkan kepada seluruh rakyat yang berkumpul pada tengah malam merdeka yang cukup bersejarah 31 Ogos 1957.
Arahan juga telah diberikan oleh Tunku agar lagu Negara ku ini disalin dan dikirim serta merta ke semua Kedutaan negara di serata dunia. Tidak mahu tidak, terpaksalah ia dirakamkan satu demi satu. Maklum sajalah, teknologi ketika itu amatlah terhad. Namun ia berjaya disiapkan dan dihantar ke semua Kedutaan untuk diperkenalkan ke serata dunia.
Emosi yang amat tinggi berjaya dicetuskan oleh lagu Negara ku pada malam kemerdekaan, 31 Ogos 1957. Sebaik sahaja bendera Union Jack diturunkan, bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan dan buat pertama kalinya lagu Negara ku diperdengarkan kepada rakyat jelata. Hanya air mata mengiringi melodi lagu Negara ku dan ia cukup untuk menceritakan segala-galanya. Selain itu, ulasan melalui Radio Malaya mengenai, Hashim Amir Hamzah dan Dom Madzi juga telah berjaya menarik perhatian seluruh rakyat untuk lebih menghayati dan memahami erti kemerdekaan.

Selain itu, jawatankuasa kecil yang dibentuk itu juga telah menerima arahan daripada Tunku untuk menghasilkan beberapa lagu Kebangsaan yang belum pernah dicipta demi membangkitkan lagi emosi dan semangat kemerdekaan di kalangan rakyat. Lagu-lagu seperti Malaya Tanah Air Ku, Kemegahan NegaraKu, Tanah Bangsa dan Daulat, Bendera Malaya dan lain-lain lagi telah berjaya dicipta dan dipersembahkan pada malam tersebut. Sesungguhnya lagu-lagu ini telah menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan di kalangan rakyat.
Ternyata jasa dan kreativiti Tunku amatlah besar. Bukan sahaja di dalam perjuangannya untuk mendapatkan kemerdekaan negara, malah membantu menyediakan asas yang kukuh terhadap semangat cintakan negara melalui lagu. Tunku juga merupakan pelopor utama irama Asli Melayu. Sumbangan beberapa insan seni yang membantu Tunku ketika itu juga tidak harus dilupakan. Lagu-lagu yang dihasilkan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap setiap jiwa rakyat ketika itu, malah ia digemari hingga ke hari ini. NegaraKu pula telah diiktiraf sebagai salah sebuah lagu kebangsaan terbaik di dunia. Dedikasi mereka telah memenuhi impian Tunku untuk membentuk semangat cintakan negara dan bangsa di jiwa rakyat dan ini harus kekal buat selama-lamanya.