Mengisi 10 hari terakhir Ramadan

on Sunday, October 23, 2005

BULAN Ramadan memiliki begitu banyak keistimewaan, salah satunya adalah Lailatulqadar, satu malam yang dinilai oleh al-Quran ``lebih baik dari seribu malam.'' Kebaikan dan kemuliaan yang dihadirkan oleh Lailatulqadar tidak mungkin akan diraih kecuali oleh orang-orang tertentu sahaja. Bukankah ada orang yang sangat rindu atas kedatangan kekasih, namun ternyata sang kekasih tidak sudi hampir menemuinya? Demikian juga dengan Lailatulqadar.
Itu sebabnya bulan Ramadan menjadi bulan kehadirannya kerana bulan ini adalah bulan penyucian jiwa dan itu pula sebabnya sehingga ia diduga oleh Rasul datang pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. Ketika itu, manusia yang berpuasa mengharap jiwanya telah mencapai satu tingkat kesedaran dan kesucian yang memungkinkan malam mulia itu mendekatinya.
Apabila jiwa telah bersedia, kesedaran telah mula bersemi dan malam Lailatulqadar datang menemui seseorang. Pada ketika itu, kehadirannya menjadi saat qadar, dalam erti kata saat menentukan bagi perjalanan sejarah hidupnya pada masa yang akan datang. Saat itu, bagi yang bersangkutan adalah saat titik tolak bagi meraih kemuliaan dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat kelak, dan sejak saat itu, malaikat akan turun menyertai dan membimbingnya menuju kebaikan sehingga terbit fajar. Dan menjadi tenaga spirituil untuk menjalani kehidupan dalam masyarakat yang penuh dengan godaan.
Kemuliaan malam Lailatulqadar terpilih sebagai malam turunnya al-Quran. Malam itu dikatakan mulia kerana ia dikaitkan dengan ibadah yang dilakukan pada malam tersebut mempunyai nilai tambah berupa kemuliaan dan ganjaran sendiri, berbeza dengan malam yang lain.
Dalam usaha bagi memperoleh malam Lailatulqadar ini, nabi s.a.w. menganjurkan agar umatnya mengamalkan iktikaf di masjid. Masjid adalah tempat suci bagi orang Islam. Segala aktiviti dan amal kebajikan bermula dari masjid. Di masjid pula, seseorang diharapkan agar merenung tentang diri dan masyarakatnya serta menghindarkan diri dari kesibukan yang menyesakkan jiwa dan fikiran bagi memperoleh pengetahuan tambahan dan penggayaan iman. Itu sebabnya ketika melaksanakan iktikaf, dianjurkan untuk membanyakkan doa bacaan al-Quran dan juga bacaan lain yang dapat memperkayakan iman dan ketakwaan.
Salah satu doa yang sering dibaca dan dihayati oleh nabi pada malam-malam itu adalah; Rabbanaa aatinaa fid dun-yaa hasanataw wafil akhirati hasanataw waqinaa `adzaaban naar.
Doa ini bermaksud, Ya Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah (hindarkanlah) kami dari azab neraka.

Kedamaian

Orang-orang yang menjalani malam itu dengan ikhlas akan berkesan terhadap jiwanya, sehingga pada akhirnya dia mendapat kedamaian dan ketenangan serta keinsafan dan kesedaran sehingga mengubah cara hidupnya secara total. Kesedaran seperti itu, apabila dirasakan oleh seseorang, maka itu adalah bukti bahawa dia telah mendapatkan Lailatulqadar.
Pada malam itu seolah-olah dia telah meletakkan batu permata bagi kebajikan sepanjang hayatnya sekali gus merupakan malam penetapan bagi langkah-langkah hidupnya di dunia dan di akhirat kelak. Orang yang mendapatkan Lailatulqadar akan semakin kuat dorongan dalam jiwanya untuk melakukan amal kebajikan pada sisa hidupnya sehingga dia merasakan kedamaian abadi.
Ibnu Qayyim telah menggambarkan tanda-tanda jiwa yang telah mencapai kedamaian iaitu, ``Hati yang mencapai kedamaian dan ketenteraman membawa pemiliknya daripada ragu kepada yakin, daripada kebodohan kepada ilmu, daripada lalai kepada ingat, khianat kepada amanah, riak kepada ikhlas, lemah kepada teguh dan sombong kepada mengenal diri.''
Dari Ibnu Abas dia berkata; Pada malam Lailatulqadar, Allah melihat orang-orang yang beriman dari umat Rasulullah kemudian mengampuni mereka dan mengasihaninya kecuali empat golongan iaitu; orang yang sering meminum arak, yang sering membangkang dan berselisih faham serta memutuskan hubungan silaturahim.
Malam Lailatulqadar yang ditemui atau yang menemui nabi pertama kali adalah ketika baginda menyendiri di Gua Hira', merenung tentang diri baginda dan masyarakat. Saat jiwanya telah mencapai kesuciannya, maka turunlah ar-Ruh (Jibrail) membawa ajaran dan memimpin baginda sehingga terjadilah perubahan total dalam perjalanan hidup baginda, bahkan hidup umat manusia.
Justeru, baginda pun mengajar umatnya melakukan iktikaf dalam usaha menyambut kehadiran Lailatulqadar. Nabi melakukannya pada sepuluh malam hari terakhir bulan Ramadan.
Baginda memerintahkan untuk mencari Lailatulqadar agar kaum Muslim tidak disibukkan sepanjang malam Ramadan dengan kesenangan yang melekakan.

Berusaha

Apabila masuk 20 Ramadan, Rasulullah menjauhi isteri-isterinya serta membangkitkan isteri dan anak-anak untuk sama-sama beribadat mencari Lailatulqadar. Aisyah dan Anas meriwayatkan bahawasanya nabi bersabda yang bermaksud; Apabila masuk hari terakhir 10 Ramadan baginda menguatkan ikatan pinggang, menjauhi isterinya, dan mandi di antara dua azan, dan mendirikan isyaknya di waktu sahur.
Ibnu Umar meriwayatkan dalam Sahih Muslim bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud; Carilah pada sepuluh malam terakhir. Bila salah seorang daripada kamu lemah atau tak berdaya, maka berusahalah mencari pada tujuh malam terakhir.
Nabi bersungguh-sungguh selama sebulan untuk mencari Lailatulqadar. Baginda beriktikaf pada sepuluh malam pertama untuk mencarinya. Lalu beriktikaf pada sepuluh malam pertengahan dan mengulanginya tidak hanya sekali. Kemudian baginda beriktikaf pada sepuluh malam terakhir dan memerintahkan umatnya untuk mencari pada malam-malam itu.
Baginda biarpun maksum atau terpelihara daripada melakukan perbuatan dosa malah telah dijamin syurga oleh Allah, namun masih lagi berusaha melipatgandakan ibadah khususnya di hari-hari terakhir Ramadan. Apatah lagi kita yang sering bergelumang dengan dosa-dosa tidak sanggup untuk menggandakan ibadah yang telah dijanjikan pahala yang begitu besar.
Aisyah pernah berkata kepada Rasulullah, ``Bila aku mendapati Lailatulqadar, apa yang semestinya aku katakan?'' Baginda berkata, katakan; Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, menyukai pengampunan, maka ampunilah aku.
Dia akan menghapuskan kesalahan hamba-hamba-Nya. Dia menyukai keampunan dan suka untuk mengampuni hamba-hamba-Nya, dan Dia suka jika hamba-hamba-Nya saling mengampuni antara mereka. Apabila sebahagian daripada mereka mengampuni sebahagian yang lain bermakna mereka telah berinteraksi dengan keampunan-Nya. Keampunan-Nya lebih disukai daripada seksaan-Nya.
Bilakah waktunya akan berlaku malam Lailatulqadar? Dalam Musnad dan kitab an-Nasai, Abu Dzar berkata, ``Aku bertanya Rasulullah tentang Lailatulqadar, ``Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepadaku tentang Lailatulqadar, apakah dalam bulan Ramadan atau dalam selain Ramadan?''
Rasulullah menjawab, Pada bulan Ramadan. Aku bertanya, ``Lailatulqadar ada bersama nabi, jika nabi sudah meninggal, apakah malam Lailatulqadar juga akan diangkat, atau tetapkah ada sampai hari kiamat?'' Nabi menjawab, Lailatulqadar ada sehingga hari kiamat. Aku bertanya, ``Pada bahagian Ramadan yang manakah?''
Nabi menjawab, Carilah pada sepuluh yang pertama dan sepuluh yang terakhir. Aku bertanya, ``Dalam sepuluh yang manakah?'' Nabi menjawab, Pada sepuluh yang terakhir. Jangan lagi kau bertanya kepadaku tentang sesuatu setelah ini. Kemudian Rasulullah berbicara.
``Setelah itu, aku bertanya kembali dengan harapan Rasulullah lupa, ``Wahai Rasulullah, aku bersumpah dengan hakku tentang apa yang engkau khabarkan, dalam sepuluh yang manakah Lailatulqadar?''
``Nabi marah kepadaku dengan kemarahan yang tidak pernah muncul sejak aku menjadi sahabatnya,'' dan bersabda; Carilah pada tujuh yang terakhir. Jangan lagi kau bertanya kepadaku tentang sesuatu setelahnya.
Oleh yang demikian, kita dianjurkan melipatgandakan ibadah dengan iktikaf dan qiamullail di malam-malam terakhir tujuh Ramadan. Mudah-mudahan akan bertemu dengan Lailatulqadar di samping dikurniakan Allah dengan ganjaran pahala dan rahmat yang tidak ternilai.

Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid
- Penulis ialah Penolong Pengarah YADIM.

0 Koman & Cadangan: