Nabi Muhammad paling dermawan

on Monday, October 24, 2005

DIRIWAYATKAN dalam sahih Al-Bukhari dan Muslim, daripada Ibnu Abbas, katanya: "Nabi Muhammad SAW ialah orang yang paling dermawan dan Baginda lebih dermawan pada Ramadan ketika Rasulullah ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya al-Quran.
"Jibril menemui Baginda setiap malam pada Ramadan, lalu membacakan kepadanya al-Quran.
"Rasulullah ketika ditemui Jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus."
Hadis ini diriwayatkan pula oleh Ahmad dengan tambahan: "Dan Baginda tidak pernah dimintai sesuatu kecuali memberikannya."
Menurut riwayat Al-Baihaqi daripada Saidatina Aisyah, katanya: "Rasulullah jika masuk Ramadan membebaskan setiap tawanan dan memberi setiap orang yang meminta."
Dermawan adalah sifat murah hati dan banyak memberi. Allah pun bersifat Maha Pemurah, Allah Maha Pemurah, kedermawanan-Nya berlipat ganda pada waktu tertentu seperti Ramadan.
Rasulullah ialah manusia yang paling dermawan, mulia, berani dan amat sempurna dalam segala sifat terpuji.
Kedermawanan Baginda pada Ramadan berlipat ganda berbanding bulan lain seperti kemurahan Tuhannya berlipat ganda pada bulan ini.
Ramadan adalah masa Allah menderma kepada hamba-Nya dengan rahmat, ampunan dan pembebasan daripada api neraka, terutama pada Lailatul Qadar.
Allah melimpahkan kasih-Nya kepada hamba-Nya yang bersifat kasih. Maka, barang siapa menderma kepada hamba Allah, nescaya Allah Maha Pemurah kepadanya dengan anugerah dan kebaikan. Balasan itu adalah sejenis dengan amal perbuatan.

Empat dosa yang tidak diampunkan Allah

on Sunday, October 23, 2005

PADA Lailatul Qadar Allah menyuruh Jibril turun ke bumi. Lalu turun Jibril dengan perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau.
Lalu dipacakkan di atas Kaabah, baginya 600 sayapnya, setengahnya tiada dibuka kedua-dua sayapnya, melainkan pada malam al-Qadar baru dibukakan kedua-duanya. Sayap itu hingga sampai dari timur ke barat (masyrik ke Maghrib) untuk menyelamatkan umat Muhammad.
Lalu, mereka memberi salam kepada setiap orang yang berjaga pada Lailatul Qadar beribadat kerana mencari keredaan Allah. Begitu juga kepada orang yang duduk beribadat, sembahyang, berzikir dan berjabat tangan sesama mukmin serta mengucap amin doa orang mukmin hingga terbit fajar Subuh.
Bertanya malaikat kepada Jibril: "Apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin daripada umat Muhammad pada Ramadan ini."
Jawab Jibril: "Bahawasanya Allah menilik kepada umat Muhammad yang berpuasa dan beribadat kepada-Nya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya, iaitu:
1. Orang yang kekal minum arak
2. Derhaka kepada ibu bapanya
3. Memutuskan silaturahim
4. Tidak bercakap dengan saudaranya lebih daripada tiga hari.

Mengisi 10 hari terakhir Ramadan

BULAN Ramadan memiliki begitu banyak keistimewaan, salah satunya adalah Lailatulqadar, satu malam yang dinilai oleh al-Quran ``lebih baik dari seribu malam.'' Kebaikan dan kemuliaan yang dihadirkan oleh Lailatulqadar tidak mungkin akan diraih kecuali oleh orang-orang tertentu sahaja. Bukankah ada orang yang sangat rindu atas kedatangan kekasih, namun ternyata sang kekasih tidak sudi hampir menemuinya? Demikian juga dengan Lailatulqadar.
Itu sebabnya bulan Ramadan menjadi bulan kehadirannya kerana bulan ini adalah bulan penyucian jiwa dan itu pula sebabnya sehingga ia diduga oleh Rasul datang pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. Ketika itu, manusia yang berpuasa mengharap jiwanya telah mencapai satu tingkat kesedaran dan kesucian yang memungkinkan malam mulia itu mendekatinya.
Apabila jiwa telah bersedia, kesedaran telah mula bersemi dan malam Lailatulqadar datang menemui seseorang. Pada ketika itu, kehadirannya menjadi saat qadar, dalam erti kata saat menentukan bagi perjalanan sejarah hidupnya pada masa yang akan datang. Saat itu, bagi yang bersangkutan adalah saat titik tolak bagi meraih kemuliaan dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat kelak, dan sejak saat itu, malaikat akan turun menyertai dan membimbingnya menuju kebaikan sehingga terbit fajar. Dan menjadi tenaga spirituil untuk menjalani kehidupan dalam masyarakat yang penuh dengan godaan.
Kemuliaan malam Lailatulqadar terpilih sebagai malam turunnya al-Quran. Malam itu dikatakan mulia kerana ia dikaitkan dengan ibadah yang dilakukan pada malam tersebut mempunyai nilai tambah berupa kemuliaan dan ganjaran sendiri, berbeza dengan malam yang lain.
Dalam usaha bagi memperoleh malam Lailatulqadar ini, nabi s.a.w. menganjurkan agar umatnya mengamalkan iktikaf di masjid. Masjid adalah tempat suci bagi orang Islam. Segala aktiviti dan amal kebajikan bermula dari masjid. Di masjid pula, seseorang diharapkan agar merenung tentang diri dan masyarakatnya serta menghindarkan diri dari kesibukan yang menyesakkan jiwa dan fikiran bagi memperoleh pengetahuan tambahan dan penggayaan iman. Itu sebabnya ketika melaksanakan iktikaf, dianjurkan untuk membanyakkan doa bacaan al-Quran dan juga bacaan lain yang dapat memperkayakan iman dan ketakwaan.
Salah satu doa yang sering dibaca dan dihayati oleh nabi pada malam-malam itu adalah; Rabbanaa aatinaa fid dun-yaa hasanataw wafil akhirati hasanataw waqinaa `adzaaban naar.
Doa ini bermaksud, Ya Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah (hindarkanlah) kami dari azab neraka.

Kedamaian

Orang-orang yang menjalani malam itu dengan ikhlas akan berkesan terhadap jiwanya, sehingga pada akhirnya dia mendapat kedamaian dan ketenangan serta keinsafan dan kesedaran sehingga mengubah cara hidupnya secara total. Kesedaran seperti itu, apabila dirasakan oleh seseorang, maka itu adalah bukti bahawa dia telah mendapatkan Lailatulqadar.
Pada malam itu seolah-olah dia telah meletakkan batu permata bagi kebajikan sepanjang hayatnya sekali gus merupakan malam penetapan bagi langkah-langkah hidupnya di dunia dan di akhirat kelak. Orang yang mendapatkan Lailatulqadar akan semakin kuat dorongan dalam jiwanya untuk melakukan amal kebajikan pada sisa hidupnya sehingga dia merasakan kedamaian abadi.
Ibnu Qayyim telah menggambarkan tanda-tanda jiwa yang telah mencapai kedamaian iaitu, ``Hati yang mencapai kedamaian dan ketenteraman membawa pemiliknya daripada ragu kepada yakin, daripada kebodohan kepada ilmu, daripada lalai kepada ingat, khianat kepada amanah, riak kepada ikhlas, lemah kepada teguh dan sombong kepada mengenal diri.''
Dari Ibnu Abas dia berkata; Pada malam Lailatulqadar, Allah melihat orang-orang yang beriman dari umat Rasulullah kemudian mengampuni mereka dan mengasihaninya kecuali empat golongan iaitu; orang yang sering meminum arak, yang sering membangkang dan berselisih faham serta memutuskan hubungan silaturahim.
Malam Lailatulqadar yang ditemui atau yang menemui nabi pertama kali adalah ketika baginda menyendiri di Gua Hira', merenung tentang diri baginda dan masyarakat. Saat jiwanya telah mencapai kesuciannya, maka turunlah ar-Ruh (Jibrail) membawa ajaran dan memimpin baginda sehingga terjadilah perubahan total dalam perjalanan hidup baginda, bahkan hidup umat manusia.
Justeru, baginda pun mengajar umatnya melakukan iktikaf dalam usaha menyambut kehadiran Lailatulqadar. Nabi melakukannya pada sepuluh malam hari terakhir bulan Ramadan.
Baginda memerintahkan untuk mencari Lailatulqadar agar kaum Muslim tidak disibukkan sepanjang malam Ramadan dengan kesenangan yang melekakan.

Berusaha

Apabila masuk 20 Ramadan, Rasulullah menjauhi isteri-isterinya serta membangkitkan isteri dan anak-anak untuk sama-sama beribadat mencari Lailatulqadar. Aisyah dan Anas meriwayatkan bahawasanya nabi bersabda yang bermaksud; Apabila masuk hari terakhir 10 Ramadan baginda menguatkan ikatan pinggang, menjauhi isterinya, dan mandi di antara dua azan, dan mendirikan isyaknya di waktu sahur.
Ibnu Umar meriwayatkan dalam Sahih Muslim bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud; Carilah pada sepuluh malam terakhir. Bila salah seorang daripada kamu lemah atau tak berdaya, maka berusahalah mencari pada tujuh malam terakhir.
Nabi bersungguh-sungguh selama sebulan untuk mencari Lailatulqadar. Baginda beriktikaf pada sepuluh malam pertama untuk mencarinya. Lalu beriktikaf pada sepuluh malam pertengahan dan mengulanginya tidak hanya sekali. Kemudian baginda beriktikaf pada sepuluh malam terakhir dan memerintahkan umatnya untuk mencari pada malam-malam itu.
Baginda biarpun maksum atau terpelihara daripada melakukan perbuatan dosa malah telah dijamin syurga oleh Allah, namun masih lagi berusaha melipatgandakan ibadah khususnya di hari-hari terakhir Ramadan. Apatah lagi kita yang sering bergelumang dengan dosa-dosa tidak sanggup untuk menggandakan ibadah yang telah dijanjikan pahala yang begitu besar.
Aisyah pernah berkata kepada Rasulullah, ``Bila aku mendapati Lailatulqadar, apa yang semestinya aku katakan?'' Baginda berkata, katakan; Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, menyukai pengampunan, maka ampunilah aku.
Dia akan menghapuskan kesalahan hamba-hamba-Nya. Dia menyukai keampunan dan suka untuk mengampuni hamba-hamba-Nya, dan Dia suka jika hamba-hamba-Nya saling mengampuni antara mereka. Apabila sebahagian daripada mereka mengampuni sebahagian yang lain bermakna mereka telah berinteraksi dengan keampunan-Nya. Keampunan-Nya lebih disukai daripada seksaan-Nya.
Bilakah waktunya akan berlaku malam Lailatulqadar? Dalam Musnad dan kitab an-Nasai, Abu Dzar berkata, ``Aku bertanya Rasulullah tentang Lailatulqadar, ``Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepadaku tentang Lailatulqadar, apakah dalam bulan Ramadan atau dalam selain Ramadan?''
Rasulullah menjawab, Pada bulan Ramadan. Aku bertanya, ``Lailatulqadar ada bersama nabi, jika nabi sudah meninggal, apakah malam Lailatulqadar juga akan diangkat, atau tetapkah ada sampai hari kiamat?'' Nabi menjawab, Lailatulqadar ada sehingga hari kiamat. Aku bertanya, ``Pada bahagian Ramadan yang manakah?''
Nabi menjawab, Carilah pada sepuluh yang pertama dan sepuluh yang terakhir. Aku bertanya, ``Dalam sepuluh yang manakah?'' Nabi menjawab, Pada sepuluh yang terakhir. Jangan lagi kau bertanya kepadaku tentang sesuatu setelah ini. Kemudian Rasulullah berbicara.
``Setelah itu, aku bertanya kembali dengan harapan Rasulullah lupa, ``Wahai Rasulullah, aku bersumpah dengan hakku tentang apa yang engkau khabarkan, dalam sepuluh yang manakah Lailatulqadar?''
``Nabi marah kepadaku dengan kemarahan yang tidak pernah muncul sejak aku menjadi sahabatnya,'' dan bersabda; Carilah pada tujuh yang terakhir. Jangan lagi kau bertanya kepadaku tentang sesuatu setelahnya.
Oleh yang demikian, kita dianjurkan melipatgandakan ibadah dengan iktikaf dan qiamullail di malam-malam terakhir tujuh Ramadan. Mudah-mudahan akan bertemu dengan Lailatulqadar di samping dikurniakan Allah dengan ganjaran pahala dan rahmat yang tidak ternilai.

Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid
- Penulis ialah Penolong Pengarah YADIM.

Seroja subur di permukaan air

SUKAR untuk membezakan di antara pokok bunga seroja, teratai, kiambang dan telepuk. Semuanya adalah dalam keluarga lotus yang subur di atas permukaan air.
Memang belum dapat dipastikan, jumlah spesies lotus yang tersebar di seluruh dunia. Tapi, sekurang-kurangnya kita mengenal dua jenis lotus yang lazim dijumpai, iaitu Nelumbo Nucifera dan Nelumbo Lutea.

Nelumbo Nucifera

JENIS ini di negeri kita dan Indonesia dikenali sebagai seroja. Aromanya harum pada hari pertama dan kedua. Bunganya besar dengan diameter 20 - 30 sm, dan kelopaknya 10 - 15 sm.

WARNA ungu, satu
lagi jenis bunga
yang menawan.

Variasi warna bunga lembut, ada yang putih dan ungu. Warna kelopak mahu pun mahkota bunga semakin cantik, kerana dikombinasikan dengan benang sari berwarna kuning.
Jika anda melancong ke luar negara, anda boleh menjumpai keturunan lotus jenis ini seperti lotus tulip, lotus mawar, lotus shiroman, mathilda dan waltzing.

Nelumbo Lutea

JENIS ini sangat jarang ditemui. Bentuknya sangat khas dengan mahkota bunga berwarna kuning menyala. Bagi orang Amerika, ubi lotus ini dimanfaatkan untuk dimakan. Ubinya dibakar dan dimakan seperti kentang.

BUNGA teratai dan
buahnya kelihatan
amat menarik.

Juga daun mudanya (masih menggulung) yang direbus dan dimasak, seperti merebus dan memasak daun bayam. Dewasa ini, juga telah berhasil dilakukan penyilangan lotus lutea dengan lotus lain, misalnya lotus Patricia Garrett, Debbie Gibson, Carolina Queen, dan sebagainya
Seroja dan teratai adalah tumbuhan jenis rizom yang terapung di atas air, manakala akarnya berjuntai di bawah permukaan air. Tumbuhan ini hanya tumbuh dalam air yang tenang seperti di kolam, telaga, paya dan tasik.
Ada dua pendapat mengenai asal-usul seroja. Pertama ia dikatakan berasal dari India sebelum dibawa masuk ke China dan Jepun.
Pendapat kedua pula mengatakan ia berasal dari Jepun. Di negara matahari terbit itu, teratai diberi nama Hasu, iaitu singkatan bagi perkataan Hanchisu yang bermakna sarang lebah. Ia dinamakan sebegitu kerana bentuk fizikal kelongsong seroja yang kelihatan seperti sarang lebah.
Selain ditanam sebagai tanaman perhiasan, seroja juga digunakan sebagai makanan dan ubat-ubatan tradisional Cina.
Hampir semua bahagian pokoknya boleh dimakan. Buahnya juga boleh dimakan muda mahupun apabila ranum atau dimasak.
Sebelum dimakan, buanglah biji di dalamnya. Rasanya enak seperti kacang dan berlemak. Rizom dan akarnya juga boleh dimakan.
Dari segi perubatan tradisional pula, kelongsong buah seroja dan teratai mengandungi alkoloid yang sangat berkesan untuk memberhentikan pendarahan kesan luka.
Di Jawa, kelopak seroja digunakan oleh masyarakat tempatan untuk menghasilkan minyak kosmetik. Sementara campuran bahagian tangkai dengan beberapa jenis herba lain dijadikan ubat untuk membantu merawat masalah pendarahan dalam rahim.
=petikan drpd::Lanskap Berita Harian::

Mengisi malam al-Qadar dengan ibadat

on Saturday, October 22, 2005

MENDIRIKAN malam al-Qadar bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, katanya: "Barang siapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu."
Malam itu juga disebut Lailatul Syaraf bermaksud malam kemuliaan atau Lailatul Tajalli yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.
Ada beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat pada malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:

• Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam akhir Ramadan.
Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.
Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan Tabi'in ini adalah untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.

• Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.


Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aisyah, bermaksud: "Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya."
Sahabat dan ulama berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi, mereka bersepakat bahawa Rasulullah melebihkan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.
Ibadat yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin ’Ash bermaksud: "Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai."
Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.
Baginda tidak akan melalui ayat rahmat terkecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.
Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan hingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata: "Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu." Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh berjemaah saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apa lagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.
Selain solat dan membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasulullah dengan beriktikaf di masjid dan tidak tidur bersama isterinya. Ini berdasarkan hadis Saidatina Aisyah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud: "Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat."

• Memperbanyak doa.

Rasulullah bersabda doa adalah otak segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aisyah diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.
Dalam satu hadis daripada Aisyah diriwayatkan at-Tirmizi, Aisyah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.
Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aisyah.
Doanya berbunyi: "Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini)."

FAKTA
Antara cara beradab kepada Nabi Muhammad SAW
• Hendaklah mentaati Rasulullah, di samping mengikuti jejak langkahnya dalam urusan dunia dan agama.
• Menjadikan Nabi Muhammad sebagai orang yang paling dicintai, dihormati dan diagungkan daripada seluruh makhluk Allah.
• Mengagung dan menghormati Nabi Muhammad apabila namanya disebut dan berselawat serta salam ke atasnya, mengakui kebenarannya dan menghargai sifat-nya.
• Membenarkan segala yang dibawa oleh Baginda sama ada soal agama dan dunia.
• Merendahkan suara di makam dan masjidnya bagi yang berpeluang menziarahinya.
• Mencintai salihin dan pengikutnya kerana mereka mencintai Nabi serta memusuhi golongan fasik kerana mereka membenci Baginda.

Empat dosa yang tidak diampunkan Allah

PADA Lailatul Qadar Allah menyuruh Jibril turun ke bumi. Lalu turun Jibril dengan perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau.
Lalu dipacakkan di atas Kaabah, baginya 600 sayapnya, setengahnya tiada dibuka kedua-dua sayapnya, melainkan pada malam al-Qadar baru dibukakan kedua-duanya. Sayap itu hingga sampai dari timur ke barat (masyrik ke Maghrib) untuk menyelamatkan umat Muhammad.
Lalu, mereka memberi salam kepada setiap orang yang berjaga pada Lailatul Qadar beribadat kerana mencari keredaan Allah. Begitu juga kepada orang yang duduk beribadat, sembahyang, berzikir dan berjabat tangan sesama mukmin serta mengucap amin doa orang mukmin hingga terbit fajar Subuh.
Bertanya malaikat kepada Jibril: "Apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin daripada umat Muhammad pada Ramadan ini."
Jawab Jibril: "Bahawasanya Allah menilik kepada umat Muhammad yang berpuasa dan beribadat kepada-Nya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya, iaitu:
1. Orang yang kekal minum arak
2. Derhaka kepada ibu bapanya
3. Memutuskan silaturahim
4. Tidak bercakap dengan saudaranya lebih daripada tiga hari.

Ramadan bulan al-Quran gandakan iman

on Sunday, October 02, 2005

SETIAP kali tiba Ramadan, umat Islam akan berpuasa. Ramadan bukan saja bulan ibadah, malah ia adalah bulan al-Quran dan bulan menggandakan amalan baik bagi meningkatkan keimanan.
Bagi orang Islam yang tidak mahu berpuasa dengan pelbagai alasan, sesungguhnya mereka mensia-siakan nikmat terbesar yang dianugerahkan oleh Allah.
Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam hadisnya bermaksud: "Sesiapa yang tidak berpuasa sehari pada Ramadan tanpa keuzuran yang diizinkan Allah, kemudian dia berpuasa sepanjang hayat untuk menggantikan puasa pada Ramadan, maka nilai dan ganjarannya tidak akan sama." – Riwayat Al-Tirmizi.
Sebagai seorang Muslim, kita bertanggungjawab melaksanakan puasa dan memelihara kesucian Ramadan. Kelebihan yang Allah berikan pada Ramadan tidak seharusnya disia-siakan. Segala bentuk perbuatan keji yang boleh mencemarkan kesucian Ramadan wajib dihindari.

Dua kategori orang tidak berpuasa:

ORANG Islam yang tidak berpuasa pada Ramadan dikategorikan kepada dua golongan.

Pertama, tidak berpuasa kerana keuzuran yang diperakui oleh syarak sehingga membolehkannya berbuka (tidak berpuasa). Golongan ini diberi kelonggaran selama mereka uzur. Seandainya keuzuran hilang, maka kelonggaran itu akan gugur.
Keizinan syarak terhadap golongan pertama ini bukanlah keizinan mutlak. Mereka masih terikat dengan larangan ke atas orang berpuasa.
Ulama fiqh al-Syafi'iyyah menyatakan: "Orang yang berbuka puasa kerana sesuatu keuzuran, maka orang itu dikira tidak berpuasa atas sebab dorurah (keperluan). Biarpun begitu dia sunat menahan diri daripada makan, minum dan semua perkara yang boleh membatalkan puasa sepanjang siang hari itu.

Kedua, golongan yang sengaja tidak mahu berpuasa. Mereka tahu puasa Ramadan itu di antara Rukun Islam, tetapi masih enggan melaksanakan tuntutan agama.
Pelbagai alasan diberikan, tetapi semuanya tidak diperakui syarak. Ini semata-mata untuk melepaskan diri daripada berpuasa. Menurut Islam golongan ini boleh dikenakan hukuman berat.
Rasulullah saw memberi peringatan kepada umat Islam dalam hadis bermaksud: "Islam itu didirikan atas lima (perkara): Mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad saw itu Rasulullah (utusan Allah), mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Baitullah (Kaabah) dan berpuasa pada Ramadan." – (Al-Nawawiy, Syarh Sahih Muslim, 1996 jld. 1 hlm. 146)
Sesiapa yang bertindak meninggalkan salah satu daripada kelima-lima perkara ini dengan ingkar, maka rosaklah akidahnya.

Saling ingat mengingati

HARUS diingat, orang Islam yang sengaja tidak berpuasa pada Ramadan adalah berdosa. Lebih berdosa bagi mereka yang mencemari kesucian Ramadan dengan makan dan minum di khalayak ramai pada siang hari.
Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersebar di kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." – (Surah al-Nur ayat 19)
Sebagai saudara seagama, kita wajib mengingatkan orang yang lalai terhadap kemungkaran yang sedang dilakukan dan menegur keterlanjuran mereka supaya sedar dan insaf.
Kita tidak perlu bimbang, mereka berkecil hati. Ini kerana membiarkan mereka meneruskan dosa adalah lebih berat hukumnya daripada menjaga hati mereka.
Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Tidak (sempurna) iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." – (Al-Nawawiy, al-Wafiy Fi Syarh al-Arba'iyn al-Nawawiyyah, 1994 hlm. 86)
Peribadi murni seorang ketua keluarga akan menjadi contoh kepada isteri dan anak. Apabila suami atau bapa melaksanakan segala tanggungjawabnya, bererti dia berjaya membentuk sahsiah luhur. Dia akan disenangi, disayangi serta dihormati oleh isteri dan anak-anak.

Anak contohi ayah

SEANDAINYA seorang bapa taat mengerjakan puasa, insya-Allah isteri dan anak-anaknya juga akan terbentuk dengan ketaatan itu. Jika isteri atau anak tidak patuh pada perintah Allah, maka menjadi tanggungjawab seorang bapa memperbetulkan keadaan itu.
Adalah menyedihkan jika ada ketua keluarga yang membawa isteri dan anak-anak ke gerai makanan untuk menjamu selera pada siang hari pada Ramadan. Sikap buruk ini akan mengajar anak-anak yang masih suci, bukan saja tidak berpuasa, malah langsung tidak menghormati Ramadan.
Begitulah juga dengan penjaja, apabila mereka menjual makanan kepada pelanggan Muslim tidak berpuasa, secara tidak langsung dianggap bersubahat dalam menggalakkan perbuatan mungkar iaitu menghina dan mencemari kemuliaan Ramadan.
Dalam hal ini penjaja tentu berdosa kerana meredai perbuatan keji itu dengan menjual makanan kepada mereka, padahal kita berkuasa untuk melarangnya daripada membeli makanan itu.
Dengan tidak membantu berleluasanya perkara keji semata-mata untuk menghormati Ramadan, Allah akan memberkati usaha kita dan memberi ganjaran lebih besar.
Apakah yang sepatutnya penjaja lakukan apabila didatangi pelanggan Muslim pada siang hari Ramadan? Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya bertindak mengikut hukum Allah dan bijaksana.
Islam menjelaskan bahawa semangat bantu-membantu hendaklah berpatutan. Allah berfirman bermaksud: "...Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) perkara kebajikan dan takwa. Jangan kamu tolong-menolong dalam (melakukan) perkara dosa dan permusuhan." – (Surah al-Ma'idah, ayat 2).

Khasiat Kurma

on Saturday, October 01, 2005

BERBUKA puasa dan bersahur dengan kurma adalah sebahagian sunnah Rasulullah SAW. Daripada Salman bin Amir Addabbi Assohaabi daripada Nabi bersabda bermaksud: “Jika seseorang kamu berbuka, hendaklah dia berbuka dengan kurma. Sekiranya kurma tiada, bolehlah ia berbuka dengan air kosong. Sesungguhnya air itu bersih lagi suci.” (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
Rutob ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering. Ia lembut dan manis. Manakala tamar ialah kurma yang sudah kering.
Orang yang berpuasa disunatkan berbuka dengan rutob atau kurma atau meminum air biasa jika ketiadaan kurma. Inilah tertib yang dilakukan oleh Rasulullah.
Hikmah disunatkan berbuka dengan tamar kerana ia baik untuk kesihatan.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : "Aku melihat Rasulullah memakan buah-buahan dengan kurma masak.”
Rasulullah menyebut khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud : "Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah bersabda : "Sesiapa yang memakan tujuh tamar Ajwah dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu."
Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang disebut dalam hadis di atas adalah kelebihan yang dikurniakan Allah sesuai dengan kemuliaannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Baginda.
Kajian saintifik membuktikan ia mengandungi glukosa yang mampu memberikan tenaga segera kepada badan. Ia juga kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A & C serta zat mineral seperti besi, kalsium, sodium dan potassium.
Kandungan protein dalam sebiji kurma adalah kira-kira 1.8 hingga 2 peratus, serat 2 hingga 4 peratus manakala kandungan gulanya adalah 50 hingga 57 peratus.
Selain itu, kurma diakui mengandungi kalori tinggi dan mudah dihadamkan ketika berbuka puasa. Satu lagi khasiatnya ialah mampu merendahkan risiko serangan angin ahmar.
Kandungan karbohidratnya yang tinggi membolehkannya memberi tenaga yang tinggi. Malah, kandungan tenaga yang dimiliki kurma menandingi antara keluarga besar buah-buahan.