Baju Kurung

on Wednesday, February 23, 2005

Bangsa Melayu yang terkenal dengan kehalusan seni tangannya telah melahirkan pakaian yang diwarisi sejak turun-temurun iaitu baju kurung. Kewujudan baju ini dipercayai dipengaruhi oleh kemasukan pedagang Islam dan India Barat. Hal ini kerana terdapat persamaan potongan leher berbentuk unik yang menyerupai pakaian orang Arab dahulu kala.
Di Malaysia, Baju Kurung Johor cukup terkenal kerana jahitannya yang halus dikenali sebagai “sembat halus” manakala dileher baju pula dihias dengan jahitan “tulang belut”. Pakaian ini telah melalui pelbagai proses pengubahsuaian sehingga dewasa ini kita dapat melihat berbagai bentuk rekaan berasaskan baju kurung tradisional. Antaranya yang menjadi pilihan ramai ialah Baju Kurung Teluk Belanga. Baju ini yang lehernya digunting bulat dengan belahan di hadapan sepanjang 5 inci, disokong oleh potongan pesak yang lurus di atas dan kembang di bahagian bawahnya. Kedudukan pesak disambung di bawah lengan dijahit bersama sepasang kekek berbentuk petak ataupun kekek gantung yang potongan kekeknya lebih panjang daripada kekek biasa.
Lazimnya, pecahan bahagian tadi disambung antara satu sama lain dengan jahitan ”sembat halus” ataupun dikenali sebagai “jahit tangan”. Manakala bahagian leher yang telah dijahit Tulang Belut juga disembat di bawah bahagian sebelah dalamnya. Jahitan “insang pari” digunakan untuk menjahit rumah butang dikedua-dua belah leher baju. Pada zaman dahulu, saku tampal di jahit dibahagian dada baju, namun kini kedudukan saku telah dialih ke sisi baju sama ada di kiri atau kanan mengikut keselesaan pemakai.
Pemakaian baju kurung disuaipadankan dengan kain sarung yang dijadikan kain kerudung. Dewasa ini kain sarung yang suatu masa dulu digunakan untuk menutup kepala telah diganti dengan selendang yang beraneka corak dan warna. Sehelai baju kurung biasanya dipakai bersama kain yang diikat cara “ombak mengalun” atau dipanggil kain susun .
Material yang digunakan untuk menghasilkan sepasang baju kurung turut berubah mengikut zaman dan majlis yang hendak dihadiri. Kain songket lazimnya menjadi pilihan raja sehari namun ada juga pengantin yang gemar menggayakannya dengan kain satin, organza, mahupun chiffon untuk merubah penampilan.
Suri rumah pula lebih suka memakai baju kurung yang diperbuat daripada kain kapas, manakala wanita berkerjaya mempunyai lebih banyak pilihan, antaranya sutera, batik satin, linen dan pelbagai jenis kain lain yang sesuai untuk digayakan. Baju kurung bersifat universal, oleh itu mustahak bagi seseorang pemakai mengetahui tempat pakaian tersebut hendak digayakan. Baik di istana atau di warung kopi, baju kurung tetap sedap dipandang, menarik dipakai dan kekal anggun dalam kelasnya yang tersendiri.

0 Koman & Cadangan: