Debat - Kebebasan Bersuara

on Saturday, July 19, 2008


Di luar lingkaran: Pemenangnya ialah... Kebebasan Bersuara

Debat Shabery-Anwar cipta sejarah negara

PEMENANG Debat Agendadaily malam Selasa lalu sebenarnya ialah kebebasan bersuara. Sesiapapun yang mempunyai keraguan tentang kesediaan kerajaan memberikan ruang untuk pimpinan pembangkang menyatakan pendirian dan menghujahkan kepercayaan mereka kepada rakyat umum, sepatutnya berfikir banyak kali. Debat yang berlangsung di Balai Budaya, Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu disiarkan secara langsung ke seluruh negara melalui TV9, Saluran Awani dan Bernama TV. Waktu siaran "prime time" - 9 hingga 10 malam memungkinkan jutaan penonton menyaksikannya.

Apabila Hanafiah Man dan teman-teman dari Agendadaily mencadangkan program bersejarah itu saya tidak ragu-ragu penyiarannya akan menjadi kenyataan. Ramai yang percaya bukanlah cadangan yang baik membenarkan seorang tokoh pembangkang yang petah bercakap dan karismatik pula muncul di TV pada masa ini. Inilah hujah yang diberikan oleh pelbagai pihak beberapa tahun dahulu apabila Datuk Kadir Sheikh Fadzir (Tan Sri) mencadangkan "Debat Perdana" di TV1.

Beliau mahu perbincangan cerdik dan terbuka membabitkan bukan sahaja penyokong kerajaan tetapi juga pimpinan pembangkang di RTM. Pada masa itu ramai dari kalangan penyokong kerajaan yang tidak menyenangi usaha itu. Memberikan ruang pada pemimpin pembangkang sewaktu prime time tidak banyak menguntungkan kerajaan.

Tetapi beliau yakin bahawa rakyat sudah cukup dewasa. Lagipun kematangan amat perlu dalam membina sebuah masyarakat bebas, terbuka dan progresif. Tokoh-tokoh pembangkang bergilir-gilir muncul untuk berdebat dengan pemimpin Barisan Nasional (BN). Debat Perdana diteruskan oleh Datuk Zainuddin Maidin yang menggantikan Kadir sebagai Menteri Penerangan.

Saya memberitahu Hanafiah untuk debat kali ini bukan sahaja siapa tokohnya penting tetapi juga formatnya. Kami merangka format yang mengikut perdebatan calon Presiden Amerika Syarikat (presidential debate). Apa yang penting ialah memastikan debat itu terbuka, bebas dan tanpa banyak campur tangan.

Kami juga mencadangkan supaya berlaku adil, setiap pendebat memilih sendiri wakil mereka untuk menanyakan soalan kepada pendebat yang seorang lagi, selain menanyakan soalan pada orang yang memilih mereka. Dan yang penting kedua-dua pendebat boleh bertanya soalan satu sama lain. Mereka akan diletakkan di atas pentas sementara pengantara serta ahli panel berada di bawah.

Format ini tidak pernah dicuba di TV tempatan sebelum ini. Bagi kami, format inilah yang terbaik untuk debat tersebut. Pengalaman saya mengendalikan Debat Perdana di TV1 selama lapan musim mengajar saya kebaikan dan kelemahan format meletakkan tokoh-tokoh yang diundang dalam situasi "talk show." Mungkin untuk tujuan Debat Perdana, formula itu sesuai tetapi tidak untuk debat yang dirancang di DBP itu.

Pendebat malam itu bukan sebarangan orang - Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan Malaysia. Umum menerima Anwar seorang pemidato yang hebat. Ahmad Shabery pula dikenal sebagai salah seorang pembahas yang baik di antara pimpinan Umno pada masa ini. Perihal Ahmad Shabery bersedia mempertaruhkan nama baik malah kedudukannya dengan menerima cabaran berdebat dengan Anwar, menunjukkan keyakinan luar biasanya.

Ramai orang yang berkata Ahmad Shabery tidak setanding dengan Anwar. Anwar mencipta nama sebagai pemimpin pelajar pada tahun-tahun 70-an. Beliau pernah memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan masuk Umno pada tahun 1982. Beliau pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri sehingga disingkirkan pada tahun 1998. Maka itu Ahmad Shabery tidak mampu melawan pengalaman dan gaya Anwar, begitulah pandangan banyak pihak.

TV merupakan medium yang unik dan khusus. Tidak semua orang selesa di TV. Pemidato terbaik di gelanggang politik belum tentu menjadikan mereka berkesan di TV. Pengalaman mengajar saya bahawa terdapat tokoh yang hebat dalam ceramah politik tetapi kelihatan gelisah di kaca TV. TV ialah medium yang membesarkan segala-galanya ekspresi, riak termasuk pergerakan.

Sepanjang ingatan saya, Anwar jarang muncul dalam talk show atau di wawancara seorang demi seorang sewaktu beliau berada dalam kerajaan.

Lagi pula telah sekian lama beliau tidak muncul di TV sebagai tetamu atau pembahas. Tahun ini genaplah 10 tahun beliau meninggalkan kerajaan. Ahmad Shabery pula merupakan tokoh muda yang berkaliber dalam Umno. Beliau tidak pernah menghampakan dalam Perhimpunan Agung parti itu. Waktu dua puluh atau 30 minit yang diberikan untuk tujuan perbahasan selalunya digunakan dengan baik, menampilkan kewibawaan dan kematangannya menawan hati perwakilan.

Debat ini terlalu penting bagi kedua-dua tokoh. Bagi Anwar ini merupakan peluang untuk menyampaikan formula menurunkan harga minyak kepada seluruh rakyat Malaysia. Malah tajuk yang dipilih, "Hari Ini Bentuk Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak" mengambil kempen PKR selama ini dalam ceramah-ceramah politik di seluruh negara. Bagi Anwar, bercakap di pentas politik tidak akan dapat menerobos sedemikian ramai penonton. Bagi Ahmad Shabery, ini kesempatan terbaik menghujahkan kes kerajaan kepada umum selain menjawab tohmahan pembangkang mengenai tindakan menaikkan harga petrol dan diesel baru-baru ini. Ahmad Shabery sebelum debat itu secara terbuka menyatakan kesediaannya untuk "dihukum" sekiranya beliau gagal meyakinkan rakyat dalam isu tersebut.

Anwar pula berdepan dengan kontroversi terbaru mengenai dakwaan bekas petugas pejabat PKR ke atasnya. Di tengah situasi sedemikianlah, kedua-duanya berada di DBP malam itu. DBP dikawal ketat dengan kehadiran ratusan anggota pasukan keselamatan. Puluhan wakil media berkampung malam itu untuk mengikuti debat selain mendapat berita terbaru mengenai Anwar yang tidak muncul untuk memberikan keterangan pada polis pada hari sebelumnya. Di dalam dewan para penyokong kedua-dua tokoh dan para jemputan penganjur berkumpul sejak awal lagi. Sejak siang lagi khabar angin bertiup kencang mengatakan Anwar tidak muncul malam itu. Suasananya boleh dikatakan tegang dengan harapan dan keraguan.

Saya dimaklumkan debat itu menarik bilangan penonton yang luar biasa ramainya. Untuk siaran langsung bilangan penonton dikatakan melebihi empat juta orang. Siaran ulangan di TV3 pada jam 11 malam mencatatkan 1.9 juta penonton, luar biasa bagi mana-mana program ulangan. Saya difahamkan bahawa di banyak tempat makan di ibu kota, orang ramai menunggu di kaca TV. KL lengang khabarnya. Rakyat Malaysia terpaku di kaca TV.

Saya tidak akan berlaku adil sekiranya memberikan pandangan siapa yang menang malam itu. Bagi saya kedua-duanya mempunyai kelebihan yang tersendiri. Dalam debat seumpama itu, bergantung pada siapa yang kita tanyakan, masing-masing mempunyai jawapan yang berbeza. Malam itu penontonlah hakimnya. Rakyatlah yang membuat penilaian.

Apa yang penting ialah Debat Agendadaily itu membuktikan bahawa demokrasi dan kebebasan bersuara subur di negara ini.

- Debat pada: 15 Julai 2008 -
Ahad, 20 Julai 2008 | 17 Rejab 1429
Oleh Johan Jaafar - zulujj@tm.net.my

0 Koman & Cadangan: