Jala Itik

on Friday, December 21, 2007

Permainan ini bertujuan menentukan pasukan mana yang mempunyai bilangan ahli paling ramai. Tiada sebarang alatan diperlukan, cuma sebuah lagu yang menarik dinyanyikan untuk mengiringi setiap langkah permainan.

Cara Bermain

Dua orang dipilih menjadi ketua, kebiasaanya bertubuh besar dan menggunakan nama samaran yang hanya diketahui oleh mereka berdua sahaja. Kedua-dua ketua ini akan berhadapan antara satu sama lain dengan memegang tangan masing-masing yang diangkat keatas, bagi memudahkan para ahlinya melintasi dibawahnya. Semasa ini sebuah nyanyian dialunkan 'Jan-jan jala Jala itik jala ayam. Berapa lubang kancil? Seratus lima puluh. Singgah Cik Dayang singgah. Makan sirih mulut merah." Sebaik sahaja lagu itu selesai dinyanyikan, ketua-ketua itu akan menangkap pemain terakhir yang sedang melintas.

Menentukan Pemain

Setelah itu, pemain yang ditangkap tadi dibawa ke tempat lain oleh ketua-ketua itu untuk disoal. Kemudian mereka menyebut nama samaran yang telah ditetapkan sebelum permainan. Pemain yang ditangkap itu dikehendaki memilih salah satu nama tersebut. Pemain-pemain tadi dikehendaki berdiri di belakang ketua yang mana namanya dipilih oleh ahli tadi dengan merahsiakan nama pilihannya kepada ahli yang lain. Kemudian permainan dimulakan semula seperti awal tadi, sehinggalah semua pemain selesai memilih ketua masing-masing.

Pertukaran Pemain

Jika ada kumpulan mempunyai jumlah ahli yang lebih ramai daripada kumpulan yang satu lagi, rayuan boleh dibuat untuk pertukaran ahli bagi mengimbangkan jumlah ahli setiap pasukan. Bagaimanapun, pertukaran hanya boleh dibuat setelah persetujuan di antara kedua-dua belah pihak dicapai. Jika tidak mahu membuat pertukaran, permainan akan tamat di situ dan ketua itu dikira menang, kerana mempunyai ahli yang paling ramai.

Menentikan Pemenang

Sebaliknya jika ini terjadi, satu perlumbaan dilakukan. Untuk itu, satu garisan dibuat bagi membolehkan kedua-dua pasukan beradu kekuatan. Kedua-dua ketua pasukan berdiri sama jauh dari garisan dan tangan mereka berpaut antara satu sama lain. Pemain-pemain lain beratur di belakang ketua masing-masing sambil memegang pinggang. Kedua-dua ketua pasukan berusaha menarik antara satu sama lain supaya melangkah garisan itu, dengan ahli lain membantu, seperti tarik tali. Jika pasukan yang kurang ahlinya itu berjaya menarik pasukan lawan melintasi garisan itu, pasukannya dianggap menang. Maka dia boleh meminta sejumlah pemain yang dikehendakinya untuk mengimbangi pasukannya dengan pasukan yang satu lagi itu. Sebaliknya, jika pasukannya gagal berbuat demikian, maka dia dianggap kalah.

Galah Panjang

on Friday, December 14, 2007

Permainan tradisional yang dimainkan diluar rumah. Permainan ini bukan sahaja dimainkan oleh kanak-kanak sahaja tetapi sebagai pertunjukan di pesta-pesta kebudayaan kadangkala dipertontonkan untuk pelancong oleh golongan dewasa.

Permainan ini tidak dimainkan secara individu, tetapi dengan dua kumpulan. Terdiri dari kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya terdiri dari sepuluh pemain sahaja.

Salah seorang dari ahli kumpulan itu akan dilantik sebagai ketua dan lainnya adalah sebagai awak-awak sahaja. Tugas ketua kumpulan adalah sebagai mengawasi setiap penyerang yang masuk dan keluar dari gelanggang, iaitu disepanjang garisan permulaan, garisan tengah dan garisan disekeliling gelanggang. Manakala awak-awak hanya menjaga garisan melintang di dalam gelanggang.

Sebelum permainan dimulakan undian secara wan tu som dijalankan oleh kedua-dua ketua pasukan. Siapa yang menang akan menjadi pasukan penyerang. Penetapan pengiraan bertukar giliran akan ditentukan terlebih dahulu, samada hanya dengan cuitan ke badan pemain atau dengan menangkap pemain.

Gelanggang Permainan


Galah Panjang

Kawasan permainan yang sederhana luas diperlukan, samada di atas tanah, kawasan bertar atau bersimin dan di atas padang. Tiada ukuran khas penetapan yang perlu dipatuhi, tetapi dianggarkan antara enam hingga lapan meter lebar dan jarak bagi setiap garisan lintang gelanggang antara tiga hingga empat meter. Jumlah garisan lintang bagi awak-awak tidak terhad, ia mengikut jumlah pemain bagi setiap pasukan.

Sebagai penanda garisan, akan digunakan tepung atau tali jika dimainkan di atas padang. Cat juga boleh digunakan sekiranya gelanggang simin. Tetapi kebanyakan kanak-kanak akan melorekkan garisan tersebut di atas tanah sahaja.

Cara Bermain

Sejurus sebelum permainan dimulakan, ketua pasukan penyerang akan menepuk tangan ketua pasukan bertahan di petak kepala gelanggang. Ini menandakan permainan sudah dimulakan dan awak-awak boleh mula menyerang, samada secara individu atau beramai-ramai.

Setiap pemain hendaklah melepasi semua garisan hingga ke garisan belakang sekali dan kembali semula hingga ke garisan hadapan tanpa dapat dicuit oleh pasukan bertahan. Jika salah seorang dapat dicuit oleh pasukan bertahan maka pasukan itu dikira mati. Pertukaran kedudukan akan dilakukan iaitu pasukan yang bertahan akan jadi pasukan penyerang dan sebaliknya.

Peraturan Permainan

Kesemua pemain pasukan penyerang akan dikira mati jika salah seorang dari mereka dicuit oleh pemain pasukan bertahan.

Pemain pasukan penyerang tidak boleh berundur kebelakang setelah melepasi garisan gelanggang, ia dikira mati yang akan menyebabkan pertukaran kedudukan pasukan.

Pasukan penyerang dikira mati jika terdapat pemainnya terkeluar dari garisan gelanggang.

Pasukan penyerang dikira menang jika salah seorang dari pemainnya dapat melepasi kesemua garisan hingga kembali ke garisan permulaan. Satu mata diberikan kepada pasukan ini dan permainan akan dijalankan semula.

Mana-mana pasukan yang dapat mengumpul mata tertinggi akan dikira memenangi perlawan tersebut.

Jari kita

on Thursday, July 12, 2007


“Pelbagai hikmah dan tafsiran yang boleh diandaikan di sebalik jari anda yang lima. Cuba perhatikan perlahan-lahan jari anda. Luruskan ia ke hadapan dalam keadaan terbuka. Renung dalam-dalam. Kewajipan solat lima waktu jangan diabaikan. Kemudian lekapkan jari itu di atas meja, perhatikan.

Bermula daripada jari kelingking yang kecil dan kerdil, seperti manusia dan apa sahaja akan bermula daripada kecil kemudian besar dan terus membesar. Itulah fitrah insan dan alam seluruhnya. Apa sahaja yang dilakukan mesti bermula daripada kecil. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”.Kegagalan mendidik di usia ini akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan.

Naikkan kepada jari kedua, jari manis namanya. Begitu juga dengan usia remaja. Manisnya seperti jari yang comel mulus ini. Apatah lagi kiranya disarungkan dengan sebentuk cincin bertatahkan berlian, bangga tak terkira.. pada ketika ini,alam remaja menjengah diri. Awas!! Di usia ini sentiasa dibelenggu dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Hanya iman dan takwa menunjuk jalan kebenaran. Pada usia ini, anda sudah baligh dan mukalaf. Pastinya sudah dipertanggungjawabkan segala amalan di hadapan Ra’abbul Jalil. Bersedia kah anda??

Nah…naik kepada jari ketiga. Jari yang paling tinggi, jari hantu namanya. Zaman remaja ditinggalkan. Alam dewasa kian menjengah. Diperingkat umur 30-an ini seorang itu telah mempunyai status dan identiti dengan ekonomi yang kukuh serta kerjaya yang teguh. Namun, anda mesti berhati-hati kerana di kala ini banyak “hantu-hantu pengacau” yang datang menggoda. Hantu hasad dengki, hantu ego, hantu tamak, hantu iri hati dan seribu macam hantu lagi. Kalau gagal mengawal emosi lantas terus masuk ke jerangkap nafsu dan syaitan. Justeru itu, amal ibadat mesti dilipatgandakan.

Kita beralih kepada jari telunjuk jari inilah yang mengungkap satu dan esanya Allah SWT ketika solat. Genggamkan kesemua jari dan keluarkan jari ini. Gagahnya ia sebagai penunjuk arah, menjadi contoh dan tauladan. Manusia yang berada di tahap usia ini,hendaklah tampil sebagai model kepada generasi baru dan pembimbing yang kaya dengan idea bernas dan minda yang hebat.

Akhir sekali, renung ibu jari. Ianya besar dan pendek tetapi menunjukkan kematangan dan kehebatan yang membanggakan. Tugasnya membenarkan sesuatu dan mentafsirkan pelbagai perkara. Bak kata orang Jawa “cap jempol” atau cap jari. Kalau dia ada, semua urusan berjalan lancar. Buat generasi muda, rujuk dahulu kepada orang tua atau yang berpengalaman. Sekiranya petunjuk mereka anda patuhi, nescaya anda boleh berkata “good” atau “yes” sambil menggenggam semua jari dan angkat ibu jari ke atas itulah rahsia kejayaan anda.

Akhir kalam, cuba lihat sekali lagi jari anda yang kelima-limanya itu.
Renung dan fikir dalam-dalam. Di manakah anda sekarang???”….


Rasulullah model terbaik insan cemerlang

on Thursday, March 29, 2007

SETAKAT manakah pencapaian seseorang insan itu untuk diiktiraf sebagai cemerlang dan apakah kriteria diguna pakai bagi mengukur tahap sesuatu kecemerlangan. Jika tahap kecemerlangan dapat diukur dengan tepat, maka perancangan strategi untuk mencapai kecemerlangan akan menjadi satu pelan tindakan yang praktikal, kukuh dan jelas.

Oleh demikian, perkara utama adalah penentuan matlamat tepat dan jelas. Sehubungan itu, Allah menggariskan dasar kepada matlamat kehidupan insan seperti firman-Nya bermaksud: “Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar.” (Surah al-Maidah, ayat 119)

Ayat ini menyatakan kejayaan besar ialah mendapat keredaan Allah dalam tempoh jangka masa panjang yang bersifat kekal dan abadi selamanya.

Segala perbuatan insan sewajarnya dilakukan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah dan bukan untuk mencapai matlamat lain kerana semua matlamat sampingan atau jangka pendek berpunca daripada keredaan Allah terhadap makhluk-Nya.

Justeru, bagi membolehkan semua insan mencapai kecemerlangan, Allah mengutus model insan cemerlang yang tiada tandingan sehingga hari kiamat, tidak lain dan tidak bukan, Nabi Muhammad.

Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Allah mengiktiraf Nabi Muhammad contoh ikutan terbaik bagi insan yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik di akhirat. Uswatun dalam ayat itu bererti model, contoh ikutan untuk ditiru atau diteladani.

Berdasarkan ayat ini, keredaan Allah sesuatu menjadi harapan (yarju) bagi setiap insan yang sedar kedudukannya sebagai makhluk tidak memberikan kesan terhadap apa-apa benda atau perkara melainkan dengan izin-Nya.

Tema Insan Cemerlang Ummah Terbilang menggambarkan hasrat untuk mencapai matlamat sebagai ummah terbilang menerusi penghasilan insan cemerlang. Kewujudan insan cemerlang pada zaman Rasulullah terdiri daripada sahabat. Hal inilah diperjuangkan Rasulullah sejak dulu kini diwarisi ulama.

Kecemerlangan insan bukan diukur secara fizikal atau materialistik. Nilai yang digunakan untuk mengukur kecemerlangan insan ialah ketinggian akhlak.

Bahkan tugas utama Nabi Muhammad ialah menyempurnakan akhlak seperti dinyatakan Baginda dalam sabdanya bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Mengukuhkan penyataan ini, Allah membuat penegasan dengan firman-Nya bermaksud:

“Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia.” (Surah al-Qalam, ayat 4)

Akhlak dalam Islam merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk nilai moral, etika dan adab. Setiap Muslim ditegaskan supaya menghayati nilai kerana insan cemerlang ialah yang paling baik akhlaknya.

Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang terpilih antara kamu ialah orang-orang yang mulia akhlaknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah juga menegaskan tunjang kepada kewujudan ummah terbilang diasaskan dengan penerapan nilai akhlak seperti sabda Baginda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyerahkan agama itu pada diri seseorang, maka tidak baik agama itu melainkan dengan ketinggian dan keelokan akhlak. Adakah kamu mengelokkan agama kamu dengan kedua-dua sifat mulia ini?” (Hadis riwayat al-Tabrani)

Kesimpulannya, matlamat agung kewujudan manusia ialah untuk mendapatkan keredaan Allah sebagai satu kurniaan nikmat abadi, mManakala ukuran pencapaian atau indeks prestasi insan dalam mencapai matlamat itu ialah tahap ketinggian akhlak seperti dipamerkan Rasulullah.

Namun, penghayatan akhlak semakin merosot di kalangan ummah sehingga gejala sosial menjadi isu sukar dibendung. Untuk mencapai tahap akhlak yang tinggi, perlu kembali kepada ajaran Islam dengan menegakkan nilai Islam dalam kehidupan.

Jenayah Siber

on Tuesday, March 20, 2007

Masalah keselamatan komputer dan sistem rangkaian mula dikesan sejak awal 1950an, apabila komputer digunakan untuk menyimpan maklumat-maklumat berperingkat sulit. Kerahsiaan adalah aspek yang penting yang perlu ditekankan dalam keselamatan komputer. Ancaman utama yang wujud pada ketika itu adalah dari aktiviti pengitipan (espionage) dan pencerobohan kebersendirian (invasion of privacy). Menjelang penghujung 1960an masalah komputer semangkin meningkat ekoran perkongsian maklumat dan sumber komputer secara jauh. Garfinkel dan Spafford [2] menyatakan bahawa sistem komputer yang digunakan telah dilengkapi dengan sistem pengendalian yang boleh mengelakkan pengguna daripada memasuki rangkaian sistem pihak lain sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja. Pada masa tersebut sumber komputer dapat dicapai dan disediakan tanpa mengira kedudukan geografi dunia.

Jenayah Komputer Peruntukan Undang-undang
Pencerobohan : Sek. 5 Akta Jenayah Komputer
Gangguan berulang (harassment) atau gangguna seks : Sek. 232 Akta Komunikasi dan Multimedia
Ancaman atau fitnah mealaui e-mail : Sek. 233 Akta Komunikasi dan Multimedia : Sek. 500 Kanun Keseksaan

Tidak terdapat definisi yang tepat yang boleh mengambarkan jenayah siber. Sesetengah pihak menarifkan “jenayah siber” adalah merujuk kepada “jenayah komputer”. Ini berdasarkan keupayaan komputer mampu melaksanakan aktivit-aktiviti jenayah konvensional seperti penipuan, pencurian, peras ugut, dan pencerobohan yang boleh mendatangkan kesan buruk terhadap harta benda individu atau organisasi. Menurut Donn B. Parker dari SRI International California menarfikan jenayah komputer adalah sebarang perlakuan yang mempunyai niat dan dikaitkan dengan komputer melalui sebarang cara dan menyebabkan mangsa menderita atau boleh menyebabkan penderitaan, kerugian dan berterusan. Kenyataan ini disokong oleh Jabatan Kehakiman US yang mengatakan bahawa jenayah komputer adalah sebarang aktiviti yang tidak sah menggunakan pengetahuan teknologi komputer sebagai alat untuk merealisasikan. Sejajar dengan ancaman jenayah siber yang semakin bertambah, pada tahun 1996 kerajaan Malaysia telah memperkenalkan tiga undang-undang baru yang kemudiannya dikenali sebagai undang siber. Dengan terlaksananya undang siber ini, diharap dapat membantu menahan seterusnya mengurangkan masalah terutama aktiviti yang berkaitan dengan jenayah siber terutamanya di Malaysia.

Pelaburan Melalui Internet – It’s totally a scam (PENIPUAN)

on Wednesday, March 07, 2007

KerepeK terpanggil utk membawa ke pengetahuan anda serta memberikan penerangan mengenai kegiatan pelaburan melalui internet yg kini berleluasa di dalam masyarakat kita, termasuk kawan-kawan yang KerepeK kenali sendiri. KerepeK dapati kawan KerepeK kini 'tengah galak' utk meraih keuntungan besar segera yg kononnya sampai 100-200% dlm tempoh 100hari sahaja. KerepeK ingin sekadar berkongsi sedikit pengetahuan KerepeK dalam hal jenayah komersil & jenayah siber.

Kini terdapat berjenis-jenis website seperti winfli.com, abfund.com, euro-america index, ebarrel, swiss cash dan pelbagai lagi. Kononnya mereka adalah syarikat pelaburan produk dan minyak luar negara berprestij, sedangkan itu semua adalah rekaan semata-mata utk mengabui mata mangsa-mangsanya. Ini semua adalah suatu bentuk scam era internet/ penipuan/fraud/ skim cepat kaya/ sistem piramid semata-mata. Kita kena ambil pengajaran dari apa yg telah berlaku seperti kes the infamous pak man telo dulu. Cuma yg ini adalah "sistem pak man telo moden". (Jatuhnya pak man telo dulu adalah kerana agen-agennya yg songlap duit berjuta-juta. Semasa tu duit dikutip secara manual)

FAKTA...
1. Tidak ada business pelaburan yang mampu membayar memberikan pulangan segera yg begitu tinggi dlm tempoh masa yg begitu singkat. (pelaburan terbaik di bank2 malaysia pun hanya mampu memberikan keuntungan sedemikian di dalam tempuh 10 TAHUN pelaburan!!!)
2. Tidak ada pelaburan yg memberikan keuntungan yg tetap DAN TERJAMIN KEUNTUNGANNYA. Tentu ada turun naiknya mengikut pasaran semasa, itulah pelaburan namanya.
3. Business yg begitu besar kononnya itu, tidak akan memerlukan pelaburan individu-individu 'ciput' seperti kita, ia tentu mampu berurusan terus dgn company gergasi yg mampu membuat pelaburan yg besar sekali gus... tetapi kenapa kononnya memberi/membuka peluang utk kita...KERANA INSAN KERDIL yg fool SEPERTI KITA INILAH YG MUDAH utk ditipu.


MODUS OPERANDI...
1. Sila anda semak semua websites tersebut, patent penipuannya sama sahaja. masuk minima us100.00 =rm380. ( kenapa tidak rm350), setiap hari akan dapat us1.80, (dapat bawa masuk ahli(mangsa) baru, ada komisen lagi), dan apabila cukup 100 hari akan dapat us200-250.00
- adakah anda sanggup nak keluarkan us1.80 setiap hari! buang masa sahaja kan. Nampak di monitor skrin memang bertambah akaun anda, jadi tunggu pula 10 hari...dapat us18.00 sahaja, tak berbaloi juga, jadi tunggulah juga sampai 100hari. Sedarkah anda sepanjang tempoh 55 pertama hari tersebut, sebenarnya anda hanya mengambil balik duit sendiri yg berjumlah us100.00 tersebut. Dan apabila telah cukup tempohnya 100 hari matang, anda ada 2 pilihan samada nak mengambil untung tersebut ATAU MENAMBAH PELABURAN!!!. disinilah selalu anda akan terperangkap....anda akan berkata TELAH TERBUKTI anda mendapat untung berganda tersebut...AKU KAYA!!! Tapi apalah sangat dapat untung rm380 itu dalam tempuh lebih 3 bulan kan. Anda akan berkata lagi... RUGI aku tak labur us1,000.00 dulu, kalu tidak sudah tentu aku dapat untung rm3,800.00 dlm tempoh 100hari... MAKA anda pun tidak mengambil pelaburan asal rm380 tersebut, malah menambah lagi (biasanya dari pinjaman lah) dan lagi dan lagi...

2. Apa yg anda dapat (sekiranya dapat dan masih bernasib baik) adalah daripada duit orang-orang (mangsa bawahan) yang baru masuk/ menambah pelaburan. SEBENARNYA ANDA SEDANG BERJUDI DENGAN MASA & NASIB.

3. Sistem piramid tersebut adalah duplication/meniru cipta antara mereka. Malah sekiranya anda pakar dalam bidang internet tersebut, anda juga boleh copy saja dan menjadi multi jutawan (yg putar alam) dalam tempuh 3 bulan sahaja.

BILA ANDA AKAN TERSEDAR...

1. Apabila con men (kaki tipu) tersebut telah cukup targetnya... mungkin mereka sedang mengumpul duit-duit mereka yg anda dermakan tersebut sehingga us100 juta. MUNGKIN ESOK LUSA SUDAH CUKUP TARGET MEREKA, maka mereka akan terus menutup web tersebut. (kerana mereka tidak bodoh)
2. Apabila pehak berkuasa kita (JSJK/BANK NEGARA) telah mengumpulkan bukti2 yg cukup, dan melakukan serbuan kerana ini terang2 adalah kes illegal deposit taking (yg mungkin beroperasi hanya dari lokasi sebuah apartmen di taman perumahan anda saja), maka web tersebut akan ditutup oleh pehak berkuasa...
DARI MANAKAH ANDA NAK DAPATKAN KEMBALI DUIT ANDA!!! jual lah kereta anda, jual lah rumah anda DAN BAYARLAH HUTANG ANDA. Kerana tiada perjanjian, tiada dokumen...tiada apa-apa.

Bagi sesiapa yg dah termasuk/bercita-cita nak masuk... berfikirkanlah banyak2.

Cari Cucu

on Tuesday, February 13, 2007

Permainan Mencari Cucu merupakan permainan tradisional yang dimainkan oleh kanak-kanak diluar rumah. Ianya dimainkan oleh beberapa orang dengan jumlah yang ramai. Halaman rumah atau tempat lapang merupakan gelanggang yang sering digemari oleh mereka.

Didalam permainan ini terdapat dua buah lagu khas yang didendangkan. Sehelai sapu tangan atau kain untuk menutup mata dan sebatang kayu tongkat diperlukan sebagai alat.

Menentukan Nenek

Sebelum permainan dimulakan seorang dari mereka haruslah menjadi nenek. Bagi menentukan nenek maka undian secara lai lai li tam plong perlu dijalankan. Siapa dikalangan mereka yang kalah dalam undian tersebut maka akan ditutup matanya dengan sapu tangan atau kain untuk dijadikan nenek. Sebatang tongkat diberikan untuk dipegang dan berperlakuan seperti nenek tua yang buta.

Permainan Cari Cucu

Kesemua pemain membuat satu bulatan mengelilingi nenek dengan berpegangan tangan diantara satu sama lain. Sebuah dendangan dinyanyikan oleh cucu secara beramai-ramai.

Nyanyian

Nenek, nenek,
si bongkok tiga.
Siang mengantuk,
malam berjaga.
Mencari cucu
dimana berada.
Nenek kahwin
dengan anak raja.

Ketika cucu bernyanyi berpusing-pusing mengelilingi nenek, maka perlakonan nenek seperti orang buta terbongkok-bongkok dengan menggunakan tongkat mencari jalan.

Setelah cucu tamat mendendangkan nyanyian, maka nenek pula mengambil giliran mendendangkan nyanyiannya.

Nyanyian

Cucu, cucu
tak dapat lari.
Nenek tua
banyak sakti.
Sekarang nenek
nak cari ganti.
Siapa yang kena,
dia menjadi.

Setelah selesai dendangan nenek masing-masing cucu duduk mencangkung mendiamkan diri dengan harapan nenek tidak mengetahui kedudukan mereka. Dengan menggunakan tongkat nenek mencari-cari cucu yang mendiamkan diri disekelilingnya. Setelah berjaya menangkap seorang cucu nenek perlu meneka nama pemain tersebut dengan betul.

Sekiranya tekaan nenek itu betul maka pemain tersebut akan menjadi nenek menggantikan tempatnya. Seandainya tekaan itu tidak tepat maka watak nenek masih menjadi miliknya dan permainan diteruskan.

Pulau Labuan WP

on Wednesday, January 17, 2007


Koordinat: 5°19′13.16″N 115°12′40.42″E / 5.3203222, 115.2112278

Wilayah Persekutuan merupakan salah satu daripada negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia. Wilayah Persekutuan ditadbir secara langsung oleh kerajaan persekutuan di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.

Wilayah Persekutuan Labuan merupakan daerah wilayah persekutuan kedua Malaysia. Labuan mempunyai keluasan 92 km2. Pulau Labuan terletak sekitar 10 km dari pantai Sabah, dan 2 1/2 jam penerbangan dari Kuala Lumpur, dan lima minit perjalanan bot ke Pulau Papan. Pulau Labuan telah diistiharkan sebagai pusat kewangan luar pantai ( offshore financial centre ) dan pelabuhan bebas cukai. Labuan mempunyai pelabuhan yang dalam dan besar, yang merupakan punca asal namanya pelabuhan atau "Labuhan".

Pulau Labuan juga mempunyai air yang jernih dan pantai berpasir sepanjang persisiran pantai, menjadikannya destinasi perlancongan yang baik. Pulau Labuan juga mempunyai perairan yang baik untuk aktiviti menyelam dan mempunyai empat destinasi penyelaman skuba.

Pulau Labuan asalnya merupakan sebahagian dari Kesultanan Brunei. Pada 1846, ia diserahkan kepada British oleh Sultan Brunei Sultan Omar Ali Saifuddin II. Pada 1848 Labuan telah diistiharkan sebagai Tanah Jajahan Mahkota British. Kemudian pada 1890, ia digabungkan dengan Borneo Utara. Namun begitu pada 1 Januari 1906 Labuan telah diserahkan kembali kepada British dan menjadi sebahagian daripada Negeri-negeri Selat pada 30 Oktober 1906 bersama-sama Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.

Pada Desember 1941 hingga Jun 1945, Labuan telah diperintah oleh Jepun. Labuan telah ditukar namanya menjadi Pulau Maida (Maida Island 前田島 [Maeda-shima])sempena nama Komander tentera Jepun di Borneo Marquis Toshinari Maeda. Selepas pengunduran Jepun dan pentadbiran tentera British tamat, Labuan digabungkan ke dalam Borneo Utara pada 1946. Seterusnya pada 1963 ia bersama-sama Sabah bergabung ke dalam Malaysia.

Labuan dahulunya merupakan kawasan terpinggir dari arus pembangunan. Setelah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1984, kawasan penempatan bagi kaum Kadayan-Brunei ini mula menjadi antara destinasi utama kepada pelabur asing untuk berurusniaga terutama sekali setelah Labuan diiktiraf sebagai Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa atau IOFC pada Oktober 1990(kini dikenali sebagai Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa atau IBFC).

Peninggalan sejarah zaman silam di Labuan menjadi tarikan pelancong seperti Taman Damai (Peace Park iaitu tempat Jepun menyerah kalah kepada British), kubur askar asing yang terkorban semasa berperang dengan tentera Jepun dan Taman Burung Eksotik.

Selain peninggalan sejarah zaman silam, Labuan juga terkenal dengan aktiviti sukan laut peringkat antarabangsa seperti pertandingan memancing laut dalam, jet ski dan kayak mengelilingi pulau Labuan.

Labuan yang dahulunya didiami oleh nelayan, mula menjadi tumpuan para pelajar dari dalam dan luar labuan berikutan pembukaan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan dan Kolej Matrikulasi Labuan.