Ustaz Kazim & penjenayah lidah

on Friday, December 06, 2013

Ustaz Kazim Elias menjadi orang yang paling dibenci Pas sepanjang minggu ini, sebaik sahaja beliau ditawarkan menduduki kerusi Majlis Tertinggi Umno. Beliau diaibkan, dicaci, dihina, difitnah dan diberi pelbagai gelaran buruk walaupun bukan ahli Pas sejak Mei lalu, menurut Ketua Penerangan Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ada yang kata beliau dipecat sejak 2011 lagi. Justeru, untuk mengesahkan perkara ini, Ustaz Kazim sendiri mengisytiharkan keluar dari Pas.

Pada Rabu lalu, Ustaz Kazim membuat keputusan tidak menerima tawaran Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menganggotai MT. Manakala beliau masih mempertimbang keputusan untuk menerima atau tidak, serangan peribadi yang dibuat ke atasnya adalah jelas, biadab dan zalim.

Ada yang menggelarnya barua Umno dan Ustaz Khinzir. Sebelum ini, beliau pernah menerima ugutan bunuh. Sewaktu hendak berceramah dalam Program Malam Kesenian Islam di RTC Sungai Limau pada Oktober lalu, beliau terima ugutan akan dibaling dengan telur. Namun, beliau tetap hadir ke majlis itu.

Ustaz Kazim adalah seorang penceramah dan pendakwah yang bergiat atas jalan agama kerana ALLAH.

Beliau ialah pengelola Pusat Pendidikan Al-Barakah Saiditina Maimunah bt Al-Harith di Ipoh, Perak yang sempat saya lawati bersama rombongan Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) dan Majlis Hal Ehwal Agama Islam Terengganu pada Sabtu lalu, iaitu hari nama beliau diumumkan bersama lapan orang lain yang dilantik untuk menganggotai MT Umno.

Jika seorang ulama seperti beliau boleh diumpat dan dihina sebegitu rupa, jelaslah kepada semua sikap dan jenis manusia yang melakukan perbuatan terkutuk seperti itu.

Menurut Imam Al-Ghazali, dalam Ihya Ulum al-Din, penyakit lidah manusia dikategorikan sebagai penyakit yang membinasakan (al-muhlikat) baik diri sendiri, agama, keluarga, perpaduan umat dan melemahkan keutuhan negara.

Jenayah lidah termasuk mencemuh, mengata, menyindir, merendah-rendah dan mengaibkan orang lain atau keluarga mereka serta memberi gelaran buruk seperti nama haiwan atau melabel kafir, jahiliah, munafik dan Firaun.

Termasuk dalam kategori ini ialah berprasangka buruk (su’ al-zann) atau umpatan mental. Semua perbuatan ini – sama ada melalui tulisan, sindiran, ejekan, isyarat, lakonan atau dalam ceramah - jelas bertentangan dengan ajaran Islam dan berdosa.

Kata Imam Ghazali, dosa perbuatan mengumpat (ghibah) adalah lebih berat daripada 30 kali berzina, manakala dosa fitnah setara dengan jenayah pembunuhan.

Sebuah hadis daripada Jabir dan Abi Sa’id menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: “Awasilah perbuatan mengumpat, kerana mengumpat lebih berat daripada zina. Sesungguhnya orang berzina yang bertaubat akan diampunkan oleh ALLAH SWT, manakala orang yang mengumpat tidak akan diampunkan dosanya sehingga dia dimaafkan oleh orang yang diumpat.” 

Ada kalanya ulama juga mengumpat dan memfitnah. Malah semangat dan komitmen sesetengah mereka dalam menentang kemungkaran boleh juga mendorong kepada jenayah lidah dan kezaliman terhadap orang lain.

Jenayah lidah yang dilakukan ulama lebih berbahaya berbanding golongan lain kerana dilakukan berselindung di sebalik kebaikan dan kewarakan yang dipamerkan.

Malah, mereka yang cepat menuduh orang lain dengan pelbagai label, gelaran dan tuduhan boleh menjadi munafik jika memburukkan usaha orang lain atau menentang pembangunan, mereka pula secara rahsia merebut segala kemudahan yang disediakan.

Mereka juga harus ingat bahawa orang yang mencaci, mengumpat dan memfitnah dilabel oleh al-Quran sebagai orang-orang yang zalim (49:11).

Manakala di akhirat pula, mengikut hadis Rasulullah SAW, golongan ini dianggap muflis, lantaran semua amalan kebaikan yang mereka lalukan semasa hidup di dunia terpaksa dibayar kepada orang yang mereka caci, umpat dan fitnah sehingga mereka sendiri menjadi muflis lalu dihumban ke dalam neraka.

Walaupun Islam menghormati kebebasan individu, kebebasan itu tidak boleh sampai menggugat hak dan ketenteraman, mencabul, menghakis perasaan kasih sayang atau menyakiti hati orang lain. Mesti ada sikap bertanggungjawab, bertolak ansur dan sensitiviti.

0 Koman & Cadangan: