Maaf..tak nak kongsi

on Monday, May 30, 2011


BARU-BARU ini ada beberapa teman dari kampung mengajak saya menonton filem Kongsi yang khabarnya mengutip hampir RM10 juta. Ah, saya peduli apa dengan kutipannya. Saya hanya peduli kepada mutu karyanya.

Di Perlis tidak ada panggung wayang. Lalu kesempatan datang ke Kuala Lumpur mereka mahu menonton filem yang khabarnya mencatatkan sejarah dalam industri filem tempatan. Sekali lagi, saya tidak peduli sedikit pun dengan “sejarah baru” yang dimomokkan itu.

Teman-teman saya mendapat maklumat mengenai filem Kongsi daripada akhbar, majalah dan program di televisyen. Semua maklumat yang mereka dapat mengkelaskan Kongsi filem yang hebat, lakonan pelakon utama yang saya tidak tahu namanya dikatakan cukup hebat. Sebelum terlupa pelakon ini muncul sebagai “Bintang Paling Popular” dalam satu pertandingan siapa yang paling popular.

Kata salah seorang teman saya, tentulah hebat, kalau tidak tentu tidak dapat kutipan hari pertama saja sudah RM1 juta. Sebenarnya formula ini yang saya paling tidak setuju kerana tahap penonton kita secara umumnya tidak boleh dijadikan kayu ukur mutu sesebuah filem.

Sudah banyak kali kita dikecewakan oleh filem yang mendapat kutipan tinggi, misalnya Nangkung dan banyak lagi filem yang seacuan dengannya.

Saya bukan saja membuang duit membeli tiket dan membuang masa malah merasa malu kerana turut menjadi penontonnya.

Kerana banyak pengalaman dikecewakan oleh filem kutipan tinggi, saya menolak menonton Kongsi. Teori saya mudah saja, mana-mana filem yang mendapat sambutan hebat, filem itu amat jarang memberikan satu kepuasan yang setimpal daripada sudut mutu. Amat jarang sekali filem-filem begini menyuntik suatu pemikiran baru untuk dikongsikan dengan penonton.

Saya katakan kepada teman-teman tadi, tahap pemikiran sebahagian besar penonton filem tempatan sangat rendah. Mereka inilah yang dipergunakan oleh sesetengah penerbit untuk membuat filem-filem yang menepati selera penonton.

Bukan tidak ada filem tempatan yang baik, tetapi jangka hayatnya singkat di panggung. Selepas itu pengarahnya tidak akan diberi peluang lagi oleh penerbit kerana tidak membawa keuntungan.

Semua orang tahu, selepas Kongsi, akan berderetlah peluang mengarah kepada pengarahnya dan saya tidak pernah ambil peduli. Saya tidak mahu berkongsi apa-apa.

Petikan: Ku Seman Ku Hussain

Nota.. dah nonton juga cerita tu.. entah apa-apa cerita. Hanya ganas, kejar-kejar, tembak-tembak serta bergaduh. Dari awal cuba untuk faham apa cerita yang hendak disampaikan. Yang jelas menarik polis rosakkan kereta polis langgar kereta. Macam itukah polis tangkap penjenayah? Yang paling seronok kawan Kepek cakap.. pegawai kanan polis jer yang buat kerja dalam cerita tu sampai 'road block' pun pegawai kanan polis yang periksa..yang berpangkat rendah macam tidak buat kerja. Biar betul tu..no komen

Sekilo gula..sekotak rokok

Khabarnya berita istimewa hari ini.

Tetapi sebelum ini, harga gula naik lagi, RM2.30 sekilogram. Kenaikan ini tentunya disambut gembira oleh ‘pelabur politik’ yang sentiasa mencari modal untuk menghentam kerajaan.

Mereka peduli apa dengan alasan yang diberi. Bagi mereka, alasan itu hanya ‘gula-gula’ menyedapkan hati. Mereka sinis dengan alasan bahawa harga di Malaysia masih rendah berbanding Indonesia RM3.80 sekilogram, Singapura RM3.61, Thailand RM2.31 dan Filipina RM4.50. Mereka tidak peduli bahawa kerajaan masih menanggung subsidi RM283.4 juta setahun walaupun kenaikan itu menjimatkan RM116.6 juta.

Subsidi ini pula dinikmati oleh semua orang tak kira fahaman politik. Begitu juga dengan berjuta pendatang asing sama ada secara izin atau tanpa izin - dari ASEAN, Asia atau Afrika turut menikmati subsidi ini.

Tidak dinafikan semakin ‘tua’ dunia ini semakin tinggi kos kehidupan. Jarang sekali harga barang turun. Kebelakangan ini hujan pun dah jarang turun. Disangka panas hingga ke petang rupanya hingga ke tengah malam. Ditambah pula dengan suhu panas politik ciptaan manusia yang rakuskan kuasa dan kedudukan sehingga sanggup melakukan apa sahaja asalkan matlamat dan cita-cita mereka tercapai.

Kembali kepada harga gula. Awal tahun lalu, penulis pernah menulis mengenai Bicara harga kembar si manis dan si racun pembawa diabetes. Ia mengenai kenaikan harga gula dan rokok.

Awal tahun lalu, harga sekotak rokok 20 batang ialah RM6.40 manakala harga gula naik 20 sen menjadi RM1.65 sekilogram. Itu harga pada Januari 2010. Kini sekotak rokok 20 batang mencecah RM10 hingga RM10.70.

Seperti yang pernah diselak sebelum ini, rokok dan gula adalah kembar yang menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik. Mungkin ada yang marah-marah jika kita diminta bersyukur dengan kenaikan harga ini kerana ada hikmahnya.

Pelbagai cara sudah dilakukan khususnya oleh Kementerian Kesihatan untuk mendidik rakyat supaya menjauhi tabiat merokok dan mengurangkan penggunaan gula. Kempen yang dianjurkan termasuk mempamerkan iklan Tak Nak yang merujuk kepada katakan tidak kepada rokok. Mungkin orang lebih gemar melihat iklan Hapuskan ISA daripada menghayati kata-kata yang dipamerkan oleh Kementerian Kesihatan. Kadangkala manusia lebih suka kepada keuntungan jangka pendek daripada jangka panjang. Bagi mereka, yang utama ialah mengurangkan harga gula sementara soal kos kesihatan di tempat kedua. Mereka lupa bahawa kos mengubat penyakit akibat gula dan rokok lebih tinggi daripada harga sekilogram gula atau sekotak rokok.

Ramai yang sedar pelbagai bahan kimia dan toksik yang ada pada rokok bertukar menjadi ‘racun’. Kajian menunjukkan, dalam rokok ada gas beracun pada ekzos kereta, racun rumpai, peluntur cat, pembersih lantai, racun semut putih, gas beracun, minyak pemetik api, minyak roket, racun gegat, sebatian organik yang mudah terbakar, bahan bateri kereta, racun serangga dan macam-macam lagi.

Begitu juga dengan pelbagai penyakit yang disebabkan rokok. Semua orang tahu mengenainya tetapi tidak ramai yang peduli. Lihatlah sejauh mana kesannya amaran imej ngeri pada kotak rokok.

Selak di bawah tajuk Hijrah demi undang-undang dan nyawa manusia pada 29 Disember 2008 menyentuh mengenai pengenalan imej ngeri penyakit pada kotak rokok. Turut disentuh sikap tidak ambil berat terhadap peraturan dan undang-undang serta penguatkuasaan berkaitan larangan merokok.

Apabila perokok ketegar, undang-undang jadi ‘hiasan’. Larangan merokok wujud di sana sini tetapi adakah perokok peduli?

Apabila pemimpin yang menjadi idola bercakap mengenai rokok, mungkin ramai yang tidak ambil pusing. Contohnya kuliah Jumaat oleh Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mana satu yang menarik perhatian sama ada kenyataan berkaitan perokok atau pelaku video seks?

Kata Nik Abdul Aziz seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar: Orang yang terbabit dalam komplot video berkenaan akan teruk nanti, selagi tak jilat kaki Anwar atas dunia ni, tak boleh masuk syurga dan ini sudah sah (tak masuk syurga). Hanya Allah saja yang dapat mengampunkan dosa mereka.

(Nota: Diharapkan kenyataan ini tidak terpakai kepada kes video seks sahaja tetapi kes lain yang pernah mendapat perhatian orang Pas. Begitu juga dengan tuduhan terhadap pemimpin BN termasuk Dr. Mahathir Mohamad pada masa lalu).

Perokok tentunya tidak tertarik dengan kenyataan Nik Abdul Aziz mengenai umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman melalui jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu.

Contohnya, lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang- undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah). Maka mereka yang melakukan perbuatan (merokok) itu dianggap lebih hina daripada lembu.

Setakat ini, undang-undang berkaitan larangan merokok sekadar hiasan. Lebih mendukacitakan, papan kenyataan berkaitan larangan merokok pun dirosakkan.

Kata orang mencegah lebih baik daripada mengubati. Sama seperti kesan merokok, gula juga membawa pelbagai penyakit. Ada yang kata lebih 60 dan ada yang percaya lebih 136 jenis penyakit.

Semua orang sedar penyakit angkara gula tetapi sekali lagi lebih ramai yang lupa penyakit ketika memesan teh tarik atau minuman bergula yang lain. Biar berapa harganya, teh tarik terus jadi pilihan.

Ketika ini lebih ramai yang ‘bising’ mendengar harga gula naik kerana mereka bimbang minuman dan makanan juga melambung harganya.

Justeru eloklah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan lebih tegas.

Diharapkan, menteri berkenaan, Ismail Sabri Yaakob bertegas dengan kenyataannya bahawa peniaga yang didapati menaikkan harga minuman dan makanan berikutan kenaikan harga gula akan berhadapan hukuman keras termasuk penjara seperti diperuntukkan di bawah Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010.

Akhirnya, bagi orang Islam, renungilah firman Allah SWT ini yang bermaksud: Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan (Surah al-Baqarah 2:195).

Sebab Allah menurunkan bencana atas manusia

on Thursday, May 26, 2011


Umat Islam perlu sedar ia satu peringatan, amaran agar kembali ke pangkal jalan


TIADA siapa dapat menghalang kekuasaan Allah. Punca pelbagai bencana alam yang berlaku adalah disebabkan kemelut dan krisis yang sengaja diciptakan manusia itu sendiri. Sebahagian manusia hari ini seolah-olah hilang keyakinan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah ini.

Disebabkan kerenah dan krisis yang berlaku di kalangan manusia itulah juga barangkali Allah sengaja menimpakan bencana ke atas segelintir hamba-Nya sebagai ujian dan takdir yang tidak dapat ditolak.

Allah berfirman dalam surah as-Syura, ayat 30 yang bermaksud: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari kesusahan (bala bencana) maka disebabkan oleh apa yang telah kamu lakukan (perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian dari dosa kamu.”

Sebagai hamba yang sentiasa meyakini akan keadilan Tuhan, maka sudah sewajarnya kita sama-sama merenungi dan menghayati apa yang tersirat di sebalik mafhum ayat di atas.

Sesungguhnya hanya dengan keyakinan, iltizam, istiqamah dan keinsafan yang mendalam saja akan membolehkan kita mencari kekuatan dalam diri bagi mengimarahkan bumi Allah dengan perbuatan yang diredai kerana kita hanyalah makhluk Allah yang dipinjamkan sementara untuk menetap di alam fana ini.

Setiap apa juga kerakusan dan keterlanjuran yang berlaku bukanlah disebabkan pihak tertentu saja, ia mungkin disebabkan rentetan peristiwa yang berpanjangan akibat dari keegoan manusia itu sendiri untuk menguasai muka bumi ini secara total dan sering menganggap orang lain tidak ubah seperti hamba.
Tanpa sikap toleransi dan saling faham memahami, tentu saja pelbagai kejadian negatif akan cepat mudah meletus. Apabila tercetusnya pertelingkahan, permusuhan dan dendam, sudah pasti akan meletuslah perbalahan yang akhirnya hanya memusnahkan sebahagian besar makhluk di muka bumi.

Dapat difahami daripada ayat di atas, Allah berhak untuk menurunkan apa juga ujian ke atas hamba-Nya yang tidak bersyukur dengan nikmat dan kurniaan-Nya. Bahkan melakukan perbuatan yang sentiasa mengundang kemurkaan Allah.

Ada waktunya Allah hanya menurunkan malapetaka kecil. Ia adalah amaran daripada Allah agar manusia segera menghentikan daripada berbuat sesuatu yang boleh mengundang kemarahan-Nya. Tetapi, apabila datang bala yang lebih besar, maka ia bukan lagi sebagai ingatan dan amaran, sebaliknya adalah bencana yang sengaja diturunkan Allah untuk memberi pembalasan di atas kerakusan manusia.

Lebih malang, apabila berlaku bencana Allah, ramai manusia yang tidak berdosa akan turut menjadi korban. Di sinilah pentingnya konsep ‘berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran’ sebagaimana ingatan Tuhan dalam surah al-Asr.

Allah Taala berfirman melalui surau Hud, ayat 52 yang bermaksud: “Wahai kaum-Ku, mintalah ampun dari Tuhanmu, kemudian kembalilah mentaati-Nya agar diturunkan hujan lebat dan menambah bagi kamu kekuatan yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangi seruan-Ku dengan terus menerus melakukan dosa.”

Keengganan menunaikan tuntutan agama seperti mengeluarkan zakat juga adalah salah satu hal yang boleh mengundang kemurkaan Allah. Antaranya melalui kejadian kemarau panjang.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda melalui hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Tidak menghalang sesuatu kaum itu daripada mengeluarkan harta mereka melainkan mereka menghalang langit daripada menurunkan hujan. Kalaulah tidak kerana binatang yang ada di muka bumi ini, nescaya langit pasti tidak akan menurunkan hujan buat selama-lamanya.”

Daripada Tarmidzi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah bagi Allah menimpakan bencana ke atas mereka iaitu:

· Apabila harta yang dirampas daripada peperangan diagihkan kepada orang tertentu saja.

· Apabila wang zakat dikeluarkan kerana menebus kesalahan.

· Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.

· Apabila anak menderhakai kedua ibu bapanya.

· Apabila seseorang itu lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.

· Apabila suami terlalu mentaati isteri.

· Apabila kedengaran lebih banyak bunyi bising.

· Apabila lebih ramai membicarakan hal keduniaan dalam masjid.

· Apabila pemimpin sesebuah kaum itu adalah orang dihina oleh kaumnya sendiri.

· Apabila orang terkemudian menghina orang yang terdahulu.

· Apabila memuliakan orang lain kerana takutkan ancaman yang akan diambil ke atasnya.

· Apabila arak menjadi minuman biasa dalam majlis.

· Apabila ramai lelaki memakai sutera.

· Apabila wanita dijemput ke dalam majlis untuk menghiburkan lelaki.

· Apabila wanita mula bermain alat muzik.

Cara Mudah TIPU Orang Melayu!!

on Saturday, May 21, 2011


Sebenarnya dah ramai yang cuba interview saya untuk kongsikan tips2 yang betul untuk menipu orang melayu. Sebagai pakar penipu saya memang sibuk ya nak kongsikan tipsi2 tue semua sebab sentiasa sibuk nak menipu sini sana. Tetapi di atas pujukan seorang blogger yang bernama KerepeK akhirnya membuatkan saya akur untuk mendedahkan rahsia kejayaan saya dalam dunia penipuan di internet. Bagi anda yang mahu berjaya seperti saya boleh lah amalkan penipuan yang dibuat oleh saya neh.

KerepeK : Encik penipu, bagaimanakah anda menemui rahsia untuk menipu orang melayu melalui internet?

Penipu internet : Mudah sahaja. Setelah saya menafsir otak melayu saya dapati kebanyakkan dari mereka memang tamak dan bodoh. Malahan mereka mahukan duit datang terbang2 kepada mereka tanpa perlu usaha keras. Itu sebab saya menipu. Saya neh dikira macam membantu juga lah kepada mereka2 neh agar mereka faham sikap masing2.

KerepeK : Berapakah pendapatan harian anda melalui skim tipu2 melayu neh?

Penipu internet : tak terkira. Sebab saya ada pelbagai strategi dengan pelbagai nama + watak + lakon wayang + pentas + web + dan macam2 modul penipuan.

KerepeK : Hebat. Boleh kongsikan serba sedikit tipsi penipuan encik dengan kami?

Penipu internet : Boleh. Begini antara cara2 yg saya sering gunapakai. Saya andaikan kita menipu menggunakan laman web. Mula2 kita bina satu laman web untuk menjual ebook. Kemudian nya kita bina blog. Dalam 3 ataupun 4 blog. Dan mainkan watak2 dalam blog tersebut. Lebih kurang macam berlakon lah. Cuma kali neh kita tak gunakan platform tv. Sebaliknya gunakan internet. Kemudian kita buat lah watak konon nya pemilik2 blogs tersebut telah menjadi testimoni kepada product kita. Nak lebih dasat, lagi bagus kalau kita dapat bentuk 1 team penipu yang cekap. Boleh kita buat video. Kemudian sebarkan kepada melayu2 yang mudah kena tipu.

KerepeK : Apakah peluang pasaran menipu neh masih terbuka luas lagi?

Penipu internet : Ya, malahan berkembang. Jika dulu kita cuma menipu guna blog dan website. Tapi kini kita ada video, ada facebook dan twitter. Ini memudahkan lagi bentuk penipuan. Saya hanya perlu cipta 10 ataupun 20 account fb dan menyamar sebagai orang lain untuk memuji2 product saya. Saya yakin orang melayu memang mudah cair dengan taktik macam neh. Bagi saya taktik ini memang classic tetapi berkesan sampai ke hari ini.

KerepeK : Antara taktik2 lain yang menarik yang boleh dishare sekali?

Penipu internet : Tunjukkan gambar duit. Ataupun angka duit. Jangan bimbang kerana kita memang ada pakar teknologi yang mahir. Kita boleh create semula gambar yang seakan2 bank account untuk tipu orang. Kita mesti berusaha untuk tipu orang habis-habisan. Kalau tidak macam mana lah kita nak kaya segera.

KerepeK : Macam mana pula dengan anak2 buah encik penipu? Adakah mereka juga kaya seperti anda?

Penipu internet : Owh tidak.. tidak. Mereka semua nya bodoh. Sistem piramid yang diasaskan oleh saya hanya mampu mengkayakan saya sendiri. Yang lain2 tue hanya mampu menjadi kuli batak saya dan mereka akan terus terusan ditipu oleh saya. Itu sebab pangkat mereka anak2 buah penipu bukan macam pakar menipu macam saya.

KerepeK : Tidak kah anda risau akan orang lain yang mungkin cemburukan kejayaan anda?

Penipu internet : Owh tidak.. tidak. Mereka melayu memang macam tue. Pantang tengok orang menipu sket. Mula lah sebar kat blog. Aididleak ke apa ke itu semua nya hanyalah cemburukan rahsia kejayaan saya yang boleh hidup aman di malaysia tanpa kekangan penguatkuasa meskipun telah menipu orang berkali2 dengan pelbagai identiti.

KerepeK : Apakah ada pesanan terakhir untuk mereka2 di luar sana yang ingin berjaya seperti anda?

Penipu internet : Teruskanlah menjadi bodoh. Semakin anda bodoh semakin senanglah penipu macam saya boleh berkarya.

Wanita lebih berwibawa jika kuasai pelbagai ilmu

on Friday, May 20, 2011

Ilmu tinggi membantu golongan ibu dalam seruan dakwah dan mempertahankan hak


HARI ini, boleh dikatakan setiap rakyat Malaysia mampu menuntut ilmu, sama ada secara rasmi atau tidak. Ia jauh berbeza beberapa puluh tahun lalu, di mana anak perempuan hanya dibenarkan menuntut ilmu secara tidak langsung di rumah, itupun hanya ilmu domestik. Hanya segelintir ibu bapa yang tidak jumud menghantar anak perempuan ke sekolah.

Peluang menuntut ilmu yang terbentang luas di depan mata tidak sepatutnya dilepaskan oleh setiap wanita hari ini. Walaupun sibuk dengan tugas hakiki sebagai isteri dan ibu, komitmen ini perlu dilakukan secara berterusan kerana wanita jugalah yang akan mendidik anak.

Ilmu yang paling penting untuk ditekuni setiap wanita ialah ilmu al-Quran, hadis, sirah dan feqah. Tidak kurang pentingnya juga, pengetahuan biografi tokoh wanita di zaman Rasulullah SAW yang banyak menyumbang kepada legasi Muslim hari ini.

Ilmu al-Quran menjadi sumber utama yang akan menjadi teraju cara beribadah dan bermuamalah, sekali gus melindungi wanita tergelincir daripada cara hidup sebagai Muslimah seperti dituntut Allah.

Hadis dan sunnah pula memperincikan lagi sahsiah yang harus diteladani sebagai umat Rasulullah SAW. Aisyah contohnya, pernah menjadi pakar rujuk dalam ilmu hadis dan sunnah, malah dalam usia masih muda beliau adalah pakar feqah pertama dalam Islam.

Bahkan Imam Az-Zuhri pernah mengatakan, “jika ilmu Aisyah dikumpulkan, lalu dibandingkan dengan ilmu semua isteri Rasulullah dan seluruh Muslimah, nescaya ilmu Aisyah lebih unggul”.
Kaum lelaki juga takjub dengan kebijaksanaan wanita bernama Aisyah ini sehinggakan putera Urwah bin Zubair iaitu Hisyam meriwayatkan, ayahandanya pernah mengatakan “aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih pakar dalam bidang feqah, perubatan dan syair daripada Aisyah”.

Ilmu sirah tentunya memberi banyak pengajaran kerana sebagai seorang manusia yang mempunyai naluri keibuan, ilmu inilah juga yang akan diamalkan untuk membimbing generasi muda dengan mengambil teladan daripada perjalanan hidup Rasulullah SAW serta sahabat.

Ilmu feqah pula untuk mengetahui hukum hakam yang qat’i dan peraturan hidup sebagai Muslim seperti termaktub dalam sumber yang utama mengikut kronologi iaitu al-Quran dan Sunnah. Metod untuk memutuskan sesuatu hukum yang memerlukan ijma’ ulama juga harus diketahui, supaya wanita tidak jahil untuk memahami bagaimana sesuatu hukum itu diputuskan.

Setelah ilmu itu ditekuni dengan baik dan betul, barulah ilmu berkaitan muamalah insani dipelajari serta difahami, termasuk urusan rumah tangga dan kemahiran hidup lain. Walaupun pakar dalam bidang agama, kecerdasan akal Aisyah tidak dapat dinafikan dalam ilmu sastera, sejarah, seni dan perubatan.

Wanita harus menguasai ilmu supaya dapat menyatakan sesuatu yang hak. Sejarah membuktikan pada awal kedatangan Islam sehingga berakhirnya zaman Rasulullah SAW, wanita dimartabatkan setanding lelaki dalam apa juga bidang, termasuk ketenteraan dan keusahawan.

Kehadiran wanita dalam setiap lapangan kehidupan memungkinkan mereka memperjuangkan keperluan hidup sebagai seorang wanita kerana hanya mereka yang tahu kekuatan dan kelemahan mereka berbanding kekuatan serta kelemahan lelaki.

Menerusi penguasaan ilmu yang luas, wanita akan dapat memiliki kefasihan lisan kerana ilmu yang tinggi membantu mereka dalam seruan dakwah.

Ahnaf bin Qais mengatakan, “Aku telah mendengar khutbah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali serta khalifah sesudahnya, tetapi aku tidak pernah mendengar perkataan dari lisan seorang manusia yang lebih baik dan lebih indah dari perkataan yang keluar dari lisan Aisyah.”

Sayangnya, hari ini dengan pelbagai kemudahan, ada wanita tidak mahu menambah ilmu yang terbentang di depan mata, apatah lagi mempelajari al-Quran, hadis, sirah dan feqah.

Bayangkan bagaimana proses tarbiah insan dapat dilakukan dengan betul jika ibu tidak tahu membaca walau sebaris ayat al-Quran. Sedangkan cabaran dunia hari ini tidak jauh bezanya dengan zaman awal kedatangan Islam sesudah jahiliah, penganut Islam pada masa itu bertempur dengan manusia yang tandus akhlak dan moral.

Justeru, wanita haruslah meneruskan legasi pimpinan wanita terdahulu yang mendampingi Rasulullah SAW kerana ilmu dan akhirat, bukan dunia dan pangkat.

Saidatina Khadijah Binti Khuwailid

on Wednesday, May 18, 2011

”Demi Allah! Dia (Khadijah) beriman kepada ku disaat orang-orang mengingkari ku. Dia membenarkan ku di saat semua orang mendustakan ku. Dan dia membantu ku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika semua orang menahan hartanya dari ku dan Allah telah mengurniakan beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak aku perolehi dari isteri-isteriku yang lain”. [HR Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar].

Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin 'Abdil 'Uzza bin Qushay Al-Qurasyiyah Al-Asadiyah radhiyallahu'anha. Muslim manakah yang tidak pernah mendengar sebutan namanya?. Siapakah yang menyangka di saat itu, keharuman peribadinya kelak akan merebak di sepanjang sejarah Islam di dada setiap kaum Muslimin? Siapakah yang terfikir bahawa wanita mulia ini akan dikurniakan satu keutamaan yang amat besar yang tidak pernah diperolehi oleh sekalian hamba Allah sejak penciptaan insan? Siapakah yang menduga bahawa wanita cantik jelita ini akan mendampingi manusia yang paling agung dalam rentang awal perjalanan dakwahnya? Siapakah yang mampu meramal ketentuan Allah ini? Maha Suci Allah yang telah menciptakan dan mentakdirkan wanita mulia ini sebagai pendamping Nabi akhir zaman.

Beliaulah isteri, sekali gus wanita pertama yang beriman kepada Allah dan Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. Dianugerahi reputasi yang sungguh mulia, keturunan yang terhormat, peribadi yang luhur, perjalanan hidup yang istimewa, ketajaman daya fikir, semangat yang tinggi dan kalbu yang bening, nama Khadijah begitu harum di dalam sejarah Islam. Sebelumnya, beliau dikenali sebagai seorang wanita yang menjaga kehormatan dirinya sehingga digelar ath-Thahirah (wanita yang suci) .

Beliau seorang janda dari suaminya yang terdahulu, Abu Halah bin Zararah bin an-Nabbasy bin 'Ady at-Tamimi, kemudian berkahwin dengan 'Atiq bin 'A`idz bin 'Abdillah bin 'Umar bin Makhzum. Khadijah radhiallahu anha adalah wanita pedagang yang mulia dan banyak harta. Ternyata pekerjaannya itu telah menghantarkan kepada pertemuannya dengan manusia yang paling mulia. Saat dia kembali menjadi janda, seluruh pemuka Quraisy memasang angan-angan agar dapat menyuntingnya. Buah tutur Maisarah membekas di hatinya tatkala berita tentang kejujuran, amanah, dan kebaikan akhlak seorang pemuda Quraisy dikhabarkan kepada beliau. Tersimpan keinginan yang kuat dalam dirinya untuk memperoleh kebaikan itu, hingga diutus seseorang untuk menemui Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dan menyampaikan hasratnya. Ditawarkan dirinya untuk dipersunting Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam, seorang pemuda yang saat itu berusia 25 tahun, miskin dan yatim piatu tetapi tersohor kerana luhur peribadinya. Wanita jelita itu memperoleh kembali belahan hatinya dalam usia 40 tahun. Tersurat peristiwa ini dalam sejarah 15 tahun sebelum Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam diangkat sebagai Nabi akhirulzaman.

Perawat Duka, Khairul Anam

Wanita mulia inilah menjadi perawat duka suaminya di saat penurunan al-Haq melalui perantaraan Jibril alaihi sallam yang menggoncang hati Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. “Aku khuatir akan terjadi sesuatu pada diri ku”. Diselimutinya Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam sehingga beliau kembali tenang dan hilang rasa ketakutannya. Dengan tenang dan lembut, beliau yang mengalirkan tutur kata penuh hikmah dari lisannya lantas membiaskan ketenangan di dalam dada suaminya,

“Demi Allah, Allah tidak akan menyusahkan diri mu selama-lamanya. Bergembira dan teguhkanlah hati mu. Sesungguhnya engkau seorang yang suka menyambung tali persaudaraan, suka menanggung beban orang (yang kurang bernasib baik), menghormati tetamu, memberikan sesuatu kepada orang yang tidak mampu, bercakap benar dan memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana”.

Sesungguhnya beliau telah menjalankan peranan politiknya dengan ketajaman dan kepekaan akalnya yang menjadikan beliau mampu untuk mencermati serta memahami dengan jelas masalah wahyu dan risalah yang diterima oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam,

”Terimalah khabar gembira dan teguhkanlah hati mu! Demi Zat yang diri ku di tangan Nya, sesungguhnya aku berharap engkau menjadi Nabi umat ini”.

Perkhabaran dari Waraqah menjadikan beliau mampu memahami peranan yang bakal dipikul oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dengan turunnya wahyu tersebut.

”Khadijah, kalau engkau masih percaya kepada ku, sesungguhnya telah datang ”an-nams al-akbar” kepadanya. Dia adalah Nabi umat ini. Maka katakanlah kepadanya agar dia berteguh hati”.

Baginda bukan sahaja seorang suami, atau ayah kepada anak-anaknya, tetapi juga Utusan Allah dalam menyampaikan wahyu dan risalah Nya untuk umat yang ada pada ketika itu sehinggalah ke hari kiamat.

Di sinilah titik mula kepada sebuah pengorbanan yang tiada surut dan gantinya. Beliau jugalah manusia pertama yang solat di belakang Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam bersama Saidina Ali radhiallahu anhu. Terus mengalir dukungan dan pertolongan dari beliau dalam menghadapi kaumnya. Beliaulah yang membantu Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dalam mengibarkan bendera Islam, tegar bersama Rasulullah sebagai angkatan pertama. Setiap kali beliau mendengar kata-kata kesat yang dilontarkan kepada suaminya, beliaulah yang setia di sisi baginda dan meringankan beban perasaan yang sangat berat ditanggung oleh kalbu manusia terpilih.

Bukan hanya itu sahaja kebaikan Khadijah radhialllahu anha. Beliau mengorbankan setiap harta yang dimiliki kepada suaminya. Bahkan, ketika Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam menampakkan rasa senangnya pada Zaid bin Haritsah, seorang hamba miliknya, beliau segera menghibahkan hamba itu kepada suaminya. Zaid diangkat sebagai orang yang sangat dekat di sisi Rasulullah dengan menjadi anak angkat baginda sendiri. Turut tercatat, Zaid memperolehi kemuliaan sebagai salah seorang dari saf pertama yang mengimani dakwah Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam.

Sebagai seorang isteri, beliau merupakan pendorong utama bagi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam untuk selalu giat berdakwah, bersemangat dan tidak kenal menyerah. Beliau juga selalu berusaha meringankan beban berat di bahu Rasulullah. Kebijakan, kesetiaan dan banyak lagi kebaikan Khadijah tidak pernah lepas dari ingatan baginda Rasul. Bahkan sehingga Khadijah meninggal dunia. Beliau benar-benar seorang isteri yang mendapat tempat tersendiri di dalam hati Nabi Allah ini. Betapa kasihnya baginda terhadap Khadijah sebagaimana di buktikan dari penceritaan Saidatina ‘Aisyah radhiallahu anha.

“Belum pernah aku cemburu terhadap isteri-isteri Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam sebagaimana cemburunya aku kepada Khadijah, padahal aku tidak pernah melihatnya. Tetapi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam selalu menyebut-nyebut namanya, bahkan adakalanya menyembelih kambing dan diberikannya kepada sahabat-sahabat Khadijah. Bahkan pernah aku berkata, “Bukankah Khadijah itu seorang wanita tua? Bukankah Allah sudah memberikan kepada mu pengganti, isteri yang lebih muda dan baik daripadanya?”. Lalu Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam menyebut, “Tidak! Demi Allah !Dia Subhanahu wa Ta’ala tidak memberikan seorang pengganti yang lebih baik daripadanya. Dia (Khadijah) telah beriman kepada ku pada saat orang-orang mengingkari ku. Dia membenarkan ajaran yang aku bawa di saat orang-orang mendustakan ku. Khadijah membantu ku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika orang-orang menahan hartanya dari ku dan Allah mengurniakan ku beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak diberikan oleh isteri-isteri yang lain” . [HR. Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar].

Ummul Mukminin ini sentiasa berada di samping Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dan memberikan pembelaan terhadap baginda. Beliau juga bergabung bersama Rasulullah dan kaum Muslimin dalam memikul penderitaan lantaran sikap kaumnya yang mendustakan dan melecehkan dakwah baginda. Kesabaran dan keredhaan Khadijah dapat dilihat dengan jelas dalam siri hambatan terhadap dakwah Rasulullah, termasuklah dalam fasa pemboikotan terhadap Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib oleh orang-orang Quraisy yang selama ini menjadi pelindung kepada Rasulullah.

Wanita Teladan Sepanjang Zaman

Ditakdirkan Allah Subhanahu wa Ta’ala, di usia 65 tahun iaitu 3 tahun sebelum Hijrah, Khadijah radhiallahu anha kembali kepada Nya di saat-saat dakwah melalui fasa genting yang bakal menentukan kelangsungannya. Pemergian beliau ditangisi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam, berlaku dalam selang waktu yang singkat selepas meninggalnya Abu Thalib, bapa saudara baginda. Sejak tahun kesedihan tersebut, hambatan-hambatan dakwah yang semakin getir dengan gangguan yang tidak putus-putus mula berani dilakukan oleh kaum kafir Musyrikin di Makkah.

Sesungguhnya nama Khadijah tercatat di dalam sirah sebagai wanita pilihan sehingga namanya disebut-sebut di kalangan penduduk langit dan bumi. Kemuliaan itu telah diraihnya sejak masih ada di muka dunia. Tatkala Jibril Alaihi Sallam datang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan mengatakan,

“Wahai Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. Ini dia Khadijah. Dia akan datang membawa bejana berisi makanan atau minuman. Bila ia datang kepada mu, sampaikanlah salam padanya dari Rabbnya dan dari ku, dan sampaikan pula khabar gembira tentang rumah buatnya di dalam syurga dari mutiara, yang tak ada keributan di dalamnya, dan tidak pula keletihan”. Khadijah lantas menjawab salam itu dengan katanya: “Allah Maha Penyelamat, daripada Nya keselamatan dan kepada Nya pula kembali keselamatan. Semoga keselamatan atas Malaikat Jibril.” [HR. Bukhari dalam Shahih Bukhari, Bab Perkahwinan Nabi SAW dengan Khadijah dan Keutamaannya, 1/539]

Wahai Muslimah yang dirahmati Allah! Sesungguhnya istana tersebut adalah jauh lebih baik dari pada gemerlapnya dunia fana yang telah memperdayakan mu. Dan ini adalah sebaik-baik khabar gembira dibandingkan dunia dan segala isinya. Tidakkah kalian ingin mendapatkannya pula?

Ya Allah! Betapa mulianya Khadijah binti Khuwailid, As-Sayyidah Ath-Thahirah. Seorang isteri yang setia dan tulus, mukminah mujahidah di jalan deen Nya dengan seluruh apa yang dimilikinya dari perbendaharaan dunia. Semoga Allah memberikan balasan yang paling baik kerana jasa-jasanya terhadap Islam dan umat Islam seluruhnya.

Sumber : http://www.mykhilafah.com

Hiburan tanpa bersandar keimanan bawa kesan negatif

on Thursday, May 12, 2011

HIBURAN tidak hanya terbatas kepada muzik atau fesyen, tetapi apa saja yang dapat menghiburkan. Islam tidak melarang hiburan. Sesuatu yang menghiburkan sepatutnya melahirkan ketenangan.


Namun ketenangan bukanlah bersifat sementara tetapi dapat memberi kesan kepada jiwa dan memotivasikan seseorang dalam apa juga dilakukannya.

Manusia secara fitrah memerlukan hiburan kerana ia menyumbang produktiviti. Tekanan hidup berterusan boleh menyebabkan seseorang itu berputus asa. Semua orang perlukan hiburan tetapi apa yang menghiburkan itu berbeza.

Apakah hiburan hakiki yang boleh memberikan ketenangan? Tiada ketenangan hakiki kecuali mengingati Allah. Mengingati Allah juga tidak semestinya dibatasi dengan ibadat khusus. Islam agama fitrah yang meraikan fitrah dan keinginan manusia pelbagai.

Syariat adalah garis panduan jelas bagaimana meraikan dan mengawal keinginan manusia. Tidak menjadi kesalahan meminati lagu yang enak didengar selagi liriknya tidak bercanggah akidah Islam atau melalaikan. Oleh itu, hiburan dalam Islam perlulah sesuatu yang tidak melalaikan.

Apa yang dimaksudkan dengan melalaikan? Sesuatu itu dapat dirumuskan sebagai tidak melalaikan jika ia tidak menjadikan seseorang itu lupa kepada Allah dan caranya tidak bercanggah dengan syariat.

Walaupun Islam meraikan pelbagai keinginan manusia, Islam juga menetapkan kaedah jelas meraikan keinginan itu. Pada masa sama, perlu diperhalusi tujuan berhibur. Jika berhibur untuk mendapatkan ketenangan dan merehatkan minda, tiada kaedah terbaik kecuali mengingati Allah.
Firman Allah bermaksud: “(Iaitu) orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Ra‘d, ayat 28)

Hiburan yang memberi ketenangan dapat dicapai menerusi pelbagai aktiviti seperti jiwa tenang jika mengamati ciptaan Allah. Berada di tepi pantai boleh memberi ketenangan, maka ia menjadi ibadat jika mengaitkan kehebatan alam ini dengan kekuasaan Allah.

Jika melaksanakan kerja sukarela boleh memberi kepuasan kepada seseorang, maka ia perlu diasaskan dengan niat kerana Allah. Maksud sabda Rasulullah SAW: “Siapa menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Golongan yang tidak menyandarkan hiburan kepada keimanan, akan melakukan apa saja untuk berhibur dan mencari kepuasan. Ada yang sanggup berbelanja walaupun yang dibeli itu bukanlah keperluan maka berlakulah pembaziran.

Mereka sanggup berbelanja semata-mata untuk berhibur, tetapi tidak sanggup berkorban wang dan masa untuk kewajipan lain. Ini menunjukkan fitrah manusia yang sukakan hiburan. Jika keinginan ini tidak dikawal maka akan wujudlah kerugian dan kerosakan.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya pemboros itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27)

Ada juga yang berhibur dengan kaedah merosakkan, sama ada merosakkan harta (vandalisme) sendiri atau orang lain.

Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berbuat kerosakan.” (Surah al-Qasas, ayat 77)

Masyarakat semakin hari semakin ketagihan hiburan, seolah-olah tidak boleh hidup tanpa hiburan. Lebih parah lagi ketagihan itu membabitkan perkara yang jelas bercanggah ajaran Islam. Ada yang sanggup membelai nafsu untuk berhibur, seperti mencari hiburan dengan aktiviti berunsurkan seksual.

Hiburan semata tanpa diasaskan dan dikaitkan dengan keimanan kepada Allah akan memberi kesan negatif. Contohnya, pembabitan dengan perkara yang diharamkan dalam mencari hiburan seperti minuman keras, dadah, seks bebas, membawa kepada kehancuran diri seterusnya masyarakat.

Walaupun Islam tidak menghalang hiburan, namun mekanisme untuk berhibur, aspek hiburan dan kesan hiburan adalah antara yang perlu dipastikan bersesuaian dengan syariat. Walaupun Islam meraikan keinginan fitrah manusia, namun nafsu atau keinginan itu perlu dikawal.

Panduan mencegah gigitan ular

on Sunday, May 08, 2011


SEJAK dahulu lagi ular telah dikaitkan dengan kejahatan dan kehinaan, maka disebabkan oleh perasaan iniah kebanyakan orang akan merasa geli atau takut terhadap ular.

Reaksi spontan biasanya jadi punca ramai orang tidak teragak-agak membunuh ular tanpa memikirkan sama ada ia daripada jenis yang berbisa atau tidak.

Di Malaysia terdapat kira-kira 141 jenis ular yang berhabitat sama ada di air atau di darat. Daripada jumlah ini hanya 16 jenis ular di darat dan 21 jenis ular laut yang dikenal pasti berbisa.

Ular darat seperti ular tedung, ular katam tebu dan ular kapak tergolong daripada ular yang berbahaya dan selalunya didapati berhampiran dengan tempat kediaman atau kawasan kerja. Manakala ular laut, hampir kesemuanya mempunyai bisa dan boleh dianggap berbahaya.


Ular yang berbisa biasanya mempunyai taring sama ada panjang dan boleh digerak-gerakkan (bagi ular kapak) ataupun yang berkedudukan tetap (bagi Ular tedung, ular katam tebu, ular pantai ataupun ular laut) di bahagian atas rahang. Taring-taring ini biasanya beralur (bagi Elapidae) ataupun alur yang bertaup membentuk seperti jarum hipodermik (bagi kumpulan Viperidae) supaya bisa dapat disuntik ke dalam tubuh mangsa.

Racun atau bisa ular tersimpan pada kelenjar yang terletak di kiri dan kanan pipi dan disalurkan ke taring melalui duktus. Seekor ular berkeupayaan mengawal jumlah bisa yang disuntikkan ke tubuh mangsa dan biasanya tidak akan menghabiskan kesemua bisa pada satu gigitan.

Bisa ular biasanya mengandungi bahan-bahan racun haemotoksin, neurotoksin dan myotoksin. Kesemua racun ini terdapat pada setiap ular tetapi hanya salah satu daripadanya lebih dominan dan mendatangkan kesan kepada mangsa - bergantung kepada jenis ular.

Ular dari keluarga Elapidae mempunyai bahan racun saraf (neurotoksin), keluarga Viperidae pula bahan racun jenis darah (haemotoksin) manakala keluarga Hydropidae pula mempunyai bahan racun otot (myotoksin).

Di samping bahan-bahan ini, bisa juga mengandungi sejenis enzim yang dipanggil hyaluronidase yang bertindak sebagai mangkin bagi meningkatkan penyebaran bisa ke saluran darah ataupun saraf. Bisa ular mempunyai dua fungsi yang utama:

  • Bertujuan melumpuhkan atau membunuh mangsa.
  • Bertindak sebagai ejen penghadaman.


Ular berbisa terbahagi kepada 3 keluarga yang utama:

Keluarga Elapidae:
Jenis ular yang tergolong di dalam keluarga ini ialah: UIar katam tebu, ular katam belang, ular katam kepala merah, ular matahari biru, ular pantai belang, ular pantai bintik, ular pantai bintik kecil, ular tedung hitam dan ular tedung selar.

Ular jenis ini mempunyai taring yang tetap di bahagian hadapan rahang atas. Kesemua ahli keluarga Elapidae adalah berbisa dan amat berbahaya pada manusia. Bisa ular kumpulan Elapidae bertindak kepada sistem saraf mangsa.

Antara tanda-tanda keracunan bisa ular jenis ini ialah:

Jenis tedung:

  • Kesakitan pada tempat gigitan dalam masa setengah jam.
  • Bahagian bekas gigitan membengkak (selepas 1 jam digigit).
  • Lemah-lemah badan.
  • Pengeluaran air liur yang berlebihan.
  • Mengantuk.
  • Lumpuh pada otot-otot muka, bibir, lidah dan saluran pernafasan.
  • Tekanan darah menurun.
  • Mata kuyu (ptosis).
  • Pandangan menjadi kabur.
  • Sawan (konvulsi).
  • Badan berpeluh.

Dalam kes-kes teruk tanda-tanda berikut adalah nyata:

  • Komplikasi kardiovaskular.
  • Hipotensi.
  • Sakit yang amat sangat pada bahagian perut.

Jenis katam tebu:

  • Biasanya gigitan ular jenis ini tidak meninggalkan kesan kesalutan yang teruk.
  • Jangka masa kesakitan juga tidak berlarutan.
  • Tiada kesan bengkak atau perubahan warna kulit pada tempat gigitan.
  • Tanda-tanda lain adalah serupa dengan kesan gigitan tedung.

Ular matahari

  • Kesakitan pada bekas gigitan.
  • Bekas gigitan membengkak.
  • Kudis terjadi pada tempat gigitan.
  • Gangguan pernafasan

Nota: Keracunan yang teruk dapat dikenal pasti dengan tanda-tanda toksin saraf dalam masa 1 jam.

Ular Keluarga Viperidae:
Di Malaysia, jenis ular yang tergolong dalam keluarga ini adalah semua jenis ular kapak. Ular kapak bodoh, ular kapak sumatra, ular kapak gunung, ular kapak tokong, ular kapak kapak hidung pipeh, ular kapak bakau, ular kapak hijau.

Ular dari keluarga ini amat mudah dikenali berdasarkan kepalanya yang seakan-akan bentuk segi tiga. Di antara mata dan lubang hidungnya terdapat lubang (pit) yang berfungsi sebagai deria pengesan haba yang amat sensitif kepada haiwan berdarah panas.

Kelenjar racun ular ini terletak di kedua beleh pipinya dan biasanya bertindak terhadap sistem saluran darah dan tisu yang menyebabkan berlakunya pendarahan samn ada di luar atau di dalam.

Antara tanda-tanda gigitan ular jenis ini ialah:

  • Sakit yang amat sangat pada tempat gigitantan (dalam masa 5 minit).
  • Bekas gigitan akan membengkak dan perubahan warna akan berlaku pada kulit dalam masa setengah jam.
  • Pendarahan yang tidak berhenti pada kesan gigitan.
  • Pendarahan pada gusi, usus dan saluran kencing.
  • Darah tidak membeku.
  • Keracunan yang teruk boleh menyebabkan bahagian lutut dan lengan atas membengkak dalam masa 2 jam disertai dengan pendarahan.


Ular keluarga Hydropidae:
Terdapat 21 jenis ular laut di Malaysia dan kesemuanya tergolong di dalam keluarga ini. Ular laut mempunyai ekor yang pipeh seperti dayung dan biasanya berkepala kecil.

Semua ular laut adalah berbisa dan kebanyakan spesis mempunyai bisa yang bertindak terhadap sistem otot mangsa. Kesan bisa dari gigitan ular laut hanya dapat dirasakan selepas setengah jam. Semua ular laut adalah berbisa dan kebanyakan spesis mempunyai bisa yang bertindak terhadap sistem otot mangsa. Kesan bisa dari gigitan ular laut hanya dapat dirasakan selepas setengah jam.

Antara tanda-tandanya adalah:

  • Kesakitan pada otot-otot.
  • Kesukaran untuk menggerakkan kaki dan tangan.
  • Dalam jangka masa 1 hingga 2 jam, mangsa akan merasakan kesakitan yang amat sangan apabila menggerakkan anggota badan.
  • Dalam jangka masa 3 hingga 6 jam air kencing akan berubah menjadi perang gelap.

Langkah berjaga-jaga:
Selalunya ular tidak akan menyerang manusia, malah ular sebenarnya takut kepada manusia. Kebanyakan kes gigitan ular terjadi apabila ular terkejut, terpijak ataupun tempat kediamannya diganggu oleh manusia sama ada secara sengaja ataupun tidak. Oleh itu anda patut berjaga-jaga:

  • Elakkan daripada cuba menangkap ular atau mengganggu ular.
  • Berhati-hati apabila bekerja di kawasan yang menjadi habitat ular seperti di kawasan sawah padi ataupun semak. Jangan sekali-kali memasukkan, tangan atau kaki ke tempat yang mana dipercayai terdapat ular seperti di celah batu, di bawah tunggul kayu dan sebagainya, sekiranya perlu gunakan kayu terlebih dahulu.
  • Sekiranya nampak ular sedang tidur atau berehat, jangan mengusik atau mengejutkannya. la selalunya akan mematuk sekiranya diganggu.
  • Seandainya anda terserempak dengan ular, jangan cuba lari, tapi berhenti dan jangan bergerak, selalunya ular akan berlalu pergi. Petua ini juga berkesan ke atas ular laut, sekiranya anda bekerja di kawasem pantai atau muara sungai yang berair cetek.
  • Ular laut adalah tidak agresif, kebanyakan kejadian gigitan ular laut ialah apabila manusia mengganggu atau memegangnya secara kasar. Jika anda terserempak dengan sekumpulan ular laut, jangan menghampirinya kerana mungkin ketika itu musim mengawan dan kebanyakan ular amat agresif pada masa tersebut.
  • Pakai pakaian tebal seperti kasut kulit atau but separas lutut, sarung tangan, seluar panjang, baju lengan panjang dan topi ketika bekerja di kawasan yang menjadi habitat ular.
  • Kebanyakan ular berbisa keluar pada waktu malam yang panas, oleh itu berhati-hatilah apabila berjlan pada waktu malam. Jangan berjalan dalam gelap, bawalah lampu suluh dan sebagainya.
  • Semasa berkhemah, bersihkan sekeliling khemah daripada semak-samun, sampah-sarap ataupun batu-batu terlebih dahulu. Jangan sekali-kali tidur di luar khemah. Kehangatan badan anda akan menarik perhatian ular terutama jenis ular kapak. Buang atau tanam makanan yang tidak habis jauh dari kawasan perkhemahan, kerana makanan yang bersepah akan menarik perhatian tikus dan seteruanya menarik perhatian ular.

Jika anda digigit ular:

  • Cuba bunuh ular tersebut kerana ia penting, bagi tujuan mengenal pasti antivenin bagi bisa ular tersebut. Ini adalah bagi mengelakkan daripada kesilapan menyuntik antivenin yang salah, ia tidak hanya sia-sia malah juga boleh membahayakan nyawa si mangsa.
  • Tetapi jangan membuang terlalu banyak masa untuk membunuh ular itu kerana rawatan awal kepada mangsa adalah lebih penting. Di samping itu amat dikhuatiri ketika sibuk membunuh ular itu ia mungkin akan digigit sekali lagi.
  • Untuk membunuh ular, gunakan kayu panjang, jika boleh gunakan buluh. Pukul dengan kuat di bahagian belakang kepala ular tersebut tetapi seboleh-bolehnya jangan hancurkan kepalanya kerana ular juga boleh dikenal pasti dari bentuk kepalanya. Sekiranya percubaan membunuh ular tersebut tidak berjaya, mencukupi jika anda dapat mengingati saiz dan corak warna ular tersebut.
  • Walaupun ular tersebut telah mati, anda haruslah berhati-hati ketika memegangnya. Jangan cuba mengusik kawan atau bermain-main dengannya kerana berkemungkinan ular tersebut masih hidup.
  • Walaupun ular tersebut telah mati, bisanya masih boleh membahayakan sekiranya tersuntik ke tubuh sehingga 1 jam setelah ular tersebut mati.


Nota: Antivenin adalah dadah yang diproses khas dari bisa ular yang boleh digunakan sebagai antidot kepada gigitan ular.

Antivenin adalah spesifik kepada sesuatu jenis ular. Jika tersilap memberikan antivenin ia boleh membawa maut. Terdapat sejenis antivenin yang dipanggil antivenin Polivalent yang mana ia boleh digunakan untuk merawat semua jenis bisa gigitan ular.

Soalan
APAKAH langkah pertolongan cemas yang perlu dilakukan apabila seseorang itu dipatuk ular?

Walaupun tidak semua ular itu berbisa, adalah dinasihatkan setiap kes gigitan ular merupakan kes kecemasan dan mangsa hendaklah dibawa ke hospital dengan segera.

Jangan tunggu sehingga tanda-tanda keracunan bisa ular kelihatan. Rawatan dengan menyuntik antivenin kepada mangsa gigitan ular telah terbukti berkesan.

Perlu diingat penggunaannya mungkin mendatangkan kesan sampingan yang boleh membahayakan nyawa mangsa. Oleh yang demikian ia mesti dilakukan oleh pegawai perubatan dan seeloknya dirawat di hospital.

Pastikan mangsa berkeadaan tenang. Mangsa gigitan ular biasanya terkejut dan takut. Ini akan menyebabkan mangsa menjadi pucat dan lemah selepas dipatuk ular. Berlainan ilengan kesan bisa ular yang hanya nyata selepas 15 minit ataupun beberapa jam selepas dipatuk ular.

Oleh itu mangsa hendaklah sentiasa tenang dan diberitahu bahawa:
1. Tujuan rawatan ialah untuk memastikan ia sembuh sepenuhnya.
2. Ular tersebut mungkin tidak berbisa.
3. Tidak semua ular yang berbisa berjaya menyuntikkan bisanya. Pengesahan keracunan bisa ular hanya boleh dibuat apabila terdapat tanda seperti disebut di atas.

  • Baringkan mangsa dan elak pada bergerak.
  • Pastikan bahagian yang digigit tidak digerakkan, ia akan mencegah racun daripada disebarkan dengan lebih meluas lagi.
  • Balut kawasan yang digigit dengan pembalut (gunakan splint).
  • Salur intravenous hendaklah dipasang pada bahagian anggota yang sihat, ini bagi memudahkan proses memasukkan antivenin.
  • Bawa mangsa-ke hospital terdekat.