KHIDMAT jururawat pertama Islam bermula pada zaman Nabi Muhammad SAW yang dikenali dengan nama Siti Rufaidah binti Saad. Beliau selalu memberikan rawatan terbaiknya terutama kepada pesakit yang cedera di medan perang.
Eropah dan Amerika Syarikat mengenali Florence Nightingale sebagai pelopor jururawat moden. Negara di Asia Barat memberikan kedudukan awal kepada Rufaidah, seorang jururawat Islam yang terkenal.
Perjuangan dan kemasyhuran Rufaidah secara berterusan daripada generasi ke generasi khususnya di Arab Saudi dan diteruskan ke generasi moden di Asia Barat sehingga ini.
Rufaidah (570-632 SM) tokoh jururawat Islam tersohor itu muncul pada masa peperangan dalam Islam. Prof Dr Omar Hasan Kasule, dalam kertas kerjanya pada Persidangan Antarabangsa Kejururawatan ketiga di Brunei Darussalam pada 1998 menyatakan, Rufaidah adalah jururawat profesional pertama dalam sejarah Islam.
Beliau hidup pada zaman Rasulullah SAW pada abad pertama hijrah dan diiktiraf sebagai jururawat teladan. Rufaidah adalah seorang pemimpin, penggerak, mampu memberi motivasi kepada orang lain. Beliau turut digambarkan memiliki pengalaman klinikal yang dapat disalurkan kepada jururawat lain untuk dilatih dan bekerja dengannya.
Rufaidah tidak hanya melaksanakan tugas sebagai jururawat dalam aspek klinikal semata-mata, namun melaksanakan tugas komuniti dan mencari punca pelbagai masalah sosial yang boleh menyebabkan timbulnya bermacam penyakit.
Rufaidah bertindak sebagai jururawat kesihatan komuniti, tidak memandang miskin atau kaya. Beliau adalah pekerja sosial yang cekap menjadi inspirasi bagi kerjaya jururawat dunia Islam.
Rufaidah tinggal di Madinah dan lahir di Yathrib termasuk dalam kaum Ansar, golongan pertama menganut Islam di Madinah. Ayahnya seorang doktor dan Rufaidah mempelajari ilmu perawatan ketika bekerja membantu ayahnya.
Rufaidah mengabdikan diri merawat kaum Muslim yang sakit di luar kawasan Masjidil Nabawi ketika perang Badar, Uhud, Khandak dan perang Khaibar dengan beliau menjadi sukarelawan dan merawat korban yang terluka dan cedera parah akibat peperangan. Beliau juga mendirikan hospital lapangan.
Nabi Muhammad SAW sendiri memerintahkan agar tentera yang cedera parah dirawat oleh Rufaidah. Pernah digambarkan saat perang Khandak, Saad bin Maadh yang terluka terkena panah di tangannya dirawat oleh Rufaidah hingga sembuh.
Rufaidah turut melatih beberapa wanita untuk menjadi jururawat dan dalam perang Khaibar mereka meminta izin Nabi Muhammad SAW untuk ikut serta di garisan belakang pertempuran bagi merawat mereka yang terluka dan Nabi mengizinkannya.
Rufaidah digambarkan memiliki keperibadian yang luhur dan simpati kepada semua orang dan melayani pesakit dengan baik. Sentuhan perikemanusiaan adalah hal yang penting bagi jururawat.
Sejarah Islam juga mencatatkan beberapa nama yang bekerja bersama Rufaidah seperti Ummu Ammara, Aminah, Ummu Ayman, Safiyah, Ummu Sulaiman dan Hindun.
1 Koman & Cadangan:
entry ni memberi inspirasi padaku utk bergelar jururawat..insyaallah..
Post a Comment