Lailatul qadar ukur kekuatan iman, takwa umat Islam

on Tuesday, August 23, 2011

Rahsia malam istimewa disembunyikan supaya mukmin buat amal tanpa pilih hari tertentu


RAMADAN, bulan penuh keberkatan dan dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan iaitu 83 tahun. Malam lailatul qadar yang dicari setiap kali Ramadan adalah anugerah terbaik dalam kehidupan manusia.

Sedarkah kita Allah telah memuliakan umatnya pada malam lailatul qadar yang mempunyai kelebihan kerana malam itu menyaksikan turunnya al-Quran al-Karim.

Menurut pandangan sebahagian ahli tafsir, al-Quran diturunkan sekali gus ke Baitulizzah di langit kedua pada malam lailatul qadar. Manakala al-Quran diturunkan ke bumi dan diterima oleh Rasulullah SAW melalui Jibril sebagai wahyu beransur-ansur selama 23 tahun. Bagi orang yang beriman, malam itu adalah peluang untuk mengerjakan sebanyak mungkin amal ibadah. Bahkan mereka berlumba-lumba bangun di malam hening dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala daripada Allah.


Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (lailatul qadar). Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam lailatul qadar itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara. Sejahteralah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar.” (Surah al-Qadar, ayat 1-5)

Memasuki fasa ketiga bulan yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, marilah kita gunakan peluang dan tawaran berharga ini bagi menambah bekalan akhirat. Lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir bulan Ramadan yang mempunyai banyak kelebihannya.

Lailatul qadar malam ditunggu-tunggu mereka yang menginginkannya kerana berlaku pada satu malam saja sepanjang tahun. Beruntung siapa yang memperolehnya dan rugi yang melepaskannya.
Selain kelebihan beramal, malam Lailatul Qadar juga memperjelaskan segala urusan hidup manusia dengan penuh hikmah.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran. Padanya dijelaskan tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku. Iaitu perkara dari sisi Kami; sesungguhnya Kamilah yang mengutus Rasul-rasul. Sebagai rahmat dari Tuhanmu; sesungguhnya Allah jugalah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Dukhan, ayat 3-6)

Berdasarkan ayat itu, sesetengah ulama berpendapat Allah telah menentukan rezeki, qada’ dan qadar ke atas segala makhluk-Nya selama setahun. Justeru, tidak pelik mengapa rahsia kedatangannya di sembunyikan Allah kepada kita.
Menurut Imam al-Razi, antara rahsia disembunyikan malam lailatul qadar supaya umat Islam dapat membesarkan keseluruhan malam bulan Ramadan tanpa memilih malam tertentu saja.

Bimbang umat Islam tidak berusaha merebutnya dengan amal ibadat walaupun ditetapkan malam tertentu, atau pun dia melakukan maksiat pada malam itu sehingga mendapat kemurkaan Allah.

Supaya umat Islam bersungguh-sungguh mencari lailatul qadar sehingga mampu memperbanyakkan ibadat lalu memperoleh pahala daripada kesungguhannya itu. Melahirkan umat yang menghidupkan malam Ramadan dengan harapan bertemu lailatul qadar sehingga meningkat amal solehnya.

Lailatul qadar mengukur kekuatan iman dan takwa umat Islam selama ini. Walaupun ulama berbeza pendapat dalam menentukan waktunya, namun pendapat paling kuat berdasarkan hadis diriwayatkan Aisyah bermaksud: “Cari malam lailatul qadar di malam ganjil 10 hari terakhir Ramadan.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Persoalan timbul di sini ialah bagaimanakah cara untuk kita mendapatkan lailatul qadar? Rasulullah SAW menggariskan beberapa langkah kepada umatnya supaya berusaha sedaya upaya mendapatkan lailatul qadar ini.

Menurut Imam Bukhari dan Muslim, Saidatina ‘Aisyah meriwayatkan yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila masuk malam sepuluh terakhir Ramadan, Baginda menghidupkan malam (dengan amal ibadah), mengejutkan keluarganya (bangun beribadah), bersungguh-sungguh (dalam ibadah) dan uzlah dari isteri-isterinya.”

Kenali Ambiga Sreenevasan

on Sunday, June 26, 2011

Ini orangnya:::

Ambiga Sreenevasan lahir pada 1956

Bekas Presiden Majlis Peguam itu adalah orang yang bertanggungjawab menerima memorandum menuntut pelaksanaan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) pada 21 Ogos 2001. Majlis Peguam menerima memorandum untuk menuntut pelaksanaan 14 tuntutan IFC yang jelas sekali bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam kes Lina Joy yang murtad, Ambiga mempertikaikan pelaksanaan hukum syariah di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan dengan menyatakan kebebasan beragama turut termaktub kepada semua penganut agama Islam.

Beliau turut mengadakan forum mengenai memeluk agama Islam pada 9 Ogos 2008 yang membincang dan mempertikaikan secara terbuka Perkara 121 (1A). Biarpun mendapat bantahan orang Islam, Majlis Peguam yang diterajui Ambiga tetap meneruskan forum itu.

Tindak tanduk Ambiga memperlihatkan diri beliau sebagai seorang yang tidak menghormati undang-undang dan Perlembagaan dan dengan itu orang Melayu terutamanya harus memikirkan semula hasrat untuk menyertai perhimpunan haram 9 Julai yang diketuainya.

Sebagai seorang peguam, Ambiga sudah tentu arif mengenai undang-undang dan Perlembagaan negara.

Untuk orang-orang Islam yang ikut sokong Makcik Ambiga Sreenevasan, ini yang dia perjuangkan. Ikutlah telunjuknya..

ANCAMAN DARIPADA 14 TUNTUTAN IFC TERHADAP UMAT ISLAM

1. Seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.

2. Orang bukan Islam yang telah memeluk Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali ke agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

3. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh Mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh Mahkamah Sivil.

4. Tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa ia beragama Islam.

5. Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin berkahwin dengan Orang Islam,Orang Islam hendaklah dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa boleh dikenakan tindakan undang-undang.

6. Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan hak penjagaan anak.

7. Orang yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut harta pusakanya selepas kematiannya.

8. Kerajaan hendaklah menyediakan dana yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah-rumah ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.

9. Orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

10. Bibel dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.

11. Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.

12. Program-program berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam pula hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing-masing.

13. Orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang Hasil zakat sepatutnya digunakan juga untuk keperluan orang-orang bukan Islam.

14. Sepatutnya Islam tidak disebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

Maaf..tak nak kongsi

on Monday, May 30, 2011


BARU-BARU ini ada beberapa teman dari kampung mengajak saya menonton filem Kongsi yang khabarnya mengutip hampir RM10 juta. Ah, saya peduli apa dengan kutipannya. Saya hanya peduli kepada mutu karyanya.

Di Perlis tidak ada panggung wayang. Lalu kesempatan datang ke Kuala Lumpur mereka mahu menonton filem yang khabarnya mencatatkan sejarah dalam industri filem tempatan. Sekali lagi, saya tidak peduli sedikit pun dengan “sejarah baru” yang dimomokkan itu.

Teman-teman saya mendapat maklumat mengenai filem Kongsi daripada akhbar, majalah dan program di televisyen. Semua maklumat yang mereka dapat mengkelaskan Kongsi filem yang hebat, lakonan pelakon utama yang saya tidak tahu namanya dikatakan cukup hebat. Sebelum terlupa pelakon ini muncul sebagai “Bintang Paling Popular” dalam satu pertandingan siapa yang paling popular.

Kata salah seorang teman saya, tentulah hebat, kalau tidak tentu tidak dapat kutipan hari pertama saja sudah RM1 juta. Sebenarnya formula ini yang saya paling tidak setuju kerana tahap penonton kita secara umumnya tidak boleh dijadikan kayu ukur mutu sesebuah filem.

Sudah banyak kali kita dikecewakan oleh filem yang mendapat kutipan tinggi, misalnya Nangkung dan banyak lagi filem yang seacuan dengannya.

Saya bukan saja membuang duit membeli tiket dan membuang masa malah merasa malu kerana turut menjadi penontonnya.

Kerana banyak pengalaman dikecewakan oleh filem kutipan tinggi, saya menolak menonton Kongsi. Teori saya mudah saja, mana-mana filem yang mendapat sambutan hebat, filem itu amat jarang memberikan satu kepuasan yang setimpal daripada sudut mutu. Amat jarang sekali filem-filem begini menyuntik suatu pemikiran baru untuk dikongsikan dengan penonton.

Saya katakan kepada teman-teman tadi, tahap pemikiran sebahagian besar penonton filem tempatan sangat rendah. Mereka inilah yang dipergunakan oleh sesetengah penerbit untuk membuat filem-filem yang menepati selera penonton.

Bukan tidak ada filem tempatan yang baik, tetapi jangka hayatnya singkat di panggung. Selepas itu pengarahnya tidak akan diberi peluang lagi oleh penerbit kerana tidak membawa keuntungan.

Semua orang tahu, selepas Kongsi, akan berderetlah peluang mengarah kepada pengarahnya dan saya tidak pernah ambil peduli. Saya tidak mahu berkongsi apa-apa.

Petikan: Ku Seman Ku Hussain

Nota.. dah nonton juga cerita tu.. entah apa-apa cerita. Hanya ganas, kejar-kejar, tembak-tembak serta bergaduh. Dari awal cuba untuk faham apa cerita yang hendak disampaikan. Yang jelas menarik polis rosakkan kereta polis langgar kereta. Macam itukah polis tangkap penjenayah? Yang paling seronok kawan Kepek cakap.. pegawai kanan polis jer yang buat kerja dalam cerita tu sampai 'road block' pun pegawai kanan polis yang periksa..yang berpangkat rendah macam tidak buat kerja. Biar betul tu..no komen

Sekilo gula..sekotak rokok

Khabarnya berita istimewa hari ini.

Tetapi sebelum ini, harga gula naik lagi, RM2.30 sekilogram. Kenaikan ini tentunya disambut gembira oleh ‘pelabur politik’ yang sentiasa mencari modal untuk menghentam kerajaan.

Mereka peduli apa dengan alasan yang diberi. Bagi mereka, alasan itu hanya ‘gula-gula’ menyedapkan hati. Mereka sinis dengan alasan bahawa harga di Malaysia masih rendah berbanding Indonesia RM3.80 sekilogram, Singapura RM3.61, Thailand RM2.31 dan Filipina RM4.50. Mereka tidak peduli bahawa kerajaan masih menanggung subsidi RM283.4 juta setahun walaupun kenaikan itu menjimatkan RM116.6 juta.

Subsidi ini pula dinikmati oleh semua orang tak kira fahaman politik. Begitu juga dengan berjuta pendatang asing sama ada secara izin atau tanpa izin - dari ASEAN, Asia atau Afrika turut menikmati subsidi ini.

Tidak dinafikan semakin ‘tua’ dunia ini semakin tinggi kos kehidupan. Jarang sekali harga barang turun. Kebelakangan ini hujan pun dah jarang turun. Disangka panas hingga ke petang rupanya hingga ke tengah malam. Ditambah pula dengan suhu panas politik ciptaan manusia yang rakuskan kuasa dan kedudukan sehingga sanggup melakukan apa sahaja asalkan matlamat dan cita-cita mereka tercapai.

Kembali kepada harga gula. Awal tahun lalu, penulis pernah menulis mengenai Bicara harga kembar si manis dan si racun pembawa diabetes. Ia mengenai kenaikan harga gula dan rokok.

Awal tahun lalu, harga sekotak rokok 20 batang ialah RM6.40 manakala harga gula naik 20 sen menjadi RM1.65 sekilogram. Itu harga pada Januari 2010. Kini sekotak rokok 20 batang mencecah RM10 hingga RM10.70.

Seperti yang pernah diselak sebelum ini, rokok dan gula adalah kembar yang menyumbang kepada pelbagai penyakit kronik. Mungkin ada yang marah-marah jika kita diminta bersyukur dengan kenaikan harga ini kerana ada hikmahnya.

Pelbagai cara sudah dilakukan khususnya oleh Kementerian Kesihatan untuk mendidik rakyat supaya menjauhi tabiat merokok dan mengurangkan penggunaan gula. Kempen yang dianjurkan termasuk mempamerkan iklan Tak Nak yang merujuk kepada katakan tidak kepada rokok. Mungkin orang lebih gemar melihat iklan Hapuskan ISA daripada menghayati kata-kata yang dipamerkan oleh Kementerian Kesihatan. Kadangkala manusia lebih suka kepada keuntungan jangka pendek daripada jangka panjang. Bagi mereka, yang utama ialah mengurangkan harga gula sementara soal kos kesihatan di tempat kedua. Mereka lupa bahawa kos mengubat penyakit akibat gula dan rokok lebih tinggi daripada harga sekilogram gula atau sekotak rokok.

Ramai yang sedar pelbagai bahan kimia dan toksik yang ada pada rokok bertukar menjadi ‘racun’. Kajian menunjukkan, dalam rokok ada gas beracun pada ekzos kereta, racun rumpai, peluntur cat, pembersih lantai, racun semut putih, gas beracun, minyak pemetik api, minyak roket, racun gegat, sebatian organik yang mudah terbakar, bahan bateri kereta, racun serangga dan macam-macam lagi.

Begitu juga dengan pelbagai penyakit yang disebabkan rokok. Semua orang tahu mengenainya tetapi tidak ramai yang peduli. Lihatlah sejauh mana kesannya amaran imej ngeri pada kotak rokok.

Selak di bawah tajuk Hijrah demi undang-undang dan nyawa manusia pada 29 Disember 2008 menyentuh mengenai pengenalan imej ngeri penyakit pada kotak rokok. Turut disentuh sikap tidak ambil berat terhadap peraturan dan undang-undang serta penguatkuasaan berkaitan larangan merokok.

Apabila perokok ketegar, undang-undang jadi ‘hiasan’. Larangan merokok wujud di sana sini tetapi adakah perokok peduli?

Apabila pemimpin yang menjadi idola bercakap mengenai rokok, mungkin ramai yang tidak ambil pusing. Contohnya kuliah Jumaat oleh Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mana satu yang menarik perhatian sama ada kenyataan berkaitan perokok atau pelaku video seks?

Kata Nik Abdul Aziz seperti dilaporkan oleh sebuah akhbar: Orang yang terbabit dalam komplot video berkenaan akan teruk nanti, selagi tak jilat kaki Anwar atas dunia ni, tak boleh masuk syurga dan ini sudah sah (tak masuk syurga). Hanya Allah saja yang dapat mengampunkan dosa mereka.

(Nota: Diharapkan kenyataan ini tidak terpakai kepada kes video seks sahaja tetapi kes lain yang pernah mendapat perhatian orang Pas. Begitu juga dengan tuduhan terhadap pemimpin BN termasuk Dr. Mahathir Mohamad pada masa lalu).

Perokok tentunya tidak tertarik dengan kenyataan Nik Abdul Aziz mengenai umat Islam yang cuba menonjolkan keislaman melalui jubah dan ketayap tetapi menghisap rokok adalah lebih hina daripada lembu.

Contohnya, lembu yang berak di tengah jalan tidak boleh diambil tindakan undang- undang kerana tidak mempunyai otak dan fikiran. Tetapi manusia yang mempunyai otak sanggup melakukan perbuatan yang menyalahi agama dan kesihatan, apatah lagi dalam keadaan berpakaian melambangkan Islam (kopiah atau berjubah). Maka mereka yang melakukan perbuatan (merokok) itu dianggap lebih hina daripada lembu.

Setakat ini, undang-undang berkaitan larangan merokok sekadar hiasan. Lebih mendukacitakan, papan kenyataan berkaitan larangan merokok pun dirosakkan.

Kata orang mencegah lebih baik daripada mengubati. Sama seperti kesan merokok, gula juga membawa pelbagai penyakit. Ada yang kata lebih 60 dan ada yang percaya lebih 136 jenis penyakit.

Semua orang sedar penyakit angkara gula tetapi sekali lagi lebih ramai yang lupa penyakit ketika memesan teh tarik atau minuman bergula yang lain. Biar berapa harganya, teh tarik terus jadi pilihan.

Ketika ini lebih ramai yang ‘bising’ mendengar harga gula naik kerana mereka bimbang minuman dan makanan juga melambung harganya.

Justeru eloklah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan lebih tegas.

Diharapkan, menteri berkenaan, Ismail Sabri Yaakob bertegas dengan kenyataannya bahawa peniaga yang didapati menaikkan harga minuman dan makanan berikutan kenaikan harga gula akan berhadapan hukuman keras termasuk penjara seperti diperuntukkan di bawah Akta Kawalan dan Anti Pencatutan 2010.

Akhirnya, bagi orang Islam, renungilah firman Allah SWT ini yang bermaksud: Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan (Surah al-Baqarah 2:195).

Sebab Allah menurunkan bencana atas manusia

on Thursday, May 26, 2011


Umat Islam perlu sedar ia satu peringatan, amaran agar kembali ke pangkal jalan


TIADA siapa dapat menghalang kekuasaan Allah. Punca pelbagai bencana alam yang berlaku adalah disebabkan kemelut dan krisis yang sengaja diciptakan manusia itu sendiri. Sebahagian manusia hari ini seolah-olah hilang keyakinan untuk menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah ini.

Disebabkan kerenah dan krisis yang berlaku di kalangan manusia itulah juga barangkali Allah sengaja menimpakan bencana ke atas segelintir hamba-Nya sebagai ujian dan takdir yang tidak dapat ditolak.

Allah berfirman dalam surah as-Syura, ayat 30 yang bermaksud: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari kesusahan (bala bencana) maka disebabkan oleh apa yang telah kamu lakukan (perbuatan salah dan dosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian dari dosa kamu.”

Sebagai hamba yang sentiasa meyakini akan keadilan Tuhan, maka sudah sewajarnya kita sama-sama merenungi dan menghayati apa yang tersirat di sebalik mafhum ayat di atas.

Sesungguhnya hanya dengan keyakinan, iltizam, istiqamah dan keinsafan yang mendalam saja akan membolehkan kita mencari kekuatan dalam diri bagi mengimarahkan bumi Allah dengan perbuatan yang diredai kerana kita hanyalah makhluk Allah yang dipinjamkan sementara untuk menetap di alam fana ini.

Setiap apa juga kerakusan dan keterlanjuran yang berlaku bukanlah disebabkan pihak tertentu saja, ia mungkin disebabkan rentetan peristiwa yang berpanjangan akibat dari keegoan manusia itu sendiri untuk menguasai muka bumi ini secara total dan sering menganggap orang lain tidak ubah seperti hamba.
Tanpa sikap toleransi dan saling faham memahami, tentu saja pelbagai kejadian negatif akan cepat mudah meletus. Apabila tercetusnya pertelingkahan, permusuhan dan dendam, sudah pasti akan meletuslah perbalahan yang akhirnya hanya memusnahkan sebahagian besar makhluk di muka bumi.

Dapat difahami daripada ayat di atas, Allah berhak untuk menurunkan apa juga ujian ke atas hamba-Nya yang tidak bersyukur dengan nikmat dan kurniaan-Nya. Bahkan melakukan perbuatan yang sentiasa mengundang kemurkaan Allah.

Ada waktunya Allah hanya menurunkan malapetaka kecil. Ia adalah amaran daripada Allah agar manusia segera menghentikan daripada berbuat sesuatu yang boleh mengundang kemarahan-Nya. Tetapi, apabila datang bala yang lebih besar, maka ia bukan lagi sebagai ingatan dan amaran, sebaliknya adalah bencana yang sengaja diturunkan Allah untuk memberi pembalasan di atas kerakusan manusia.

Lebih malang, apabila berlaku bencana Allah, ramai manusia yang tidak berdosa akan turut menjadi korban. Di sinilah pentingnya konsep ‘berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran’ sebagaimana ingatan Tuhan dalam surah al-Asr.

Allah Taala berfirman melalui surau Hud, ayat 52 yang bermaksud: “Wahai kaum-Ku, mintalah ampun dari Tuhanmu, kemudian kembalilah mentaati-Nya agar diturunkan hujan lebat dan menambah bagi kamu kekuatan yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangi seruan-Ku dengan terus menerus melakukan dosa.”

Keengganan menunaikan tuntutan agama seperti mengeluarkan zakat juga adalah salah satu hal yang boleh mengundang kemurkaan Allah. Antaranya melalui kejadian kemarau panjang.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda melalui hadis Baginda yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Tidak menghalang sesuatu kaum itu daripada mengeluarkan harta mereka melainkan mereka menghalang langit daripada menurunkan hujan. Kalaulah tidak kerana binatang yang ada di muka bumi ini, nescaya langit pasti tidak akan menurunkan hujan buat selama-lamanya.”

Daripada Tarmidzi, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila umatku melakukan 15 perkara berikut, maka layaklah bagi Allah menimpakan bencana ke atas mereka iaitu:

· Apabila harta yang dirampas daripada peperangan diagihkan kepada orang tertentu saja.

· Apabila wang zakat dikeluarkan kerana menebus kesalahan.

· Apabila sesuatu yang diamanahkan menjadi milik sendiri.

· Apabila anak menderhakai kedua ibu bapanya.

· Apabila seseorang itu lebih memuliakan teman daripada ibu bapa sendiri.

· Apabila suami terlalu mentaati isteri.

· Apabila kedengaran lebih banyak bunyi bising.

· Apabila lebih ramai membicarakan hal keduniaan dalam masjid.

· Apabila pemimpin sesebuah kaum itu adalah orang dihina oleh kaumnya sendiri.

· Apabila orang terkemudian menghina orang yang terdahulu.

· Apabila memuliakan orang lain kerana takutkan ancaman yang akan diambil ke atasnya.

· Apabila arak menjadi minuman biasa dalam majlis.

· Apabila ramai lelaki memakai sutera.

· Apabila wanita dijemput ke dalam majlis untuk menghiburkan lelaki.

· Apabila wanita mula bermain alat muzik.

Cara Mudah TIPU Orang Melayu!!

on Saturday, May 21, 2011


Sebenarnya dah ramai yang cuba interview saya untuk kongsikan tips2 yang betul untuk menipu orang melayu. Sebagai pakar penipu saya memang sibuk ya nak kongsikan tipsi2 tue semua sebab sentiasa sibuk nak menipu sini sana. Tetapi di atas pujukan seorang blogger yang bernama KerepeK akhirnya membuatkan saya akur untuk mendedahkan rahsia kejayaan saya dalam dunia penipuan di internet. Bagi anda yang mahu berjaya seperti saya boleh lah amalkan penipuan yang dibuat oleh saya neh.

KerepeK : Encik penipu, bagaimanakah anda menemui rahsia untuk menipu orang melayu melalui internet?

Penipu internet : Mudah sahaja. Setelah saya menafsir otak melayu saya dapati kebanyakkan dari mereka memang tamak dan bodoh. Malahan mereka mahukan duit datang terbang2 kepada mereka tanpa perlu usaha keras. Itu sebab saya menipu. Saya neh dikira macam membantu juga lah kepada mereka2 neh agar mereka faham sikap masing2.

KerepeK : Berapakah pendapatan harian anda melalui skim tipu2 melayu neh?

Penipu internet : tak terkira. Sebab saya ada pelbagai strategi dengan pelbagai nama + watak + lakon wayang + pentas + web + dan macam2 modul penipuan.

KerepeK : Hebat. Boleh kongsikan serba sedikit tipsi penipuan encik dengan kami?

Penipu internet : Boleh. Begini antara cara2 yg saya sering gunapakai. Saya andaikan kita menipu menggunakan laman web. Mula2 kita bina satu laman web untuk menjual ebook. Kemudian nya kita bina blog. Dalam 3 ataupun 4 blog. Dan mainkan watak2 dalam blog tersebut. Lebih kurang macam berlakon lah. Cuma kali neh kita tak gunakan platform tv. Sebaliknya gunakan internet. Kemudian kita buat lah watak konon nya pemilik2 blogs tersebut telah menjadi testimoni kepada product kita. Nak lebih dasat, lagi bagus kalau kita dapat bentuk 1 team penipu yang cekap. Boleh kita buat video. Kemudian sebarkan kepada melayu2 yang mudah kena tipu.

KerepeK : Apakah peluang pasaran menipu neh masih terbuka luas lagi?

Penipu internet : Ya, malahan berkembang. Jika dulu kita cuma menipu guna blog dan website. Tapi kini kita ada video, ada facebook dan twitter. Ini memudahkan lagi bentuk penipuan. Saya hanya perlu cipta 10 ataupun 20 account fb dan menyamar sebagai orang lain untuk memuji2 product saya. Saya yakin orang melayu memang mudah cair dengan taktik macam neh. Bagi saya taktik ini memang classic tetapi berkesan sampai ke hari ini.

KerepeK : Antara taktik2 lain yang menarik yang boleh dishare sekali?

Penipu internet : Tunjukkan gambar duit. Ataupun angka duit. Jangan bimbang kerana kita memang ada pakar teknologi yang mahir. Kita boleh create semula gambar yang seakan2 bank account untuk tipu orang. Kita mesti berusaha untuk tipu orang habis-habisan. Kalau tidak macam mana lah kita nak kaya segera.

KerepeK : Macam mana pula dengan anak2 buah encik penipu? Adakah mereka juga kaya seperti anda?

Penipu internet : Owh tidak.. tidak. Mereka semua nya bodoh. Sistem piramid yang diasaskan oleh saya hanya mampu mengkayakan saya sendiri. Yang lain2 tue hanya mampu menjadi kuli batak saya dan mereka akan terus terusan ditipu oleh saya. Itu sebab pangkat mereka anak2 buah penipu bukan macam pakar menipu macam saya.

KerepeK : Tidak kah anda risau akan orang lain yang mungkin cemburukan kejayaan anda?

Penipu internet : Owh tidak.. tidak. Mereka melayu memang macam tue. Pantang tengok orang menipu sket. Mula lah sebar kat blog. Aididleak ke apa ke itu semua nya hanyalah cemburukan rahsia kejayaan saya yang boleh hidup aman di malaysia tanpa kekangan penguatkuasa meskipun telah menipu orang berkali2 dengan pelbagai identiti.

KerepeK : Apakah ada pesanan terakhir untuk mereka2 di luar sana yang ingin berjaya seperti anda?

Penipu internet : Teruskanlah menjadi bodoh. Semakin anda bodoh semakin senanglah penipu macam saya boleh berkarya.

Wanita lebih berwibawa jika kuasai pelbagai ilmu

on Friday, May 20, 2011

Ilmu tinggi membantu golongan ibu dalam seruan dakwah dan mempertahankan hak


HARI ini, boleh dikatakan setiap rakyat Malaysia mampu menuntut ilmu, sama ada secara rasmi atau tidak. Ia jauh berbeza beberapa puluh tahun lalu, di mana anak perempuan hanya dibenarkan menuntut ilmu secara tidak langsung di rumah, itupun hanya ilmu domestik. Hanya segelintir ibu bapa yang tidak jumud menghantar anak perempuan ke sekolah.

Peluang menuntut ilmu yang terbentang luas di depan mata tidak sepatutnya dilepaskan oleh setiap wanita hari ini. Walaupun sibuk dengan tugas hakiki sebagai isteri dan ibu, komitmen ini perlu dilakukan secara berterusan kerana wanita jugalah yang akan mendidik anak.

Ilmu yang paling penting untuk ditekuni setiap wanita ialah ilmu al-Quran, hadis, sirah dan feqah. Tidak kurang pentingnya juga, pengetahuan biografi tokoh wanita di zaman Rasulullah SAW yang banyak menyumbang kepada legasi Muslim hari ini.

Ilmu al-Quran menjadi sumber utama yang akan menjadi teraju cara beribadah dan bermuamalah, sekali gus melindungi wanita tergelincir daripada cara hidup sebagai Muslimah seperti dituntut Allah.

Hadis dan sunnah pula memperincikan lagi sahsiah yang harus diteladani sebagai umat Rasulullah SAW. Aisyah contohnya, pernah menjadi pakar rujuk dalam ilmu hadis dan sunnah, malah dalam usia masih muda beliau adalah pakar feqah pertama dalam Islam.

Bahkan Imam Az-Zuhri pernah mengatakan, “jika ilmu Aisyah dikumpulkan, lalu dibandingkan dengan ilmu semua isteri Rasulullah dan seluruh Muslimah, nescaya ilmu Aisyah lebih unggul”.
Kaum lelaki juga takjub dengan kebijaksanaan wanita bernama Aisyah ini sehinggakan putera Urwah bin Zubair iaitu Hisyam meriwayatkan, ayahandanya pernah mengatakan “aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih pakar dalam bidang feqah, perubatan dan syair daripada Aisyah”.

Ilmu sirah tentunya memberi banyak pengajaran kerana sebagai seorang manusia yang mempunyai naluri keibuan, ilmu inilah juga yang akan diamalkan untuk membimbing generasi muda dengan mengambil teladan daripada perjalanan hidup Rasulullah SAW serta sahabat.

Ilmu feqah pula untuk mengetahui hukum hakam yang qat’i dan peraturan hidup sebagai Muslim seperti termaktub dalam sumber yang utama mengikut kronologi iaitu al-Quran dan Sunnah. Metod untuk memutuskan sesuatu hukum yang memerlukan ijma’ ulama juga harus diketahui, supaya wanita tidak jahil untuk memahami bagaimana sesuatu hukum itu diputuskan.

Setelah ilmu itu ditekuni dengan baik dan betul, barulah ilmu berkaitan muamalah insani dipelajari serta difahami, termasuk urusan rumah tangga dan kemahiran hidup lain. Walaupun pakar dalam bidang agama, kecerdasan akal Aisyah tidak dapat dinafikan dalam ilmu sastera, sejarah, seni dan perubatan.

Wanita harus menguasai ilmu supaya dapat menyatakan sesuatu yang hak. Sejarah membuktikan pada awal kedatangan Islam sehingga berakhirnya zaman Rasulullah SAW, wanita dimartabatkan setanding lelaki dalam apa juga bidang, termasuk ketenteraan dan keusahawan.

Kehadiran wanita dalam setiap lapangan kehidupan memungkinkan mereka memperjuangkan keperluan hidup sebagai seorang wanita kerana hanya mereka yang tahu kekuatan dan kelemahan mereka berbanding kekuatan serta kelemahan lelaki.

Menerusi penguasaan ilmu yang luas, wanita akan dapat memiliki kefasihan lisan kerana ilmu yang tinggi membantu mereka dalam seruan dakwah.

Ahnaf bin Qais mengatakan, “Aku telah mendengar khutbah Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali serta khalifah sesudahnya, tetapi aku tidak pernah mendengar perkataan dari lisan seorang manusia yang lebih baik dan lebih indah dari perkataan yang keluar dari lisan Aisyah.”

Sayangnya, hari ini dengan pelbagai kemudahan, ada wanita tidak mahu menambah ilmu yang terbentang di depan mata, apatah lagi mempelajari al-Quran, hadis, sirah dan feqah.

Bayangkan bagaimana proses tarbiah insan dapat dilakukan dengan betul jika ibu tidak tahu membaca walau sebaris ayat al-Quran. Sedangkan cabaran dunia hari ini tidak jauh bezanya dengan zaman awal kedatangan Islam sesudah jahiliah, penganut Islam pada masa itu bertempur dengan manusia yang tandus akhlak dan moral.

Justeru, wanita haruslah meneruskan legasi pimpinan wanita terdahulu yang mendampingi Rasulullah SAW kerana ilmu dan akhirat, bukan dunia dan pangkat.

Saidatina Khadijah Binti Khuwailid

on Wednesday, May 18, 2011

”Demi Allah! Dia (Khadijah) beriman kepada ku disaat orang-orang mengingkari ku. Dia membenarkan ku di saat semua orang mendustakan ku. Dan dia membantu ku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika semua orang menahan hartanya dari ku dan Allah telah mengurniakan beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak aku perolehi dari isteri-isteriku yang lain”. [HR Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar].

Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin 'Abdil 'Uzza bin Qushay Al-Qurasyiyah Al-Asadiyah radhiyallahu'anha. Muslim manakah yang tidak pernah mendengar sebutan namanya?. Siapakah yang menyangka di saat itu, keharuman peribadinya kelak akan merebak di sepanjang sejarah Islam di dada setiap kaum Muslimin? Siapakah yang terfikir bahawa wanita mulia ini akan dikurniakan satu keutamaan yang amat besar yang tidak pernah diperolehi oleh sekalian hamba Allah sejak penciptaan insan? Siapakah yang menduga bahawa wanita cantik jelita ini akan mendampingi manusia yang paling agung dalam rentang awal perjalanan dakwahnya? Siapakah yang mampu meramal ketentuan Allah ini? Maha Suci Allah yang telah menciptakan dan mentakdirkan wanita mulia ini sebagai pendamping Nabi akhir zaman.

Beliaulah isteri, sekali gus wanita pertama yang beriman kepada Allah dan Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. Dianugerahi reputasi yang sungguh mulia, keturunan yang terhormat, peribadi yang luhur, perjalanan hidup yang istimewa, ketajaman daya fikir, semangat yang tinggi dan kalbu yang bening, nama Khadijah begitu harum di dalam sejarah Islam. Sebelumnya, beliau dikenali sebagai seorang wanita yang menjaga kehormatan dirinya sehingga digelar ath-Thahirah (wanita yang suci) .

Beliau seorang janda dari suaminya yang terdahulu, Abu Halah bin Zararah bin an-Nabbasy bin 'Ady at-Tamimi, kemudian berkahwin dengan 'Atiq bin 'A`idz bin 'Abdillah bin 'Umar bin Makhzum. Khadijah radhiallahu anha adalah wanita pedagang yang mulia dan banyak harta. Ternyata pekerjaannya itu telah menghantarkan kepada pertemuannya dengan manusia yang paling mulia. Saat dia kembali menjadi janda, seluruh pemuka Quraisy memasang angan-angan agar dapat menyuntingnya. Buah tutur Maisarah membekas di hatinya tatkala berita tentang kejujuran, amanah, dan kebaikan akhlak seorang pemuda Quraisy dikhabarkan kepada beliau. Tersimpan keinginan yang kuat dalam dirinya untuk memperoleh kebaikan itu, hingga diutus seseorang untuk menemui Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dan menyampaikan hasratnya. Ditawarkan dirinya untuk dipersunting Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam, seorang pemuda yang saat itu berusia 25 tahun, miskin dan yatim piatu tetapi tersohor kerana luhur peribadinya. Wanita jelita itu memperoleh kembali belahan hatinya dalam usia 40 tahun. Tersurat peristiwa ini dalam sejarah 15 tahun sebelum Muhammad Sallallahu alaihi wa Sallam diangkat sebagai Nabi akhirulzaman.

Perawat Duka, Khairul Anam

Wanita mulia inilah menjadi perawat duka suaminya di saat penurunan al-Haq melalui perantaraan Jibril alaihi sallam yang menggoncang hati Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. “Aku khuatir akan terjadi sesuatu pada diri ku”. Diselimutinya Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam sehingga beliau kembali tenang dan hilang rasa ketakutannya. Dengan tenang dan lembut, beliau yang mengalirkan tutur kata penuh hikmah dari lisannya lantas membiaskan ketenangan di dalam dada suaminya,

“Demi Allah, Allah tidak akan menyusahkan diri mu selama-lamanya. Bergembira dan teguhkanlah hati mu. Sesungguhnya engkau seorang yang suka menyambung tali persaudaraan, suka menanggung beban orang (yang kurang bernasib baik), menghormati tetamu, memberikan sesuatu kepada orang yang tidak mampu, bercakap benar dan memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa bencana”.

Sesungguhnya beliau telah menjalankan peranan politiknya dengan ketajaman dan kepekaan akalnya yang menjadikan beliau mampu untuk mencermati serta memahami dengan jelas masalah wahyu dan risalah yang diterima oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam,

”Terimalah khabar gembira dan teguhkanlah hati mu! Demi Zat yang diri ku di tangan Nya, sesungguhnya aku berharap engkau menjadi Nabi umat ini”.

Perkhabaran dari Waraqah menjadikan beliau mampu memahami peranan yang bakal dipikul oleh Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dengan turunnya wahyu tersebut.

”Khadijah, kalau engkau masih percaya kepada ku, sesungguhnya telah datang ”an-nams al-akbar” kepadanya. Dia adalah Nabi umat ini. Maka katakanlah kepadanya agar dia berteguh hati”.

Baginda bukan sahaja seorang suami, atau ayah kepada anak-anaknya, tetapi juga Utusan Allah dalam menyampaikan wahyu dan risalah Nya untuk umat yang ada pada ketika itu sehinggalah ke hari kiamat.

Di sinilah titik mula kepada sebuah pengorbanan yang tiada surut dan gantinya. Beliau jugalah manusia pertama yang solat di belakang Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam bersama Saidina Ali radhiallahu anhu. Terus mengalir dukungan dan pertolongan dari beliau dalam menghadapi kaumnya. Beliaulah yang membantu Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dalam mengibarkan bendera Islam, tegar bersama Rasulullah sebagai angkatan pertama. Setiap kali beliau mendengar kata-kata kesat yang dilontarkan kepada suaminya, beliaulah yang setia di sisi baginda dan meringankan beban perasaan yang sangat berat ditanggung oleh kalbu manusia terpilih.

Bukan hanya itu sahaja kebaikan Khadijah radhialllahu anha. Beliau mengorbankan setiap harta yang dimiliki kepada suaminya. Bahkan, ketika Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam menampakkan rasa senangnya pada Zaid bin Haritsah, seorang hamba miliknya, beliau segera menghibahkan hamba itu kepada suaminya. Zaid diangkat sebagai orang yang sangat dekat di sisi Rasulullah dengan menjadi anak angkat baginda sendiri. Turut tercatat, Zaid memperolehi kemuliaan sebagai salah seorang dari saf pertama yang mengimani dakwah Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam.

Sebagai seorang isteri, beliau merupakan pendorong utama bagi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam untuk selalu giat berdakwah, bersemangat dan tidak kenal menyerah. Beliau juga selalu berusaha meringankan beban berat di bahu Rasulullah. Kebijakan, kesetiaan dan banyak lagi kebaikan Khadijah tidak pernah lepas dari ingatan baginda Rasul. Bahkan sehingga Khadijah meninggal dunia. Beliau benar-benar seorang isteri yang mendapat tempat tersendiri di dalam hati Nabi Allah ini. Betapa kasihnya baginda terhadap Khadijah sebagaimana di buktikan dari penceritaan Saidatina ‘Aisyah radhiallahu anha.

“Belum pernah aku cemburu terhadap isteri-isteri Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam sebagaimana cemburunya aku kepada Khadijah, padahal aku tidak pernah melihatnya. Tetapi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam selalu menyebut-nyebut namanya, bahkan adakalanya menyembelih kambing dan diberikannya kepada sahabat-sahabat Khadijah. Bahkan pernah aku berkata, “Bukankah Khadijah itu seorang wanita tua? Bukankah Allah sudah memberikan kepada mu pengganti, isteri yang lebih muda dan baik daripadanya?”. Lalu Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam menyebut, “Tidak! Demi Allah !Dia Subhanahu wa Ta’ala tidak memberikan seorang pengganti yang lebih baik daripadanya. Dia (Khadijah) telah beriman kepada ku pada saat orang-orang mengingkari ku. Dia membenarkan ajaran yang aku bawa di saat orang-orang mendustakan ku. Khadijah membantu ku dengan menginfakkan segenap hartanya ketika orang-orang menahan hartanya dari ku dan Allah mengurniakan ku beberapa orang zuriat dari rahimnya yang tidak diberikan oleh isteri-isteri yang lain” . [HR. Ahmad, Al-Isti’ab karya Ibnu Abdil Ba’ar].

Ummul Mukminin ini sentiasa berada di samping Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dan memberikan pembelaan terhadap baginda. Beliau juga bergabung bersama Rasulullah dan kaum Muslimin dalam memikul penderitaan lantaran sikap kaumnya yang mendustakan dan melecehkan dakwah baginda. Kesabaran dan keredhaan Khadijah dapat dilihat dengan jelas dalam siri hambatan terhadap dakwah Rasulullah, termasuklah dalam fasa pemboikotan terhadap Bani Hasyim dan Bani Abdul Muthalib oleh orang-orang Quraisy yang selama ini menjadi pelindung kepada Rasulullah.

Wanita Teladan Sepanjang Zaman

Ditakdirkan Allah Subhanahu wa Ta’ala, di usia 65 tahun iaitu 3 tahun sebelum Hijrah, Khadijah radhiallahu anha kembali kepada Nya di saat-saat dakwah melalui fasa genting yang bakal menentukan kelangsungannya. Pemergian beliau ditangisi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam, berlaku dalam selang waktu yang singkat selepas meninggalnya Abu Thalib, bapa saudara baginda. Sejak tahun kesedihan tersebut, hambatan-hambatan dakwah yang semakin getir dengan gangguan yang tidak putus-putus mula berani dilakukan oleh kaum kafir Musyrikin di Makkah.

Sesungguhnya nama Khadijah tercatat di dalam sirah sebagai wanita pilihan sehingga namanya disebut-sebut di kalangan penduduk langit dan bumi. Kemuliaan itu telah diraihnya sejak masih ada di muka dunia. Tatkala Jibril Alaihi Sallam datang kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan mengatakan,

“Wahai Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. Ini dia Khadijah. Dia akan datang membawa bejana berisi makanan atau minuman. Bila ia datang kepada mu, sampaikanlah salam padanya dari Rabbnya dan dari ku, dan sampaikan pula khabar gembira tentang rumah buatnya di dalam syurga dari mutiara, yang tak ada keributan di dalamnya, dan tidak pula keletihan”. Khadijah lantas menjawab salam itu dengan katanya: “Allah Maha Penyelamat, daripada Nya keselamatan dan kepada Nya pula kembali keselamatan. Semoga keselamatan atas Malaikat Jibril.” [HR. Bukhari dalam Shahih Bukhari, Bab Perkahwinan Nabi SAW dengan Khadijah dan Keutamaannya, 1/539]

Wahai Muslimah yang dirahmati Allah! Sesungguhnya istana tersebut adalah jauh lebih baik dari pada gemerlapnya dunia fana yang telah memperdayakan mu. Dan ini adalah sebaik-baik khabar gembira dibandingkan dunia dan segala isinya. Tidakkah kalian ingin mendapatkannya pula?

Ya Allah! Betapa mulianya Khadijah binti Khuwailid, As-Sayyidah Ath-Thahirah. Seorang isteri yang setia dan tulus, mukminah mujahidah di jalan deen Nya dengan seluruh apa yang dimilikinya dari perbendaharaan dunia. Semoga Allah memberikan balasan yang paling baik kerana jasa-jasanya terhadap Islam dan umat Islam seluruhnya.

Sumber : http://www.mykhilafah.com