ABC Kehidupan ini

on Friday, May 29, 2009



A : Adil pada dirimu
B : Beranikan dirimu
C : Cekalkan hatimu
D : Derma selalu
E : Elakkan pertelingkahan sesama kite
F : Fikir sebelum bertindak terburu-buru
G : Gembira selalu
H : hormat orang tua
I : Ingat akan Allah
J : Jangan berdusta
K : Kasih akan daku
L : Lemah lembut amalan semua
M : Makan makanan seimbang
N : Nafsu jangan dituruti
O : Oh ! pamerkan kesempurnaan dirimu
P : Pentingkan kesihatanmu
Q : Qualiti dalam kerjaya dan tugasmu
R : Rajin berusaha
T : Tanamkan sifat bekerjasama
U : Utamakan alam sekitar
V : Variasikan pengalamanmu
W : Wajibkan amalan membaca Al-Quran
X : X-ray diri sendiri
Y : Yakin pada diri sendiri
Z : Zalim jangan sekali

Poco-poco cetus fenomena tari

on Thursday, May 28, 2009


BARANGKALI pencipta lagu Poco-Poco, Arie Sapulette, tidak pernah terfikir lagu yang diciptanya untuk seorang gadis montel mencetus fenomena bukan saja di tanah airnya sendiri bahkan hampir seluruh nusantara termasuk Malaysia.

Seniman kelahiran Ambon, Indonesia itu, mendapat inspirasi menghasilkan lagu tersebut daripada seorang gadis gempal yang lincah menari di satu pesta. Dek kerana terlalu seronok melihat kelincahan gadis gempal tersebut menari hingga terkeluar perkataan poco-poco dari mulut Arie.

Sejak itu, tarian yang mengikut rentak gendang itu dinamakan poco-poco, perkataan yang dipercayai berasal daripada bahasa Manado.

Setelah Arie berpindah ke Jakarta tahun 1995, lagunya telah dinyanyikan oleh penyanyi terkenal di Indonesia, Yopie Latul dan bermula dari situ rentak tari poco-poco semakin popular di Indonesia hinggalah menular ke seluruh nusantara.

Begitupun, berdasarkan pencarian di beberapa laman sesawang di Internet, terdapat beberapa versi mengenai asal usul tarian tersebut, malah banyak daerah di Indonesia mendakwa tarian tersebut berasal dari daerah mereka.

Di Malaysia, kini tarian poco-poco dianggap sebagai satu medium senaman yang boleh dilakukan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia mahupun status, daripada majlis korporat hinggalah ke sekolah dan padang-padang senaman.

Keseluruhan lagu itu juga membawa maksud tubuh yang sihat, badan yang tegap dan dilagukan dengan iringan tari yang mudah serta menghiburkan. Gerak tariannya umpama senaman aerobik, membuatkan badan berpeluh dan berasa lebih sihat.

Tarian poco-poco di Malaysia pada asalnya popular di kalangan golongan VIP termasuk kerabat diraja. Sekitar tahun 2001 dulu, tarian poco-poco sering ditarikan untuk bersuka ria pada majlis-majlis kenamaan. Selain untuk tujuan riadah, ia juga adalah sebagai tanda silaturrahim antara wakil Indonesia dan Malaysia. Di samping itu juga untuk memperkenalkan kebudayaan Indonesia kepada Malaysia.

Sejak dari itu, tarian poco-poco mula diajar oleh jurulatih senaman di pusat kesihatan dan tarian poco-poco kini mula dipelajari oleh setiap golongan masyarakat tanpa mengira usia.

Kini tarian poco-poco semakin berkembang dan mempunyai lebih 70 gerakan kesemuanya. Bahkan menarikan poco-poco juga tidak terlalu sukar malah boleh dikuasai dalam masa yang singkat terutama apabila diiringi muzik yang ceria. Poco-poco bukanlah sekadar tarian biasa. Ia menggabungkan langkah mudah yang boleh diikuti sesiapa sahaja tanpa perlu latihan.

Dua langkah ke kanan, dua langkah ke kiri, satu langkah ke belakang, kemudian ke depan dan ke belakang Begitu seterusnya gerakan itu diulang-ulang.

Memang menghiburkan apatah lagi jika dibuat beramai-ramai serentak dan secara berkumpulan.

Cinta atau Suka

on Tuesday, May 26, 2009


Di hadapan orang yang kita cinta,
hati kita akan berdegup kencang...
Tapi di depan orang yang kita suka,
hati kita akan gembira...

Di depan orang yang kita cinta,
musim sentiasa berbunga-bunga...
Di depan orang yang kita suka,

musim itu cuma berangin sahaja...

Jikalau kita lihat di dalam mata orang yang kita cinta,
kita akan kaku...
Tapi jikalau kita melihat ke dalam mata orang yang kita suka,
kita akan tersenyum...

Di depan orang yang kita cinta,
lidah kelu untuk berkata-kata...
Di depan orang yang kita suka,
lidah bebas berkata apa sahaja...

Di depan orang yang kita cinta,
kita menjadi malu...
Di depan orang yang kita suka,
kita akan tunjukkan imej yang sebenar...

Kita tidak boleh merenung mata orang yang kita cinta...
Tepi kita selalu merenung mata orang yang kita suka...

Bila orang yang kita cinta menangis,
kita akan turut menangis...
Bila orang yang kita suka menangis,
kita akan turut membuat dia gembira...

Perasaan cinta bermula dari mata,
Perasaan suka bermula dari telinga...
Jadi, jikalau kita berhenti menyukai seseorang yang kita suka...
Umpama kita membuang telinga kita
Tapi jika kita cuba menutup mata
Cinta berbuah menjadi airmata

Setiap orang yang akan mengalami ini dalam hidup mereka,
Cuma fikirkanlah bersama-sama siapa yang anda cinta….

Tetapi, hakikatnya…
Cinta kepada Allah swt
Adalah lebih hakiki dan abadi…

Kasih sayang-Mu Tuhan,
Itu yg kudambakan...
Dengan rahmat-Mu,
Ampunilah dosaku...


Petua untuk kawan-kawan

on Monday, May 25, 2009


Apabila bersahabat, diri sendiri dan sahabat harus mempunyai tanggungjawab dan punya harapannya sendiri. Antaranya ialah :-


1. Ketahanan bergurau senda, adat bergurau terlebih usik. Pastikan kita dan sahabat saling boleh menerima gurauan oleh itu berfikir dahulu sebelum ianya berlaku.


2. Jangan terlalu celupar atau mengkritik, kita sendiri tidak semestinya bagus dan betul.


3. Jangan terlalu mengambil tahu hal peribadi org terdekat dengan sahabat seperti tunang, isteri/suaminya atau kaum keluarganya.


4. Perkara sensitif seperti gaji, kenaikan pangkat dan hutangnya usah ditanya.


5. Pandai menyimpan rahsia terutama hal peribadi seperti rumahtangga atau hubungan suami isteri sahabat.


6. Terima kekurangan dan keburukan sahabat seadanya. Cuba lihat nilai positifnya dan lihat diri sendiri, diri kita tidak tentunya baik.


7. Bijak menyesuaikan tutur kata dengan emosi sahabat. Jangan cakap mengikut sedap mulut tanpa memikir kesannya kepada sahabat.


8. Berita baik atau berita sedih sahabat, biarlah dia sendiri memberitahu rakan lain walaupun kita sudah mengetahui. Ini tanda kita menghormatinya. Jangan terlalu busybody dengan cerita kehidupan sahabat kita tanpa memikir kesannya kepada sahabat kita.


9.Menghormati hak dan kehidupan peribadi sahabat. beri peluang sahabat tersendiri. Jikalau terlalu berdampingan, mungkin menjemukan dan kita hanya menyekat perhubungandengan insan lain.


10. Jika salah seorg marah, beri peluang dia melepaskan amarah dihati. Jangan dibalas, berdiam dan tunggu hingga dia reda dan sejuk. Pasti hubungan akan kembali seperti biasa. Manusia harus menerima hakikat setiap orang ada lautan hati yang pasang surut.


11. Sewaktu sahabat sedang marah, elok mendiamkan diri. Jikalau dia mengomel, dengar dan angguk. Itu lebih baik daripada membuat komen. Ia boleh memburukkan keadaan.


12. Jangan memburukkan sahabat di hadapan orang lain dan membanggakan diri dengan mengadakan cerita i.e. kekayaan, kecantikkan dan sebagainya. Bangga diri tidak membawa kita ke mana-mana sebaliknya bersyukur dengan apa yang dikurnia oleh Allah s.w.t


Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya hati manusia akan berkarat bagaimana besi yang dikaratkan oleh air. "Bila seorang bertanya, "Apakah caranya untuk menjadikan hati-hati ini bersih kembali?"


Rasulullah s.a.w. bersabda, "Selalulah ingat mati dan membaca Al Quran."

Menghargai kasih ibu

on Thursday, May 21, 2009


Menghargai kasih ibu bukan pada 10 Mei sahaja

Memilih tarikh Saidatina Khadijah wafat lebih mulia bagi umat Islam

TANGGAL 10 Mei lalu, ramai meraikan Hari Ibu, tetapi mungkin masih ada yang tidak tahu mengapa ia disambut pada hari itu dan bagaimana sambutan bermula.

Sambutan kebesaran yang dikatakan bermula pada zaman Mesir purba untuk memberi penghormatan kepada Dewi Isis, atau Dewi Cybele di Rom, atau Dewi Rhea di Greek. Di Eropah pula sambutan 'Mother Church' diraikan bagi menghargai gereja kerana pembaptisan.

Sehinggalah sambutan Hari Ibu akhirnya diiktiraf seluruh dunia pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun sempena memperingati wanita bernama Anna Reeves Jarvis, kematiannya menyebabkan anak perempuannya, Anna M Jarvis memulakan kempennya mewujudkan sambutan Hari Ibu secara rasmi.

Dalam petisyennya kepada gereja di mana ibunya berkhidmat sebagai tenaga pengajar setiap hari Ahad, permintaannya untuk memilih tarikh 10 Mei 1908 sebagai Hari Ibu dimakbulkan dan sambutan dibuat secara rasmi di West Virginia walaupun Hari Ibu sudah diraikan masyarakat beragama Kristian seawal 1840.

Tarikh yang sama jugalah pada setiap tahun kita meraikannya untuk menghargai ibu. Bukan mentakwilkan keperluan meraikan ibu, tetapi menggembirakan mereka tarikh sama Anna M Jarvis memperingati ibunya yang menghambakan diri kepada gereja sehingga akhir hayatnya bagaikan satu sindiran kepada umat Islam yang sepatutnya mengingati, menghargai dan mendoakan ibu setiap hari atau sekurang-kurangnya bukan pada tarikh itu.

Andainya kita boleh memilih tarikh untuk mengingati ibu yang sudah pergi, alangkah indah jika hari terakhir Saidatina Khadijah di dunia ini diingati untuk disedekahkan Al-Fatihah dan doa, supaya seluruh ibu turut diingati.

Bagaimanapun, terpulanglah kepada anak untuk memikirkan cara menghargai ibu, tetapi yang paling utama buat seorang ibu ialah doa anaknya.

Doa begitu sinonim dengan hajat untuk mendapatkan sesuatu diingini. Doa juga permohonan kepada Allah supaya diberi perlindungan daripada malapetaka dan bala bencana. Lazimnya manusia berdoa apabila sudah berusaha dan berikhtiar, ada juga yang berdoa tanpa melakukan apa-apa.

Allah memerintahkan hamba-Nya supaya sentiasa meminta dan memohon sesuatu dari-Nya, pemilik segala perbendaharaan di dunia dan akhirat. Allah berfirman bermaksud: "Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku memperkenankan doa permohonan kamu." (Surah Al-Mu'min, ayat 60)

Sebagai seorang anak, tentulah doa untuk ibu menjadi ulam bicaranya dengan Ilahi setiap waktu menghadapnya. Biarpun ibu tidak mengetahuinya, itu tidak pernah menjadi halangan untuk anak meminta yang terbaik dari Allah supaya ibu sentiasa bahagia, diberi keberkatan dan kerahmatan, juga digolongkan bersama orang solehah di akhirat kelak.

Perlu diingat, tiada siapa paling bermakna doanya kepada ibu melainkan anak. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Apabila anak Adam wafat, putuslah amalnya kecuali tiga iaitu sedekah jariah, pengajaran dan penyebaran ilmu yang dimanfaatkannya untuk orang lain, dan anak yang mendoakannya." (Hadis Riwayat Muslim)

Banyak peristiwa malang berlaku hari ini kepada anak dilahirkan tanpa disengaja. Mereka akhirnya dibuang merata, tiada kasih dan simpati tertumpah. Apapun yang berlaku dan bagaimana latar belakang kisahnya, setiap anak harus menyebut nama ibunya dalam doa, paling tidak mohonlah dosa mereka diampunkan.

Terakam dalam surah Ibrahim bermaksud: "Ya Tuhan kami, ampunkanlah aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)." (Surah Ibrahim, ayat 4)

Anak yang sedari kecil dikasihi dan dilimpahkan sepenuh kasih sayang, mohonlah: "Wahai Tuhanku, kasihilah mereka keduanya, sebagaimana mereka berdua mendidik aku waktu kecil." (Surah al-Israa, ayat 24)

Sesungguhnya doa membuktikan bahawa kita makhluk yang hina dan lemah serta sentiasa mengharapkan pertolongan Allah. Walaupun di dunia ini kita memiliki ibu yang penyayang, mereka akan pergi juga apabila sampai waktunya. Sebaik-baik doa untuk ibu adalah ditadahkan oleh anak dicintai Allah, memelihara makan minum dan pakainya, tidak mengabaikan tanggungjawab menyeru amar makruf dan nahi mungkar sesama manusia, sentiasa bertaubat, positif dan bersangka baik serta bersungguh-sungguh.

Berdoalah untuk ibu, supaya mereka gembira menghabiskan usia yang masih bersisa, dilindungi Dia walau di mana berada dan sentiasa akur kepada perintah dan larangan-Nya.