Cinta, Kahwin & Zina
Cinta merujuk perasaan si polan kepada si anu atau seseorang kepada sesuatu yang membawa suatu kaitan atau ikatan emosi yang amat kuat sehingga boleh mengubah perilaku dan peribadi seseorang. Untuk menjadikan atau mewujudkan situasi cinta perlu kepada dua elemen utama iaitu asyik dan maksyuk.
Asyik merujuk kepada perasaan ingin dan rindu kepada seseorang atau sesuatu dan Kamus Dewan mendefinisikannya sebagai menaruh berahi atau perasaan cinta yang amat sangat terhadap seseorang. Manakala maksyuk merujuk kepada balasan cinta daripada yang diingini dan dirindu kepada yang mengasyikkannya.
Timbul persoalan di sini sama ada boleh atau tidak seseorang yang berperasaan mencintai sesuatu yang tidak berperasaan seperti kerjaya atau hobi. Dilihat sepintas lalu ianya tidak mungkin. Mustahil sesuatu yang tidak berperasaan dapat meluahkan kembali rasa cintanya kepada seseorang.
Namun sering kali kita dengar orang mengungkapkan kata-kata dia sangat mencintai kerjayanya atau hobinya. Kalau dia mengasyikkan kerjanya memungkinkan kerjanya maksyuk kepadanya? Bagi yang pernah mengalaminya ternyata tidak mustahil. Maksyuk itu datang dalam bentuk kepuasan terhadap kerja yang dilakukan oleh seseorang itu. Kepuasan terhadap kerja menyebabkan seseorang tidak berasa jemu atau letih meneruskan kerjanya walaupun diulang saban tahun sehingga berpuluh tahun lamanya.
Begitulah hebatnya apa yang dinamakan cinta. Cinta adalah fitrah. Cintalah yang menimbulkan keghairahan manusia untuk terus memakmurkan bumi ini. Cinta jugalah yang menimbulkan keamanan dan kerosakan pada manusia dan alam. Alam maya terus wujud hingga ke hari ini juga kerana cinta Yang Maha Esa kepada ciptaannya.
Bagi kita manusia yang tercipta dengan fitrah yang telah ditentukan, maka kita perlu kepada pasangan hidup supaya kelangsungan generasi dapat diteruskan. Agama telah menetapkan naluri fitrah ini dapat dilampiaskan menerusi perkahwinan.
Untuk itu sebagai bangsa yang bertamadun perkahwinan dijadikan asas pembentukan dan pembangunan sesebuah keluarga. Manusia muslim diletakkan empat perkara asas untuk memilih pasangan. Islam menjadikan proses memilih pasangan ini sebagai tonggak pendidikan anak-anak.
Sebagaimana yang umum telahpun maklum, pasangan perlu dipilih berdasarkan keturunan, rupa paras, kekayaan dan agamanya. Islam juga menekankan peri pentingnya agama dalam menentukan pilihan pasangan.
Keturunan sangat penting dalam pembentukan keluarga. Ini bukan soal keturunan antara dua darjat tetapi baka atau genetik sangat mempengaruhi perkembangan dan kesihatan anak-anak. Syukurlah sekarang persoalan kesihatan keturunan dapat dipastikan melalui ujian darah. Pasangan yang ingin berkahwin boleh menjalani ujian bagi memastikan sama ada mereka positif pembawa talasemia atau tidak sebagai contoh. Ujian ini dapat mengurangkan risiko lahirnya anak yang cacat.
Rupa paras dan kecantikan adalah suatu yang subjektif sifatnya. Dalam memerihalkan persoalan ini HAMKA pernah membuat analogi dengan dua orang yang melihat bunga. Bunga yang sama dilihat oleh dua orang yang berbeza dan keduanya memberikan komen yang berbeza. Seorang mengatakan bunga itu cantik dan yang seorang lagi langsung tidak mempedulikan bunga itu. Jadi soalnya dimanakah kecantikan bunga itu. Adakah pada bunga itu sendiri atau pada orang yang melihatnya.
Begitu jugalah dengan seseorang individu, rupa fizikal yang elok memberi tarikan kepada yang memandang. Hebatnya ilmu Tuhan kerana meletakkan kecantikan kepada yang memandang dan bukan yang dipandang. Jika kecantikan itu objektif sifatnya maka pastilah yang cantik akan jadi rebutan sehingga berbunuhan. Yang tidak cantik akan terbiar keseorangan sepanjang hayat.
Biarpun kita dalam zaman moden yang maju materialnya tetapi bergaduh berebut pasangan bukan perkara asing bahkan ada ke tahap berbunuhan. Inilah akibatnya bila kehendak dan rangsangan fitrah tidak disalurkan dengan cara yang sewajarnya menurut tuntutan Ilahi. Tak percaya? Mahukan bukti? Selak saja lembaran akhbar bahagian hiburan tentu ada cerita yang membuktikannya...
Harta kekayaan biarpun bukan hakikat kebahagiaan tetapi sering dianggap lambang kebahagiaan. Apatah lagi dalam dunia sekarang yang materialistik sifatnya. Kefakiran boleh membawa kepada kekufuran jelasnya harta juga memberi peranan meneguhkan akidah apatah lagi meneguhkan sebuah perkahwinan. Kerana itu wujudnya konsep sekufu atau sama taraf. Agar tidak berlaku ungkit mengungkit sesama pasangan di belakang hari.
Malangnya harta yang ada tidak digunakan untuk membahagiakan rumah tangga sebaliknya mencipta pelbagai masalah. Sebagai contoh untuk melangsungkan perkahwinan hantarannya mesti gah. Mesti ikut macam artis. Mesti glamour walaupun hakikatnya kita bukan artis dan langsung tak glamour.
Maka terpaksalah pasangan mencari dana untuk persiapan berkahwin. Jalan mudah pinjam bank. Setelah berkahwin gaji yang ada terpaksa ditolak untuk melunaskan hutang. Kenduri selesai hanya kekal dalam gambar. Mungkin dibuka setahun sekali semasa hari ulang tahun perkahwinan. Nasib tak baik kekal terperuk dalam almari.
Alasan untuk berkenduri besar kerana takut umpatan jiran dan orang sekeliling. Yang mengumpat dah tentu berdosa kerana bercakap tanpa ilmu, yang menurut cakap orang berdosa dah tentu bodoh. Malang Pak Kaduk ayam menang kampung tergadai...
Pegangan agama yang mantap merupakan pilihan paling unggul dalam memilih pasangan. Wajah yang sering disirami wuduk kalaupun tidak cantik tapi serinya ada. Kalaupun tidak menarik tapi tetap terpaut. Seri agama menenangkan jiwa yang sekacau mana sekalipun. Tahap redhanya tinggi, tidak akan meminta sesuatu yang menyusahkan pasangan harapannya cuma satu berkahwin untuk redha Ilahi.
Sering kali kita tertanya, bagi yang belum berkahwin adakah pasangan yang mantap pegangan agamanya untuk jadi pasangan hidup. Dilihat dengan mata kasar langsung tiada harapan. Ada yang bertudung labuh tapi mulut boleh tahan...ada yang lembut manja tapi tak menutup aurat yang lelaki pula baik alim tapi tawaduk sampai tak campur masyarakat.
Bagi yang dah berkahwin ada yang menepuk dahi, salah pilih katanya. Mula fikir nak buka cawangan. Sedangkan cawangan yang sedia ada tak pernah terurus. Fikir nak tambah pahala hakikatnya menambah bala.
Tak perlu susah payah mencari pasangan sama ada yang belum mahupun yang telah berkahwin. Tak perlu menoleh ke sana ke mari. Caranya mudah, mantapkan pegangan agama sendiri maka mantaplah pegangan agama pasangan kerana Tuhan tidak pernah menzalimi kita. Mendidik pasangan tidak perlu selepas ijab kabul dilafazkan bahkan semasa bujang remaja lagi boleh mendidik biarpun kita tidak pernah terbayang bagaimana rupa paras bakal pasangan.
Serangkap doa dipanjatkan ke hadrat Ilahi dengan niat memantapkan ilmu, iman dan amal serta usaha gigih yang berterusan (istiqamah) nescaya rahmat akan melimpah kepada bakal pasangan dan pasangan kita sedia ada.
Bagaimanapun bercerita tidak semudah beramal kerana lidah tidak bertulang. Hakikatnya berkahwin tidak semudah itu walaupun agama mengatakannya mudah. Entah bijak pandai mana yang berusaha gigih memayahkan urusan berkahwin. Katanya untuk mengelakkan perceraian dan keganasan rumah tangga.
Hasilnya jadilah seperti sekarang. Tanyalah pada remaja dan belia sama ada lelaki mahupun perempuan. Mana lebih mudah antara kahwin dan zina maka jawapannya sudah terang lagikan bersuluh. Sangat mudah berzina di mana-mana saja asal jangan tertangkap penguatkuasa. Kalau tertangkap sekalipun bayar saja dendanya lambat laun masyarakat akan melupakan. Masyarakat sekarang bukan lagi seperti dulu, moden dan berfikiran terbuka.
Kata yang ortodoks atau golongan moralis di pentas-pentas berhawa dingin dalam forum-forum di hotel terkemuka kenapa perlu ikut budaya asing, kenapa remaja sekarang tak takut dosa, kenapa perlu merosakkan masa depan sendiri, fikir dahulu sebelum buat, menyesal dahulu pendapatan dan sebagainya kalau mahu dijawab, jawapannya kerana kitalah golongan yang sepatutnya membimbing tidak menjalankan amanah dengan sempurna. Seronok berucap di pentas leka dengan tepukan gemuruh hadirin pembodek.
Masyarakat kita semakin celaru, walaupun dalam persoalan mudah yang mencakupi fitrah insani. Cinta adalah fitrah, kahwin adalah penyelesaian. Lapangkanlah prosedur berkahwin selesailah masalah zina.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Koman & Cadangan:
Post a Comment