Jala Itik

on Friday, December 21, 2007

Permainan ini bertujuan menentukan pasukan mana yang mempunyai bilangan ahli paling ramai. Tiada sebarang alatan diperlukan, cuma sebuah lagu yang menarik dinyanyikan untuk mengiringi setiap langkah permainan.

Cara Bermain

Dua orang dipilih menjadi ketua, kebiasaanya bertubuh besar dan menggunakan nama samaran yang hanya diketahui oleh mereka berdua sahaja. Kedua-dua ketua ini akan berhadapan antara satu sama lain dengan memegang tangan masing-masing yang diangkat keatas, bagi memudahkan para ahlinya melintasi dibawahnya. Semasa ini sebuah nyanyian dialunkan 'Jan-jan jala Jala itik jala ayam. Berapa lubang kancil? Seratus lima puluh. Singgah Cik Dayang singgah. Makan sirih mulut merah." Sebaik sahaja lagu itu selesai dinyanyikan, ketua-ketua itu akan menangkap pemain terakhir yang sedang melintas.

Menentukan Pemain

Setelah itu, pemain yang ditangkap tadi dibawa ke tempat lain oleh ketua-ketua itu untuk disoal. Kemudian mereka menyebut nama samaran yang telah ditetapkan sebelum permainan. Pemain yang ditangkap itu dikehendaki memilih salah satu nama tersebut. Pemain-pemain tadi dikehendaki berdiri di belakang ketua yang mana namanya dipilih oleh ahli tadi dengan merahsiakan nama pilihannya kepada ahli yang lain. Kemudian permainan dimulakan semula seperti awal tadi, sehinggalah semua pemain selesai memilih ketua masing-masing.

Pertukaran Pemain

Jika ada kumpulan mempunyai jumlah ahli yang lebih ramai daripada kumpulan yang satu lagi, rayuan boleh dibuat untuk pertukaran ahli bagi mengimbangkan jumlah ahli setiap pasukan. Bagaimanapun, pertukaran hanya boleh dibuat setelah persetujuan di antara kedua-dua belah pihak dicapai. Jika tidak mahu membuat pertukaran, permainan akan tamat di situ dan ketua itu dikira menang, kerana mempunyai ahli yang paling ramai.

Menentikan Pemenang

Sebaliknya jika ini terjadi, satu perlumbaan dilakukan. Untuk itu, satu garisan dibuat bagi membolehkan kedua-dua pasukan beradu kekuatan. Kedua-dua ketua pasukan berdiri sama jauh dari garisan dan tangan mereka berpaut antara satu sama lain. Pemain-pemain lain beratur di belakang ketua masing-masing sambil memegang pinggang. Kedua-dua ketua pasukan berusaha menarik antara satu sama lain supaya melangkah garisan itu, dengan ahli lain membantu, seperti tarik tali. Jika pasukan yang kurang ahlinya itu berjaya menarik pasukan lawan melintasi garisan itu, pasukannya dianggap menang. Maka dia boleh meminta sejumlah pemain yang dikehendakinya untuk mengimbangi pasukannya dengan pasukan yang satu lagi itu. Sebaliknya, jika pasukannya gagal berbuat demikian, maka dia dianggap kalah.

Galah Panjang

on Friday, December 14, 2007

Permainan tradisional yang dimainkan diluar rumah. Permainan ini bukan sahaja dimainkan oleh kanak-kanak sahaja tetapi sebagai pertunjukan di pesta-pesta kebudayaan kadangkala dipertontonkan untuk pelancong oleh golongan dewasa.

Permainan ini tidak dimainkan secara individu, tetapi dengan dua kumpulan. Terdiri dari kumpulan penyerang dan kumpulan bertahan. Setiap kumpulan mempunyai pemain tidak kurang dari seramai empat orang dan kebiasaannya terdiri dari sepuluh pemain sahaja.

Salah seorang dari ahli kumpulan itu akan dilantik sebagai ketua dan lainnya adalah sebagai awak-awak sahaja. Tugas ketua kumpulan adalah sebagai mengawasi setiap penyerang yang masuk dan keluar dari gelanggang, iaitu disepanjang garisan permulaan, garisan tengah dan garisan disekeliling gelanggang. Manakala awak-awak hanya menjaga garisan melintang di dalam gelanggang.

Sebelum permainan dimulakan undian secara wan tu som dijalankan oleh kedua-dua ketua pasukan. Siapa yang menang akan menjadi pasukan penyerang. Penetapan pengiraan bertukar giliran akan ditentukan terlebih dahulu, samada hanya dengan cuitan ke badan pemain atau dengan menangkap pemain.

Gelanggang Permainan


Galah Panjang

Kawasan permainan yang sederhana luas diperlukan, samada di atas tanah, kawasan bertar atau bersimin dan di atas padang. Tiada ukuran khas penetapan yang perlu dipatuhi, tetapi dianggarkan antara enam hingga lapan meter lebar dan jarak bagi setiap garisan lintang gelanggang antara tiga hingga empat meter. Jumlah garisan lintang bagi awak-awak tidak terhad, ia mengikut jumlah pemain bagi setiap pasukan.

Sebagai penanda garisan, akan digunakan tepung atau tali jika dimainkan di atas padang. Cat juga boleh digunakan sekiranya gelanggang simin. Tetapi kebanyakan kanak-kanak akan melorekkan garisan tersebut di atas tanah sahaja.

Cara Bermain

Sejurus sebelum permainan dimulakan, ketua pasukan penyerang akan menepuk tangan ketua pasukan bertahan di petak kepala gelanggang. Ini menandakan permainan sudah dimulakan dan awak-awak boleh mula menyerang, samada secara individu atau beramai-ramai.

Setiap pemain hendaklah melepasi semua garisan hingga ke garisan belakang sekali dan kembali semula hingga ke garisan hadapan tanpa dapat dicuit oleh pasukan bertahan. Jika salah seorang dapat dicuit oleh pasukan bertahan maka pasukan itu dikira mati. Pertukaran kedudukan akan dilakukan iaitu pasukan yang bertahan akan jadi pasukan penyerang dan sebaliknya.

Peraturan Permainan

Kesemua pemain pasukan penyerang akan dikira mati jika salah seorang dari mereka dicuit oleh pemain pasukan bertahan.

Pemain pasukan penyerang tidak boleh berundur kebelakang setelah melepasi garisan gelanggang, ia dikira mati yang akan menyebabkan pertukaran kedudukan pasukan.

Pasukan penyerang dikira mati jika terdapat pemainnya terkeluar dari garisan gelanggang.

Pasukan penyerang dikira menang jika salah seorang dari pemainnya dapat melepasi kesemua garisan hingga kembali ke garisan permulaan. Satu mata diberikan kepada pasukan ini dan permainan akan dijalankan semula.

Mana-mana pasukan yang dapat mengumpul mata tertinggi akan dikira memenangi perlawan tersebut.