Menangis

on Friday, December 29, 2006

MENANGIS ....PERLUKAH MENANGIS..BILA DIBOLEHKAN
MENANGIS.......ADAKAH TANGISAN ITU BOLEH DIPAKSA.......
Kata Ibnu Qayyim - 10 Jenis Tangis

1) Menangis kerana kasih sayang & kelembutan hati.
2) Menangis kerana rasa takut.
3) Menangis kerana cinta.
4) Menangis kerana gembira.
5) Menangis kerana menghadapi penderitaan.
6) Menangis kerana terlalu sedih.
7) Menangis kerana terasa hina dan lemah.
8) Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
9) Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.
10) Menangis orang munafik - pura-pura menangis.

"..dan bahawasanya DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis." (AnNajm : 43)

Jadi, Allah lah yang menciptakan ketawa dan tangis, serta menciptakan sebab tercetusnya. Banyak air mata telah mengalir di dunia ini. Sumber nya dari mata mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi. Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Sepertilah sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti?.kalaulah air mata itu di tampung banjirlah dunia ini.

Tangis tercela atau terpuji ?? Ada tangisan yang sangat di cela umpamanya meratapi mayat dengan meraung dan memukul-mukul dada atau merobek-robek pakaian. Ada pula tangisan sangat-sangat dipuji dan di tuntut iaitu tangisan kerana menginsafi dosa-dosa yang silam atau tangis kerana takut akan azab dan siksa Allah.

Tangisan dapat memadamkan api Neraka "Rasulullah saw bersabda : Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan terkotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan di rahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka."

Air mata taubat Nabi Adam a.s Beliau menangis selama 300 tahun tanpa mendonggak ke langit tersangat takut dan hibanya terhadap dosa yang telah ia lakukan.Dia bersujud di atas gunung dan air matanya mengalir di jurang Serandip. Dari air matanya itulah Allah telah menumbuhkan pohon kayu manis dan pohon bunga cengkih.Beberapa ekor burung telah meminum akan air mata Adam lalu berkata, "Manis sungguh air ini." Nabi Adam terdengar lalu menyangka burung itu mempersendakannya lalu ia memperhebatkan tangisannya. Lalu Allah mendengar dan menerima taubat Adam dan mewahyukan, "Hai Adam sesungguhnya belum saya pernah menciptakan air lebih lazat daripada air mata taubat mu!." Air mata yang tiada di tuntut.

Janganlah menangis kalau tak tercapai cita-cita bukan kah Tuhan yang telah menentukannya.

Janganlah menangis nonton filem hindustan itu kan cuma lakonan.

Janganlah menangis kerana cinta tak berbalas mungkin dia bukanlah jodoh yang telah Tuhan tetapkan.

Janganlah menangis jika gagal dalam peperiksaan mungkin kita kurang membuat persediaan.

Jangan menangis kalau wang kita hilang di jalanan sebab mungkin kita kurang bersedekah buat amalan.

Janganlah menangis kalau tidak di naikkan pangkat yakin lah, rezeki itu adalah pemberian Tuhan.

Dari itu??..

Simpanlah air mata-air mata tangisan itu semua buat bekalan untuk menginsafi di atas segala kecuaian yang telah melanda diri, segala dosa-dosa yang berupa bintik2 hitam yang telah mengkelamkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah swt. Seru lah air mata itu dari persembunyiannya di balik kelopak mata agar ia menitis membasahi dan mencuci hati agar ia putih kembali dan juga semoga ia dapat melebur dosa2 dan moga-moga akan mendapat ampunanNya jua.

Junjungan Mulia bersabda "Ada 2 biji mata yang tak tersentuh api neraka, mata yang menangis di waktu malam hari kerana takut kepada Allah swt dan 2 biji mata yang menjaga pasukan fi sabillah di waktu malam."

"Di antara 7 golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah dihari qiamat, seseorang yang berzikir bersendirian lalu mengenang tentang kebesaran Allah swt lalu bercucuran air matanya."

"Jika tubuh seseorang hamba gementar kerana takut kepada Allah, maka berguguran lah dosa-dosanya bak gugurnya dedaunan dari pepohonan kering."

Berkata Salman Al Faarisi r.a, saya di buat menangis atas 3 perkara jua :

1) Berpisah dengan Rasulullah saw dan para sahabat-sahabat.
2) Ketakutan seorang yang perkasa tatkala melihat malaikat Israil datang
mencabut nyawanya.
3) Saya tidak tahu sama ada saya akan di perintahkan untuk ke syurga atau
neraka.

Air mata tanda rahmat Tuhan, Rasulullah saw bersabda : Jagalah mayat ketika kematiannya & perhatikanlah 3 perkara.

1) Apabila dahi nya berpeluh.
2) Airmatanya berlinang.
3) Hidungnya keluar cecair seperti hingus.

kerana hal hal tersebut menandakan rahmat Allah swt untuk si mayat.
(riwayat dari Salman al Faarisi)

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :

"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbimu, dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."

Strategi bawah laut

on Tuesday, October 03, 2006

Pertama kali berita mengenai perolehan kapal selam Scorpene oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihebahkan pada bulan Jun 2002, ia menarik perhatian banyak pihak kerana Malaysia berbelanja besar untuk kedua-dua kapal selam ini.

Perbelanjaan sebanyak RM3.4 bilion, iaitu hampir satu pertiga daripada peruntukan pertahanan setiap tahun sudah tentu mengundang pelbagai analisis mengenai rasional keperluan TLDM memiliki kapal selam.
Ramai yang mempertahankan keperluan TLDM memiliki kapal selam memandangkan Singapura yang mempunyai perairan jauh lebih kecil dan sempit, memiliki empat kapal selam dari kelas Challenger. Tentera Laut Singapura (RSN) pada ketika ini memiliki ketumbukan empat kapal selam iaitu RSS Challenger, RSS Centurion, RSS Conqueror dan RSS Chieftain.

Setelah sekian lama berita mengenai Scorpene TLDM tidak kedengaran, minggu lepas ia kembali menjadi panas apabila pembinaan fasa utama, iaitu proses pencantuman dua bahagian badan kapal selam telah sempurna dilaksanakan.
Pentingnya proses penyambungan ini kerana ia melambangkan kerja utama dalam pembinaan Scorpene telah selesai dilaksanakan. Adalah dijangkakan Scorpene TLDM akan mula beroperasi di perairan Malaysia pada awal tahun 2009.
Sememangnya tidak syak lagi kapal selam ini akan meningkatkan keupayaan TLDM mempertahankan perairan negara diceroboh terutama sekali oleh kapal selam negara lain. Ini adalah kerana untuk mengesan pencerobohan kapal selam di perairan negara, TLDM memerlukan kapal selam untuk memudahkan operasi pengesanan.

Menjadi lebih menarik lagi apabila Panglima TLDM, Laksamana Datuk Ramlan Mohamed Ali menyatakan Scorpene ini bakal melengkapkan TLDM dalam aspek peperangan secara menyeluruh. Katanya, Malaysia sudah memiliki keupayaan anggota, udara dan perolehan kapal selam ini akan meningkatkan keupayaan peperangan bawah laut.

Selain daripada TLDM dan RSN, Tentera Laut Indonesia (TNI-Laut) juga mempunyai dua aset kapal selam kelas T-209 yang masing-masing dinamakan Cakra dan Nanggala. TNI-Laut juga akan menerima empat kapal selam yang dibeli dari Korea Selatan menjelang tahun 2008.
Di samping itu RSN juga bakal menerima dua lagi kapal selam daripada kelas Vastergotland pada tahun 2010.

Secara keseluruhannya negara pesisir Selat Melaka iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura bakal menyaksikan 14 kapal selam pada laluan yang sibuk, tohor dan sempit ini. Satu perkara yang menarik mengenai kapal selam Vastergotland adalah ia amat sesuai digunakan pada perairan pesisir yang cetek seperti Selat Melaka dan dapat bertahan di bawah permukaan air dalam jangka masa yang agak lama.

Timbul pula kemusykilan apakah laluan Selat Melaka mampu menampung operasi sejumlah 14 kapal selam kerana tidak syak lagi kapal selam tersebut tidak kira sama ada milik TLDM, RSN atau TNI-Laut, ia sudah pasti akan digunakan untuk menentukan laluan Selat Melaka sentiasa selamat.
Selama ini hanya kapal selam RSN yang bebas bergerak di dasar Selat Melaka, Laut China Selatan atau Laut Sulawesi tanpa gangguan daripada TLDM atau TNI-Laut. Bebas dan tanpa kekangan kerana TLDM tidak mempunyai kapal selam pada waktu ini, manakala T-209 TNI-Laut pula terlalu uzur untuk membuat rondaan jangka masa lama.

Penggunaan aset seperti kapal di atas permukaan air menyukarkan proses pengesanan kapal selam kerana hanya kapal selam yang dapat menentukan keujudan kapal selam yang lain di bawah dasar permukaan air. Timbul sedikit kerisauan apabila TLDM, RSN dan TNI-Laut masing-masing mempunyai kapal selam dan mula melakukan operasi di Selat Melaka. Besar kemungkinan akan berlakunya insiden pencerobohan sama ada secara sengaja atau tidak sukar ditolak begitu sahaja kerana keadaan laluan yang amat sempit.

Pencerobohan ruang udara di sisi sempadan hanya dapat ditentukan secara sahih apabila dipintas ketika pencerobohan sedang berlaku dan keadaan begini sukar dilaksanakan kerana jangka masa berlaku yang amat singkat.

Berbeza pula dengan pencerobohan di bawah permukaan air di mana kebarangkalian insiden sebegini dapat dipintas secara kebetulan ataupun tidak adalah tinggi, terutama sekali di Selat Melaka.

Keadaan sebegini sudah tentu akan menimbulkan suasana curiga dan kurang selesa di antara negara pesisir walaupun insiden pencerobohan berlaku secara tidak sengaja. Ketegangan yang timbul akibat pencerobohan kapal selam banyak berlaku ketika era Perang Dingin. Pada ketika ini insiden sedemikian banyak berkisar di antara negara Jepun dan China di sekitar kepulauan yang menjadi rebutan oleh kedua-dua negara.

Dari segi pengalaman pengendalian kapal selam, RSN mempunyai kelebihan berbanding dengan TLDM dan TNI-Laut kerana Singapura telah bermula lebih awal. Tetapi apa yang lebih penting adalah pengalaman anggota kapal selam RSN yang diperoleh dari Sweden, iaitu negara pengeluar kapal selam Challenger dan Vastergotland adalah tidak ternilai kelebihannya.

Ini adalah kerana tentera laut Sweden mempunyai pengalaman yang amat luas dalam hal ehwal pengesanan pencerobohan kapal selam Kesatuan Soviet semasa era Perang Dingin. Tambah menguntungan RSN ialah pengalaman pengendalian kapal selam di perairan Sweden yang cetek seperti Selat Melaka sudah tentu dapat membantu anggota kapal selam RSN menjadi satu pasukan yang disegani.
Pengendalian kapal selam sudah tentu akan memberi cabaran kepada TLDM kerana ia adalah satu pengalaman baru. Ditambah pula cabaran yang bakal ditempuhi adalah penuh dengan risiko dan kesilapan walaupun sedikit akan menghasilkan bencana. Kejadian kemalangan kapal selam tentera laut Britain (RN) di Lautan Artik beberapa hari lepas yang mengorbankan dua anak kapal selam RN sudah cukup untuk menggambarkan getir yang bakal dilalui.

Ditambah pula jika operasi kapal selam berlaku di sekitar Selat Melaka maka ini sudah tentu akan menambahkan tekanan bukan sahaja kepada anggota kapal selam TLDM, tetapi juga kepada RSN dan TNI-Laut. Pengendalian kapal selam di Selat Melaka dikatakan antara laluan yang paling sukar ditempuhi dan akan dielakkan kecuali dalam keadaan yang memaksa.