Batik

on Tuesday, April 26, 2005

Perkembangan batik di Nusantara telah bermula sejak 200 tahun dahulu. Sesetengah pendapat menyatakan bahawa batik berasal dari Kepulauan Jawa, Indonesia. Kemudian ia berkembang di Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, Borneo, Filipina dan juga negara luar seperti India, China, Taiwan, Holland dan England. Di Malaysia, batik mula berkembang sejak zaman kerajaan Sriwijaya. Contoh terawal penciptaan batik asas setempat dengan menggunakan kain pelangi atau ‘bhadana’ tanpa menggunakan lilin. Teknik ikat dan celup ini menghasilkan tekstil Serian batik yang indah.

Perkataan ‘batik’ berasal daripada Bahasa Jawa, iaitu ‘ambatik’ yang bermaksud kain yang bercorakkan titik-titik kecil. Batik bererti juga kain mori yang diberi ragam hias dan diproses secara tradisional sebagai kain sarung oleh suku-suku bangsa di Malaysia dan Indonesia. Kemahiran serta kemampuan orang-orang Jawa menghasilkan batik yang bermutu tinggi sejak zaman tradisi lagi adalah faktor utama istilah batik menjadi istilah yang bersifat sarwajagat.

Proses membatik menggunakan bahan celupan yang ditiru daripada teknik bhadana India dan kain pelangi sutera Cina. Pembatik Melayu mengolah proses ini dengan menggunakan proses kayu atau sarang bunga. Pada keseluruhannya proses membatik menggunakan blok sahaja. Motif atau corak yang berlainan menggunakan blok dan warna yang berasingan. Dimulai dengan mencelup kain dalam warna kuning atau putih dan selepas itu diterap dengan lilin pertama serta dicelup dengan warna yang gelap. Kain diterap kali kedua dan dicelup dengan warna yang lebih gelap. Kain akan direbus dalam air yang mengandungi abu soda dan warna yang berlainan terhasil dan menutupi setiap blok.

Proses membatik yang paling tradisional ialah menconteng dengan canting. Canting digunakan sebagai alat untuk menerapkan campuran lilin panas pada kain yang hendak dicorakkan. Canting diperbuat daripada tembaga dan mempunyai saluran kecil di bahagian hujungnya untuk memudahkan proses menconteng. Pewarna disapu pada kain setelah menconteng kesemua motif. Tempat-tempat warna itu ditutup dengan lilin sebelum kain dicelup dalam warna latar belakang dan kemudian direbus. Proses ini memakan masa dan memerlukan kepakaran pembatik. Tetapi kini, proses dan teknik membatik berbagai-bagai. Antaranya batik cap, batik tulis, batik pelangi, batik stensil, batik cetak luah dan batik eksklusif.

Motif batik bukan sahaja memaparkan keindahan tetapi juga mempunyai tujuan tertentu. Pada peringkat penggunaan blok kayu, reka corak batik begitu sederhana tetapi memperlihatkan variasi motif yang terdiri daripada bentuk titik, bulatan dan garis untuk membentuk susunan anting-anting atau bunga mala, bunga bintang dan bunga bebaling. Unsur alam tumbuhan diilhamkan daripada bentuk bunga, putik, daun, ranting atau pucuk yang disusun tunggal, menjalar datar atau bertabur. Antara corak-corak kain batik sarung pula ialah pokok, Lasam, Tangga Mas, Sinar Mas, Terang Bulan, Belah Ketupat, Jalur Malaysia, Serong, Retak Seribu, Solo, Ayam Den Lapeh, Bintang Sore, Musang Berjanggut, Siku Kluang dan Kijang Berjuang. Kain batik sarung corak Lasam, Tangga Mas, Sinar Mas dan Belah Ketupat memperlihatkan variasi susunan motif.

Di Malaysia, pihak kerajaan bersama-sama turun padang memajukan industri batik ini. Batik dimajukan dengan cara tersendiri, iaitu dengan penggunaan teknologi bahan pewarna Jepun dan Jerman. Jenis fabrik yang sesuai adalah dari jenis kain Mori, kain Cheese, Voile, kain Lawns, kain Cita, Sutera dan kain Terylene Kapas. Bagaimanapun sehingga kini batik belum boleh dicap pada kain tiruan kerana lilin panas akan merosakkan corak kain batik tersebut. Batik tiruan tidak mempunyai corak dan warna pada sebelah dalam. Batik tulen tebal warnanya dan tidak kecut kerana dimasak sekurang-kurangnya tiga atau empat kali.

Pada masa dahulu, kain batik hanya di pakai oleh kaum wanita. Selain dijadikan pakaian basahan atau pakaian harian ia juga dipakai untuk ke majlis, buaian bayi atau anak kecil, mengendong anak kecil, menutup mayat dan sebagai penutup keranda mengusung mayat ke pusara. Kini penggunaan corak batik tidak terhad pada kain batik sarung atau batik lepas tetapi dipelbagaikan kegunaannya iaitu sebagai kemeja lelaki, gaun wanita, sarung bantal, alas meja, hiasan dinding, beg, kaftan dan sebagainya. Ahli-ahli seni lukis kita mempelbagaikan karya mereka dengan ciptaan corak batik yang lebih moden sesuai dengan kehendak pengguna. Pakaian batik juga dijadikan pakaian rasmi untuk menghadiri majlis-majlis keramaian sama ada anjuran pihak kerajaan mahupun swasta.