Pulau Labuan WP

on Wednesday, January 17, 2007


Koordinat: 5°19′13.16″N 115°12′40.42″E / 5.3203222, 115.2112278

Wilayah Persekutuan merupakan salah satu daripada negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia. Wilayah Persekutuan ditadbir secara langsung oleh kerajaan persekutuan di bawah bidang kuasa Perdana Menteri.

Wilayah Persekutuan Labuan merupakan daerah wilayah persekutuan kedua Malaysia. Labuan mempunyai keluasan 92 km2. Pulau Labuan terletak sekitar 10 km dari pantai Sabah, dan 2 1/2 jam penerbangan dari Kuala Lumpur, dan lima minit perjalanan bot ke Pulau Papan. Pulau Labuan telah diistiharkan sebagai pusat kewangan luar pantai ( offshore financial centre ) dan pelabuhan bebas cukai. Labuan mempunyai pelabuhan yang dalam dan besar, yang merupakan punca asal namanya pelabuhan atau "Labuhan".

Pulau Labuan juga mempunyai air yang jernih dan pantai berpasir sepanjang persisiran pantai, menjadikannya destinasi perlancongan yang baik. Pulau Labuan juga mempunyai perairan yang baik untuk aktiviti menyelam dan mempunyai empat destinasi penyelaman skuba.

Pulau Labuan asalnya merupakan sebahagian dari Kesultanan Brunei. Pada 1846, ia diserahkan kepada British oleh Sultan Brunei Sultan Omar Ali Saifuddin II. Pada 1848 Labuan telah diistiharkan sebagai Tanah Jajahan Mahkota British. Kemudian pada 1890, ia digabungkan dengan Borneo Utara. Namun begitu pada 1 Januari 1906 Labuan telah diserahkan kembali kepada British dan menjadi sebahagian daripada Negeri-negeri Selat pada 30 Oktober 1906 bersama-sama Singapura, Melaka dan Pulau Pinang.

Pada Desember 1941 hingga Jun 1945, Labuan telah diperintah oleh Jepun. Labuan telah ditukar namanya menjadi Pulau Maida (Maida Island 前田島 [Maeda-shima])sempena nama Komander tentera Jepun di Borneo Marquis Toshinari Maeda. Selepas pengunduran Jepun dan pentadbiran tentera British tamat, Labuan digabungkan ke dalam Borneo Utara pada 1946. Seterusnya pada 1963 ia bersama-sama Sabah bergabung ke dalam Malaysia.

Labuan dahulunya merupakan kawasan terpinggir dari arus pembangunan. Setelah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1984, kawasan penempatan bagi kaum Kadayan-Brunei ini mula menjadi antara destinasi utama kepada pelabur asing untuk berurusniaga terutama sekali setelah Labuan diiktiraf sebagai Pusat Kewangan Pesisir Antarabangsa atau IOFC pada Oktober 1990(kini dikenali sebagai Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa atau IBFC).

Peninggalan sejarah zaman silam di Labuan menjadi tarikan pelancong seperti Taman Damai (Peace Park iaitu tempat Jepun menyerah kalah kepada British), kubur askar asing yang terkorban semasa berperang dengan tentera Jepun dan Taman Burung Eksotik.

Selain peninggalan sejarah zaman silam, Labuan juga terkenal dengan aktiviti sukan laut peringkat antarabangsa seperti pertandingan memancing laut dalam, jet ski dan kayak mengelilingi pulau Labuan.

Labuan yang dahulunya didiami oleh nelayan, mula menjadi tumpuan para pelajar dari dalam dan luar labuan berikutan pembukaan Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan dan Kolej Matrikulasi Labuan.

Menangis

on Friday, December 29, 2006

MENANGIS ....PERLUKAH MENANGIS..BILA DIBOLEHKAN
MENANGIS.......ADAKAH TANGISAN ITU BOLEH DIPAKSA.......
Kata Ibnu Qayyim - 10 Jenis Tangis

1) Menangis kerana kasih sayang & kelembutan hati.
2) Menangis kerana rasa takut.
3) Menangis kerana cinta.
4) Menangis kerana gembira.
5) Menangis kerana menghadapi penderitaan.
6) Menangis kerana terlalu sedih.
7) Menangis kerana terasa hina dan lemah.
8) Menangis untuk mendapat belas kasihan orang.
9) Menangis kerana mengikut-ikut orang menangis.
10) Menangis orang munafik - pura-pura menangis.

"..dan bahawasanya DIA lah yang menjadikan orang tertawa dan menangis." (AnNajm : 43)

Jadi, Allah lah yang menciptakan ketawa dan tangis, serta menciptakan sebab tercetusnya. Banyak air mata telah mengalir di dunia ini. Sumber nya dari mata mengalir ke pipi terus jatuh ke bumi. Mata itu kecil namun ia tidak pernah kering ia berlaku setiap hari tanpa putus-putus. Sepertilah sungai yang mengalir ke laut tidak pernah berhenti?.kalaulah air mata itu di tampung banjirlah dunia ini.

Tangis tercela atau terpuji ?? Ada tangisan yang sangat di cela umpamanya meratapi mayat dengan meraung dan memukul-mukul dada atau merobek-robek pakaian. Ada pula tangisan sangat-sangat dipuji dan di tuntut iaitu tangisan kerana menginsafi dosa-dosa yang silam atau tangis kerana takut akan azab dan siksa Allah.

Tangisan dapat memadamkan api Neraka "Rasulullah saw bersabda : Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan terkotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan di rahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka."

Air mata taubat Nabi Adam a.s Beliau menangis selama 300 tahun tanpa mendonggak ke langit tersangat takut dan hibanya terhadap dosa yang telah ia lakukan.Dia bersujud di atas gunung dan air matanya mengalir di jurang Serandip. Dari air matanya itulah Allah telah menumbuhkan pohon kayu manis dan pohon bunga cengkih.Beberapa ekor burung telah meminum akan air mata Adam lalu berkata, "Manis sungguh air ini." Nabi Adam terdengar lalu menyangka burung itu mempersendakannya lalu ia memperhebatkan tangisannya. Lalu Allah mendengar dan menerima taubat Adam dan mewahyukan, "Hai Adam sesungguhnya belum saya pernah menciptakan air lebih lazat daripada air mata taubat mu!." Air mata yang tiada di tuntut.

Janganlah menangis kalau tak tercapai cita-cita bukan kah Tuhan yang telah menentukannya.

Janganlah menangis nonton filem hindustan itu kan cuma lakonan.

Janganlah menangis kerana cinta tak berbalas mungkin dia bukanlah jodoh yang telah Tuhan tetapkan.

Janganlah menangis jika gagal dalam peperiksaan mungkin kita kurang membuat persediaan.

Jangan menangis kalau wang kita hilang di jalanan sebab mungkin kita kurang bersedekah buat amalan.

Janganlah menangis kalau tidak di naikkan pangkat yakin lah, rezeki itu adalah pemberian Tuhan.

Dari itu??..

Simpanlah air mata-air mata tangisan itu semua buat bekalan untuk menginsafi di atas segala kecuaian yang telah melanda diri, segala dosa-dosa yang berupa bintik2 hitam yang telah mengkelamkan hati hingga sukar untuk menerima hidayah dari Allah swt. Seru lah air mata itu dari persembunyiannya di balik kelopak mata agar ia menitis membasahi dan mencuci hati agar ia putih kembali dan juga semoga ia dapat melebur dosa2 dan moga-moga akan mendapat ampunanNya jua.

Junjungan Mulia bersabda "Ada 2 biji mata yang tak tersentuh api neraka, mata yang menangis di waktu malam hari kerana takut kepada Allah swt dan 2 biji mata yang menjaga pasukan fi sabillah di waktu malam."

"Di antara 7 golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah dihari qiamat, seseorang yang berzikir bersendirian lalu mengenang tentang kebesaran Allah swt lalu bercucuran air matanya."

"Jika tubuh seseorang hamba gementar kerana takut kepada Allah, maka berguguran lah dosa-dosanya bak gugurnya dedaunan dari pepohonan kering."

Berkata Salman Al Faarisi r.a, saya di buat menangis atas 3 perkara jua :

1) Berpisah dengan Rasulullah saw dan para sahabat-sahabat.
2) Ketakutan seorang yang perkasa tatkala melihat malaikat Israil datang
mencabut nyawanya.
3) Saya tidak tahu sama ada saya akan di perintahkan untuk ke syurga atau
neraka.

Air mata tanda rahmat Tuhan, Rasulullah saw bersabda : Jagalah mayat ketika kematiannya & perhatikanlah 3 perkara.

1) Apabila dahi nya berpeluh.
2) Airmatanya berlinang.
3) Hidungnya keluar cecair seperti hingus.

kerana hal hal tersebut menandakan rahmat Allah swt untuk si mayat.
(riwayat dari Salman al Faarisi)

Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara :

"Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu,Hatimu takut dan gementar kepada kehebatan Rabbimu, dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat yang Memiliki mu."

Strategi bawah laut

on Tuesday, October 03, 2006

Pertama kali berita mengenai perolehan kapal selam Scorpene oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dihebahkan pada bulan Jun 2002, ia menarik perhatian banyak pihak kerana Malaysia berbelanja besar untuk kedua-dua kapal selam ini.

Perbelanjaan sebanyak RM3.4 bilion, iaitu hampir satu pertiga daripada peruntukan pertahanan setiap tahun sudah tentu mengundang pelbagai analisis mengenai rasional keperluan TLDM memiliki kapal selam.
Ramai yang mempertahankan keperluan TLDM memiliki kapal selam memandangkan Singapura yang mempunyai perairan jauh lebih kecil dan sempit, memiliki empat kapal selam dari kelas Challenger. Tentera Laut Singapura (RSN) pada ketika ini memiliki ketumbukan empat kapal selam iaitu RSS Challenger, RSS Centurion, RSS Conqueror dan RSS Chieftain.

Setelah sekian lama berita mengenai Scorpene TLDM tidak kedengaran, minggu lepas ia kembali menjadi panas apabila pembinaan fasa utama, iaitu proses pencantuman dua bahagian badan kapal selam telah sempurna dilaksanakan.
Pentingnya proses penyambungan ini kerana ia melambangkan kerja utama dalam pembinaan Scorpene telah selesai dilaksanakan. Adalah dijangkakan Scorpene TLDM akan mula beroperasi di perairan Malaysia pada awal tahun 2009.
Sememangnya tidak syak lagi kapal selam ini akan meningkatkan keupayaan TLDM mempertahankan perairan negara diceroboh terutama sekali oleh kapal selam negara lain. Ini adalah kerana untuk mengesan pencerobohan kapal selam di perairan negara, TLDM memerlukan kapal selam untuk memudahkan operasi pengesanan.

Menjadi lebih menarik lagi apabila Panglima TLDM, Laksamana Datuk Ramlan Mohamed Ali menyatakan Scorpene ini bakal melengkapkan TLDM dalam aspek peperangan secara menyeluruh. Katanya, Malaysia sudah memiliki keupayaan anggota, udara dan perolehan kapal selam ini akan meningkatkan keupayaan peperangan bawah laut.

Selain daripada TLDM dan RSN, Tentera Laut Indonesia (TNI-Laut) juga mempunyai dua aset kapal selam kelas T-209 yang masing-masing dinamakan Cakra dan Nanggala. TNI-Laut juga akan menerima empat kapal selam yang dibeli dari Korea Selatan menjelang tahun 2008.
Di samping itu RSN juga bakal menerima dua lagi kapal selam daripada kelas Vastergotland pada tahun 2010.

Secara keseluruhannya negara pesisir Selat Melaka iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura bakal menyaksikan 14 kapal selam pada laluan yang sibuk, tohor dan sempit ini. Satu perkara yang menarik mengenai kapal selam Vastergotland adalah ia amat sesuai digunakan pada perairan pesisir yang cetek seperti Selat Melaka dan dapat bertahan di bawah permukaan air dalam jangka masa yang agak lama.

Timbul pula kemusykilan apakah laluan Selat Melaka mampu menampung operasi sejumlah 14 kapal selam kerana tidak syak lagi kapal selam tersebut tidak kira sama ada milik TLDM, RSN atau TNI-Laut, ia sudah pasti akan digunakan untuk menentukan laluan Selat Melaka sentiasa selamat.
Selama ini hanya kapal selam RSN yang bebas bergerak di dasar Selat Melaka, Laut China Selatan atau Laut Sulawesi tanpa gangguan daripada TLDM atau TNI-Laut. Bebas dan tanpa kekangan kerana TLDM tidak mempunyai kapal selam pada waktu ini, manakala T-209 TNI-Laut pula terlalu uzur untuk membuat rondaan jangka masa lama.

Penggunaan aset seperti kapal di atas permukaan air menyukarkan proses pengesanan kapal selam kerana hanya kapal selam yang dapat menentukan keujudan kapal selam yang lain di bawah dasar permukaan air. Timbul sedikit kerisauan apabila TLDM, RSN dan TNI-Laut masing-masing mempunyai kapal selam dan mula melakukan operasi di Selat Melaka. Besar kemungkinan akan berlakunya insiden pencerobohan sama ada secara sengaja atau tidak sukar ditolak begitu sahaja kerana keadaan laluan yang amat sempit.

Pencerobohan ruang udara di sisi sempadan hanya dapat ditentukan secara sahih apabila dipintas ketika pencerobohan sedang berlaku dan keadaan begini sukar dilaksanakan kerana jangka masa berlaku yang amat singkat.

Berbeza pula dengan pencerobohan di bawah permukaan air di mana kebarangkalian insiden sebegini dapat dipintas secara kebetulan ataupun tidak adalah tinggi, terutama sekali di Selat Melaka.

Keadaan sebegini sudah tentu akan menimbulkan suasana curiga dan kurang selesa di antara negara pesisir walaupun insiden pencerobohan berlaku secara tidak sengaja. Ketegangan yang timbul akibat pencerobohan kapal selam banyak berlaku ketika era Perang Dingin. Pada ketika ini insiden sedemikian banyak berkisar di antara negara Jepun dan China di sekitar kepulauan yang menjadi rebutan oleh kedua-dua negara.

Dari segi pengalaman pengendalian kapal selam, RSN mempunyai kelebihan berbanding dengan TLDM dan TNI-Laut kerana Singapura telah bermula lebih awal. Tetapi apa yang lebih penting adalah pengalaman anggota kapal selam RSN yang diperoleh dari Sweden, iaitu negara pengeluar kapal selam Challenger dan Vastergotland adalah tidak ternilai kelebihannya.

Ini adalah kerana tentera laut Sweden mempunyai pengalaman yang amat luas dalam hal ehwal pengesanan pencerobohan kapal selam Kesatuan Soviet semasa era Perang Dingin. Tambah menguntungan RSN ialah pengalaman pengendalian kapal selam di perairan Sweden yang cetek seperti Selat Melaka sudah tentu dapat membantu anggota kapal selam RSN menjadi satu pasukan yang disegani.
Pengendalian kapal selam sudah tentu akan memberi cabaran kepada TLDM kerana ia adalah satu pengalaman baru. Ditambah pula cabaran yang bakal ditempuhi adalah penuh dengan risiko dan kesilapan walaupun sedikit akan menghasilkan bencana. Kejadian kemalangan kapal selam tentera laut Britain (RN) di Lautan Artik beberapa hari lepas yang mengorbankan dua anak kapal selam RN sudah cukup untuk menggambarkan getir yang bakal dilalui.

Ditambah pula jika operasi kapal selam berlaku di sekitar Selat Melaka maka ini sudah tentu akan menambahkan tekanan bukan sahaja kepada anggota kapal selam TLDM, tetapi juga kepada RSN dan TNI-Laut. Pengendalian kapal selam di Selat Melaka dikatakan antara laluan yang paling sukar ditempuhi dan akan dielakkan kecuali dalam keadaan yang memaksa.

8 Petanda Dia Adalah Soulmate (Jodoh) Kamu...

on Tuesday, November 01, 2005

8 petanda?.... Nak dapat 1 pun susah, inikan 8... tepuk dada tanya selera, jangan tanya nafsu, sebab ikut nafsu, nanti lesu........ Pilih jangan tak pilih, kalau tak pilih takut nanti terpilih yang hampas, tapi kalau terlebih pilih, takut pula terpilih yang hampeh... carilah yang sedang-sedang saje bak lagu Iwan yang fofular sikit masa dulu.
Dari pertanyaan serta kajian juga sikit pengalaman yang ada inilah hasilnya..
Selamat berbahagia pada yg masih mencari..........

Dua manusia yang merasa saling berjodoh pasti memiliki ikatan emosional, spiritual dan fizikal antara keduanya. Hanya dengan menatap mata atau mendengar suaranya, kita akan merasakan getaran dan seolah ingin terus bersamanya. Benarkah seperti itu?

Lalu, apakah ada petanda lainnya agar seseorang dapat merasakan bahawa si dia jodoh (soulmate) kita atau bukan?

Petanda 1
Rahsia sepasang kekasih agar dapat memiliki usia hubungan yang panjang adalah dengan adanya saling kerjasama. Kamu dan dia selalu dapat saling membantu, dalam urusan remeh atau besar. Paling penting adalah kamu berdua selalu dapat melalui segala aspek kehidupan secara bersama-sama. Dan semuanya terasa amat menyenangkan meskipun tanpa harus melibatkan orang lain. Apakah kamu sudah merasakan pe! rkara tersebut? Jika ya, selamat... kerana ada harapan bahawa dia adalah calon pendamping hidup kamu!

Petanda 2
Salah satu kriteria yang menentukan sesuai atau tidaknya dia sebagai jodoh kamu atau bukan adalah kemampuannya bersikap bersahaja di depan kamu. Cuba sekarang perhatikan, apakah gerak-gerinya, caranya berpakaian, gaya rambutnya, caranya berbicara serta tertawanya mengesankan apa adanya? Apakah setiap ucapannya selalu tampak spontan dan tidak dibuat-buat? Jika tidak, maaf kemungkinan besar dia bukan jodoh kamu!

Petanda 3
Adanya deria batiniah membuat hati kamu berdua dapat selalu saling tahu. Dan bila kamu atau si dia dapat saling membaca fikiran dan menduga reaksi serta perasaannya satu sama lainnya pada situasi tertentu. Selamat! Sebenarnya dialah destini kebahagian kamu...

Petanda 4
Bersamanya dapat membuat perasaan kamu menjadi tenang, selesa dan tanpa perasaan tertekan. Berjam-jam bersamanya, setiap waktu dan setiap hari tanpa membuat kamu merasa bosan... Inilah petanda bahawa kamu berdua kelak akan saling terikat.

Petanda 5
Dia selalu ada untuk kamu dalam situasi apapun. Dan dia selalu dapat memahami situasi dalam hati kamu baik dalam suka dan duka. Percayalah pasangan yang berjodoh pasti tak takut mengalami pasang- surut, suka-duka saat bersama. Sekarang, ingat-ingat kembali.
Apakah dia orang pertama yang datang memberi bantuan tatkala kamu dirundung musibah? Dia selalu faham saat emosi kamu terganggu? Dia tahu keadaan waktu anda sakit? Jika ya, tak salah lagi. Dialah orangnya...

Petanda 6
Dia tak terlalu peduli dengan masa lalu keluarga kamu, dia tak peduli dengan masa lalu kamu saat bersama kekasih terdahulu. Dia juga tak malu-malu menceritakan masa lalunya... Nah, kalau begitu ini bisa berarti dia sudah siap menerima kamu apa adanya..

Petanda 7
Setiap orang! pasti memiliki kekurangan, dan kamu tak malu-malu perlihatkannya pada si dia. Bahkan pada saat kamu tampil 'buruk' di depannya sekalipun, misalnya saat kamu bangun tidur atau saat kamu sakit dan tak mandi selama dua hari. Ataupun menceritakan
sejujurnya kepada kamu tentang kelemahan dan kekurangannya... Nah! Kamu dan dia memangnya disuratkan untuk bersama!

Petanda 8
Bila merasa rahsia kamu bisa lebih selamat di tangannya daripada di tangan sahabat-sahabat kamu yang lain. Atau kamu merasa sudah tak dapat lagi menyimpan rahsia apapun darinya, maka berbahagialah! Kerana ini bererti pasangan sejati telah kamu temukan!

Apakah kelapan petanda di atas telah kamu temukan padanya?

Nabi Muhammad paling dermawan

on Monday, October 24, 2005

DIRIWAYATKAN dalam sahih Al-Bukhari dan Muslim, daripada Ibnu Abbas, katanya: "Nabi Muhammad SAW ialah orang yang paling dermawan dan Baginda lebih dermawan pada Ramadan ketika Rasulullah ditemui Jibril untuk membacakan kepadanya al-Quran.
"Jibril menemui Baginda setiap malam pada Ramadan, lalu membacakan kepadanya al-Quran.
"Rasulullah ketika ditemui Jibril lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berhembus."
Hadis ini diriwayatkan pula oleh Ahmad dengan tambahan: "Dan Baginda tidak pernah dimintai sesuatu kecuali memberikannya."
Menurut riwayat Al-Baihaqi daripada Saidatina Aisyah, katanya: "Rasulullah jika masuk Ramadan membebaskan setiap tawanan dan memberi setiap orang yang meminta."
Dermawan adalah sifat murah hati dan banyak memberi. Allah pun bersifat Maha Pemurah, Allah Maha Pemurah, kedermawanan-Nya berlipat ganda pada waktu tertentu seperti Ramadan.
Rasulullah ialah manusia yang paling dermawan, mulia, berani dan amat sempurna dalam segala sifat terpuji.
Kedermawanan Baginda pada Ramadan berlipat ganda berbanding bulan lain seperti kemurahan Tuhannya berlipat ganda pada bulan ini.
Ramadan adalah masa Allah menderma kepada hamba-Nya dengan rahmat, ampunan dan pembebasan daripada api neraka, terutama pada Lailatul Qadar.
Allah melimpahkan kasih-Nya kepada hamba-Nya yang bersifat kasih. Maka, barang siapa menderma kepada hamba Allah, nescaya Allah Maha Pemurah kepadanya dengan anugerah dan kebaikan. Balasan itu adalah sejenis dengan amal perbuatan.

Empat dosa yang tidak diampunkan Allah

on Sunday, October 23, 2005

PADA Lailatul Qadar Allah menyuruh Jibril turun ke bumi. Lalu turun Jibril dengan perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau.
Lalu dipacakkan di atas Kaabah, baginya 600 sayapnya, setengahnya tiada dibuka kedua-dua sayapnya, melainkan pada malam al-Qadar baru dibukakan kedua-duanya. Sayap itu hingga sampai dari timur ke barat (masyrik ke Maghrib) untuk menyelamatkan umat Muhammad.
Lalu, mereka memberi salam kepada setiap orang yang berjaga pada Lailatul Qadar beribadat kerana mencari keredaan Allah. Begitu juga kepada orang yang duduk beribadat, sembahyang, berzikir dan berjabat tangan sesama mukmin serta mengucap amin doa orang mukmin hingga terbit fajar Subuh.
Bertanya malaikat kepada Jibril: "Apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin daripada umat Muhammad pada Ramadan ini."
Jawab Jibril: "Bahawasanya Allah menilik kepada umat Muhammad yang berpuasa dan beribadat kepada-Nya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya, iaitu:
1. Orang yang kekal minum arak
2. Derhaka kepada ibu bapanya
3. Memutuskan silaturahim
4. Tidak bercakap dengan saudaranya lebih daripada tiga hari.

Mengisi 10 hari terakhir Ramadan

BULAN Ramadan memiliki begitu banyak keistimewaan, salah satunya adalah Lailatulqadar, satu malam yang dinilai oleh al-Quran ``lebih baik dari seribu malam.'' Kebaikan dan kemuliaan yang dihadirkan oleh Lailatulqadar tidak mungkin akan diraih kecuali oleh orang-orang tertentu sahaja. Bukankah ada orang yang sangat rindu atas kedatangan kekasih, namun ternyata sang kekasih tidak sudi hampir menemuinya? Demikian juga dengan Lailatulqadar.
Itu sebabnya bulan Ramadan menjadi bulan kehadirannya kerana bulan ini adalah bulan penyucian jiwa dan itu pula sebabnya sehingga ia diduga oleh Rasul datang pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadan. Ketika itu, manusia yang berpuasa mengharap jiwanya telah mencapai satu tingkat kesedaran dan kesucian yang memungkinkan malam mulia itu mendekatinya.
Apabila jiwa telah bersedia, kesedaran telah mula bersemi dan malam Lailatulqadar datang menemui seseorang. Pada ketika itu, kehadirannya menjadi saat qadar, dalam erti kata saat menentukan bagi perjalanan sejarah hidupnya pada masa yang akan datang. Saat itu, bagi yang bersangkutan adalah saat titik tolak bagi meraih kemuliaan dan kejayaan hidup di dunia dan di akhirat kelak, dan sejak saat itu, malaikat akan turun menyertai dan membimbingnya menuju kebaikan sehingga terbit fajar. Dan menjadi tenaga spirituil untuk menjalani kehidupan dalam masyarakat yang penuh dengan godaan.
Kemuliaan malam Lailatulqadar terpilih sebagai malam turunnya al-Quran. Malam itu dikatakan mulia kerana ia dikaitkan dengan ibadah yang dilakukan pada malam tersebut mempunyai nilai tambah berupa kemuliaan dan ganjaran sendiri, berbeza dengan malam yang lain.
Dalam usaha bagi memperoleh malam Lailatulqadar ini, nabi s.a.w. menganjurkan agar umatnya mengamalkan iktikaf di masjid. Masjid adalah tempat suci bagi orang Islam. Segala aktiviti dan amal kebajikan bermula dari masjid. Di masjid pula, seseorang diharapkan agar merenung tentang diri dan masyarakatnya serta menghindarkan diri dari kesibukan yang menyesakkan jiwa dan fikiran bagi memperoleh pengetahuan tambahan dan penggayaan iman. Itu sebabnya ketika melaksanakan iktikaf, dianjurkan untuk membanyakkan doa bacaan al-Quran dan juga bacaan lain yang dapat memperkayakan iman dan ketakwaan.
Salah satu doa yang sering dibaca dan dihayati oleh nabi pada malam-malam itu adalah; Rabbanaa aatinaa fid dun-yaa hasanataw wafil akhirati hasanataw waqinaa `adzaaban naar.
Doa ini bermaksud, Ya Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah (hindarkanlah) kami dari azab neraka.

Kedamaian

Orang-orang yang menjalani malam itu dengan ikhlas akan berkesan terhadap jiwanya, sehingga pada akhirnya dia mendapat kedamaian dan ketenangan serta keinsafan dan kesedaran sehingga mengubah cara hidupnya secara total. Kesedaran seperti itu, apabila dirasakan oleh seseorang, maka itu adalah bukti bahawa dia telah mendapatkan Lailatulqadar.
Pada malam itu seolah-olah dia telah meletakkan batu permata bagi kebajikan sepanjang hayatnya sekali gus merupakan malam penetapan bagi langkah-langkah hidupnya di dunia dan di akhirat kelak. Orang yang mendapatkan Lailatulqadar akan semakin kuat dorongan dalam jiwanya untuk melakukan amal kebajikan pada sisa hidupnya sehingga dia merasakan kedamaian abadi.
Ibnu Qayyim telah menggambarkan tanda-tanda jiwa yang telah mencapai kedamaian iaitu, ``Hati yang mencapai kedamaian dan ketenteraman membawa pemiliknya daripada ragu kepada yakin, daripada kebodohan kepada ilmu, daripada lalai kepada ingat, khianat kepada amanah, riak kepada ikhlas, lemah kepada teguh dan sombong kepada mengenal diri.''
Dari Ibnu Abas dia berkata; Pada malam Lailatulqadar, Allah melihat orang-orang yang beriman dari umat Rasulullah kemudian mengampuni mereka dan mengasihaninya kecuali empat golongan iaitu; orang yang sering meminum arak, yang sering membangkang dan berselisih faham serta memutuskan hubungan silaturahim.
Malam Lailatulqadar yang ditemui atau yang menemui nabi pertama kali adalah ketika baginda menyendiri di Gua Hira', merenung tentang diri baginda dan masyarakat. Saat jiwanya telah mencapai kesuciannya, maka turunlah ar-Ruh (Jibrail) membawa ajaran dan memimpin baginda sehingga terjadilah perubahan total dalam perjalanan hidup baginda, bahkan hidup umat manusia.
Justeru, baginda pun mengajar umatnya melakukan iktikaf dalam usaha menyambut kehadiran Lailatulqadar. Nabi melakukannya pada sepuluh malam hari terakhir bulan Ramadan.
Baginda memerintahkan untuk mencari Lailatulqadar agar kaum Muslim tidak disibukkan sepanjang malam Ramadan dengan kesenangan yang melekakan.

Berusaha

Apabila masuk 20 Ramadan, Rasulullah menjauhi isteri-isterinya serta membangkitkan isteri dan anak-anak untuk sama-sama beribadat mencari Lailatulqadar. Aisyah dan Anas meriwayatkan bahawasanya nabi bersabda yang bermaksud; Apabila masuk hari terakhir 10 Ramadan baginda menguatkan ikatan pinggang, menjauhi isterinya, dan mandi di antara dua azan, dan mendirikan isyaknya di waktu sahur.
Ibnu Umar meriwayatkan dalam Sahih Muslim bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud; Carilah pada sepuluh malam terakhir. Bila salah seorang daripada kamu lemah atau tak berdaya, maka berusahalah mencari pada tujuh malam terakhir.
Nabi bersungguh-sungguh selama sebulan untuk mencari Lailatulqadar. Baginda beriktikaf pada sepuluh malam pertama untuk mencarinya. Lalu beriktikaf pada sepuluh malam pertengahan dan mengulanginya tidak hanya sekali. Kemudian baginda beriktikaf pada sepuluh malam terakhir dan memerintahkan umatnya untuk mencari pada malam-malam itu.
Baginda biarpun maksum atau terpelihara daripada melakukan perbuatan dosa malah telah dijamin syurga oleh Allah, namun masih lagi berusaha melipatgandakan ibadah khususnya di hari-hari terakhir Ramadan. Apatah lagi kita yang sering bergelumang dengan dosa-dosa tidak sanggup untuk menggandakan ibadah yang telah dijanjikan pahala yang begitu besar.
Aisyah pernah berkata kepada Rasulullah, ``Bila aku mendapati Lailatulqadar, apa yang semestinya aku katakan?'' Baginda berkata, katakan; Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, menyukai pengampunan, maka ampunilah aku.
Dia akan menghapuskan kesalahan hamba-hamba-Nya. Dia menyukai keampunan dan suka untuk mengampuni hamba-hamba-Nya, dan Dia suka jika hamba-hamba-Nya saling mengampuni antara mereka. Apabila sebahagian daripada mereka mengampuni sebahagian yang lain bermakna mereka telah berinteraksi dengan keampunan-Nya. Keampunan-Nya lebih disukai daripada seksaan-Nya.
Bilakah waktunya akan berlaku malam Lailatulqadar? Dalam Musnad dan kitab an-Nasai, Abu Dzar berkata, ``Aku bertanya Rasulullah tentang Lailatulqadar, ``Wahai Rasulullah, beritahukanlah kepadaku tentang Lailatulqadar, apakah dalam bulan Ramadan atau dalam selain Ramadan?''
Rasulullah menjawab, Pada bulan Ramadan. Aku bertanya, ``Lailatulqadar ada bersama nabi, jika nabi sudah meninggal, apakah malam Lailatulqadar juga akan diangkat, atau tetapkah ada sampai hari kiamat?'' Nabi menjawab, Lailatulqadar ada sehingga hari kiamat. Aku bertanya, ``Pada bahagian Ramadan yang manakah?''
Nabi menjawab, Carilah pada sepuluh yang pertama dan sepuluh yang terakhir. Aku bertanya, ``Dalam sepuluh yang manakah?'' Nabi menjawab, Pada sepuluh yang terakhir. Jangan lagi kau bertanya kepadaku tentang sesuatu setelah ini. Kemudian Rasulullah berbicara.
``Setelah itu, aku bertanya kembali dengan harapan Rasulullah lupa, ``Wahai Rasulullah, aku bersumpah dengan hakku tentang apa yang engkau khabarkan, dalam sepuluh yang manakah Lailatulqadar?''
``Nabi marah kepadaku dengan kemarahan yang tidak pernah muncul sejak aku menjadi sahabatnya,'' dan bersabda; Carilah pada tujuh yang terakhir. Jangan lagi kau bertanya kepadaku tentang sesuatu setelahnya.
Oleh yang demikian, kita dianjurkan melipatgandakan ibadah dengan iktikaf dan qiamullail di malam-malam terakhir tujuh Ramadan. Mudah-mudahan akan bertemu dengan Lailatulqadar di samping dikurniakan Allah dengan ganjaran pahala dan rahmat yang tidak ternilai.

Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid
- Penulis ialah Penolong Pengarah YADIM.

Seroja subur di permukaan air

SUKAR untuk membezakan di antara pokok bunga seroja, teratai, kiambang dan telepuk. Semuanya adalah dalam keluarga lotus yang subur di atas permukaan air.
Memang belum dapat dipastikan, jumlah spesies lotus yang tersebar di seluruh dunia. Tapi, sekurang-kurangnya kita mengenal dua jenis lotus yang lazim dijumpai, iaitu Nelumbo Nucifera dan Nelumbo Lutea.

Nelumbo Nucifera

JENIS ini di negeri kita dan Indonesia dikenali sebagai seroja. Aromanya harum pada hari pertama dan kedua. Bunganya besar dengan diameter 20 - 30 sm, dan kelopaknya 10 - 15 sm.

WARNA ungu, satu
lagi jenis bunga
yang menawan.

Variasi warna bunga lembut, ada yang putih dan ungu. Warna kelopak mahu pun mahkota bunga semakin cantik, kerana dikombinasikan dengan benang sari berwarna kuning.
Jika anda melancong ke luar negara, anda boleh menjumpai keturunan lotus jenis ini seperti lotus tulip, lotus mawar, lotus shiroman, mathilda dan waltzing.

Nelumbo Lutea

JENIS ini sangat jarang ditemui. Bentuknya sangat khas dengan mahkota bunga berwarna kuning menyala. Bagi orang Amerika, ubi lotus ini dimanfaatkan untuk dimakan. Ubinya dibakar dan dimakan seperti kentang.

BUNGA teratai dan
buahnya kelihatan
amat menarik.

Juga daun mudanya (masih menggulung) yang direbus dan dimasak, seperti merebus dan memasak daun bayam. Dewasa ini, juga telah berhasil dilakukan penyilangan lotus lutea dengan lotus lain, misalnya lotus Patricia Garrett, Debbie Gibson, Carolina Queen, dan sebagainya
Seroja dan teratai adalah tumbuhan jenis rizom yang terapung di atas air, manakala akarnya berjuntai di bawah permukaan air. Tumbuhan ini hanya tumbuh dalam air yang tenang seperti di kolam, telaga, paya dan tasik.
Ada dua pendapat mengenai asal-usul seroja. Pertama ia dikatakan berasal dari India sebelum dibawa masuk ke China dan Jepun.
Pendapat kedua pula mengatakan ia berasal dari Jepun. Di negara matahari terbit itu, teratai diberi nama Hasu, iaitu singkatan bagi perkataan Hanchisu yang bermakna sarang lebah. Ia dinamakan sebegitu kerana bentuk fizikal kelongsong seroja yang kelihatan seperti sarang lebah.
Selain ditanam sebagai tanaman perhiasan, seroja juga digunakan sebagai makanan dan ubat-ubatan tradisional Cina.
Hampir semua bahagian pokoknya boleh dimakan. Buahnya juga boleh dimakan muda mahupun apabila ranum atau dimasak.
Sebelum dimakan, buanglah biji di dalamnya. Rasanya enak seperti kacang dan berlemak. Rizom dan akarnya juga boleh dimakan.
Dari segi perubatan tradisional pula, kelongsong buah seroja dan teratai mengandungi alkoloid yang sangat berkesan untuk memberhentikan pendarahan kesan luka.
Di Jawa, kelopak seroja digunakan oleh masyarakat tempatan untuk menghasilkan minyak kosmetik. Sementara campuran bahagian tangkai dengan beberapa jenis herba lain dijadikan ubat untuk membantu merawat masalah pendarahan dalam rahim.
=petikan drpd::Lanskap Berita Harian::

Mengisi malam al-Qadar dengan ibadat

on Saturday, October 22, 2005

MENDIRIKAN malam al-Qadar bermakna mengisi malam itu dengan pelbagai ibadat dan menjauhkannya daripada semua perbuatan maksiat hingga ia benar-benar menjadi malam yang penuh kebaikan dan keberkatan.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, katanya: "Barang siapa yang mendirikan Lailatul Qadar dengan iman dan ketakwaan, maka Allah akan menghapuskan semua dosanya yang berlalu."
Malam itu juga disebut Lailatul Syaraf bermaksud malam kemuliaan atau Lailatul Tajalli yang bermakna malam Allah melimpahkan cahaya dan hidayah-Nya kepada orang berpuasa dan beribadat pada sebelah malamnya.
Ada beberapa amalan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan sahabat pada malam akhir Ramadan untuk mengisi Lailatul Qadar. Antaranya:

• Mandi, berpakaian indah dan berharum-haruman.

Diriwayatkan oleh Ibnu Abi `Asim bahawa Huzaifah pernah mengerjakan qiyam Ramadan bersama Rasulullah dan melihat bahawa Baginda mandi pada malam itu. Ibnu Jarir pula berkata bahawa sahabat menyukai mandi pada malam akhir Ramadan.
Demikian pula beberapa riwayat daripada sahabat seperti Anas bin Malik dan ulama pada masa Tabi'in menyatakan bahawa mereka akan mandi, memakai baju indah dan berharum-haruman apabila berada pada akhir Ramadan.
Apa yang dilakukan oleh Rasulullah, sahabat dan Tabi'in ini adalah untuk menyambut dan meraikan kedatangan Lailatul Qadar, sambil berdoa mendapatkan keampunan dan keberkatan malam itu.

• Melaksanakan solat sunat, iktikaf dan membaca al-Quran.


Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan satu hadis daripada Aisyah, bermaksud: "Adalah Rasulullah apabila telah masuk 10 akhir daripada Ramadan, maka Baginda akan menghidupkan malamnya, membangunkan keluarganya dan mengikat pinggangnya."
Sahabat dan ulama berbeza pendapat dalam memberi penafsiran terhadap hadis di atas. Tetapi, mereka bersepakat bahawa Rasulullah melebihkan ibadatnya pada 10 malam yang terakhir Ramadan.
Ibadat yang biasa dilakukan pada malam Ramadan adalah solat Tarawih dan Witir serta membaca al-Quran. Dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dari Amru bin ’Ash bermaksud: "Barang siapa yang solat pada malam Ramadan dan membaca 10 ayat daripada al-Quran maka dia tidaklah dicatat sebagai orang yang lalai."
Mengerjakan solat dan membaca al-Quran pada pada malam yang akhir ini sangat penting hingga dalam salah satu riwayat dikatakan bahawa Rasulullah melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib.
Baginda tidak akan melalui ayat rahmat terkecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab terkecuali bermohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu.
Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam akhir Ramadan hingga Imam Malik dan Imam Syafie berkata: "Siapa yang solat Isyak dan Subuh berjemaah pada malam al-Qadar, dia telah mengambil bahagiannya daripada malam itu." Ertinya orang yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh berjemaah saja dianggap telah mendapat sebahagian daripada Lailatul Qadar, apa lagi mereka mengisinya dengan amalan lain sepanjang malam itu.
Selain solat dan membaca al-Quran, 10 akhir Ramadan ini biasanya diisi oleh Rasulullah dengan beriktikaf di masjid dan tidak tidur bersama isterinya. Ini berdasarkan hadis Saidatina Aisyah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, bermaksud: "Bahawa Rasulullah beriktikaf pada 10 hari akhir sampai Baginda wafat."

• Memperbanyak doa.

Rasulullah bersabda doa adalah otak segala ibadat. Doa juga kunci daripada semua ibadat. Aisyah diperintahkan oleh Rasulullah untuk memperbanyak doa pada 10 malam terakhir Ramadan.
Dalam satu hadis daripada Aisyah diriwayatkan at-Tirmizi, Aisyah diajar oleh Rasulullah membaca doa pada malam al-Qadar.
Ulama bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam al-Qadar adalah doa yang meminta keampunan dan kemaafan daripada Allah. Perkara ini seperti doa yang diajarkan Rasulullah kepada Aisyah.
Doanya berbunyi: "Allahumma innaka afuwun tuhibbul afwa fa' fu anni (maksudnya, Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun, yang suka Maha Mengampun, maka ampunilah aku ini)."

FAKTA
Antara cara beradab kepada Nabi Muhammad SAW
• Hendaklah mentaati Rasulullah, di samping mengikuti jejak langkahnya dalam urusan dunia dan agama.
• Menjadikan Nabi Muhammad sebagai orang yang paling dicintai, dihormati dan diagungkan daripada seluruh makhluk Allah.
• Mengagung dan menghormati Nabi Muhammad apabila namanya disebut dan berselawat serta salam ke atasnya, mengakui kebenarannya dan menghargai sifat-nya.
• Membenarkan segala yang dibawa oleh Baginda sama ada soal agama dan dunia.
• Merendahkan suara di makam dan masjidnya bagi yang berpeluang menziarahinya.
• Mencintai salihin dan pengikutnya kerana mereka mencintai Nabi serta memusuhi golongan fasik kerana mereka membenci Baginda.

Empat dosa yang tidak diampunkan Allah

PADA Lailatul Qadar Allah menyuruh Jibril turun ke bumi. Lalu turun Jibril dengan perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau.
Lalu dipacakkan di atas Kaabah, baginya 600 sayapnya, setengahnya tiada dibuka kedua-dua sayapnya, melainkan pada malam al-Qadar baru dibukakan kedua-duanya. Sayap itu hingga sampai dari timur ke barat (masyrik ke Maghrib) untuk menyelamatkan umat Muhammad.
Lalu, mereka memberi salam kepada setiap orang yang berjaga pada Lailatul Qadar beribadat kerana mencari keredaan Allah. Begitu juga kepada orang yang duduk beribadat, sembahyang, berzikir dan berjabat tangan sesama mukmin serta mengucap amin doa orang mukmin hingga terbit fajar Subuh.
Bertanya malaikat kepada Jibril: "Apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin daripada umat Muhammad pada Ramadan ini."
Jawab Jibril: "Bahawasanya Allah menilik kepada umat Muhammad yang berpuasa dan beribadat kepada-Nya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya, iaitu:
1. Orang yang kekal minum arak
2. Derhaka kepada ibu bapanya
3. Memutuskan silaturahim
4. Tidak bercakap dengan saudaranya lebih daripada tiga hari.

Ramadan bulan al-Quran gandakan iman

on Sunday, October 02, 2005

SETIAP kali tiba Ramadan, umat Islam akan berpuasa. Ramadan bukan saja bulan ibadah, malah ia adalah bulan al-Quran dan bulan menggandakan amalan baik bagi meningkatkan keimanan.
Bagi orang Islam yang tidak mahu berpuasa dengan pelbagai alasan, sesungguhnya mereka mensia-siakan nikmat terbesar yang dianugerahkan oleh Allah.
Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam hadisnya bermaksud: "Sesiapa yang tidak berpuasa sehari pada Ramadan tanpa keuzuran yang diizinkan Allah, kemudian dia berpuasa sepanjang hayat untuk menggantikan puasa pada Ramadan, maka nilai dan ganjarannya tidak akan sama." – Riwayat Al-Tirmizi.
Sebagai seorang Muslim, kita bertanggungjawab melaksanakan puasa dan memelihara kesucian Ramadan. Kelebihan yang Allah berikan pada Ramadan tidak seharusnya disia-siakan. Segala bentuk perbuatan keji yang boleh mencemarkan kesucian Ramadan wajib dihindari.

Dua kategori orang tidak berpuasa:

ORANG Islam yang tidak berpuasa pada Ramadan dikategorikan kepada dua golongan.

Pertama, tidak berpuasa kerana keuzuran yang diperakui oleh syarak sehingga membolehkannya berbuka (tidak berpuasa). Golongan ini diberi kelonggaran selama mereka uzur. Seandainya keuzuran hilang, maka kelonggaran itu akan gugur.
Keizinan syarak terhadap golongan pertama ini bukanlah keizinan mutlak. Mereka masih terikat dengan larangan ke atas orang berpuasa.
Ulama fiqh al-Syafi'iyyah menyatakan: "Orang yang berbuka puasa kerana sesuatu keuzuran, maka orang itu dikira tidak berpuasa atas sebab dorurah (keperluan). Biarpun begitu dia sunat menahan diri daripada makan, minum dan semua perkara yang boleh membatalkan puasa sepanjang siang hari itu.

Kedua, golongan yang sengaja tidak mahu berpuasa. Mereka tahu puasa Ramadan itu di antara Rukun Islam, tetapi masih enggan melaksanakan tuntutan agama.
Pelbagai alasan diberikan, tetapi semuanya tidak diperakui syarak. Ini semata-mata untuk melepaskan diri daripada berpuasa. Menurut Islam golongan ini boleh dikenakan hukuman berat.
Rasulullah saw memberi peringatan kepada umat Islam dalam hadis bermaksud: "Islam itu didirikan atas lima (perkara): Mengaku bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad saw itu Rasulullah (utusan Allah), mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Baitullah (Kaabah) dan berpuasa pada Ramadan." – (Al-Nawawiy, Syarh Sahih Muslim, 1996 jld. 1 hlm. 146)
Sesiapa yang bertindak meninggalkan salah satu daripada kelima-lima perkara ini dengan ingkar, maka rosaklah akidahnya.

Saling ingat mengingati

HARUS diingat, orang Islam yang sengaja tidak berpuasa pada Ramadan adalah berdosa. Lebih berdosa bagi mereka yang mencemari kesucian Ramadan dengan makan dan minum di khalayak ramai pada siang hari.
Allah berfirman bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersebar di kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Allah Mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui." – (Surah al-Nur ayat 19)
Sebagai saudara seagama, kita wajib mengingatkan orang yang lalai terhadap kemungkaran yang sedang dilakukan dan menegur keterlanjuran mereka supaya sedar dan insaf.
Kita tidak perlu bimbang, mereka berkecil hati. Ini kerana membiarkan mereka meneruskan dosa adalah lebih berat hukumnya daripada menjaga hati mereka.
Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Tidak (sempurna) iman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya, sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." – (Al-Nawawiy, al-Wafiy Fi Syarh al-Arba'iyn al-Nawawiyyah, 1994 hlm. 86)
Peribadi murni seorang ketua keluarga akan menjadi contoh kepada isteri dan anak. Apabila suami atau bapa melaksanakan segala tanggungjawabnya, bererti dia berjaya membentuk sahsiah luhur. Dia akan disenangi, disayangi serta dihormati oleh isteri dan anak-anak.

Anak contohi ayah

SEANDAINYA seorang bapa taat mengerjakan puasa, insya-Allah isteri dan anak-anaknya juga akan terbentuk dengan ketaatan itu. Jika isteri atau anak tidak patuh pada perintah Allah, maka menjadi tanggungjawab seorang bapa memperbetulkan keadaan itu.
Adalah menyedihkan jika ada ketua keluarga yang membawa isteri dan anak-anak ke gerai makanan untuk menjamu selera pada siang hari pada Ramadan. Sikap buruk ini akan mengajar anak-anak yang masih suci, bukan saja tidak berpuasa, malah langsung tidak menghormati Ramadan.
Begitulah juga dengan penjaja, apabila mereka menjual makanan kepada pelanggan Muslim tidak berpuasa, secara tidak langsung dianggap bersubahat dalam menggalakkan perbuatan mungkar iaitu menghina dan mencemari kemuliaan Ramadan.
Dalam hal ini penjaja tentu berdosa kerana meredai perbuatan keji itu dengan menjual makanan kepada mereka, padahal kita berkuasa untuk melarangnya daripada membeli makanan itu.
Dengan tidak membantu berleluasanya perkara keji semata-mata untuk menghormati Ramadan, Allah akan memberkati usaha kita dan memberi ganjaran lebih besar.
Apakah yang sepatutnya penjaja lakukan apabila didatangi pelanggan Muslim pada siang hari Ramadan? Sebagai seorang Muslim, kita seharusnya bertindak mengikut hukum Allah dan bijaksana.
Islam menjelaskan bahawa semangat bantu-membantu hendaklah berpatutan. Allah berfirman bermaksud: "...Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) perkara kebajikan dan takwa. Jangan kamu tolong-menolong dalam (melakukan) perkara dosa dan permusuhan." – (Surah al-Ma'idah, ayat 2).

Khasiat Kurma

on Saturday, October 01, 2005

BERBUKA puasa dan bersahur dengan kurma adalah sebahagian sunnah Rasulullah SAW. Daripada Salman bin Amir Addabbi Assohaabi daripada Nabi bersabda bermaksud: “Jika seseorang kamu berbuka, hendaklah dia berbuka dengan kurma. Sekiranya kurma tiada, bolehlah ia berbuka dengan air kosong. Sesungguhnya air itu bersih lagi suci.” (Riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
Rutob ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering. Ia lembut dan manis. Manakala tamar ialah kurma yang sudah kering.
Orang yang berpuasa disunatkan berbuka dengan rutob atau kurma atau meminum air biasa jika ketiadaan kurma. Inilah tertib yang dilakukan oleh Rasulullah.
Hikmah disunatkan berbuka dengan tamar kerana ia baik untuk kesihatan.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya : "Aku melihat Rasulullah memakan buah-buahan dengan kurma masak.”
Rasulullah menyebut khasiat sejenis kurma yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud : "Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah bersabda : "Sesiapa yang memakan tujuh tamar Ajwah dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu."
Khasiat kurma "Ajwah" sebagaimana yang disebut dalam hadis di atas adalah kelebihan yang dikurniakan Allah sesuai dengan kemuliaannya sebagai jenis kurma pertama yang ditanam sendiri oleh Baginda.
Kajian saintifik membuktikan ia mengandungi glukosa yang mampu memberikan tenaga segera kepada badan. Ia juga kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A & C serta zat mineral seperti besi, kalsium, sodium dan potassium.
Kandungan protein dalam sebiji kurma adalah kira-kira 1.8 hingga 2 peratus, serat 2 hingga 4 peratus manakala kandungan gulanya adalah 50 hingga 57 peratus.
Selain itu, kurma diakui mengandungi kalori tinggi dan mudah dihadamkan ketika berbuka puasa. Satu lagi khasiatnya ialah mampu merendahkan risiko serangan angin ahmar.
Kandungan karbohidratnya yang tinggi membolehkannya memberi tenaga yang tinggi. Malah, kandungan tenaga yang dimiliki kurma menandingi antara keluarga besar buah-buahan.

Cerita semangkuk mi dan semangkuk bubur

on Friday, September 30, 2005

DALAM perjalanan ulang alik Kuala Lumpur – Jitra, saya selalu singgah rehat dan minum atau kadang-kadang makan, di gerai Plus di Tapah, Perak. Kali ini saya pesan semangkuk mi kari. Saya namakan mi miskin – hanya mi berkuah lemak kekuning-kuningan dengan beberapa biji bebola ikan. Harga yang dipamerkan RM2.30. Saya bayar RM3.00.
Apabila saya menerima wang yang dikembalikan, terasa aneh, kerana ada tiga wang syiling satu sen. Tapi kerana lapar, saya masukkan wang itu ke kantung dan terus makan.
Lepas makan mi, saya minta pula bubur kacang. Harga semangkuk RM1.20 – bubur rakyat marhaen. Yang memenuhkan mangkuk kuahnya, bukan kacang. Saya berikan wang RM1.50 sen. Kembalinya 24 sen.
Kali ini saya tanya: “Mengapa dikembalikan 24 sen, tidak 30 sen?”
Jawab anak muda penjaga gerai; “Sekarang ada tax lima persen.”
“Jadi mi Pak Cik tadi harganya bukan RM2.30?”
“Ya betul. Campur tax jadi RM2.42. Tapi bukan untuk kami. Kerajaan suruh ambil tax lima persen.” Jawabnya dengan nada agak serius.
Saya agak tergamam. Lalu anak muda penjaga gerai ini menunjukkan papan notis kecil yang menyatakan semua makanan dan minuman di gerai itu dikenakan cukai lima peratus. Arahan itu dibuat oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Melihat saya terus memandang mukanya, anak muda itu segera menekan mesin pembayar wang dan memberikan dua keping resit kepada saya. Maknanya, kalau tak percaya, inilah buktinya – resit mi kari dan resit bubur kacang.
“Maaflah, Pak Cik tak tahu. Tapi tadi awak tak bagi resit. Pak Cik tanya, baru awak bagi resit. Kalau awak tak bagi resit, bagaimana kerajaan tahu Pak Cik dah bayar tax lima persen?”
Anak muda itu diam. Saya tahu, dia tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan. Lagi pun itu bukan kerja dia. Hati kecil saya berkata: Bagi resit pun belum pasti kerajaan tahu, dan belum tentu semua kutipan akan sampai pada kerajaan.
Sambil menghirup bubur, saya pandang ke gerai yang saya selalu minum kopi o atau teh tarik. Harga kopi O ditulis RM0.70. Jadi saya kena bayar cukai tiga sen atau empat sen untuk segelas kopi O. Dalam hati saya merungut, “Apa dah jadi dengan negeri ini? Miskin sangatkah kita? Tapi ada cerita acara main golf, karaoke dan hisap curut dan dakwaan belanja RM5 juta untuk persaraan ketua jabatan?”
Wang 12 sen, enam sen atau tiga sen, memang tak ada erti. Bukanlah berat untuk membayar cukai 12 sen atau enam sen. Tak ada apa pun yang oleh dibeli dengan wang sebanyak itu. Kalau tiga atau empat orang sekeluarga makan RM20.00, cukainya sudah RM1.00. Pun tak banyak, tapi wang RM1.00 itu tak datang tanpa usaha.
Maka bermacam perasaan timbul dalam dada saya. Kesal ada, marah pun ada. Ini tempat rehat dan makan minum rakyat jelata yang dalam perjalanan. Saya bimbang, ini adalah permulaan. Selepas ini semua tempat rehat Plus pasti akan dikenakan cukai jualan. Dan mungkin pula semua gerai makan dan kedai makan rakyat di seluruh negara, akan dikehendaki memungut cukai yang sama. Hati saya semakin marah. Rasa bubur kacang semakin tidak enak dan tak terdaya saya habiskan.

Pohon dihentikan cukai lima peratus di gerai makan rakyat jelata
SELAMA bertahun-tahun saya singgah di semua gerai Plus antara Kuala Lumpur dan Alor Star, tak pernah sekali pun saya bertemu dengan tokoh politik, tokoh korporat atau pegawai tinggi kerajaan. Tauke-tauke pun tak ada. Hampir tak pernah ada motokar mahal-mahal – Mercedes, BMW, Toyota Harrier dan Proton Perdana – di tempat letak kereta. Kira-kira 95 peratus yang berhenti makan minum orang Melayu. Waktu cuti sering juga saya temui rombongan ibu-ibu dari kampung. Ada kala ramai juga kumpulan askar.
Pendek kata, tempat rehat dan gerai makan di pinggir lebuh raya, adalah tempat golongan berpendapatan rendah dan sederhana – tempat rakyat jelata. Makan dan minum di gerai, bukan di restoran! Makanannya sekadar untuk mengisi perut. Apakah ini pun perlu kerajaan kenakan cukai? Miskin sangatkah negara kita ini?
Saya yakin, pakar-pakar yang membuat keputusan mengenai kutipan cukai ini, tak pernah singgah makan minum di gerai ini. Mereka ini mungkin pandai dan bijaksana dan hendak menambah pendapatan kerajaan, tetapi nampaknya berhati beku – tiada bertimbang rasa!
Rakyat yang menggunakan lebuh raya telah membayar cukai jalan, cukai petrol dan tol yang terus meningkat. Mereka juga bayar cukai tanah, cukai pintu, cukai stem. Mereka juga pasti ada yang membayar cukai pendapatan dari gaji atau keuntungan perniagaan. Ada juga yang membayar cukai import dan cukai eksport. Pak Cik dan Mak Cik yang milik tanah sekangkang kera di kampung – meskipun tak ada apa-apa hasil – kena bayar cukai juga setiap tahun. Pemilik gerai di tempat rehat Plus itu pun tentu juga membayar cukai perniagaan.
Maka cukai makan minum yang bermula di gerai Tapah itu – sebelum melarat – eloklah kiranya diberhentikan. Restoran di Taman Setiawangsa dan gerai di Taman Tun Dr Ismail di Kuala Lumpur umpamanya, pun tak dikenakan cukai ini.

Berapa banyak cukai tak dikutip dan yang kerajaan kena tipu?
TERLANJUR bercakap soal cukai oleh Jabatan Kastam ini, saya teringat kepada penipuan cukai yang dilakukan oleh pengimport kereta yang mengisytiharkan harga yang sangat rendah. Ini berlaku bertahun-tahun dan kerajaan pasti telah hilang pendapatan berpuluh-puluh juta.
Pengimport kereta yang pakai AP itu, ada yang pergi bermain golf dengan helikopter peribadi. Malangnya, cerita ini tiada siapa yang mengetahui. Jabatan Kastam dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang mengeluarkan begitu banyak AP – pun tak pernah berbunyi, sehinggalah Tun Dr Mahathir Mohamad membongkarnya.
Berapa banyakkah lagi cukai yang tak dijelaskan dan kerajaan kena tipu kerana pegawai bertugas tak ambil kisah, kerana penyelewengan atau rasuah? Inilah yang perlu diambil tindakan serius oleh agensi kerajaan yang berkaitan dengan pungutan cukai. Bukan cukai lima peratus untuk semangkuk bubur dan secawan kopi di gerai rakyat jelata di pinggir jalan!?
Buat pesta keramaian RM33 juta. Rasa-rasa macam tak percaya. Patutlah Menteri Penerangan, Datuk Kadir Sheikh Fadzir buat keramaian paling besar dalam sejarah sambutan Hari Kemerdekaan. Kita ada duit banyak!
Saya pun teringat kepada Govt Tax yang sudah lama dipungut di hotel dan restoran. Ada beribu-ribu hotel dan restoran di seluruh negara. Apakah semua pungutan ini betul-betul sampai ke kantung kerajaan? Saya ragu-ragu! Kerajaan pun – sepanjang ingatan saya – tak pernah mengisytiharkan kepada rakyat, berapa jumlah cukai ini dipungut setahun? Ingin jugalah rasanya kita nak tahu.
Teringat pula pada Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia Berhad, dua syarikat besar milik kerajaan. Menurut khabar berita, ada berjuta-juta tunggakan bil elektrik dan telefon yang tak dijelaskan. Antara yang terbabit adalah syarikat dan kilang. Bagaimana ini boleh terjadi?
Kalau ada pegawai TNB yang dikenakan tindakan kilat, selepas mengadakan sidang media di rumahnya, mengapa pegawai-pegawai yang tak pugut hutang masih boleh terus menikmati gaji dan elaun yang lumayan? Kalau ada rumah rakyat yang tak bayar bil api atau telefon, cepat sekali kena potong bekalan. Tetapi syarikat dan kilang masih boleh terus berjalan!

Di Kota Baru, Pas buat pesta dua malam berturut-turut
DALAM sidang belanjawan di Dewan Rakyat, kita teringin nak dengar perbahasan sahabat lama saya YB Mohamed Aziz dan YB Bung Mukhtar mengenai cukai dan cara kerajaan membelanjakan wang.
Menurut berita, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz memaklumkan kepada Dewan Rakyat, kerajaan membelanjakan RM32.99 juta untuk sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini. Katanya, wang itu diagih-agihkan kepada 16 Jawatankuasa Kecil yang terletak di bawah Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Bulan Kemerdekaan. Tahun 2004, RM 30.47 juta, tahun 2003, RM24.87 juta. Ada buat auditkah? Hasilnya apa?
Belanja buat keramaian RM32.99 juta! Rasa-rasa macam tak percaya! Patutlah tahun ini Menteri Penerangan, Datuk Paduka Kadir, buat pesta keramaian paling besar dalam sejarah sambutan Hari Kemerdekaan. Janganlah marah-marah Akademi Fantasia. Kita ada duit banyak! Tetapi masih banyak sekolah di luar bandar yang tak cukup guru dan peralatan.
Di hospital, mesin dialisis tak cukup dan alat x-ray sudah ketinggalan zaman. Di Kota Bharu, Tuan Guru Datuk Nik Aziz pun mengadakan pesta nyanyian dua malam berturut-turut. Sekolah agama rakyat masih tak sempurna.
Demikianlah adanya. Bermacam kisah mengenai pungutan hasil dan belanja kerajaan, timbul satu demi satu dalam kepala saya, akibat dari semangkuk mi kari dan semangkuk bubur kacang di gerai Plus di Tapah. Ini secebis dari cerita penglipur lara rakyat jelata zaman IT dan globalisasi.

Nota Kaki: Tulisan ini dibuat sebelum Pembentangan Bajet 2006.
• Lot 3850 Kampung Sungai Pencala, Kuala Lumpur - 30 Sept. 05.
Telah keluar dalam Cetusan Minda – Berita Minggu 2 Okt. 2005

Tetamu Istimewa

BAGAIKAN menunggu tetamu istimewa, Ramadan dinanti-nantikan oleh seluruh umat mukmin. Dalam sejarah Islam sendiri, Rasulullah SAW dalam sebuah riwayat dinyatakan bahawa enam bulan sebelum tibanya Ramadan, Baginda mempersiapkan diri untuk menyambutnya.

Imam al-Ghazali yang membahagikan tahap puasa orang mukmin kepada tiga:

l Terbaik (khusus al-khusus)
Seseorang Islam yang berjaya mengawal puasanya daripada melakukan segala perkara yang membatalkan puasanya. Ia bukan setakat makan dan minum, malah mencakupi keseluruhan perbuatan atau tindakan lain yang boleh membatal atau mengurangkan pahala puasanya.

2 Khusus.
Seseorang yang berjaya dan berusaha menahan diri daripada melakukan perbuatan yang boleh membatalkan puasanya, tetapi tidak dapat mencegah diri daripada maksiat batin.

3 Umum.
Seseorang yang berpuasa dan berusaha untuk menahan diri daripada melakukan apa juga perbuatan yang boleh membatalkan puasanya, tetapi masih lagi tidak dapat menghindarkan diri daripada melakukan maksiat zahir dan batin.

Antara punca ramai yang masih berada pada tahap kedua dan ketiga seperti dinyatakan Imam al-Ghazali kerana nilai dan mutu kehidupan seseorang itu sendiri yang masih berada pada takuk lama walaupun berada pada bulan yang penuh keberkatan dalam Islam.
Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan perhitungan, Allah akan mengampuni dosanya yang lalu." (Riwayat Muslim).
Dalam sebuah hadis lain, Rasulullah bersabda bermaksud: "Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama." (Riwayat Bukhari).
Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah itu dapat dilaksanakan kita hendaklah antara lain:

l Menjaga ibadat puasa daripada terbatal dan kurang pahalanya kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.

2 Membanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca.

3 Mengurangkan tidur pada siang hari Ramadan.

4 Beriktikaf dalam masjid, terutama pada 10 malam terakhir bulan Ramadan

5 Memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia daripada sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama umat Islam.

6 Jangan terlalu boros.

Rasulullah menjelaskan kemuliaan Ramadan dalam khutbah Baginda: “Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Bulan di mana Allah telah jadikan puasa adalah kefarduan dan qiyam pada malamnya adalah satu tambahan. Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu pada bulan yang lain.
“Ramadan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan dari api neraka."

Ibadat PUASA penawar

on Tuesday, September 20, 2005

DALAM sistem perubatan Islam dan Yunani, sebelum wujudnya sistem perubatan allopathy dalam bentuk yang ada kini, puasa adalah antara cara yang digunakan untuk menolong memulihkan pesakit tertentu.
Bagaimanapun, puasa itu adalah khusus bagi puasa rawatan dan mungkin tidak mengikut syarat yang dikenakan bagi puasa yang diwajibkan oleh syarak.
Dalam sistem perubatan Islam, pesakit dibahagikan kepada tiga jenis iaitu pesakit yang perlu berpuasa baginya, harus berpuasa baginya dan tidak harus berpuasa baginya.
Rasulullah SAW bermaksud: “Puasa itu menghindarkan daripada penyakit.” Berkata Harith Ibn Kaladah : “Menghindar diri daripada makanan adalah, ubat.”
Ibn Qayyem al-Jawze (meninggal 751 Hijrah) pula berkata: “Puasa itu adalah ubat yang terbaik bagi memulihkan orang sakit disebabkan berlebihan makanan.’ Binatang mengikut tabiinya jika sakit atau dalam kecederaan, berpuasa seperti anjing dan kucing berbuat demikian apabila sakit, cedera atau dalam kecemasan dan ketegangan.
Hippokrates, seorang doktor purba Yunani turut menggunakan cara puasa dalam sistem perubatannya.
Antara hikmah puasa wajib dan sunat untuk mencegah penyakit rohani dan jasmani. Antara penyakit yang mungkin dipulihkan oleh puasa rawatan adalah darah tinggi, rheumatism dan kencing manis (pada peringkat awal).
Kajian saintifik membuktikan bahawa puasa mampu meningkatkan keupayaan tubuh badan bagi tujuan penyahtoksidan dan pembersihan.
Mengikut kajian sains, seseorang yang berpuasa memberi ruang masa yang mencukupi kepada organ pencernaan seperti perut, usus, pankreas dan hati untuk melakukan kerja pembersihan. Di samping itu, ia memperbaiki lagi keadaan diri mereka yang telah rosak yang selama ini tidak dapat dipenuhi akibat pertambahan beban makanan.
Ketika berpuasa juga, kegiatan pembersihan badan menjadi lebih menyeluruh dan segala toksin dapat dikeluarkan daripada kolon, buahpinggang dan pundi kencing serta paru-paru dan kulit.
Keadaan ini, akhirnya melapangkan kesan sumbatan yang berlaku pada dinding dan saluran sistem pemakanan dan pernafasan. Tindakan itu memberi cukup bekalan oksigen kepada sel dalam badan dan menjadikannya lebih bertenaga.
Pembersihan sisa toksin dalam kolon, umpamanya, penting bagi kesihatan sistem penghadaman dan pencegahan barah usus. Rasulullah saw sendiri mengamalkan kegiatan pembersihan kolon ini di mana berpuasa amat berkesan bagi tujuan ini.
Jika ditinjau dari sudut pemakanan, tabiat pemakanan seseorang memainkan peranan besar dalam menentukan kesihatan dan tahap morbiditi mereka. Perkara ini kerana secara jelasnya, apa juga makanan yang mereka ambil akan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan tubuh serta kewujudan penyakit tertentu.
Kaedah pengawalan pengambilan makanan tertentu dapat pula meningkatkan kesejahteraan mereka, di samping mengurangkan risiko penyakit itu.
Tidak dinafikan bahawa berpuasa mampu mengurangkan paras gula dan kolesterol dalam darah serta kandungan lemak dalam badan. Hal ini secara tidak langsung berkesan dalam mengurangkan risiko kencing manis (khususnya Type II Diabetes), hipertensi dan angin ahmar.
Seseorang yang berpuasa akan mendapati pembakaran kandungan lemak dalam badan dapat dijalankan secara lebih sempurna lagi. Proses ini berlaku di mana lemak itu digunakan untuk menghasilkan tenaga mereka yang berpuasa. Lemak ini adalah satu-satunya sumber tenaga yang ada pada ketika itu dan pasti proses ini amat baik bagi mengurangkan kesan tidak elok akibat peningkatan kolesterol, berat badan berlebihan dan obesiti.
Dalam surah al-Ma'idah, ayat 88, Allah mengkehendaki setiap orang yang beriman itu hanya memakan makanan yang halal dan baik saja. Firman-Nya bermaksud : "...dan makanlah makanan yang halal lagi baik daripada apa yang Allah telah berikan kepada kamu dan bertakwalah kepada Allah, yang kamu beriman kepada-Nya."
Memakan makanan yang halal, lagi baik adalah satu keperluan bagi orang beriman. Makanan sebegitu akan meningkatkan kesejahteraan danmenghindarkan kemudaratan seperti penyakit dan keracunan.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bukan saja memastikan makanan yang diambil itu halal dan baik serta segar atau bersih, malah mampu mengoptimumkan tahap kesihatan.
Hakikat yang berlaku di kalangan ummah kini, mereka yang berupaya mendapatkan makanan halal, sempurna, segar dan baik, tetapi masih ditimpa mudarat dan penyakit daripada makanan itu.
Perkara ini bermakna mereka perlu mengambil kira beberapa aspek lain berkaitan pemakanan seperti tidak makan secara berlebihan dan apabila perlu saja. Begitu juga hanya memilih sumber dan khasiat makanan yang sesuai dengan keperluan tubuh badan demi kesihatan dan kekuatan.
Semua aspek itu sebenarnya terkandung sebagai hikmah yang terselindung dalam ibadat puasa yang perlu dihayati secara mendalam oleh umat Islam.
Apa yang lebih penting mendapatkan kesan detoksifikasi daripada amalan berpuasa ini secara berterusan dan berpanjangan.
Begitu juga, kita perlu menyedari bahawa bahan toksik boleh berpunca bukan saja dalam bentuk makanan, malah apa juga yang boleh mencemari kesucian Ramadan seperti perkataan yang tidak baik yang menjadi punca kepada fitnah dan pendustaan serta penyelewengan.

Besarnya nilai yang tersimpan dalam BERPUASA - KerepeK

Kuku Panjang

on Sunday, September 18, 2005

Dikatakan bahawa menyimpan sebatang jari kuku yang panjang, dosanya sama seperti memelihara sekandang babi, jika kesemua jejari kita menyimpan kuku yang panjang.... bayangkanlah dosa yang telah kita tanggung untuk kesemua babi-babi tersebut....potonglah kuku anda.

The Truth. Jangan simpan kuku panjang walaupun hanya 1 mm atau pun hanya jari kelingking. Bagi orang Islam adalah tidak sesuai berkuku panjang atas apa alasan sekalipun kerana ia tidak membayangkan kesucian dan ia juga bukan budaya kita apatah lagi menggunakan tangan untuk beristinjak. Orang Melayu yang berkuku panjang biasanya mempunyai anak yang bodoh atau pun degil dan suka melepak sebab diberi makan bahan kotor yang berada di kuku jari emaknya semasa menyediakan makanan seperti memerah santan kelapa, buat cokodok pisang, uli tepong, dll. Apa ilmu pun yang di ajar pun tak akan boleh diterima masuk ke dalam kepala.

Percayalah. Pasal tabiat berkuku panjang inilah yang membuatkan orang Melayu mundur dan tidak berjaya. Syarikat Melayu yang bangkrap dan rugi teruk adalah kerana mempunyai pekerja dan pemilik yang berkuku panjang. Untuk yang bujang beringatlah. Kalau hendak cari pasangan dan hendak anak yang pandai dan mendengar kata pilihlah wanita atau lelaki yang sentiasa berkuku pendek. Insya-Allah.

And additional info, kuku panjang mempunyai sejenis kuman seperti yang terdapat dalam najis manusia, iaitu E-Coli. Kuman tersebut tidak akan hilang walaupun kita mencuci tangan dengan sabun. Oleh itu, sentiasalah berkuku pendek untuk kesihatan dan kebersihan diri sendiri.

Wallahu'alam bissawab.
= petikan dari email yg diterima KerepeK

Tambang Murah!!

on Saturday, September 17, 2005

Memang benar, pengalaman naik Air Asia, indah khabar dari rupa.

KerepeK bukan nak cerita pasal tambang! Tapi pengalaman "Everybody Can Fly!". KerepeK tak ada pilihan, sekali sekala mahu berjimat jugak, ingatkan nak travel ke Johor cara paling murah naik Air Asia. Maka tempahan tiket dibuat melalui telefon dan charge pada Kad Kredit. Tambangnya? RM559.98 pergi balik. Tak dapat pun yang RM59.90 sebagaimana diiklankan!! Mungkin sebab tempahan bukan melalui internet. Tapi tak apa ambil jugalah, lebih kurang tambang MAS je!. Oleh kerana baru pertama kali naik Air Asia, sampai je kat Airport, teruslah beratur macam biasa kat ticket counter untuk ambil tiket sebab terlalu ramai orang! Maklumlah tambang RM9.99... mesti ramai orang punya!. Hampir setengah jam beratur, bila sampai turn KerepeK, katanya KerepeK tak perlu ambil tiket sebab dah confirm dan bayaran pun dah dibuat! Katanya terus saja check-in. Haru betul, lepas setengah jam baru dibagi tau? Kot ya pun, tampallah notis.. mangkuk betul lerr (sapa mangkuk?)
Lepas tu beratur lagi sekali kat kaunter check in pulak!. Kali ni tunggu sampai empat puluh minit, tak sampai-sampai lagi giliran KerepeK. Sebabnya? Orang berebut-rebut, potong que! Yang peliknya, ground staff (dengan T-Shirt merah dan seluar jeans yang macam bukan bekerja tapi nak bercuti tu.... ) pergi layan semua orang yang potong que! Lepas tu layan lama pulak tu! Maklumlah.... mesra pelanggan. Habih tu dah nak boarding lebih kurang 15 minit, baru bukak satu lagi kaunter. Orang pun berebut-rebut macam anak ayam nak masuk kandang! Sampai dekat boarding gate, lain pulak ceritanya! Udahlah gate terperosok nun jauh! Sampai je kat situ, kena tunggu sekali lagi. Kali ni memang memalukan kerana semua orang berebut2 macam ayam masuk kandang. Maklumlah free seating, semua nak duduk depan dan dekat tingkap agaknya! Patut nya senior citizen dan anak-anak kecil masuk dulu, tapi yang sihat kuat dan muda pun berebut sekali tumpang masuk!! Kita yang nak jaga personaliti terpaksalah mengalah, makanya naik last sekali, duduklah kat pintu jamban!!
Peristiwa-peristiwa ini sungguh memalukan. Orang naik kapalterbang rasa ada class, exclusive le sikit, tapi naik Air Asia ni macam nak naik bas kat kampung! Bila tengok orang naik MAS, terpaksa sorok-sorok muka, malu! Takut-takut ternampak pulak kawan-kawan. Kalau kawan nampak, gerenti kena kutuk setahun punya! Tapi bila dah naik kapal terbang, lain pulak ceritanya. Di airport, stafnya pakai t-shirt, macam nak pergi jalan-jalan, Tapi air-stewardess?? Punya le pakai seksi, skirt cuma tutup punggung je? Masya Allah, dua keadaan yang sangat berbeza. Di darat macam style kampung, dalam kapalterbang? rasa macam naik British Airways atau Qantas. Inilah pengalaman! Bukan apa cuma nak kongsi pengalaman je!! Biarlah kita bayar lebih sikit, TAPI ada kelas! Bila orang tanya, datang naik apa? Kapal terbang, orang respect!! Sekarang ni, ada soalan tambahan! Kapalterbang apa? Tu yang lecehhhh tu, jadi mesti jawab jangan sampai kena kutuk.

Katrina dan Louis Armstrong

on Friday, September 16, 2005

Katrina kembalikan ingatan kepada Louis Armstrong
AGAK ironik bahawa seni kata lagu What a Wonderful World yang dipopularkan oleh penyanyi utama lagu-lagu jaz, Louis Armstrong, kembali dalam kenangan berikutan taufan Katrina yang melanda bandar raya New Orleans di Louisiana.
Beliau lahir di situ pada bulan Ogos 1901 dan lapangan terbang kota itu diberi nama Louis Armstrong New Orleans International Airport kira-kira 20 tahun selepas kematiannya pada tahun 1971. Seni kata lagu itu seperti berikut:
I see trees of green, red roses too
I see them bloom for me and you
and I think to myself what a wonderful world.
I see skies of blue and clouds of white
the bright blessed day, the dark sacred night
and I think to myself what a wonderful world.
The colors of the rainbow so pretty in the sky
are also on the faces of people going by
I see friends shaking hands saying how do you do
they're really saying I love you.
I hear babies crying, I watch them grow
they'll learn much more than I'll never know
and I think to myself what a wonderful world
yes I think to myself what a wonderful world.
Oh yeah, isn't it a wonderful world?
Lagu itu bernada optimis dan menandakan kasih sayangnya kepada Amerika dan beliau kemudian dianggap salah seorang warga Amerika paling popular.
Mendengar dia bermain trompet begitu meriangkan sekali, berserta senyum lebar giginya.
Beliau lahir di kawasan paling miskin di New Orleans dan dipelihara oleh nenek dan opahnya setelah ibu bapanya berpisah. Ketika berumur belasan tahun dia bekerja menjual surat khabar, memunggah barang daripada kapal dan menjual arang batu dari kereta sorong.
Dia membeli trompetnya yang pertama dari pajak gadai dan kemudian bermain di kelab-kelab malam serta kapal-kapal feri yang berulang-alik di Sungai Mississippi.
Lalu disebut betapa beliau pemuzik pertama yang menggubah lagu-lagu yang diberi kepadanya dan beliau membawa unsur-unsur kebebasan dalam muzik. Seperti disebut oleh seorang ketua pancaragam: ``Ingatannya begitu bagus sekali. Jika kita mendengar atau bersiul sesebuah lagu baru kepadanya dia begitu cepat sekali mengingatinya kembali.''
Semasa namanya menjulang dan masyhur, ``Satchmo'', nama popular yang diberikan kepadanya, bermain di beberapa negara Eropah dan berkunjung ke Afrika, Asia dan Amerika Selatan.
Ketika itu orang-orang kulit hitam dipanggil Negro atau Nigger apabila dicemuh.
Beliau beberapa kali masuk ke rumah sakit beberapa tahun di akhir hayatnya kerana sakit jantung dan buah pinggang dan meninggal dunia pada 6 Julai 1971.
Beliau dikebumikan di New York dan pesanan akhirnya supaya trompetnya ditanam di sisinya, dipatuhi.
Sering disebut ialah kawasan yang dipanggil French quarter di New Orleans kerana begitu popular dengan para pelancong dan pelawat yang mencari keseronokan. Lantas diingati kembali betapa Amerika membeli tanah kawasan itu daripada Perancis pada tahun 1803 dengan harga lima belas juta dolar.
Sebuah komentar oleh seorang wartawan Amerika, Garrison Keillor menjelaskan sebabnya muzik jaz begitu popular: ``Orang-orang Amerika akan menjadi manusia lain tanpa jaz.
``Jaz begitu rancak apabila dimainkan dan dalam tahun 1920-an dulu apabila orang mendengar saja lagu jaz bagi kali pertama, mereka tidak dapat mengawal diri, lantas menari dan meronta-ronta dengan begitu seronok sekali dan segala-galanya berubah kemudiannya.''
Namun, Keillor mengkritik beberapa hal lain dan menyebut betapa New Orleans menjadi tempat kaki minum arak dan di beberapa kawasan kota itu para pelawat dinasihati jangan menjejak kaki di situ.
Diulangi ialah kritik mengenai kegagalan agensi-agensi kerajaan memberi bantuan kepada penduduk kota semasa dilanda oleh taufan Katrina. Keillor menyebut tentang ``seorang kawan kepada seorang kawan'' yang diberi kuasa untuk memberi bantuan. Malangnya dia hanya ``duduk menanti apa yang berlaku dan manakala berlaku hal, dia terpegun tidak berbuat apa-apa.''
Yang dimaksudkan ialah kawan kepada seorang kawan akrab Presiden Bush. Dia kemudiannya dipindahkan balik ke ibu pejabat dan diberi tugas lain.
Namun, andainya Satchmo berada semasa berlaku kejadian, dia akan menyanyikan lagu What a Wonderful World dan membantu memulihkan kehidupan penduduk New Orleans serta memulihkan kembali kota yang begitu sibuk dan sentiasa diselisih itu.

Tiada akta khusus kawal selia blog

on Thursday, September 15, 2005

Kebebasan tanpa batasan internet boleh jejas keharmonian kaum

DUNIA semakin canggih. Teknologi berubah terlalu pantas. Setiap hari ada saja ciptaan baru dihasilkan. Akibatnya manusia menjadi mangsa apabila mereka kini terpaksa mengejar teknologi, bukannya teknologi mengejar mereka.
Malaysia adalah antara negara membangun yang amat pantas ‘diserang’ dengan pelbagai teknologi dan dunia siber yang satu ketika dulu menjadi kebanggaan untuk dikuasai, tetapi ketiadaan undang-undang siber yang khusus membuatkan negara kini mula menghadapi dilema.
Sejak dulu, kerajaan mengambil langkah untuk tidak membuat sebarang tapisan ke atas dunia siber. Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 juga mengisytiharkan tiada suatu peruntukan di bawah akta itu yang membenarkan sebarang penapisan maklumat dilakukan.
Prinsip ini berasaskan pendapat bahawa pengawalan maklumat hanya akan memberikan kesan negatif ke atas perkembangan teknologi yang sentiasa berubah.
Bagaimanapun, selepas beberapa tempoh, masalah mulai timbul kerana ketiadaan kawal selia bagi pelbagai bentuk penyebaran maklumat, terutama kumpulan bloggers yang langsung tidak tertakluk kepada mana-mana peruntukan undang-undang.
Di Malaysia ketika ini, hanya media cetak dan elektronik memerlukan permit yang sah. Peruntukan undang-undang seperti Akta Percetakan, Akhbar dan Penerbitan 1984, Akta Penyiaran 1988, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, membataskan maklumat yang boleh dicetak dan disebarkan kepada orang ramai.
Justeru, kemunculan internet sebagai alat komunikasi terkini memberi pentas amat besar bagi penyebaran maklumat tanpa batasan. Akibatnya, di Malaysia saja beribu-ribu blog dan laman web diwujudkan. Ramai di antara mereka menjadi bloggers yang menyebarkan pelbagai maklumat tanpa sebarang tapisan.
Kebebasan tanpa batasan ini akhirnya tidak dapat tidak menimbulkan rasa ngeri, gelisah dan kemarahan banyak pihak, termasuk kerajaan kerana bloggers mempunyai pentas amat luas untuk meluahkan pendapat, perasaan tidak puas hati dan kritikan.
Blog iaitu ringkasan bagi web log adalah diari atau jurnal maya, digunakan pengguna bagi menyiarkan pendapatnya dan komen mengenai sesuatu isu secara langsung di internet. Bloggers pula adalah mereka yang mengendalikan blog itu.
Sesetengah forum perbincangan dalam blog ini dikawal selia oleh hos. Bagi yang tidak dikawal selia, apa juga kenyataan boleh menerobos masuk tanpa ditapis.
Isu mengenai bloggers ini menjadi perhatian umum apabila dua bloggers tempatan membuat laporan polis selepas laman web mereka menerima mesej berbau perkauman sejak seminggu lalu. Ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia, mereka yang mengendalikan blog membuat laporan polis.
Namun, tindakan kedua-dua bloggers itu membuka satu dimensi baru kepada dunia siber. Pihak berkuasa perlu membuat keputusan sama ada perlu atau tidak satu peruntukan disediakan bagi mengawasi blog atau laman web individu ini. Kegagalan mengadakan sebarang peruntukan undang-undang boleh menjejaskan lebih banyak pihak selepas ini.
Mungkin ada ada baiknya kita mengikut jejak Kerajaan Singapura yang memang terkenal sebagai negara yang mempunyai undang-undang begitu ketat dan digeruni semua pihak, termasuk pelancong asing.
Tiada akta khusus kawal selia blog
Namun, ketegasan kerajaan negara jiran itu membuatkan banyak pihak lebih berhati-hati dalam meluahkan pendapat atau idea. Terbaru, Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong, tanpa teragak-agak memberi amaran kepada seluruh rakyatnya supaya jangan bertindak melampau sehingga mengancam keharmonian kaum dan penduduk pelbagai agama republik itu.
Jumaat lalu, seorang remaja Singapura yang mempunyai blog sendiri didakwa mengikut Akta Hasutan kerana dituduh menghantar mesej berbau perkauman di internet. Remaja berkenaan yang juga seorang pelajar sekolah swasta, menghadapi tujuh tuduhan mengeluarkan kenyataan berbau perkauman anti-Melayu dalam dua blognya antara 4 April hingga 16 Julai lalu.
Awal minggu lalu, dua penulis blog dituduh atas tuduhan sama mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman di blog masing-masing.
Pengarah Pusat Keselamatan dan Tindakbalas Kecemasan ICT Kebangsaan (Nicer), Lt Kol (B) Husin Jazri, bagaimanapun menegaskan Malaysia sebenarnya mempunyai peruntukan undang-undang yang cukup dalam mengawasi perkembangan laman web tempatan, kecuali jika hosnya berpangkalan di luar negara.
Katanya, jika berlaku pencerobohan ke mana-mana laman web tempatan, pengadu boleh merujuk Akta Jenayah Komputer 1997, manakala Akta Hasutan pula turut membabitkan isi kandungan sesuatu laman itu.
“Tidak ada halangan untuk mana-mana pengadu merujuk sebarang kesalahan atau jenayah komputer ini dengan menggunakan Akta Hasutan atau Akta Jenayah Komputer. Isunya sekarang tidak ramai yang mengetahui mengenai perkara ini dan tidak banyak laporan polis dibuat membabitkan kesalahan ICT, kecuali penipuan membabitkan sistem kewangan atau perbankan,” katanya.
Husin berkata, pihak berkuasa negara ini hanya akan menghadapi masalah jika blog atau laman web itu, walaupun dikendali oleh rakyat tempatan, tetapi mempunyai hos di luar negara.
“Internet sekarang sudah melampaui sempadan dunia. Ada antara laman web tempatan yang mempunyai hos di luar negara dan sebarang isu membabitkannya perlu mengikut undang-undang negara berkenaan. Dalam keadaan ini, seperti yang kita tahu – persepsi, budaya dan terjemahan undang-undang itu sendiri tidak sama antara sebuah negara dengan negara lain.
“Antara isu yang perlu diselesaikan ialah bagaimana kita boleh mewujudkan satu model kerjasama bagi membolehkan pihak berkuasa antara negara bekerjasama jika berlaku sesuatu kes,” katanya.
Diminta mengulas dasar tidak akan menapis isi kandungan laman web atau blog yang ternyata amat lantang menyuarakan pendapat dan perasaan tidak puas hati, beliau berkata, Akta Hasutan sudah cukup kukuh untuk membabitkan golongan itu.
“Yang penting pihak berkuasa menerima laporan dan mempunyai asas kukuh melakukan dakwaan,” katanya dan meminta orang ramai menghubungi Bahagian Jenayah Komputer di Bukit Aman, jika ada blog atau laman web tempatan menyalahgunakan teknologi bagi mencetus kejadian tidak diingini di negara ini.
Dalam kes dua bloggers tempatan yang membuat laporan polis kelmarin, imej mereka sebagai bloggers yang beretika dan tidak melakukan sebarang kesalahan undang-undang, boleh tercemar jika membiarkan saja penceroboh terus menghantar mesej berbau perkauman ke laman blog mereka.
Namun, ketiadaan sebarang peruntukan undang-undang membuatkan banyak pihak tertanya-tanya apakah yang boleh dilakukan pihak berkuasa yang tidak boleh bersandar kepada mana-mana akta untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Sudah tiba masanya pihak berkuasa Malaysia mengkaji untuk mengambil tindakan yang sama seperti Singapura. Ramai bloggers tempatan yang berwibawa mungkin tidak setuju jika diletakkan dalam satu bakul sama dengan media cetak dan elektronik.
Namun sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, mereka tidak sewajarnya menghalang jika pengamal dunia siber diletakkan di bawah peruntukan Akta Hasutan kerana akta ini meliputi pelbagai kesalahan, termasuk ke atas mereka memula atau menyebarkan apa saja yang boleh menyinggung perasaan kaum dan agama.

Gelagat Remaja Kini

on Wednesday, September 14, 2005

HUJUNG minggu lalu Kerepek bersiar-siar di Kota Kinabalu sambil window shopping(jimat duit). Mula-mula singgah di Merdeka Kompleks, sebelum ke Canter Point KK.
Apa yang KerepeK mahu perkatakan adalah cerita lama tapi perlu didedahkan berulang kali untuk dijadikan panduan dan iktibar. Ia berkaitan dengan gelagat dan gaya anak muda, rata-rata Melayu yang suka berkumpul, bersembang dan melepak sambil memegang telefon bimbit masing-masing.
Mereka, kebanyakannya berusia belasan tahun dan awal 20-an, seolah-olah berbangga mempamerkan kecantikan tubuh tanpa mempedulikan renungan tajam orang di sekeliling mereka. Memang sakit mata dan sakit hati melihat gelagat gadis remaja menggayakan pelbagai fesyen `ala Barat', berseluar ketat dan berkemeja T ketat yang menampakkan pusat.
Daripada baju ketat tanpa lengan, `skirt' pendek dan terbelah, seluar londeh ke bawah pusat, semuanya mengundang perhatian orang lain. Ada yang memandang serong cara mereka berpakaian yang memualkan dan tidak menepati cita rasa budaya masyarakat Malaysia.
Memang benar radio dan televisyen menerusi iklan. ceramah, forum agama sering bercakap mengenai disiplin dan gelagat muda-mudi yang melampaui batas, malah di masjid dan surau juga menganjurkan ceramah mengenai perkara yang sama. Malangnya, sasaran audien tidak kena. Yang mendengar ceramah bukan anak muda, tapi orang tua.
Bagi anak muda, tidak salah berpakaian moden jika kena dengan tempatnya tetapi janganlah berlebihan dengan tujuan menunjuk-nunjuk sehingga orang dewasa dan pak haji menepuk dahi.
Kecanggihan teknologi dunia tanpa sempadan sekarang menyebabkan golongan ini mudah terpengaruh dan semakin berani memperagakan pelbagai fesyen melampaui batas kononnya untuk kelihatan lebih ranggi dan `up to date',Sebenarnya, trend remaja itu ditiru daripada negara Barat seperti Eropah, Amerika Syarikat dan tidak ketinggalan negara jiran Indonesia dan Singapura. Malah sesetengah remaja terikut-ikut gaya seksi artis Barat yang ditonton melalui klip video yang kerap ditayangkan di kaca TV.
Pakaian menjolok mata boleh menyebabkan sesetengah golongan muda mengambil kesempatan sehingga mengundang perkara tidak diingini seperti lari dari rumah, rogol, cabul, hubungan seks bebas dan gugurkan anak.
Ada ketikanya ibu bapa sendiri tidak tahu ke mana anak remaja mereka pergi, untuk apa dan dengan siapa. Sebagai orang tua yang prihatin, pergerakan anak remaja perlu diperhatikan. Mereka memainkan peranan penting dalam mendidik anak sejak kecil dan memantau aktiviti mereka dengan memberi garis panduan mengenai cara berpakaian yang sesuai. Ini kerana ibu bapalah yang akan dipertanggungjawabkan jika berlaku sebarang kemungkinan yang tidak diingini.
Sesiapa pun terutama orang tua akan berasa sedih melihat gelagat sesetengah anak muda yang tanpa segan silu berpakaian melampaui batas. Kalau boleh KerepeK mahu saja mendekati mereka untuk menegur dan memberi nasihat, tetapi jumlahnya agak ramai.
Sikap sesetengah remaja terutama gadis belasan tahun yang berpakaian keterlaluan ini memberikan pandangan tidak manis kepada masyarakat dan juga pelancong luar negara. Gelagat mereka diperhatikan dan ini memberikan gambaran tidak baik kepada warga asing.
Apa yang menyedihkan, kebanyakan mereka adalah orang Melayu beragama Islam yang sepatutnya peka terhadap agama, budaya dan adab ketimuran. Ibu bapa, guru dan ketua masyarakat harus membantu menangani kepincangan itu dengan memberikan motivasi dan nasihat secukupnya. Tapi cara memberi nasihat dan teguran hendaklah betul umpama menarik benang dalam tepung.

KerepeK nak berseluar pendek di luar rumah pun segan…