Bukti Al-Quran Memuliakan Wanita

on Tuesday, August 16, 2005


WANITA dan lelaki adalah sama di sisi Allah sebagai hamba Allah. Allah berfirman di dalam surah Ali Imran ayat 195 yang bermaksud: Maka Allah memperkenankan permohonan mereka (dengan berfirman): ``Sesungguhnya Aku tidak mensia-siakan amalan orang-orang yang beramal di antara kamu, sama ada lelaki ataupun wanita kerana sebahagian kamu adalah keturunan daripada sebahagian yang lain.

Al-Quran menjelaskan kelebihan individu tidak terletak pada jantinanya, sebaliknya pada takwa. Berhubung dengan ini, di dalam surah al-Hujurat ayat 13 Allah berfirman: Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu.

Semasa Mariam, ibu Nabi Isa a.s. mengandung, masyarakat sekeliling mengutuk beliau tetapi Allah memuliakan beliau melalui firman-Nya di dalam surah Ali Imran ayat 42 yang bermaksud : Dan (ingatlah) ketika malaikat (Jibril) berkata: Wahai Mariam, sesungguhnya Allah telah memilihmu, menyucikan kamu dan melebihkan kamu atas segala wanita di dunia (yang hidup semasa dengan kamu).

Semasa Firaun bertindak kejam membunuh anak-anak lelaki Bani Israel, Allah memuliakan ibu Nabi Musa dengan mententeramkan jiwa beliau melalui firman-Nya yang bermaksud: Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa: Susukanlah dia dan apabila kamu khuatir ke atas keselamatannya, letakkanlah dia di atas sungai (Nil). Dan janganlah kamu bimbang dan janganlah pula bersedih hati kerana Kami akan mengembalikannya kepadamu dan menjadikannya (salah seorang) daripada rasul. Kenyataan ini disebutkan di dalam al-Quran surah al-Qasas ayat 7.

Di dalam surah al-Qasas ayat 26 pula Allah memuliakan anak perempuan Nabi Syuaib dengan merakamkan pandangan beliau yang bernilai berhubung dengan aspek pengurusan. Allah berfirman: Dan salah seorang daripada kedua-dua wanita itu berkata : Wahai bapaku,ambillah dia (Musa) sebagai pekerja kita kerana sesungguhnya orang yang paling baik untuk dijadikan pekerja ialah seorang yang gagah lagi dapat dipercayai. Al-Quran juga merakamkan kebijaksanaan kepimpinan Permaisuri Negeri Saba, Balqis di dalam surah an-Naml ayat 33: Kita mempunyai kekuatan dan keberanian yang cukup, namun urusan ini terserah kepadamu. Justeru itu perhatikanlah apa yang hendak kamu perintahkan. Permaisuri (Balqis) berkata: ``Raja-raja apabila memasuki sesebuah negeri akan merosakkan negeri itu dan menjadikan penduduknya yang mulia itu hina. Itulah yang akan mereka lakukan.

Pada zaman jahiliah, menjadi perkara biasa apabila bayi-bayi perempuan ditanam hidup-hidup demi memelihara keluarga daripada aib dan malu. Islam menentang adat resam ini melalui firman-Nya di dalam surah at-Takwir ayat 8-9 yang bermaksud: Dan apabila bayi-bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya, kerana dosa apakah maka dia dibunuh?

Bagi menampakkan penentangan pada sistem jahiliah yang menghina kaum wanita, Nabi s.a.w. bersabda : Sesiapa yang memiliki tiga orang puteri atau tiga saudara perempuan, atau dua orang puteri atau dua saudara perempuan , lalu dididiknya mereka dan dijaganya mereka dengan baik, kemudian dikahwinkan mereka, baginya syurga. (Riwayat Tirmizi dan Abu Daud).

Semua ini adalah bukti jelas yang menunjukkan betapa al-Quran dan Islam memuliakan kaum wanita.

= KerepeK =.

Ketukan pahat masih berbunyi

on Saturday, August 13, 2005

Emm biarpun AF3 telah selesai sudah mau seminggu tetapi ceritanya macam itu macam ini masih lagi berbunyi. Ada lagi yang yang puas hati macam tidak dapat terima kendeyaan yang mereka sokong, mereka minati, mereka undi selama ini telah gagal tidak berjaya seperti yang mereka harapkan.

Kenapalah mereka tidak berfikir bahawa mereka kalah kerana mereka kurang pengundi, yang mereka sokong tur kurang peminatnya tidak seperti yang menjadi juara. Memang nampak hebat AF3 kali ini, tidak seperti yang tahun lepas. Tahun lepas di pertengahan baru nampak siapa yang bakal menjadi juara.

AF3 ni, awal2 lagi kita dah nampak siapa pemenangnyer kan. Terus terang aku kata bila dah nampak macam tur aku terus berhenti undi sebab dah agak yang itu pasti akan juara. Si Astro pun satu jugak, ambil kesempatan. Peratus undi yang selama ini boleh dilihat telah tidak ditunjuk pada umum. Dengan ini membuatkan pengundi yang telah berhenti undi sambung balik undi, sebab bimbang yang disokong kalah tanpa disangka. Nasib baiklah aku tidak terpengaruh. Hehehe...

Entah beraplah keuntungan yang Astro dapat yek?

Itu ajerlah tak mo nak cerita panjang, nanti ada lak yang marah2 kat aku. Macam kawan sekerja aku dah kurang bercakap dengan aku sebab yang dia minat dia sokong telah kalah. Aku dah beritahu awal2 pada dia, yang dia akan menyesal. Dah sekarang diam2 ajer. Kesian aku tengok. Macam orang putus cinta ajer gayanya.

Ok selamat untuk semua.

Ajaran Sesat Ayah Pin

on Tuesday, August 02, 2005


KUALA TERENGGANU: Pas diselar kerana gagal bertindak tegas terhadap kegiatan ajaran sesat Ayah Pin yang berpusat di Kampung Batu 13, Hulu Besut sehingga membolehkan pengikut kumpulan itu membina replika dan struktur sebagai simbol ajaran `kerajaan langit'.
Semua replika yang dirobohkan pada 31 Julai lalu dibina sepanjang pemerintahan kerajaan Pas antara 1999 dan 2003.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari negeri, Wan Mohd Wan Hassan, berkata kegagalan mengambil tindakan terhadap ketua ajaran sesat itu, Ayah Pin atau Ariffin Mohamad, 62, dan pengikutnya menyebabkan kegiatan itu berkembang secara mendadak.
Bagaimanapun, katanya, selepas Barisan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan, kerajaan negeri bersungguh-sungguh mengambil tindakan terhadap kumpulan itu bagi membendung pengaruh yang dipercayai merebak ke Selangor, Pahang, Perak dan Johor serta negeri asal ajaran itu, Kelantan.
Katanya, tindakan tegas kerajaan negeri membolehkan replika termasuk teko gergasi di perkampungan itu dimusnahkan dan sisa runtuhan dibuang ke kawasan lombong tinggal di Lata Tembakah, Hulu Besut.Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga mengadakan operasi pemeriksaan berwaran terhadap pengikut Ayah Pin dan hasilnya seramai 69 pengikut ditangkap dan 44 daripada mereka didakwa di mahkamah.
"Kerajaan negeri juga memastikan pengikut Ayah Pin yang tidak mempunyai hubungan kekeluargaan meninggalkan perkampungan Batu 13.
"Program pemulihan akidah secara bersepadu dilakukan membabitkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya ketika menjawab soalan Datuk Harun Taib (Pas-Manir) pada sidang Dewan Undangan Negeri, semalam.
Wan Mohd berkata, polis juga sentiasa mengadakan sekatan jalan raya selain menyebarkan risalah sehingga kegiatan Ayah Pin kini lumpuh.
Beliau berkata, kegiatan kumpulan ajaran sesat itu mula ditangani pihak berkuasa agama negeri sejak dibawa masuk ke Terengganu pada 1975 oleh Hassan Anak Rimau atau Ayah Hassan sebelum Hassan Anak Rimau dikenakan tindakan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri dan dibuang daerah.
Jabatan Fatwa Negeri Terengganu mewartakan fatwa pada 4 Disember 1997 iaitu ajaran dan pegangan Ayah Pin adalah palsu, sesat dan menyeleweng.
Catatan pewartaan:
Kategori : Akidah - Ajaran Ayah Pin adalah sesat , menyeleweng dan membawa kepada rosaknya akidah
Isu: Ajaran Ayah Pin adalah sesat,menyeleweng dan membawa kepada rosaknya akidah. Kerana itu hendaklah orang ramai menghindarkan diri dari terbabit dengannya.
Fatwa: Oleh yang demikian,pada menjalankan kuasa-kuasa yang diberi di bawah Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat MelayuTerengganu dengan ini membuat dan mengeluarkan Fatwa berikut:
1. Bahawasanya ajaran dan pegangan Ayah Pin adalahpalsu, sesat, menyeleweng dan boleh membawa ancaman kepada ketenteraman orang awam serta merosakkan akidah.
2. Oleh yang demikian orang ramai di negeri ini hendaklah menghindar diri daripada terlibat dengan pegangan dan ajaran Ayah Pin tersebut.

Rujukan Pewartaan : 1461 Tarikh Pewartaan : 4 Disember 1997
Antaranya penyelewangan:
1. Beliau mengaku tidak belajar agama,
2. Beliau berpegang kepada ajaran yang salah serta bertentangan dengan Syara',
3. Beliau pernah menyatakan bahawa " Tidak ada orang lain selain saya dan Nabi Muhammad saw yang berguru dengan Jibril". Dakwaan ini salah dan palsu serta bertentangan dengan ajaran Islam dan menghina Syara'.
4. Beliau mengaku mengajar. Ajaran serta pengangannya adalah sesat dan bertentangan dengan hukum Syara'.
5. Mesti jumpa Allah dan Rasul dahulu baru boleh percaya.
6. Nabi Muhammad mencantumkan kitab Zabur,Taurat dan Injil dan menjadikan Al-Quran.
7. Bongkar Quran dahulu baru boleh percaya kepada Malaikat dan sifat dua puluh.
8. Setiap kali Sembahyang hendaklah beriktikad bahawa Ayah Pin berada di hadapan.
9. Quran perlu dibakar dan abunya dilumur pada tubuh Ayah Pin.
10.Mendakwa beliau telah melalui semua agama-agama barulah jadi Islam dan menerima syahadah secara langsung dengan Tuhan.
11.Beliau mendakwa, di atas muka bumi ini tiada orang lain yang memimpin manusia melainkan Ayah Pin seorang.
12.Nyawa manusia yang ada di atas muka bumi adalah duduk ditangannya kerana dia memegang segal kunci-kunci akhirat.
13.Kalau bersyair memuji-muji di atas nama Ayah Pin adalah lebih afdhal daripada berzikir dan bersembahyang.
14.Semasa mengucap dua kalimah syahadah hendaklah beriktikad dalam hati kepada Ayah Pin.
15.Jika ada ahli yang akan mati, Ayah Pin akan pergi dahului untuk menentukan bagi simati syurga atau neraka.
16.Setiap kali berhimpun di Gua Bayu, Gua Musang, Kelantan. Sebiji Quran akan dibakar dan abunya akan dilumur pada tubuh Ayah Pin.
17.Percaya sesuatu mesti lihat dahulu, belum lihat tidak boleh percaya. Seperti dalam rukun iman, Ayah Pin mengaku :-
i. Percaya kepada Allah ialah dengan kita kenal atau cam dia.
ii. Beriman kepada Rasul ialah dengan cara berjumpa dengan Rasul-Rasul.
iii. Kitab Al-Quran adalah cantuman daripada empat kitab.
iv. Malaikat dijadikan daripada Nur Muhammad dan malaikat seperti manusia.
v. Ayah Pin tidak percaya adanya langit dan bumi digulung atau dihancurkan pada hari kiamat sebab belum berjumpa lagi.
vi. Pegangan Ayah Pin ialah setelah dia buat semua, dapatlah Qada' dan Qadar masing-masing bahagian.
= Jauhilah kemungkaran - KerepeK

masuk bulan 8

on Monday, August 01, 2005


Wahh.. cepat betul berjalan bergeraknyer masa kan, sedar dengan tidak sudah pun masuk bulan 8. Begitulah pantasnyer pergerakan masa sekarang. Kalau dulu masa kecil2 rasa masa mau bergerak punyalah lama, terutama kalau esok ada satu perkara besar hendak dibuat. Balik2 tersedar daripada tidur dan tengok belum lagik siang... hehe. Macam itulah masa kecil.

Sekarang ni tidak, mahu tahan ianya tetap akan bergerak dan yang paling jelas bergeraknya umur kitakan kan... emm semakin tua usia ini hehe. Begitulah.

Cepat masa begerak maka cepatlah gaji okey jugak!! Tapi ada gaji pun bukan apa jugak banyak nak bayar hutang ajer... itulah ceritanya.

Okeylah... Bulan 8 (Ogos) adalah bulan kemerdekaan.. jangan lupa beli bendera besar dan kecil. Yang besar pasang di rumah dan yang kecil pasang di kereta. Emm menyahut seruan kerajaan menunjukkan kita telah MERDEKA!!

Pada hal.. masih lagik dijajah, tanpa kita sedar. Hebatnyer penjajah kan
Okey itu ajerlah.. nanti cerita lagi..

habis dikopak lantai

on Friday, July 29, 2005

Lantai rumah aku habis kena kopak... berabuk habis.
Tak ada apa nak kata, esok dia orang kata akan sambung lagik kerja, tapi sampai tengahari ajer. Nampaknya hari Isnin pun masih tak siap lagi agaknyer...

Sambil tunggu dia orang buat kerja aku berkurung dalam bilik tengok TB dengan main XBox. Kadang terasa boringnyer... sekali-sekala kirim masej pada tersayang. Hari ni tersayang sibuk dengan kerja, kadang2 jer dia jawab masej. Sekurangnyer jawab jugak. Dibuat tidak jawab terus mulalah menggelabah aku kan kan... hehehe

tur jerr...
Esok diaorang sambung lagi... setengah hari jerr..
aku pun tak kerja esok.... YO

betul lantai rumah

on Thursday, July 28, 2005

Wah... ari ni sibuk pergi balik ke rumah aku yang satu lagik, ada masalah dengan lantai (mozet) bila pijak berbunyi macam mau runtuh. Yang tukang betul kata mau buka semua mozet, tapi ari ni tak boleh buat sebab mau order barang dulu... yer lah.

Macam2 betul lerr... Betullah orang kata rumah kalau tidak diduduki pasti macam2 boleh jadi, yang paling jelas... punyalah banyak taik cicak. Semua duk ditepi2 dinding. Yang hairannya cicak tak ada nampak pun, mana lak datangnya yek?

Sawang... tak ucah kata ler punya banyak. Nak disewakan pada orang rasa macam tak mau lerr.. jadi bulan2 bayar potongan kerajaaan ajerlah... banyak jugak RM6xx.xx. boleh tahan tur.
Kalau dapat penyewa yang ok, Jadik ok ler rumah, kalau dapat penyewa yang emmm. Habislah rumah aku.

Jadi jalannya... biar aje.. kadang2 bila cuti tak kemana2 pergi tinggal bermalam selama dua. Kalau ada kawan dari jauh datang boleh dia orang tinggal sana tak payah nak sewa hotel lagi. Ok jugak tur. Itu are ari ni..

pantun::: TUDUNG SEKARANG

on Wednesday, July 27, 2005



Baju nipis nampak bayang
Peha gebu saja ditayang
Lebih baik tak pakai baju senang
Dah tentu boleh tunjuk terang-terang

Baju ketat seluar sendat
Pakai tudung just ikat-ikat
Dari mula memang bukan adat
Disudut agama pun gaya tak berkat

Tudung jarang baju nipis
Pakai sikit boleh nampak 'garis'
Mata orang terbeliak, kita membengis
Bila kena kutuk, kenapa menangis?

Lengan pendek blaus gantung
Jeans ketat melekat dipunggung
Jadi orang Islam ni sebenarnya beruntung
Agama tak suruh berbungkus macam pocong

Apa rasanya, kepala bertudung,kain terbelah
Kalau takat rambut orang kurang ghairah
Lain kalau peha gebu atau ternampak lurah
Mata yang memandang boleh keluar darah

Kebaya ketat, kain terbelah
Ikat tudung macam tak sudah
Nak ikut suruhan agama memang tak mudah
Tapi Islam sebenarnya indah

Tutup aurat bukan suruh berselubung
Sampai tak nampak muka dan hidung
Yang faham tuntutan amat beruntung
Taklah bersungut mulut pun muncung

Dah kalau mula minat nak bertudung
Cubalah sesuaikan apa yang disarung
Kalau masih rasa jiwa tu 'mendung'
Maknanya nafsu tu belum dapat dibendung

Bertudung itu bukan satu paksaan
Ianya lebih kepada keinsafan
Selalunya nafsu masih dikuasai syaitan
Itu la pasal fesyen pun yang bukan-bukan

Asal menutup aurat itu tuntutan
Kalau dianggap susah, tu sebab bosan
Yang ye nya hati tak berkenan
Tu yang berjela-jela mencipta alasan

Menutup aurat satu syariat
Kepada agama kita taat
Hidup berkat pahala berlipat-lipat
Didunia selamat, di akhirat hebat

Dalam tiap perbuatan, kita mulakan dengan niat
Gitu juga bertudung, janganlah konon nak tunjuk taat
Alamat pahala lebur, dosa bertingkat-tingkat
Mentelah pula berfesyen tak kena tempat

Baik tak bertudung kalau hanya nak rosak imej
Walhal Islam suruh pakai yang sopan dan manis
Dah kalau takat pakaian ngalahkan pengemis
Atas tutup, bawah buka, ni apa punya jenis?

Kita memang hidup dalam era serba maju
Sungguhlah iman tak dinilai just ikut baju
Kalau bertudung tapi pakai yang 'gitu-gitu'
Kita pun susah kenal, manusia ke hantu

Banyak salah faham bila mula bertudung
Maknanya no fesyen-fesyen only the baju kurung
No more pant suit, kebaya or kebarung
Dah kalau gitu lebih baik duduk berkurung

Bertudung bergaya biarlah yang sempurna
Tak jadi bahan kutuk, jangan pula menambah dosa
Pun tak usahlah juga terlebih gaya
Islam itu suka yang sederhana

Kenalah pula kita wanita bekerjaya
Fesyen busana muslimah yang paling kena
Kalau rasa nak letak kaler, tu yang paling asas je
Sebab agama sendiri menggalakan kita selesa

Mana tidaknya, bila bekerja kita bergaul semua
Kalau sendiri memandang muka pun layu je
Orang dok mengata, kita pun rasa terhina
Dah kalau 'put color' jangan macam 'rainbow' pula

Siapa kata kita tak boleh berwarna
Tak caya cuba tengok semua pendakwah-pendakwah kita
Ustazah-ustazah mereka tetap juga bubuh kaler
Taklah sampai mengancam, cuma biar nampak 'bernyawa'

Tu sebab kita buat kerja semua dengan niat
Jadi terserah budi bicara tuan punya jasad
Dah kononnya bertudung tapi hati masih jahat
Baik tak le payah berpura nak tutup aurat

Kalau dah memang rasa nak berubah
Peduli kata orang bukan dia yang susah payah
Asal niat, matlamat dan cara kita istiqamah
Lantak mereka lah kalau nak tergigit lidah

Bersamalah kita mengkaji semula
Pakaian kita yang bagaimana gayanya
Andai belum betul-betul bersedia
Janganlah kita mencemar kesuciannya

Andai terasa hidayah menyinggah
Lakukan yang betul mengikut sunnah
Menutup aurat jangan sekali dirasa payah
Mengapa diperleceh, itukan perintah

Andai dihati redha dan ikhlas
Diwajah Nur terpancar jelas
Walaupun bergaya tak berapa 'kelas'
Asal Tuhan tahu, diakhirat pengorbanan terbalas

Harap maaflah kalau terlalu panjang
Bukan sengaja mereka yang bukan-bukan
Berpantun seloka bukan setakat hiburan
Yang mana betul jadikan pedoman.

Terima kasih - KerepeK

ada rehat sikit

Nampaknya petang ni ada sikit rehat, tidak berapa kelam kabut macam pagi tadi. Bermacam2 perkara yang hendak dibuat, belum selesai satu perkara kena buat lagi satu perkara. Begitulah keadaannya kerja kelam kabut macamlah nak berperang, tur belum lagik berperang, kalau berperang entahlah macam mana agaknyer yek?

Tak apalah, pelan2 buat siap jugak, yang penting apa yang diperlukan siap. Hasil yang dibuat terbaik, tidak mahu buat kerja lebih kurang.

Hasil kerja perlu berkualiti.. menunjukkan mutu kerja kita.
itu saja...

SMS menarik aku terima

on Tuesday, July 26, 2005


Mesej daripada Persatuan Bank-bank Malaysia:

Semua operasi ATM dibekukan mulai hari ini disebabkan nombor pin kad ATM tidak dapat disahkan kerana bapa segala pin iaitu Ayah Pin telah melarikan diri...

hehehe... menarik tu msg. aku terima daripada baulu.

Tak kerja..

on Monday, July 25, 2005



Wahhh tak kerja!! Yo..

Ari ni tak kerja lerrr sebab semalam kerja 24 jam tak balik2 rumah - berumah tangga di pejabat. Kadang kala seronok jugak kerja lebih masa dapat ambil off, tapi masalahnyer masa hari orang bercuti kita terpaksalah bekerja. Tapi apa bleh buat sudah jadi tanggungjawab.


"ingat TANGGUNGJAWAB kita"
Ada masanya bekerja waktu cuti seronok sebab duduk saja, tetapi kalau ada apa2 hal susah oo sebab semua orang pandai off telfon masing2, semuanya betul2 mau bercuti, itu yang susahnyer. Susah nak dikesan.
Masa nak bercuti cakap bukan mainnya: "boleh dihubungi pada bila2 masa, telfon tidak akan dioff.. ON 24 jam.. Cakap saja, pada hal tidak pun, buang masa jer! Kalau aku ada kuasa mengoff gaji diorangkan best, barulah diorang tahu.
Tak apa biasalah.. mau berehat tak salah jugak. Ada masanya orang mau jugak betul2 bercuti bersama keluarga atau bersama tersayang. Kadang aku begitu jugak. Ok itu saja untuk hari ini.
Catatan: sana sini masih orang bercerita pasal AF3, hebat betul.

3. Dunia adalah persinggahan.

on Wednesday, June 29, 2005

Dunia ini penuh ranjau dan dugaan, dunia ini penuh tipu daya dan syaitan, jangan anda lalai tanpa tujuan kerana dunia yang indah ni adalah persinggahan sementara untuk insan, dunia yang indah ini adalah ujian.

Orang yang beriman akan mengetahui rahsia kejadian alam, kerana dalam hatinya selalu tersembunyi pertanyaan-pertanyaan yang meminta jawapan, pertanyaan tersebut ialah: Alam ini apa? Manusia ini siapa? Dari mana keduanya datang? Siapa yang menciptakan keduanya? Ke mana tujuan keduanya? Bagaimana permulaan terjadi keduanya? Siapa yang mengatur gerak keduanya? Apa erti hidup ini? Apa erti kematian itu? Bagaimana keadaan masa yang akan datang yang sedang menunggu kita?

Dengan memperhatikan alam semester, fitrah dan akal manusia mengatakan, sesungguhnya Pencipta Yang Maha Bijaksana, telah menciptakan alam ni tidaklah dengan sia-sia.

Tujuan yang sebenar dalam menciptakan langit dan bumi ini, dirasakan oleh fitrah dan akal orang yang beriman, iaitu bahawa manusia dalam alam ini mempunyai tugas dan tanggungjawab, dan di sebalik hidup yang fana dan penuh cubaan ini ada lagi kehidupan yang lain. Itulah tujuan hidup dan ke sanalah kesudahan perjalanan hidup manusia. Di situ orang yang berbuat kebaikan, menerima balasan yang baik. Dan sebaliknya orang yang melakukan kesalahan, akan menerima balasan yang buruk, sehingga akan nyata dan berbeza orang baik dengan yang buruk. Kedua orang tu tidak sama.

Dunia adalah kerajaan Allah, segala yang ada di alam ini adalah bekas rahmat Allah. Manusia ini khalifah Allah, diciptakan untuk memuji Allah dan memikul amanat Allah. Hidup ini pemberian Allah dan kematian adalah qadar atau ukuran dari Allah.

Dunia ini kebun tempat berusaha untuk mematuhi perintah Allah, dan akhirat itu masa menuai dan menerima balasan dari Allah. Orang yang berbahagia ialah ang menjalankan petunjuk Allah, dan orang yang malang ialah yang membelakangkan diri dari pengajaran Allah.

Manusia ini memikul beban dan tanggungjawab dalam negeri yang fana dan penuh cabaran ini, supaya mempunyai persiapan untuk selamanya dalam negeri yang kekal. Kematian adalah jambatan yang menghubungkan antara keduanya.

Alam adalah laksana sebuah kitab yang besar yang terbentang di muka kita, di dalamnya ukup tertulis perjuangan hidup yang telah ditempuh manusia, ada yang beruntung, bahagia dan ada pula yang jatuh sengsara. Bagi orang yang bijaksana semuanya itu akan dijadikan guru untuk mengambil pelajaran.

Alam ini mulanya tidak ada kemuliaan ada dan kemudian lenyap kembali. Harta dan jiwa tidak diberikan sebagai kepunyaan yang tetap akan tetapi sebagai pinjaman. Setiap sesuatu yang ada permulaan, akan ada perubahan dan akan ada akhiran.

Orang-orang yang tidak beriman memandang alam ni dengan sebelah mata, sedangkan bagi orang yang beriman memandangnya dengan dua mata, iaitu dengan mata zahir dan mata batin. Dengan pandangan batin inilah orang tidak mahu berbuat kejahatan walaupun tidak ada orang yang melihatnya, kerana itu pula orang dapat hidup bahagia dan mahu mengorbankan hartanya.

Di dunia ini lebih mudah berbuat kebaikan dari kejahatan. Tetapi manusia lebih condong berbuat kejahatan dari kebaikan. Hal ini disebabkan nafsu lebih tua daripada akal. Iblis lebih tua umurnya dari manusia. Sedangkan manusia dikepung dari empat penjuru, kiri hawa, di kanan nafsu, di muka dunia, di belakang syaitan. Tubuh dan dunia berada dalam kekotoran, oleh sebab itu jiwa perlu dibersihkan dengan pengetahuan dan keimanan.

Dunia tu untuk kegembiraan, akan tetapi kegembiraan itu dibungkus dengan kesusahan. Dunia jambatan yang tidak kekal, untuk dilalui e negeri yang baqa’.

2. Dunia pinjaman yang harus dikembalikan

on Tuesday, June 28, 2005



Dunia adalah lautan yang dalam dan telah banyak manusia yang tenggelam di dalamnya, oleh sebab itu sediakanlah perahu untuk berlayar di atasnya, perahu tersebut ialah taqwa kepada Allah.

Dua macam yang aku dapatkan di dunia ni, sesuatu yang untuk ku, tidak akan terlepas daripada ku, dan sesuatu yang untuk orang lain tidak akan dapat aku kejar.

Siapa yang pada pagi harinya menjadikan dunia ini sebagai kepentingannya yang utama, maka Allah akan melazimkan dalam hatinya tiga macam:
1. Kerisauan yang tak putus-putus untuk selamanya,
2. Kesibukan yang tidak ada istirahatnya untuk selamanya,
3. Rasa kefakiran yang tidak ada hujungnya sampai ia mati.

Tiada seorang pun pada setiap harinya melainkan ia sebagai tamu, dan hartanya sebagai pinjaman. Tamu harus berangkat meninggalkan tempat, sedangkan pinjaman harus segera dikembalikan.

Kejahatan itu semuanya di kumpul dalam sebuah rumah sedangkan kuncinya ialah cinta kepada dunia, dan kebaikan itu juga dikumpulkan dalam sebuah rumah, sedangkan kuncinya ialah zuhud.

Hamba ku yang mukmin merasa gembira jika aku lapangkan sedikit untuknya tentang dunia, padahal yang demikian itu bererti ia akan jauh daripada ku, dan merasa susah jika aku kurangkan padanya kesenangan dunia, padahal yang demikian itu lebih mendekatkan ia kepada ku.

Apabila anak Adam meninggal dunia, maka putuslah semua amalannya, kecuali tidak perkara. Sedekah jariah, ilmu yang dapat memberikan manfaat, anak yang soleh yang akan mendoakannya.

Waspadalah kamu terhadap dunia dan waspadalah terhadap kaum wanita, kerana fitnah yang pertama kali timbul di kalangan Bani Israil berpunca dari kaum wanita.

Ketahuilah bahawa kehidupan di dunia ini hanyalah permainan dan senda gurau, perhiasan dan bermegah sesama kamu, berlumba-lumba memperbanyakkan kekayaan dan anak-anak, seumpama hujan mengkagumkan petani, tanamannya yang kemudiannya menjadi kering dan engkau melihat berwarna kuning dan kemudian menjadi musnah. Dan di akhirat seksaan yang amat berat untuk mereka yang bersalah. Dan pengampunan serta keredaan dari Allah untuk golongan yang melakukan kebaikan. Dan kehidupan di dunia ni adalah kesenangan yang memperdayakan.

Dunia ini adalah padang luas, di mana Adam dan Hawa diturunkan, ada di dalamnya berbagai-bagai cerita, dan ada di dalamnya berbagai-bagai angkara.

Dunia tempat insan mengembangkan zuriat, di sinilah anda mengejar segala kehidupan, awaslah dengan kehidupan ini, jika anda lalai memahami erti hidup anda akan ditelan mala petaka.

1. Dunia bukan matlamat terakhir

on Monday, June 27, 2005

Barang siapa yang menjadikan dunia sebagai matlamat dan cita-cita hidupnya, nescaya Allah mencerai-beraikan urusannya, dan menjadikan kemiskinan menghantui dirinya, serta tidak akan datang keduniaan kepadanya melainkan sekadar yang ditetapkan. Dan barang siapa yang menjadikan akhirat sebagai niatnya, nescaya Allah menghimpunkan segala urusannya, serta mendatangkan kepuasan dalam hatinya, sementara dunia tunduk kepadanya.

Bekerjalah kamu untuk dunia mu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, akan tetapi beramallah kamu untuk akhirat mu seolah-olah kamu akan mati esok.

Wahai manusia, sesungguhnya untuk kamu telah ada jalan atau petunjuk, maka berhentilah pada jalan atau petunjuk itu, dan kepada mu juga telah ditentukan batas-batas, maka berhentilah pada batas-batas itu. Sesungguhnya seorang hamba yang mukmin berada di antara dua ketakutan, antara hal masa yang lalu, ia tidak mengetahui bagaimana Allah akan berbuat padanya, dan masa yang akan datang, ia tidak mengetahui apa yang akan terjadi pada dirinya. Kerana itu, setiap orang harus mempunyai bekal untuk kepentingan dirinya, dari masa hidupnya untuk matinya, dari masa mudanya untuk tuanya, dari dunianya untuk akhiratnya. Demi Allah yang jiwa ku ada di tangan Nya, sesudah mati tidak ada jalan untuk taubat, dan sesudah dunia tidak ada tempat kecuali syurga atau neraka.

Sungguh sangat menghairankan bagi orang yang percaya kepada tempat yang kekal abadi, kemudian a masih sibuk dengan dunia ini sebagai tempat tipuan dan sementara.

Dunia bagaikan penjara bagi orang mukmin dan kubur bagaikan bentengnya, dan syurga tempat tinggalnya. Dan dunia ini bagaikan syurga bagi orang kafir, sedangkan kubur sebagai penjaranya dan neraka tempat tinggalnya.

Seorang mukmin meskipun ada kalanya ia mewah dan nikmat di dunia in, tetapi jika dibandingkan dengan nikmat yang disediakan untuknya di syurga, maka seolah-olah ia berada dalam penjara, sebab seseorang jika mati dan diperlihatkan kepadanya tentang syurga dan kemuliaan yang ada di dalamnya, ia sedar bahawa selama ini di dunia seolah-olah dalam penjara. Sedangkan orang yang kafir jika mati dan diperlihatkan kepadanya hukuman dalam neraka, maka ia merasa bahawa ia tadinya dalam syurga. Kerana itu seorang yang berakal tidak akan merasa gembira dalam penjara.

Dunia ini bagaikan ladang Tuhan Rabul a’lamin dan manusia sebagai tanamannya, sedangkan maut itu sebagai cangkulnya. Dan malaikat maut sebagai pengetamnya, dan kubur sebagai lumbungnya, dan kiamat sebagai lesungnya, syurga atau neraka sebagai tempat pemuasnya, sebahagian dalam syurga dan sebahagian dalam neraka.

Kebaya Nyonya

on Saturday, June 04, 2005


Fesyen kebaya nyonya terhasil dari cantuman budaya yang berkembang pada pendatang awal peranakan Cina (Baba dan Nyonya) suatu ketika dahulu. Ini kerana cara hidup mereka banyak dipengaruhi oleh dua budaya iaitu kebudayaan Cina dan Melayu. Golongan Baba dan Nyonya ini telah berkembang di sekitar Selat Melaka iaitu Penang, Singapura dan Melaka.
Baju kebaya nyonya biasanya akan dipadankan bersama kain batik sarung ataupun kain batik lepas yang diikat kemas. Asas bagi sepasang baju kebaya nyonya adalah ringkas reka bentuk sulam pada bahagian lapik kain. Sulaman ini adalah hasil campuran motif bunga, figura atau geometri yang disulam dengan jahitan satin zig zag, lubang butang dan tebuk lubang. Fabrik yang biasa digunakan adalah dari jenis kasa rumbia.
Bagi kaum Baba dan Nyonya, corak dan rekaan kebaya adalah berlainan mengikut majlis yang dihadiri. Untuk majlis keramaian, nyonya yang diberi penghormatan akan memakai baju panjang dengan sarung kain batik lasong selain mengenakan barang kemas yang direka khas untuknya. Golongan muda-mudi mula akan memakai baju kebaya pendek bersulam dengan pilihan warna yang agak terang. Untuk keluarga berkabung, keluarga si mati akan memakai baju kebaya nyonya dari pilihan warna yang lembut iaitu hijau, hitam, putih dan biru. Corak dan ketebalan sulaman pada fabrik tidak terhad. Pakaian basahan ataupun duduk rumah biasanya menggunakan fabrik dari kain rumbia berpetak, bergaris atau berbintik yang dihiasi dengan sedikit sulaman berkelok. Aksesori dan barang kemas yang dipakai adalah minimum dan praktikal.
Pada awalnya, golongan Baba dan Nyonya ini memakai baju panjang (kebaya labuh) sebelum memakai baju kebaya. Tetapi pada tahun 1920-an, baju panjang ini telah diubah menjadi pendek. Penggunaan fabrik tetap sama tetapi ditambah pula dengan hiasan sulaman dan jahitan renda. Pada tahun 1930-an, baju kebaya nyonya yang dijahit renda telah menjadi tumpuan fesyen golongan ini dengan potongan yang lebih ketat serta dua kepingan kain berbentuk segi tiga di hadapan dijadikan sebagai lapik. Pada tahun 1940-an, kain renda dalam pelbagai warna telah diperkenalkan. Ianya dicantikkan lagi dengan sedikit hiasan sulaman di pesisiran terbuka fabrik.
Pada tahun 1950-an, pemakaian kebaya nyonya telah menjadi tumpuan fesyen dan digemari oleh semua lapisan masyarakat. Semua golongan wanita memakainya sama ada untuk ke tempat kerja ataupun majlis-majlis rasmi. Pakaian ini juga menjadi pilihan personaliti filem pada ketika itu.
Kini, fesyen kebaya nyonya sekali lagi menjadi pilihan ramai. Rekaannya telah dipelbagaikan dan dimodenkan sesuai dengan perkembangan fesyen masa kini. ia lebih dikenali dengan nama ‘Kebaya Nyonya Splendour’. Fabrik yang digunakan juga lebih pelbagai antaranya dari jenis renda, sutera, satin dan sebagainya. Pemilihan padanan kain tetap sama iaitu dari jenis batik sarung ataupun batik lepas.

Batik

on Tuesday, April 26, 2005

Perkembangan batik di Nusantara telah bermula sejak 200 tahun dahulu. Sesetengah pendapat menyatakan bahawa batik berasal dari Kepulauan Jawa, Indonesia. Kemudian ia berkembang di Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, Borneo, Filipina dan juga negara luar seperti India, China, Taiwan, Holland dan England. Di Malaysia, batik mula berkembang sejak zaman kerajaan Sriwijaya. Contoh terawal penciptaan batik asas setempat dengan menggunakan kain pelangi atau ‘bhadana’ tanpa menggunakan lilin. Teknik ikat dan celup ini menghasilkan tekstil Serian batik yang indah.

Perkataan ‘batik’ berasal daripada Bahasa Jawa, iaitu ‘ambatik’ yang bermaksud kain yang bercorakkan titik-titik kecil. Batik bererti juga kain mori yang diberi ragam hias dan diproses secara tradisional sebagai kain sarung oleh suku-suku bangsa di Malaysia dan Indonesia. Kemahiran serta kemampuan orang-orang Jawa menghasilkan batik yang bermutu tinggi sejak zaman tradisi lagi adalah faktor utama istilah batik menjadi istilah yang bersifat sarwajagat.

Proses membatik menggunakan bahan celupan yang ditiru daripada teknik bhadana India dan kain pelangi sutera Cina. Pembatik Melayu mengolah proses ini dengan menggunakan proses kayu atau sarang bunga. Pada keseluruhannya proses membatik menggunakan blok sahaja. Motif atau corak yang berlainan menggunakan blok dan warna yang berasingan. Dimulai dengan mencelup kain dalam warna kuning atau putih dan selepas itu diterap dengan lilin pertama serta dicelup dengan warna yang gelap. Kain diterap kali kedua dan dicelup dengan warna yang lebih gelap. Kain akan direbus dalam air yang mengandungi abu soda dan warna yang berlainan terhasil dan menutupi setiap blok.

Proses membatik yang paling tradisional ialah menconteng dengan canting. Canting digunakan sebagai alat untuk menerapkan campuran lilin panas pada kain yang hendak dicorakkan. Canting diperbuat daripada tembaga dan mempunyai saluran kecil di bahagian hujungnya untuk memudahkan proses menconteng. Pewarna disapu pada kain setelah menconteng kesemua motif. Tempat-tempat warna itu ditutup dengan lilin sebelum kain dicelup dalam warna latar belakang dan kemudian direbus. Proses ini memakan masa dan memerlukan kepakaran pembatik. Tetapi kini, proses dan teknik membatik berbagai-bagai. Antaranya batik cap, batik tulis, batik pelangi, batik stensil, batik cetak luah dan batik eksklusif.

Motif batik bukan sahaja memaparkan keindahan tetapi juga mempunyai tujuan tertentu. Pada peringkat penggunaan blok kayu, reka corak batik begitu sederhana tetapi memperlihatkan variasi motif yang terdiri daripada bentuk titik, bulatan dan garis untuk membentuk susunan anting-anting atau bunga mala, bunga bintang dan bunga bebaling. Unsur alam tumbuhan diilhamkan daripada bentuk bunga, putik, daun, ranting atau pucuk yang disusun tunggal, menjalar datar atau bertabur. Antara corak-corak kain batik sarung pula ialah pokok, Lasam, Tangga Mas, Sinar Mas, Terang Bulan, Belah Ketupat, Jalur Malaysia, Serong, Retak Seribu, Solo, Ayam Den Lapeh, Bintang Sore, Musang Berjanggut, Siku Kluang dan Kijang Berjuang. Kain batik sarung corak Lasam, Tangga Mas, Sinar Mas dan Belah Ketupat memperlihatkan variasi susunan motif.

Di Malaysia, pihak kerajaan bersama-sama turun padang memajukan industri batik ini. Batik dimajukan dengan cara tersendiri, iaitu dengan penggunaan teknologi bahan pewarna Jepun dan Jerman. Jenis fabrik yang sesuai adalah dari jenis kain Mori, kain Cheese, Voile, kain Lawns, kain Cita, Sutera dan kain Terylene Kapas. Bagaimanapun sehingga kini batik belum boleh dicap pada kain tiruan kerana lilin panas akan merosakkan corak kain batik tersebut. Batik tiruan tidak mempunyai corak dan warna pada sebelah dalam. Batik tulen tebal warnanya dan tidak kecut kerana dimasak sekurang-kurangnya tiga atau empat kali.

Pada masa dahulu, kain batik hanya di pakai oleh kaum wanita. Selain dijadikan pakaian basahan atau pakaian harian ia juga dipakai untuk ke majlis, buaian bayi atau anak kecil, mengendong anak kecil, menutup mayat dan sebagai penutup keranda mengusung mayat ke pusara. Kini penggunaan corak batik tidak terhad pada kain batik sarung atau batik lepas tetapi dipelbagaikan kegunaannya iaitu sebagai kemeja lelaki, gaun wanita, sarung bantal, alas meja, hiasan dinding, beg, kaftan dan sebagainya. Ahli-ahli seni lukis kita mempelbagaikan karya mereka dengan ciptaan corak batik yang lebih moden sesuai dengan kehendak pengguna. Pakaian batik juga dijadikan pakaian rasmi untuk menghadiri majlis-majlis keramaian sama ada anjuran pihak kerajaan mahupun swasta.

Songket

on Tuesday, March 29, 2005


Songket merupakan hasil tenunan tangan yang disulam dengan pelbagai jenis benang seperti benang sutera, emas, perak, benang bercahaya dan benang berwarna pada kain tenunan biasa untuk menghasilkan sesuatu corak dan motif. Istilah songket berasal dari teknik proses ‘sungkit’ iaitu menyungkit bunga daripada benang emas. Benang emas sebagai pakan dililit dalam cuban melintang mencelah-celah benang loseng yang tegak berdiri. Benang emas dibawa dari India, China dan Parsi tetapi kepakaran menenun songket merupakan warisan asli alam Melayu khususnya di bekas wilayah kerajaan Sriwijaya abad ke 13 Masihi.
Pembuatannya diilhamkan daripada perusahaan kain patola yang dibawa oleh pedagang India Islam yang menggunakan teknik ikat. Tapi kini, songket ditenun dengan menggunakan alat yang disebut ‘kek’. Kerja-kerja menenun songket memerlukan ketelitian, ketekunan dan kesabaran yang tinggi. Ini kerana ia amat rumit dan melalui 8 peringkat proses pembuatan. Bermula dengan mencelup benang, melerai benang, menganing benang, menggulung, menyapuk benang, mengarak benang, menyungkit benang dan akhir sekali menenun. Kualiti, kecantikan dan kehalusan songket bergantung kepada rekaan corak dan motif. Penenun bukan sahaja perlu mahir tetapi perlu juga kreatif dan imaginatif.
Motif dalam reka corak songket biasanya diilhamkan daripada sumber alam semula jadi seperti gunung, ombak, daun, buah-buahan, bunga-bungaan dan makanan. Terdapat enam corak songket yang biasa dibuat iaitu bunga penuh, bunga bertabur, corak jalur, siku keluang (zig-zag), tapak catur dan pucuk rebung. Kecantikan songket juga bergantung kepada penggunaan dan kombinasi warna. Kebanyakan penenun gemar menjadikan alam semula jadi sebagai sumber warna. Warna putih setar (ungu), kuning kunyit, biru laut, merah darah ikan, hijau pucuk pisang dan kelabu tahi anjing merupakan antara warna yang sering menjadi pilihan. Penjagaan songket juga harus dititik beratkan. Songket seharusnya digulung semasa disimpan dan tidak dipegang dengan tangan yang kotor. Ia perlu dibersihkan secara minimum dan tidak dijemur di bawah matahari yang cerah.
Pada masa dahulu kain songket hanya dikhaskan kepada raja-raja dan orang besar istana. Penggunaannya terbatas kepada majlis-majlis tertentu sahaja seperti acara kebesaran, majlis keraian, penghormatan, perkahwinan dan berkhatan. Kebanyakan kain songket dahulu tertumpu pada pakaian tradisional seperti samping, tanjak, baju kurung dan kebaya, kain sarung dan kain selendang. Pada masa sekarang, di samping menjadi pakaian, penggunaan songket kini diperluaskan dengan menghasilkan pelbagai produk kraf seperti gambar hiasan dinding, sarung kusyen, cenderamata, alas meja, kotak barang kemas dan sebagainya. Penggunaan songket juga telah menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat yang dipakai pada waktu-waktu tertentu seperti pakaian pengantin, jubah konvokesyen, pakaian penari tradisional dan majlis-majlis rasmi.
Songket merupakan salah satu industri tekstil Melayu yang mempunyai ciri-ciri tradisional serta melambangkan warisan kebudayaan Melayu yang unik. Ia menjadi tradisi yang diwarisi sejak turun menurun sehingga sekarang. Di Malaysia, industri ini kebanyakannya diceburi oleh kaum wanita dan begitu popular di negeri-negeri Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu.

Baju Kurung

on Wednesday, February 23, 2005

Bangsa Melayu yang terkenal dengan kehalusan seni tangannya telah melahirkan pakaian yang diwarisi sejak turun-temurun iaitu baju kurung. Kewujudan baju ini dipercayai dipengaruhi oleh kemasukan pedagang Islam dan India Barat. Hal ini kerana terdapat persamaan potongan leher berbentuk unik yang menyerupai pakaian orang Arab dahulu kala.
Di Malaysia, Baju Kurung Johor cukup terkenal kerana jahitannya yang halus dikenali sebagai “sembat halus” manakala dileher baju pula dihias dengan jahitan “tulang belut”. Pakaian ini telah melalui pelbagai proses pengubahsuaian sehingga dewasa ini kita dapat melihat berbagai bentuk rekaan berasaskan baju kurung tradisional. Antaranya yang menjadi pilihan ramai ialah Baju Kurung Teluk Belanga. Baju ini yang lehernya digunting bulat dengan belahan di hadapan sepanjang 5 inci, disokong oleh potongan pesak yang lurus di atas dan kembang di bahagian bawahnya. Kedudukan pesak disambung di bawah lengan dijahit bersama sepasang kekek berbentuk petak ataupun kekek gantung yang potongan kekeknya lebih panjang daripada kekek biasa.
Lazimnya, pecahan bahagian tadi disambung antara satu sama lain dengan jahitan ”sembat halus” ataupun dikenali sebagai “jahit tangan”. Manakala bahagian leher yang telah dijahit Tulang Belut juga disembat di bawah bahagian sebelah dalamnya. Jahitan “insang pari” digunakan untuk menjahit rumah butang dikedua-dua belah leher baju. Pada zaman dahulu, saku tampal di jahit dibahagian dada baju, namun kini kedudukan saku telah dialih ke sisi baju sama ada di kiri atau kanan mengikut keselesaan pemakai.
Pemakaian baju kurung disuaipadankan dengan kain sarung yang dijadikan kain kerudung. Dewasa ini kain sarung yang suatu masa dulu digunakan untuk menutup kepala telah diganti dengan selendang yang beraneka corak dan warna. Sehelai baju kurung biasanya dipakai bersama kain yang diikat cara “ombak mengalun” atau dipanggil kain susun .
Material yang digunakan untuk menghasilkan sepasang baju kurung turut berubah mengikut zaman dan majlis yang hendak dihadiri. Kain songket lazimnya menjadi pilihan raja sehari namun ada juga pengantin yang gemar menggayakannya dengan kain satin, organza, mahupun chiffon untuk merubah penampilan.
Suri rumah pula lebih suka memakai baju kurung yang diperbuat daripada kain kapas, manakala wanita berkerjaya mempunyai lebih banyak pilihan, antaranya sutera, batik satin, linen dan pelbagai jenis kain lain yang sesuai untuk digayakan. Baju kurung bersifat universal, oleh itu mustahak bagi seseorang pemakai mengetahui tempat pakaian tersebut hendak digayakan. Baik di istana atau di warung kopi, baju kurung tetap sedap dipandang, menarik dipakai dan kekal anggun dalam kelasnya yang tersendiri.

Kenapa Aku Dipanggil KerepeK?

on Wednesday, February 16, 2005

Mahu tahu kenapa aku di panggil KerepeK dan kenapa nama samaran aku KerepeK?

Ianya bermula pada zaman aku sekolah lagi, masa aku tinggal di hostel. Keluarga di Johor tetapi aku bersekolah di Kuantan.. Jauh tu!! Tak apa untuk menimba ilmu punya pasal tidak kira jauh atau tidak, kira boleh aje.

Pada awal aku dok hostel member2 bilik panggil aku Zed saja, tetapi entah macam mana ada abang hostel aku nama Roslan perasan tiap kali ada kiriman dari keluarga aku di Johor pada ada kerepek, tidak kira kerepek apa pisang ke, ubi ke semua ada. Biasalah kan hidup di hostel barang makanan kongsi bersama, kalau tidak kongsi pun pasti kena cilok jugak.

Asyik balik2 terima kiriman kerepek lelama abang roslan gelar aku kerepek dan melekat terus.. Yazid mana.. Yazid KerepeK!! Dan aku pun tidak ambil kisah sangat.. last2 terus hilang Yazid tinggal saja KerepeK, semua orang kenal sampai ke Guru Besar... hehe...

Itulah ringkasnya asal kenapa aku guna nick nama KerepeK..

Baju Kebaya

on Monday, February 07, 2005

Sesetengah pendapat mengatakan perkataan kebaya berasal dari perkataan arab “haabaya” yang bermaksud “baju labuh berbelah di hadapan”. Kebaya direka dalam dua versi, iaitu kebaya labuh dan pendek .

Kebaya berasal dari baju belah yang labuh dan longgar iaitu pakaian yang sering dipakai oleh wanita dahulu kala. Baju belah labuh lazimnya digayakan dengan memakai tiga butir kerongsang yang disemat pada bahagian hadapan cantuman baju tersebut. Manakala kain sarung yang dipadankan dengan baju biasanya digunakan kain tenun Pahang, kain batik Jawa atau kain pelikat India.

Cara ikatan kain sarung masih sama dengan ikatan sarung baju kurung. Kain yang diikat dengan ikatan “ombak mengalun” dan baju belah labuh sesuai dipakai untuk menghadiri majlis rasmi. Kebaya belah pendek sesuai dipakai sebagai pakaian harian. Potongan baju belah agak sama dengan potongan baju kurung iaitu mempunyai pesak dan kekek. Cuma bezanya ia berbelah di hadapan dari atas hingga ke bawah dengan leher baju yang berkelepet. Kebaya pada masa dahulu diperbuat daripada kain kasa, kain baldu, dan kain perci. Manakala kain songket benang emas, kain tenun sutera dan kain Bugis hanya digunakan oleh kerabat diraja atau golongan bangsawan sahaja.

Peredaran masa telah menyaksikan perubahan yang ketara pada potongan baju kebaya. Potongan yang longgar dan gedoboh dirampingkan pada bahagian pinggang. Sepasang lisu dijahit pada bahagian hadapan dan belakang badan baju untuk membentuk bahagian pinggang supaya kelihatan lebih ramping dan kemas dipakai.

Manakala labuh baju dipendekkan sedikit daripada baju belah. Potongan yang ada sekarang lebih kemas dan bergaya. Pakaian baju belah terus lenyap ditelan masa dan digantikan dengan baju kebaya labuh dan kebaya pendek

Baju kebaya sangat popular dan menjadi pilihan tanpa mengira faktor usia. Pemakaian kain juga sudah berubah seiring perubahan masa. Kain tidak lagi diikat gaya ombak mengalun. Bagi kebaya labuh pemakaian kainnya disesuaikan dengan ikatan kain lingkup, kebaya pendek dipadankan dengan kain batik Jawa secara wiron ataupun dikenali sebagai ikatan kain kipas. Namun kini ikatan kain lingkup juga dipakai bersama kebaya pendek. Suatu ketika dulu kebaya yang diperbuat daripada kain jarang atau kain lace dan dipadankan dengan pemakaian kutang didalamnya menjadi kegilaan muda mudi.

Kebaya yang berkelepet lehernya kurang diminati kini. Kebaya moden menjadi pilihan utama untuk digayakan ke majlis rasmi mahupun ke pejabat. Butang yang dijahit terus ke baju telah menggantikan penggunaan kerongsang sebagai penyemat baju. Kain ikatan lingkup tetap menjadi pilihan sama ada dibelah di bahagian dalam atau tidak. Rekaannya yang ringkas kini lebih pratikal berbanding baju kebaya potongan lama.

Dengan lambakan pelbagai jenis fabrik di pasaran, penggemar baju kebaya tiada masalah untuk memilih jenis kain. Citarasa penggemar fesyen terhadap kebaya telah menghasilkan baju kebaya yang sangat menarik rekaannya dengan di hiasi manik, batu hiasan, labuci, sulaman tampal atau sulaman yang dijahit terus pada kain. Pemakaian kain selendang sudah mengambil alih peranan kain kerudung dan sapu tangan yang digayakan oleh wanita berbaju belah suatu ketika dulu.

Miliki modal insan berkualiti

on Sunday, January 30, 2005

Pengisian merdeka lebih bererti jika negara miliki modal insan berkualiti

SETIAP pagi 31 Ogos, saya memutar lagu nyanyian Ahmad Jais, Bahtera Merdeka. Lagu itu memberi kesan tersendiri kepada jiwa saya kerana irama dan seni katanya yang sungguh bermakna.
Sebagai anak muda yang tidak pernah menghadapi kesukaran menuntut kemerdekaan, lagu itu mendekatkan saya kepada pejuang dan pembela kemerdekaan. Lagu itu juga menusuk kalbu kerana ‘desakan’ berkorban jiwa dan raga untuk kedaulatan nusa bangsa supaya negara maju jaya dan aman merdeka.
Pagi ini, lagu itu saya putarkan lagi sempena menyambut ulang tahun ke-48 kemerdekaan negara. Lagu itu berkumandang di celah laungan ‘merdeka’ dan kibaran Jalur Gemilang dapat dilihat di merata tempat. Tua dan muda, sama-sama menyerikan ulang tahun kemerdekaan dengan penuh semangat.
Sambutan ulang tahun yang kita raikan saban tahun ini mengingatkan kepada pelbagai persoalan pokok yang berkaitan dengan erti kemerdekaan, pengisian dan perjuangan memartabatkan Malaysia. Erti kemerdekaan mendefinisikan makna kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka, kepelbagaian kaum yang membentuk asas kemakmuran masyarakatnya dan tanggungjawab untuk membangunkan negara ke tahap lebih baik. Untuk merealisasikan erti kemerdekaan ini, kita harus menyerlahkan pengisian kemerdekaan dalam bentuk amalan. Banyak cara untuk kita berbakti dan berkorban untuk negara. Angkatan tentera dan pasukan keselamatan lain mempertaruhkan nyawa memastikan negara aman dan tenteram. Kakitangan sektor awam menggunakan pelbagai kemahiran untuk memastikan negara maju, manakala sektor swasta pula memacu pembangunan ekonomi negara dengan projek berdaya maju.
Biar apapun bentuk khidmat dan amalan kita demi negara tercinta, peranan dan modus operandi pengisian kemerdekaan memerlukan rakyat yang berilmu dan berakhlak mulia dengan etika kerja cemerlang. Inilah modal insan yang selalu disebut-sebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak kebelakangan ini dalam konteks memperkasakan masyarakat Malaysia pasca kemerdekaan. Modal insan dijana menerusi sistem pendidikan mantap. Ia tidak terhad kepada pengajian formal dan pengijazahan saja.
Modal insan yang harus dikembangkan merangkumi pelbagai peringkat dan usia. Peringkat profesional dan pengurusan memerlukan pendidikan formal yang baik dan berkualiti di institusi pengajian tinggi (IPT) yang juga bermutu dan prestij. Golongan separa profesional dan pekerja am perlu dibangunkan dari segi kemahiran, sikap dan kesungguhan.Sesebuah negara yang maju sebenarnya bukan hanya didukung oleh profesional yang berdaya saing dan mempunyai sikap proaktif, malah ditunjangi oleh pekerja separa profesional dan pekerja am yang berkualiti dan berjiwa besar.
Mereka bangga melakukan apa saja untuk kemajuan diri sendiri, keluarga, bangsa dan negara. Jika mereka berkhidmat sebagai petani, mereka berusaha untuk menjadi petani yang berdaya maju dan inovatif menggunakan pelbagai pengetahuan dan teknologi moden untuk mempertingkatkan produktiviti. Jika mereka berkerja sebagai pensyarah, mereka berfungsi sebaiknya menjadi peneroka dan pengajar ilmu yang terbaik dan cemerlang. Kualiti rakyat yang tinggi ini hanya terjana menerusi amalan dan etika kerja yang baik, budaya ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat. Pendidikan dalam konteks semasa memerlukan dinamisme yang lebih berdaya saing kerana saingan kita semakin canggih.
Kita memerlukan bukan hanya sistem pendidikan yang kemuncaknya ialah proses pengijazahan, malah penghayatan ilmu dalam bentuk yang tersirat. Ilmu itu tersirat dalam perwatakan, pencaraan dan keperibadian seseorang. Ia tersirat dan semakin mantap sepanjang hayat kerana proses pembelajaran tidak terhenti dalam majlis konvokesyen.
Hal ini dapat diamalkan menerusi pembacaan yang lancar dan pelbagai, majlis ilmu yang sentiasa meriah dan penonjolan tokoh ilmu sebagai model ikutan masyarakat. Ketika membincangkan kepentingan dan ideal ilmu, bekas Presiden Universiti Chicago, Dr Robert Hutcin, menyebutkan mengenai tradisi ilmu dalam sesebuah masyarakat meletakkan nilai ilmu pada martabat tertinggi.
Bagi masyarakat sedemikian, nilai ilmu mengatasi segala-galanya, termasuk selebriti hiburan, harta mahu pun status. Keadaan sedemikian pernah wujud dalam tradisi ilmu Barat dan ketika keagungan empayar Islam.
Soalnya, apakah kita berjaya mewujudkan persekitaran ilmu yang sedemikian segar dan dinamik? Apakah percambahan IPT ketika ini mendokong pemantapan budaya ilmu yang memperteguhkan lagi daya saing dan daya fikir? Apakah tidak mustahil untuk kita menjadi pusat keilmuan di rantau ini dengan adanya universiti awam dan swasta yang mantap dan sekolah berkualiti?
Pengasas syarikat Kyocera, Dr Kazuo Inamori, berkata kejayaan terhasil menerusi tiga faktor utama iaitu keupayaan, usaha dan sikap. Ketiga-tiga faktor itu boleh dibentuk dan dimantapkan menerusi sistem pendidikan yang berkualiti. Dengan kata lain, untuk berjaya dan maju, rakyat Malaysia perlu mempertingkat keupayaan dari segi kemahiran, pengetahuan dan amalan. Selain itu, kita juga perlu berusaha dengan gigih untuk maju dalam apa saja bidang yang kita ceburi. Dalam kemeriahan kita meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-48 hari ini, ada baiknya menoleh dan memperkasakan kualiti modal insan dalam diri dan organisasi, keluarga dan masyarakat. Itulah tugas yang relevan ketika ini kerana tidak semua perlu memikul senjata dan bertaruh nyawa untuk menunaikan sumpah dan janji mempertahankan kemerdekaan ini. Selamat ulang tahun ke-48 Malaysia!
Oleh Prof Dr Zaini ujang
Penulis adalah Profesor Kejuruteraan Alam Sekitar dan Pengarah Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air (IPASA) di Universiti Teknologi Malaysia.